Monday, December 23, 2013

UPDATE BUKU#5 - TEGURAN SUCI DAN JUJUR TERHADAP MUFTI JOHOR


Sebelum ini aku ada mengepos entry berkenaan buku tulisan HAMKA dengan tajuk di atas di SINI.
Ketika itu aku masih belum menemui edisi ruminya.

Beberapa minggu sudah, ketika meninjau-ninjau sudut buku di ISTAFA Jalan Sultanah, Alor Setar sambil menunggu orang rumah membeli barang aku terserempak dengan edisi rumi buku berkenaan.

Apa lagi! Terus aku sambar senaskhah daripada hanya dua naskhah sahaja yang terdapat di rak.



Sebagai catatan, HAMKA hanya mengambil masa selama lima (5) hari sahaja bagi menulis buku ini! Tepatnya bermula pada hari Ahad, 17 Muharram 1378 bersamaan 03 Ogos 1958 dan selesai pada hari Jumaat 22 Muharram 1378 bertepatan 08 Ogos 1958 di Jakarta.

Naskhah aslinya bertulisan jawi adalah terbitan Persatuan Muhammadiyah Pusat Singapura.

Dengan harga RM15, buku terbitan semula Pustaka Dini pada tahun 2010 ini berbaloi untuk dimiliki.

Menariknya pada kata pengantar pengalih aksara dan penyunting istilah buku ini oleh Djamal Tukimin, beliau menyifatkan buku Teguran Suci dan Jujur Terhadap Mufti Johor adalah "The Lost Manuscript" HAMKA.

Berikut saya petik sedikit permulaan pengantar beliau di sini:

Sebenarnya buku yang satu ini dari karya Allahyarham Prof. Dr. Abdul Malik bin Karim Amrullah atau lebih dikenali sebagai Prof. Dr. Hamka dan Buya Hamka saja tidak terdapat di mana-mana dalam daftar buku-bukunya yang pernah diterbitkan sepanjang hayatnya.

Pada baris yang lain beliau berkata:
Buku polemik dan tangkisan ini merupakaan buku yang dianggap sebagai The Lost Manuscript yang sama sekali tidak diketahui ramai orang baik di Indonesia, Malaysia mahupun di Singapura.

Kata pengantar beliau diakhiri dengan ayat berikut:
Namun demikian saya bertanggungjawab sepenuhnya atas karya Buya Hamka yang diterbitkan ini setelah mengalami masa ghaibahnya sebagai "The Lost Manuscript" sekitar 50 tahun yang kini kembali ke rumah khazanah Islamiyah di Alam Melayu Nusantara ini. Kecuali, salah dan silap, harap maaf.



Sehingga ke saat entry ini ditaip saya masih belum berkesempatan menghabiskan bacaan edisi rumi ini -edisi Jawinya sudah habis dibaca lama dulu- dan memperbandingkan dengan naskhah asli bertulisan jawi peninggalan Almarhum Tok Ayah yang ada dalam simpanan saya.

Namun ketika berkesempatan menyelak beberapa mukasuratnya saya telah bertemu dengan alih aksara yang salah dan gantinama yang wajar disertakan nota kaki kerana perbezaan bahasa dulu2 dengan kini. Iaitu pada mukasurat 14 edisi ini yang mana menukilkan kembali salinan kenyataan Mufti Johor yang ada disertakan gambar asal edisi jawinya.


Ia berbunyi seperti berikut:

"Kaum kaum - muda ini mengambil fatwa-fatwa mereka dari Qadiani dan Hassan Bandung dan mereka tidak percaya kepada beberapa tiang-tiang agama Islam. Mereka ini dinamakan ulama-ulama "al-maklum minalaziina bi darurah," kata Datuk itu.

Pada kata yang ditebalkan oleh saya di atas yang pertama adalah gantinama "Mereka ini". Molek sekali jika disertakan tambahan penjelasan di dalam kurungan atau nota kaki sebagai ( yakni perkara2 tersebut) yang mana kembali kepada tiang2 agama Islam agar tidak disalah kembalikan oleh sebahagian pembaca yang tidak mesra interaksinya dengan gaya bahasa klasik gantinama tersebut kepada Kaum kaum - muda yang disebut di awal ayat.

Perkataan kedua yang dihitamkan adalah "al-maklum minalaziina bi darurah".
Ini adalah salah faham yang berpunca dari satu titik sahaja. Iaitu pada huruf Dzal yang mana sepatutnya adalah huruf Dal.

Berkait hal ini mengingatkan saya dengan lawak P. Ramlee di dalam Nujum Pak Belalang pada adegan teka-teki di manakah terletaknya kehebatan Hang Tuah. Iaitu pada huruf Taa-nya. Yakni pada titiknya. Benar P. Ramlee dalam hal ini.

Inilah salah satu keistimewaan Bahasa Arab yang mana memadai dengan tersilap satu titik sahaja sudah boleh membawa kepada salah faham makna. Ada cerita lain yang terkait juga dengan hal ini namun saya tidak berhasrat menaip panjang.

Berbalik kepada perbincangan kita, saya kira di dalam edisi jawinya memang ditulis Dal. Nanti saya semak semula. Namun jika salah tulis dengan Dzaal pada edisi jawinya pun hal ini perlu diperbetulkan.

Jadinya ia sepatutnya berbunyi: "Al-maklum minaddiin bi darurah" yang bermaksud "perkara2 dalam agama Islam yang semua orang Islam tahu". Contohnya kewajipan solat, haram arak dsb. Tanyalah orang sejahil-jahil orang Islam kaki maksiat yang fasiq dan tak pernah solat adakah solat 5 waktu itu wajib ditunaikan pastinya dia akan menjawab ya.

Dengan itu kalam Tuan Mufti yang dinukilkan itu sepatutnya berbunyi "Mereka itu (yakni tiang2 / prinsip2 / hukum2 asas agama Islam) dinamakan oleh ulama2 sebagai al-maklum minaddiin bi darurah (yakni perkara2 asasi di dalam agama Islam yang seluruh orang Islam memang sedia maklum).

Intaha (tamat).

Saya menyatakan kesilapan di atas bukanlah bermaksud mencari2 kesalahan penterjemah dan pengalih aksara. Namun ia hanya sebagai sedikit semakan yang berguna kepada mungkin sesiapa yang membaca posting ini dan memang memiliki edisi rumi naskhah ini atau berhasrat memilikinya.

Semoga saya dikurniakan Allah kesempatan untuk membuat semakan menyeluruh dan menambah baik mana2 yang kurang yang mungkin wujud selain dua yang saya nyatakan di atas untuk saya majukan kepada penerbit edisi rumi itu. Ameen.

Tetapi jika ada yang sudah mendahului usaha ini, baguslah. Mudah-mudahan.

Wallahu A'la wa A'lam. 




APA ADA DENGAN NAMA SAMARAN?



Menulis menggunakan nama samaran / nama pena / laqab dan lain2 yang bukannya nama sendiri tidaklah bererti si penulis seorang yang pengecut atau munafik atau apa saja sangkaan2 buruk yang lain.

Aku ada terbaca serangkap kata Sasterawan Negara, Dr. Baha Zain bahawa zaman dahulu para penulis kita (Melayu) banyak menggunakan nama samaran kerana yang penting bagi mereka adalah idea yang dikemukakan dan bukannya diri sendiri. Namun berbeza dengan zaman kini.

Hal ini aku nyatakan kerana beberapa waktu lepas ada terbaca sebuah tulisan seorang yang terkenal juga (zaman ini zaman mudah menjadi terkenal) di FB yang menyatakan penulis yang tidak diketahui identiti "di zaman penuh fasad ini, sama ada sang penulis itu baik hati tetapi sangat pengecut, atau berniat jahat tetapi bijak memangsakan massa."

Semoleknya tidaklah perlu kita terlalu menyesakkan benak dan kotak fikir kita dengan andaian2 dan sangkaan2 negatif. Semua kita dikurniakan akal, dengarkan atau baca, lalu menganalisa lantas pilih yang terbaik. Tinggalkan yang buruk, ambil yang baik2. Buang yang keruh, ambil yang jernih. 

Sungguh berapa banyak kata2 hikmah yang kredit dihujungnya pergi kepada Anonymous.

 


Wednesday, December 18, 2013

...



Biarkan semuanya terus naik.. 
Kerana kenaikan ini menjemput datang sebuah kejatuhan...

Ribut, jika makin hebat menghentam bererti semakin hampir redanya.
Hujan, jika makin melebat, petanda akan menyusul seriat.
Malam, tika makin pekat gelemat, petanda fajar makin mendekat.
"Bukankah subuh itu sangat hampir waktunya?"..




Saturday, December 7, 2013

BUKU #13 - MANUSIA TERKAYA DI BABYLON



Aku masih ingat.
Hari itu hari Ahad, aku turun ke JB dari Skudai dengan hasrat di hati hendak turun KL. Entah agaknya ada Pesta Buku Antarabangsa di PWTC kalau tak silap.

Namun entah bagaimana aku tidak pula ke Larkin sebaliknya mengambil arah ke bandar. Sesampainya di JB aku berlegar2 dahulu di beberapa tempat dan kemudian ke KOTARAYA, tempat di mana akhirnya aku menemui naskhah yang membuatkan aku terus jatuh cinta pandang pertama.

Akhirnya duit tambang yang sepatutnya untuk tiket bas ke KL menjadi mahar untuk ditukarkan dengan buku yang 'rare' ini.








BANGSA MELAYU - MARILAH BERSATU !



Ini adalah sebuah rencana yang ditulis di dalam Majalah Qalam Bil.4, November 1950 di muka surat 35-37. Majalah ini saya dapatkan daripada peninggalan2 arwah Tok Ayah saya.

Qalam diterbitkan di Singapura di dalam tulisan Jawi. Sesiapa yang boleh membaca Jawi dipersilakan membaca dengan meng'klik' pada gambar dibawah.

Kulit hadapan Qalam bilangan 4 ini sangat2 menarik perhatian saya.
Lihat bagaimana penjajah Belanda yang beberapa tahun sebelum itu menjadi tuan di Indonesia terpaksa tunduk hormat kepada Presiden Indonesia, Sukarno.

Saya telah mengimbas dari kulit ke kulit majalah ini serta beberapa lagi majalah2 lama yang lain dan menjadikannya dalam bentuk PDF, namun masih belum berkesempatan memuat naik ke internet.

InsyaAllah akan dimaklumkan di blog ini jika telah dimuat naik supaya dapat pula dimuat turun dan dibaca oleh sesiapa yang berminat.






Friday, November 22, 2013

QASIDAH OH QASIDAH!



Qasidah sekarang di mana2. Sudah jadi trend pula.
Di TV, di Dataran Merdeka, di Putrajaya, di mana saja.
Bahkan di masjid2 pun riuh-rendah dengan qasidahnya.


Aku tidaklah ingin berbahas menolak atau mendokong. Kerana di laman2 sosial, forum2 dan blog2 pun sudah ada pihak yang saling berpolemik tentang hal ini dan tidak ke mana pun sebab kedua2 pihak mengeluarkan dalil2 lalu menarik kefahaman mengikut yang dikehendaki masing2.

Dari satu segi baguslah. Ada juga alternatif hiburan.

Cuma tentang riuh rendah berqasidah (dan nyanyian2 yang lain jugak) di dalam masjid dengan dentuman perkusi dan pembesar suara maka aku tertanya-tanya juga..
"Kalaulah Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam Shafi'e, Imam Ahmad melihatnya, agaknya apakah mereka bersetuju atau bagaimana?"



Nota kecik:
(A) Awat hang nak hingaq pasai qasidah? Nu lagu2 dengan konsert2 lagho hang tak gaduh pulak?!
(B) Lagu2 ngan konsert2 lagho tu semua orang maklum dah. Tapi qasidah ni sebab dia pakai make-up agama..
(C) Aku tidak anti qasidah. Bahkan ada masanya mendengarkan dan berqasidah juga..



Saturday, November 2, 2013

BUKU #12 - DI SEBALIK IKHWAN MUSLIMIN


Alhamdulillah pagi tadi selesai membaca sebuah buku yang sangat menarik. Pengkisahan seorang tokoh Ikhwan yang sebelum ini bekerja di belakang tabir bagi menyemai benih keamanan dan membawa dunia ke satu takah kehidupan yang lebih baik.

Youssef Nada, demikian nama tokoh kita ini. Beliau adalah seorang Islamis, tokoh korporat tahap internasional, perunding keamanan dan bermacam lagi yang anda boleh namakan beliau melainkan pengganas.

Membaca buku ini membawa kita kepada satu lagi tahap pengetahuan tentang realiti sebenar liku-liku peristiwa2 penting dan bersejarah dunia daripada individu yang terlibat sendiri secara langsung di dalam beberapa peristiwa tersebut.

Carilah buku ini dan bacalah. Sekali anda menatap halaman pertamanya anda akan terasa sukar untuk meletakkannya sebelum sampai ke halaman terakhir. Ia ibarat anda menonton sebuah filem yang diadaptasi dari kisah benar. Dengan terjemahan yang berkualiti dan mencapai maksud, saya merekemen anda agar segera mendapatkannya.

Harga asal adalah RM29.90. Tetapi anda boleh mendapatkannya dngan harga yang lebih murah sekarang sekiranya anda membelinya di POPULAR dengan menggunakan kad keahlian POPULAR anda. Hanya RM22.90.

Dapatkan naskhah anda hari ini! :)








Tuesday, October 22, 2013

BUKU #11 - Losing My Virginity; The Autobiography





Buku ini adalah penceritaan jatuh bangun Richard Branson, Pengasas Virgin Company yang sangat terkenal dengan idea dan perangai gila2nya.

Ia adalah penceritaan beliau sendiri. Tentang bagaimana kehidupan kecilnya, keluarganya, apa yang memotivasikannya, prinsip hidupnya, asal mula perkataan Virgin menjadi nama syarikatnya dan 1001 macam lagi penceritaan yang sungguh mengujakan.

Ditambah sertakan pula dengan gambar2 menarik beliau dari zaman muda beliau yang hippies hingga terkini sewaktu buku ini ditulis.

Agaknya sesuatu yang menarik minat untuk membelinya pada kali pertama terpandang, selain pengisahan dan gambar2 tersebut adalah tajuknya itu sendiri.

Carilah buku ini.
Harganya? RM59.90.
Kalau anda berada di UK harganya tentulah lebih murah di dalam Pound Sterling. :)





Monday, October 21, 2013

BUKU #10 - Mereka Yang Telah Pergi



Buku ini berisi biografi para tokoh perjuangan Islam zaman moden. Ditulis oleh Syaikh Abdullah Al-Aqil rahimahullah.

Di dalamnya beliau menyenaraikan biografi para tokoh dengan dua syarat utama:
1- Tokoh tersebut telah ditemui oleh beliau secara peribadi.
2- Tokoh berkenaan telahpun meninggal dunia ketika buku ini disusun. Ini kerana orang yang masih hidup tidak selamat dari fitnah.

Carilah buku ini dan baca serta hayatilah. Anda pasti akan terasa kagum dan kerdil di hadapan sirah mereka apabila membandingkannya dengan sirah hidup kita sendiri.

Saya membeli buku ini di Pustaka Fajar Ilmu Baru (dulunya dikenali sebagai Pustaka Indonesia) di Tingkat Dua Wisma Yakin, Jalan Masjid India. Naik lif / tangga ke tingkat 2, keluar saja lif ambil kanan. Atau anda semua boleh ke laman web mereka di sini: FAJAR ILMU BARU.

Pemiliknya sangat friendly dan mahir dgn selok belok buku yang ada di kedai mereka. Terutamanya kakak (ah, saya sudah lupa namanya!) Anda boleh tanyakan satu2 judul buku, nanti beliau akan menyatakan sinopsisnya serta terbitan penerbit sekian2. Dan jika ada berbilang penerbit menerbitkan buku terjemahan yang sama beliau akan memperjelaskan kelebihan masing2 cetakan dan menyarankan yang terbaik.

Sudah lama saya tidak menjejak kaki ke sana.Seingatnya saya sudah ke sana semenjak 1998. Ketika mereka masih beroperasi di tingkat bawah. Kedai di tingkat bawah pun masih beroperasi, mungkin pengurusannya dipecahkan.

Jika kita memang pelanggan tetap akan dapat diskaun yang agak besar. Mungkin sehingga 20%.


Dulu2 jika bajet untuk buku saya sudah habis dan saya masih ketagihan membelek dan membaca buku2 yang baru, maka kedai ini adalah salah satu tempat lepak saya. Adakalanya menjadi orang terawal melangkah bersama pintu yang baru dibuka dan melepak untuk membaca sehingga mendekati maghrib dan keluar tanpa membeli sebuah buku pun. Anda boleh membaca di situ tanpa dijeling-jeling semacam, sama seperti yang anda boleh lakukan di Kinokuniya atau MPH sambil bersila di lantai.

Oh, kembali kepada buku kita, inilah saya tepekkan gambarnya di bawah. Boleh klik dan zoom in untuk lihat lebih jelas.

Harganya?

RM85.50

Dengan bilangan muka surat lebih kurang 700 m/s, bagi saya sangat murah jika nak dibandingkan dengan maklumat dan ilmu yang bakal diperolehi. Lagipun sebuah buku tidak akan basi biarpun disimpan 50 tahun. :)







Thursday, October 17, 2013

BUKU #9 - Belitan Iblis (Talbis Iblis)


Ini adalah antara buku terbaik untuk dihadam. Karya terbitan Pustaka Nasional Singapura oleh Ustadz Syed Ahmad Semait rahimahullah ini adalah terjemahan beliau (terjemahan beliau Terbaik!) daripada kitab Talbis Iblis karangan Al-Imam Ibnul Jauzi rahimahullah.

Cetakan yang ada pada tangan saya ini adalah cetakan terawal kitab tersebut. Meskipun seperti yang saya nyatakan di atas tentang terjemahan Syed Ahmad Semait adalah sangat bagus, namun manusia adalah tidak dapat lari dari kekurangan. Demikian itulah yang berlaku pada terjemahan kitab ini.

Para pembaca yang budiman akan dapat melihat di dalam gambar yang saya sertakan di bawah sana tertera nama Al-Imam Ibn Qayyim sebagai pengarang buku ini. Bahkan di dalam pengantar / muqaddimah buku ini oleh penterjemah juga diulang-ulang bahawa penulis buku ini adalah Al-Imam Ibn Qayyim.

Nyatanya adalah bahawa Ustadz Syed Ahmad Semait telah terkeliru antara Ibnul Jauzi dan Ibn Qayyim Al-Jauziyyah. Agaknya perkataan Jauzi dan Jauziyyah itu bersama juga metod kritikan mereka berdua yang hampir serupa terhadap kekeliruan-kekeliruan sebahagian pengaku sufi menjadi penyebab terhasilnya kekhilafan nisbah terjemahan ini.

Cumanya saya tidak tahu adakah cetakan2 terkini telahpun diperbaiki hal ini atau masih lagi berterusan kesilapan tersebut. Moga2 sudah diperbetulkan.

Buku ini membicarakan selok-belok putar belit Iblis dalam menyesatkan manusia biar siapa pun orang itu dan apa jua kedudukannya baik dia itu pemimpin atau rakyat, ulama atau orang awam, si zuhud atau si gila dunia, orang kaya atau si miskin, abid atau si malas beribadah dan seterusnya.

Membaca buku ini akan ternayata kepada kita betapa mahirnya Imam Ibnul Jauzi di dalam ilmu ihsan atau ilmu tasawwuf. Ini kerana tidak ada yang dapat mengenal tipu daya musuh (Iblis) yang halus-halus melainkan orang itu adalah pemilik ihsan yang tulus.

Kritikan2 Ibnul Jauzi di dalam kitab ini nyata tajam sekali seumpama ketajaman pena Ibn Hazm Al-Andalusi rahimahullah yang sedia terkenal itu. Penterjemah bagaimanapun menyatakan di dalam muqaddimah beliau bahawa beliau disebabkan kerasnya nada kritikan Pengarang telah meninggalkan menterjemah sebahagian kandungan kitab terutamanya yang berkaitan kritikan keras terhadap sebahagian pengaku2 sufi yang tertipu kerana beliau melihat hal itu (meninggalkan menterjemah) pada beliau adalah lebih bermanfaat dan tidak mahu kelak menimbulkan keributan di tengah masyarakat. Bagi yang masih ingin membaca kritikan2 tersebut bolehlah mendapatkan naskhah berbahasa Arabnya.

Ringkasnya, membaca buku ini menjadikan kita sedar dan awas tentang tipu daya Iblis. Dan kita juga akan melihat keluasan agama Islam dan kemudahannya. Tidak ada yang menyeru kepada kemudahan dan keluasan Islam melainkan mereka yang benar2 memahami benar2 Islam itu dengan prinsip2nya. Dan Al-Imam Ibnul Jauzi adalah salah seorang jagoan para Ulama Islam itu yang sudah mampu benar2 memahami agama ini dengan pemahaman yang benar tanpa dapat disangsikan. Maka bacalah buku ini untuk anda lebih memahami Islam dengan benar.

Namun satu peringatan juga wajar diambil perhatian iaitu membaca buku ini janganlah hendaknya menjadikan kita orang yang semakin galak menyorot kesalahan golongan itu dan ini. Bahkan sebaliknya menjadi satu dorongan dan hentakan kesedaran untuk kita lebih memuhasabah kekurangan2 diri kita sendiri. Alangkan para ulama pun ada yang tidak terselamat daripada godaan Iblis, ini pula aku yang jahil. Alangkan si kaya pun tidak selamat, inikan pula aku yang miskin. Alangkan.... demikianlah hendaknya.

Semoga pengenalan kita yang ringkas melalui entry ini dengan buku yang penuh manfaat ini berguna untuk saya dan anda.

Harganya? Semasa saya membelinya dahulu hanya RM 36.00. Sekarang mungkin sedikit berbeza. Apapun ianya sangat bernilai untuk anda, percayalah..
Jadi, apa tunggu lagi? Dapatkanlah senaskhah sekarang! :)






Wednesday, October 16, 2013

BUKU #8 - Rukun Bai'at dan Usrah (Risalah Ta'lim)


Buku ini ada bermacam-macam cetakan. Cetakan yang ditampilkan ini adalah jilidan comel terbitan Hidayah Publisher.

Diterjemahkan oleh Ustazah Noraini Abu yang berkelulusan Al-Azhar Asy-Syarif (buku2 terjemahan beliau bagi saya adalah TERBAIK!) dengan harganya yang hanya RM 4.50 tentunya sangat2 sesuai buat ulangkaji sesiapa jua di mana2 saja.

Ia adalah buah tangan Imam Hasan Al-Banna rahimahulllah, pengasas jamaah Ikhwan Al-Muslimin yang menyenaraikan perkara2 yang perlu dilengkapi oleh seorang Muslim pada dirinya. Buku ini adalah buku wajib hadam bagi sesiapa yang berorganisasi Islami.

Buku bernilai ini telah disyarah oleh ramai tokoh. Nak ulas lebih2 pun rasanya seperti semua orang sudah maklum saja tentang buku ini.

Jadi bagi sesiapa yang belum pernah membaca buku ini atau sudah baca namun baru mengetahui tentang kewujudan cetakan bersaiz poket ini bolehlah mendapatkannya di kedai2 buku berhampiran.





Monday, October 7, 2013

Ucapan Tahniah dan Selamat Datang Serta Kesyukuran Tak Terhinggakan..


Kepada anda para pembaca,
Maafkan aku sekiranya entry kali ini bunyinya agak peribadi.

Aku ingin mengucapkan tahniah buat diriku sendiri dan selamat datang buat puteraku; Asim.
Ini adalah putera sulung bagi kami setelah kelahiran puteri sulungku ;- Najla - hampir dua tahun lalu.

Oh, aku tidak pula menulis entry sebegini sempena kelahiran kakak hampir dua tahun dahulu! Ni kira rangkum sekali lah. :).
Jangan marah ya kakak! :)

Alhamdulillah segalanya dimudahkan Allah. Sesungguhnya benarlah firmanNya di dalam sebuah Hadith Qudsi (Riwayat Imam Al Bukhari) :

"Sesungguhnya Aku adalah menurut sangkaan hambaKu terhadapKu".

Perbaikilah sangkaanmu terhadapNya. Jangan biarkan sekelumit pun terlintas sangkaan2 putus harap dan buruk sangka. Dia yang memeliharamu di dalam kegelapan rahim dalam tiga lapisan kegelapan, memberimu rezeki ketika ibumu sendiri tidak mengenalimu dan engkau sendiri tidak mengenalinya. Dia itu yang memudahkan jalanmu keluar ke dunia ini, memberimu rezeki pada setiap hela nafas.

Dia yang Maha Pemurah dan Penyayang itu, setelah semua nikmat yang tercurah apakah akan membiarkanmu mengharungi kehidupan dan perjalanan ini begitu sahaja?

Tidak!
Bahkan seperti kasih sayangNya yang menyelimutimu semenjak di alam rahim itu, kasih sayangNya akan terus menemanimu sehingga engkau menemuiNya pada waktu yang Ia sendiri telah pun menetapkannya.

Maka perelokkanlah sangkaanmu sentiasa.
Bahawa Dia sentiasa akan menolongmu.
Bahawa Dia akan sentiasa memudahkan urusanmu.
Bahawa Dia sentiasa menemanimu.
Menjawab doa2mu.
Mendengar rintih tangismu.
Mengusap lelahmu.
Menyelesaikan permasalahanmu.
Merungkai segala kekusutanmu.

Jemari kelenguhan. Namun kasih sayangNya terlalu banyak untuk diungkapkan..

...
Aku hanya selesai mendaftarkan namanya puteraku ini semalam (kemarin kata orang Kedah). 14 hari selepas kelahirannya 24 September lalu. Kakaknya dahulu pada hari ketiga sudah siap bernama. Untuk kali ini agak lambat entah mungkin juga kerana terlalu banyak pilihan nama yang bertandang di minda. :)

Kami telah menetapkan untuk menamakan anak2 dengan nama yang ringkas (dan sudah tentulah mengandungi makna yang bagus2) kerana mahukan mereka dipanggil dengan nama penuh. Bukankah nama itu adalah doa?

Kakaknya dahulu ketika aku terpandang sahaja kali pertama setelah dilahirkan, aku terperasan matanya yang bundar itu. Lantas nama Najla melintas di fikirku. Najla/Najla' (dgn Hamzah di akhir ejaan Arab) bermakna "perempuan cantik yang bermata bulat/bundar dan jeli" (macam kartun perempuan Jepun tuu..).

Nama Asim dipilih kerana maknanya yang baik, ringkas dan mudah untuk ditulis, bermula dengan huruf A (Arabnya huruf 'Ain) sehingga tak lah lama sangat nk sampai giliran dipanggil kalau dalam list, hehe, dan sebagai tafa-ul (atau ambil berkat) dengan nama orang soleh dan para ulama.

Asim (ada juga ejaan 'Asim / 'Ashim) adalah Fa'il dengan makna Maf'uul (ni pelajaran Arab sikit, harap maaf).
Senang cakapnya begini: Perkataan Asim ni maknanya "Pemelihara/Penjaga". Tetapi makna yang dikehendaki di sini adalah "Yang Terpelihara" (Ma'sum).

Nama Asim adalah nama bagi salah seorang anak Sayyidina Umar bin Al-Khattab. Anda tentu pernah mendengar kisah tentang bagaimana Umar sebagai Khalifah meronda pada waktu malam bukan?
Pada suatu malam beliau meronda dan terdengar perbualan seorang ibu bersama anak perempuannya yang mana disuruh oleh ibunya mencampurkan susu dengan air sebelum dijual esoknya.

Ringkas cerita gadis berkenaan tidak mahu menuruti suruhan ibunya walaupun kata ibunya "Umar bukan tahu pun". Lalu dijawab olehnya "Tapi Allah tahu". Tertarik dengan kejujuran dan ketakwaan gadis itu Umar mengambilnya sebagai menantu. Siapakah anak Sayyidina Umar yang bertuah menjadi suami kepada gadis jujur tersebut? Asim itulah. Kemudian dari zuriat mereka berdua lahir ibu kepada Umar bin Abdul Aziz.

Asim juga adalah nama bagi seorang daripada Ahli Qiraat yang Tujuh yang mana bacaan majoriti Umat Islam hari ini adalah mengikut bacaan beliau melalui jalan Imam Hafs daripada Imam 'Asim bin Abi Najud. Dan di sana terdapat beberapa ulama lagi yang bernama Asim..

Di antara Sunnah Nabi SAW yang dianjurkan untuk kita melakukannya apabila mendapat anak adalah:-
~Menyembelih aqiqah (sebaiknya hari ketujuh, atau ke empat belas, atau ke dua puluh satu sehingga baligh). Lagi bagus jika si ayah/datuk dapat menyembelih sendiri.
~Menamakan dengan nama yang baik (hari ketiga atau ketujuh)
~Mencukur rambut (sunnah pada hari ketujuh, tak perlu nak tunggu luruh/tanggal tali pusat)
~Rambut yang dicukur tadi ditimbang mengikut berat timbangan perak dan nilainya disedekahkan. (Kalau pergi kedai emas mereka akan timbang ikut emas, tak apa sedekah ikut nilai emas pun sebab emas lebih mahal daripada perak. Jadi sedekah pun lebih sikit)
~Khitan (ni kalau buat ketika masih kecil kurang sakit dan lekas sembuh)
~Dan lain2..

Ada macam2 lagi berkenaan hal nak menjadi ibu bapa ni. Untuk anda, saya sarankan bacaan terbaik bagi mendalami hal di atas adalah sebuah buku karangan Imam Ibn Qayyim Al-Jauziyyah yang telah ada diterjemahkan (lihat gambar yang saya sertakan di bawah). Sila pergi cari di kedai buku sekarang! :)

Buat para pembaca budiman sekalian, sekali lagi maafkan saya atas coretan agak peribadi ini.
(Kalau dah peribadi tulis kat diari la, awat dok pi tulih dalam blog pulak!) Demikian pendapat sesetengah orang. Saya kurang gemar juga berkongsi hal peribadi di sini, tapi kemudiannya saya berfikir alangkah baiknya jika suatu hari nanti ketika saya sudah tiada (dan dunia ini masih ada) anak2 saya dapat membaca catatan2 ini.. Kerana itu saya memuatkannnya di ruang ini.

Tentu perasaannya seperti perasaan ketika membelek-belek majalah2 lama yang berisi berita dan cerita serta gambar2 lama yang retro dan vintaj. Atau album2 yang dipenuhi gambar2 lama kita dan keluarga serta kawan2 kita sendiri. Demikianlah..

Semoga bermanfaat.

Oh! Gambar buku!
Jangan risau, saya tak lupa insya Allah. :)

Jangan lupa pi cari di kedai buku.
Harganya?
RM 25.00 (Semenanjung) RM 27.90 (Sabah/Sarawak)
Murah sangat berbanding kandungannya yang bermanfaat.








Wednesday, October 2, 2013

Adab Dan Personaliti



Barangsiapa membesar di rumah adab,
akan terus mempraktikkan adab,
sekalipun berdepan manusia paling biadab.



Tuesday, September 24, 2013

AKU dan BUKU



Membaca sangat mengasyikkan.

Alangkah takjubnya diriku mendapati seorang manusia yang tidak suka membaca.
Bagaimana akan tajam mindanya?
Bagaimana akan luas ufuk fikirnya?
Bagaimana akan terbuka pemikirannya?
Bagaimana akan lapang dadanya?
Bagaimana akan lepas dari belenggu kejumudannya?
Bagaimana akan terlerai simpulan ketaksubannya?
Bagaimana dan seribu satu bagaimana lagi..

Membaca karya2 pemikir dan sarjana, ulama dan orang ternama, menjadikan dirimu seolah berteman dengan mereka, berbicara dan mendengar hikmah daripada mereka. Apakah teman daripada kalangan manusia sebaik mereka?

Membaca karya jenaka, penghibur jiwa, rekreasi minda menjadikan kekusutanmu terungkai, sesak dadamu sirna, penatmu reda.

Membaca karya2 sastera membangkitkan rasa, mengindahkan bicara, memolekkan penggunaan kata.

Pendek kata tiada yang sia2.

Bacalah pelbagai genre penulisan yang ada. Biografi, autobiografi, agama, falsafah, hukum-hakam, motivasi, santai, serius, kitab, komik, kartun. Apa saja.

Sehingga engkau kelak dapat mendepani manusia dengan penuh lapang dada, kerana memahami karakter manusia yang pelbagai rencamnya melalui pembacaanmu yang bermacam ragam.

Sehingga engkau kelak akan mahir untuk meletakkan bicara sesuai tempat dan lawan bicara.



BUKU #7 - Al Amru Bil Ma'ruf Wa An Nahy 'Anil Munkar




Ini adalah kitab yang nipis / kecil yang mengandungi ilmu2 yang sangat besar dan agung. Ia adalah susunan Al-Imam Abu Bakr Al-Khallal (w. 311 H) yang merupakan seorang rawi ternama bagi mazhab Imam Ahmad bin Hanbal.

Naskhah ini mengandungi dua kitab (atau lebih sesuai dikatakan dua bahagian) sebenarnya.

Bahagian pertama berkenaan Amar Ma'ruf dan Nahy Munkar. Berisi perkataan2 Rasulullah dan Salafussoleh yang sangat patut kita berteladan kepada mereka.

Di sana dibahaskan apakah kriteria munkar yg patut diubah, bagaimana mahu mengubah, siapa yg patut mengubah, apa kriteria yang patut ada bagi yang mahu mengubah dan lain2 lagi. Ringkasnya semua yang bersangkut paut dengan hal itu mempunyai syarat2 dan keadaan yang perlu diteliti.

Bahagian kedua kitab ini pula adalah bahasan mengenai membaca Al-Quran di kubur, boleh atau tidaknya, harus atau sebaliknya, bid'ah atau apa? Membaca bahagian ini akan melapangkan dada dan memadamkan sengketa pendapat2 yang bermunculan sekitar hal ini oleh sebahagian orang yang ...

Melalui kitab kecil ini secara keseluruhannya dapat kita perhatikan ketelitian para Salaf dan sikap mereka yang berpandu ilmu. Sungguh benar sekali bahawa ilmu itu sebelum perkataan dan perbuatan. Semata-mata semangat tanpa ilmu yang benar boleh jadi bakal membuatkan kita tergeleceh dari jalan yang benar.

Semoga Allah memandu kita semua ke jalan yang benar. Amin.


Tuesday, September 17, 2013

BUKU #6 - MANAQIB IMAM ASY-SYAFI'E

Ini adalah sebuah kitab karangan Imam Al-Baihaqi yang terdiri daripada dua jilid menceritakan secara lengkap berkenaan peribadi Imam Asy-Syafi'e.

Membaca kitab ini adalah sangat mengasyikkan. Banyak kata2 hikmah dan kisah2 yang indah terdapat di dalamnya.

Imam Al-Baihaqi menggunakan cara ahlil Hadith dan ahli Tarikh (sejarah) Islam dengan membawakan kebanyakan kata2 dan cerita dengan menampilkan sanadnya sekali.

Sesiapa yang ingin mengenali lebih dekat peribadi yang digelar Penolong Sunnah (Naashir As-Sunnah), Imam Asy-Syafi'e patutlah sangat membelek dan menelaah kitab ini.

Aku tidak tahu jika ada yang sudah diterjemah ke dalam bahasa Melayu atau Indonesia (bab terjemah buku Indonesia lebih terkehadapan daripada Malaysia). Kalau ada memang sangat bagus dan bagus sangat. :) Semoga ada insyaAllah.

BUKU #4 - IRSYAADUL FUHUL

Monday, August 26, 2013

MESIR, RABI'AH DAN BALIK KE RUMAH..



Saat ini majoriti bersemangat tentang Mesir.
Gambar2 profil facebook menayangkan isyarat Rabi'ah/Rab'ah...

Padaku, seruan sebahagian ulama yang menyeru kepada para penyokong Presiden yang dizalimi- Mursi- agar pulang ke rumah masing2 adalah seruan yang paling tepat dan penuh kasih sayang serta rahmat kepada umat.

Ramai yang tidak bersetuju dengan seruan ini. Bahkan menghunjamkan tohmahan dan caci maki kepada ulama serta mereka yang bersetuju dengan seruan ini.

Hari ini majoriti manusia memang begitu sifatnya. Kadang2 semangat yang menyala bisa menghanguskan apa sahaja.

Seruan tersebut bukanlah bermakna bersetuju dengan kezaliman tentera yang merampas kuasa. Seruan tersebut bukanlah bermaksud bersekongkol dengan regim yang menghalakan senjata kepada rakyat.

Namun seruan tersebut adalah seruan penuh kasih sayang, yang tidak ingin melihat darah kaum muslimin terus ditumpahkan.
Seruan yang tidak terbit selain daripada hati yang faham benar perjalanan zaman.
Seruan yang tidak mungkin bergema melainkan dari hati yang benar faham tipudaya dan makar musuh2 agama.

Adapun majoriti yang semangat telah mengaburi pandangan, maka seruan ini tidak dianggap melainkan penyerunya adalah sang pengecut.

Wahai orang yang bersemangat!

Anda yang lantang di facebook!
Anda yang lantang di laman2 maya!
Anda memuntahkan seruan2 semangat anda sambil bercanda, dengan minuman dan makanan enak, dengan dikelilingi isteri dan anak2, dengan menikmati tidur yang enak, dengan duit yang masih penuh di bank dan simpanan....

Bangun!
Pergi lihat peti sejuk anda! Buka dan lihat penuhnya dengan bahan2 makanan!
Pergi buka almari pakaian anda!
Lihat deretan pakaian yang bergantungan.
Pergi buka rak kasut anda!
Lihat deretan sepatu yang berjenama.
Lihat jam tangan anda, berapa agak harganya?
Malam ini anda tidur lena, selePas meluah kemarahan dan semangat di laman facebook anda.
Esok pagi anda bangun dan pergi kerja dengan bergaya.
Cukup bulan gaji masuk dengan tambahan OTnya.
Lalu anda mengajak anak isteri berbelanja di pasaraya2. Membawa mereka bersantai di sini sana. Berjaga lewat malam di kedai2 mamak sambil bercanda dan menonton lawan bola. Sambil2 jemari ligat mengemaskini laman efbi, meluah semangat lagi, sambil memekik: "Dey macha! Mana saya punya roti tara sampai lagi?!"

Kitalah itu.
Yang sangat bersemangat.
Sedang kepada saudara2 kita yang berhimpun di medan Rabi'ah kita katakan: "Teruskan himpunan kalian"! Jangan takut dan jangan gentar! Doa kami bersama kalian!"

Sedang saban waktu, setiap saat yang berlalu, maut mengintai mereka, nyawa bakal melayang bila2 masa!

Kita katakan: "Bertahan"!
Sedang kita sendiri tidak mampu bertahan andai nyenyak tidur kita diganggui ngauman ekzos motor anak2 muda yang merempit di jalan bersebelahan.

Kita hadir di himpunan2 ceramah membangkit semangat, meniup marak amarah dan mendakwa solidariti.
Kemudian, menangkap gambar sendiri sebagai bukti, untuk diposting pula di efbi.
Kita hadir dengan semangat dan santai, tanpa bimbang nyawa bakal melayang, kerana berhimpun dan bertempik di padang yang aman.
Kemudian, perit tekak dek kuatnya melaung teriakan, kita bergegas mencari gerai makan yang tumbuh bak cendawan selepas hujan, lantas menghirup kopi secawan, sambil berehat menghilangkan kepenatan.
Kita menyangka kita telah memberi sumbangan kepada saudara2 kita di sana.
Kita menyangka dengan itu kita telah menunjukkan kasih kita buat mereka.
Benar2kah kita?

Kita ini sebenarnya apa?
Kita ini hanya munafik yang pandai memutar kata.
Mengindahkan susunan bahasa.
Membakar semangat anak muda.
Mengharap pujian dan sanjungan massa.
Haus dokongan dan "Suka" pada status efbi kita..
Sedang kita terus bercanda dan leka bergembira.
Saudara2 kita di sana terus menerus menyabung nyawa.

Maka, seruan yang menyuruh mereka kembali ke rumah adalah seruan mulia.
Bukan cenderung kepada kezaliman yang akan menyebabkan tersentuh api neraka.
Namun seruan yang berpijak kepada realiti.
Yang tidak ingin melihat darah muslim tumpah, walau setitik lagi.

Jika ingin terus melawan, suruh perempuan2 agar pulang. Jangan pertaruhkan nyawa anak2 kecil di medan. Bekalkan senjata kepada para pemuda. Biarkan mereka berperang seperti di Syria. Agar kuasa yang dirampas dapat dirampas semula.

Adapun berkumpul semata, dengan harapan para penzalim yang merampas kuasa mengembalikan semula rampasannya, maka itu adalah harapan yang tidak akan kunjung tiba. Kerana penzalim manakah yang bersedia mengembalikan rampasannya?

***
p/s: Ini tidak lain melainkan kerana belas kasih kepada saudara2 seagama di Mesir..






Monday, August 12, 2013

Suatu Cita Yang Dicita



"Jika pun ku miliki cita-cita,
Cita-citaku hanya ingin keluar dengan selamat dari dunia ini,
Sepertimana aku telah memasukinya dengan selamat sebelum ini.."


Sunday, August 11, 2013

SEMALAM YANG MENGUJI




Semalam, 
Senyum itu menyapaku lagi.

Semalam,
Renungan mata itu memanahku lagi.

Semalam,
Takdir mempertemukan kita lagi.

Takdir itu yang memisahkan,
Takdir itu jua kembali mengumpulkan.

Semalam,
Seakan segalanya sirna,
Yang wujud kau dan aku cuma.

Semalam,
Dan aku ingin agar waktu terhenti,
Agar bisa ku luahkan rasa hati.

Dan semalam,
Kita masih seperti dahulu,
Tetap malu dan malu-malu,
Meski lautan sukmaku,
Bergelora amukan cinta dan rindu.





Sunday, July 21, 2013

TETAMU RAMADHAN




Ramadhan datang dan pergi.

Ada yang Ramadhan belum datang,
 dia telah pergi.

Ada yang Ramadhan datang,
 lalu dia pergi.

Ada yang Ramadhan datang, 
Ramadhan belum pergi,
dia sudah pergi.

Ada yang Ramadhan datang, 
lalu pergi bersama Ramadhan.

Ada yang bersama Ramadhan, 
lalu mengiring Ramadhan pergi, 
sebelum ia sendiri diarak pergi.

Ada yang melambai Ramadhan yang pergi, 
bersama resah di hati; 
"Ramadhan mendatang bertemukah daku lagi..?"





Sunday, June 30, 2013

BEGITULAH HENDAKNYA...



Aku menaip ini di kala mata tidak mampu lagi lelap.

Apakah yang memotivasikan seorang ayah untuk mengheret diri bangun setiap malam pada pukul 2.30 pagi lalu membancuh susu setengah botol sebagai umpan agar anak kecilnya tidak membingit  mengejutkan jiran2 kemudian sepantas mekanik yang menukar tayar di dalam perlumbaan F1 ia terus menukar lampin si anak yang telah memberat...

Semuanya kerana inginkan tidur si anak lebih selesa, dan yang lebih utama lagi dia tidak mahu menanggung bahana lebih besar terpaksa membasuh tilam yang kebasahan dengan kencing dek lampin yang bocor.

Begitulah hendaknya seorang mukmin!

Menyanggupkan diri untuk bersusah payah sesaat untuk keselesaan hidup akhirat dan lebih utama lagi ia tidak mahu menanggung bahana lebih besar terpaksa menghuni neraka, walau sebentar..

Kawan,
Engkau patut menjadi putera akhirat yang memandang sesuatu dari dunia dengan iktibar lalu mengalihkan pandangmu ke negeri akhirat. Kerana hidup dunia adalah misalan dan tamsil ibarat yang hakikatnya hanya dapat disingkap oleh hati-hati perindu akhirat.

Adapun aku; aku hanyalah seorang tukang cerita..
Kerana demikianlah adanya.



Wednesday, June 26, 2013

DUA WAJAH


Para politikus itu,
yang bijak mengapi-api dan memujuk rayu massa,
kelmarin mereka duduk semeja,
bergelak ketawa,
mengadap hidangan sedap-sedap belaka.

marhaen yang rela diperbodohkan,
apa yang kalian dapatkan?

harga barang terus meningkat.
kehidupan makin sesak.
sesesak hidung yang tersumbat jerebu.

mereka itu,
yang bijak mengapi-api dan merayu-rayu,
istana mereka hebat bertingkat,
makan mereka sedap-sedap,
kereta mereka berkilat-kilat.

hadir mesyuarat mendapat elaun,
jadi wakil rakyat elaun lagi.
segala kemudahan tak pernah surut.
entah-entah tol pun tak perlu bayar kot?

kalian marhaen, apa yang dapat?

Berhimpun penuh semangat,
menjulang sepanduk “I love ..” berkibar-kibar,
sanggup bermandi air gatal dan rela ditangkap.

kawan,
jangan mudah terpedaya,
politikus itu, di mana pun sama saja,
sandiwara mainan mereka,
nasib hidup kita pun dipermain sama.



Wednesday, June 19, 2013

'IZZAH







"..... Dan demikian itulah keadaan hari-hari (dunia ini dengan peristiwa-peristiwa kemenangan atau kekalahan), kami gilirkan dia antara sesama manusia, (supaya menjadi pengajaran)....."  
(Surah Aali 'Imran: 140)


Thursday, June 13, 2013

MAJALAH "KEHIDUPAN" - EDISI MERDEKA






Kehidupan – Bil 19 – Ogos 1957 – Muharram 1377

Kita mengucap syukur kepada Allah bahawa hari ini Malaya telah merdeka politik, ekonomi dan kebudayaan.

Benarkah demikian?

Pada hakikatnya tentu belum semuanya. Kita telah diserahkan kemerdekaan politik, memang benar, tetapi ekonomi masih dikuasai dan kebudayaan masih dipengaruhi.

Oleh sebab itu, hari kemerdekaan 31 ogos 1957 ini bukanlah hari yang mengakhiri perjuangan kita yang telah 400 tahun hidup di bawah tekanan penjajahan, yang kita sambut secara besar-besaran hari ini ialah kemerdekaan politik, tetapi tak dapat tiada dialah anak tangga untuk mencapai kemerdekaan yang lain.

Kemerdekaan kita dikatakan telah dicapai secara perlembagaan. Tidak setitik pun darah yang mengalir untuk mencapainya. Namun, dalam proses untuk mencapainya banyak pengorbanan yang telah dilakukan.

Kemerdekaan adalah suatu nikmat daripada Allah. Oleh itu kita sebagai hamba Allah hendaklah memperlihatkan nikmat itu. Kita haruslah pandai menggunakan dan mengisi kemerdekaan itu hingga benar2 kita dipandang sebagai bangsa yang merdeka dari cengkaman asing.


Wednesday, June 12, 2013

MENANTIKAN RESPON DAN JAWAPAN

1.

Seorang tokoh sosialis dan peragu hadis tersohor  telah menulis di dalam blognya pada Sabtu, 09 Februari 2013 di bawah tajuk "Sembahyang dan Kaedahnya".

Beliau sememangnya memandang bahawa hadis adalah karut berdasarkan kefahaman versi beliau sendiri berpandukan terjemahan Al-Quran oleh beliau pada ayat berikut (copy terjemahan beliau pada entry bertarikh 13 Februari 2013 bertajuk "Menziarahi Semula Hadis"):

" Sesetengah orang mendukung hadis yang karut untuk memesongkan manusia dari jalan Allah ... (Quran, 31: 6)  "

Di dalam entry Sembahyang dan Kaedahnya beliau membawakan ayat seperti di bawah (copypaste):

Diperturunkan di sini ayat-ayat  yang menunjuk kepada waktu-waktu sembahyang. Surah 17, ayat 78, di antara surah yang diturunkan awal di Mekah, menyebut kelima-lima waktu itu. Zuhur, ‘asar, maghrib, ‘aisya dan subuh. Surah 2, ayat 238 menyuruh kita menjaga sembaynag kita, khasnya sembahyang pertengahan  (Ar. wusta), yakni ‘asar. Surah 11, ayat 114 menyebut “pada dua hujung siang” (iaitu subuh, zuhur dan ‘asar) dan pada awal malam (iaitu maghrib dan ‘aisya. 


(Tamat copypaste)

Memahami pegangan beliau saya lalu bertanya di dalam ruangan komen, namun malangnya komen tersebut tidak disiarkan. Maka di sini saya ingin mengulang kembali pertanyaan tersebut.

Besar kemungkinan beliau itu tidak membaca blog picisan saya ini, tetapi mungkin ada di antara para pembaca yang membaca ini boleh turut sama bertanyakan hal ini kepada beliau.

Soalan saya adalah sangat mudah. Cuma satu soalan. Dan biar saya ringkaskannya.
Ianya berbunyi begini:

"Saya ingin tahu bagaimanakah tuan mengetahui bahawa Solat Wustho di dalam ayat yang tuan nyatakan itu merujuk kepada solat Asar sedangkan tidak ada disebut di mana2 tempat pun di dalam Al-Quran bahawa ia adalah solat Asar?"

Dan saya masih menanti2 jawapan beliau sampai kini.

***

2.

Saya juga menantikan respon daripada seorang penulis blog tersohor yang menulis dalam entry beliau bertarikh Jun 10 2013, Monday di bawah tajuk "Low And Moderate Level Thinking" apabila beliau menyuarakan betapa berfikir dan berpendidikannya individu yang bertanya seperti di berikut (copypaste):

Here is an example of a thinking person. He quotes from books. An educated person who knows how to present his argument.  First he quotes the Quran :

4.  Koran :   "All praise belongs to ALLAH, the originator of the heavens and the earth, Who employs the angels as Messengers, having wings, two, three, and four (mathna wa thulatha wa rubaAAa). HE adds to HIS creation whatever HE pleases; for ALLAH has power over all things." S. 35:1 

Then he quotes Sahih Bukhari :  Sahih al-Bukhari, Volume 6, Book 60 :   ‘And was at a distance of but two bow-lengths or (even) nearer. So did Allah convey the Inspiration to His slave (Gabriel) and then he (Gabriel) conveyed that to Muhammad.’ (53.10) He said, "Abdullah (bin Mas'ud) informed us that Muhammad had seen Gabriel with six hundred wings." 

So the Quran says the "angels" have wings two, three and four. The Sahih Bukhari says the "angel" has 600 wings. So the commenter is asking how can the Sahih Bukhari say 600 wings when the Quran say 'two, three and four'?  

(Tamat copypaste)

Kerana memahami alur berfikir penyoal dan tuan blog yang sealiran dengan tokoh di atas saya lalu memberi penjelasan di dalam ruangan komen yang malangnya turut tidak disiarkan. 

Oleh itu saya menyatakannya di sini. Mana tahu kalau2 beliau itu tersalah klik lalu terjebak ke blog picisan saya ini. Mungkin beliau dapat menerangkannya.

"how can the Sahih Bukhari say 600 wings when the Quran say 'two, three and four'? 

Maknanya hadith bertentangan dengan Al-Quran. Dan itulah bukti hadith tak boleh dipakai.

Lalu saya katakan:

"Jawapannya ada pada ayat yang sama yang dibawakan di atas. Bukankah setelah Allah menyebut yang para malaikat itu having wings, two, three, and four (mathna wa thulatha wa rubaAAa) 

Allah lalu menyebutkan: HE adds to HIS creation whatever HE pleases; for ALLAH has power over all things." ?

Apakah erti tambahan? 
Ertinya sesuatu yang melebihi kadar/jumlah yang sedia ada.

Bukankah 600 adalah tambahan kepada 2,3 atau 4?

Lalu kita katakan : Bukan setakat 600 sayap seperti hadith di atas, 6 juta sayap sekalipun if He pleases, boleh saja.

Saya ingin tahu juga apa tafsiran beliau kerana beliau ada menyebutkan (copypaste):
 
 I have my own answer about what is malaikah, what is the meaning of ithnaan, thulatha wa ruba'a (two, three and four) etc. But my answers will only create more controversies. Plus in this country you are not allowed to speak freely about 'religion'. So I will keep my views to myself. Bukan rugi saya pun.

(Tamat copypaste)

Meskipun beliau menyatakan akan memendam tafsiran itu untuk dirinya, saya berpandangan kalau beliau nyatakan pun beliau mungkin tak akan rugi apa pun.

Bahkan mungkin akan bertambah lagi satu khazanah tafsir AlQuran umat Islam dengan tafsiran beliau itu.

Itulah dua perkara yang saya sedang dan masih lagi menunggu jawapan dan responnya. 


~~~
p/s:

1. Saya menyokong pemikiran yang kritis dan suka menyoal. Pemikiran yang sering mencari-cari jawapan adalah tanda akal yang hidup (tidak beku/jumud)

2. Saya ingin Islam itu didatangi melalui pintunya. Untuk memahami Al-Quran perlu kepada ilmu bahasa Arab dengan segala kaedah dan pecahannya serta ilmu2 bantu yang lain.

Tidak cukup jika anda membaca terjemahan atau tafsir di dalam bahasa Melayu atau Inggeris lalu merasa sudah mampu menguasai dan mahir tentang Al-Quran.

Sebuah rumah yang terkunci rapi tidak akan berjaya anda masuki melainkan melalui pintunya. Bagaimana anda dapat memasukinya sedangkan kuncinya tidak di tangan anda?

Ketahuilah, Al-Quran itu ibarat rumah yang terkunci itu, dan kuncinya berada di tangan para ulama yang mahir lagi amanah.Sehingga anda sendiri telah dinilai mahir lagi amanah oleh si pemegang kunci, barulah anda mampu mendapatkan kunci pendua dari tangan pemegang kunci itu sendiri.

Jika belum, anda terpaksa mahu tidak mahu mengharapkan mereka untuk membukakan pintu bagi anda. Sehingga itu lazimi mereka dan persiapkan diri anda sehingga anda layak untuk mendapatkan penduanya.

Tamsil dan ibarat adalah cermin bagi akal yang berfikir. Membaca sebaris biar faham semuka.

3. Awat pulak hang dok sebok2? Dah komen hang depa tak publish biaq pi la! Blog depa hak depa. Aku sibuk sebab rasa bertanggungjawab la pulak. Sebab blog depa famous dan ramai jugak pengkagum depa.



Sunday, June 9, 2013

HUKUM BERSALAMAN SELEPAS SOLAT


Seorang pemuda bertanya:
"Apa hukumnya bersalam-salaman antara makmum setiap kali selepas solat. Apa pandangan ustaz?".

"Sebelum menjawab pertanyaan itu, ingin juga saya tahu apa pula pandangan kamu?"

"Saya berpandangan hal tersebut sebagai bid'ah!"

"Mengapa? Bukankah bersalam-salaman itu harus saja?"

"Tetapi menjadikan hal itu sebagai kebiasaan setiap kali selepas solat itu telah menjadikan hal itu jatuh kepada bid'ah!"

"Oh, begitu..
Tak apa lah.. Kita tinggalkan sebentar masalah bersalam itu. Kalau tadi kamu bertanya saya, saya juga ingin bertanya kamu satu soalan, boleh?"

"Ok!"

Hmm.. Apa pendapat kamu tentang hukum minum teh tarik?"

"Eh, apasal pulak tiba2 keluaq cerita pasai teh tarik? Mestilah harus saja."

"Bagaimana kalau setiap kali selepas solat isya setiap malam, kita pekena teh tarik sama-sama kat kedai mamak sebelah masjid sambil sembang2?"

"Whoa! Bagus jugak tu, ustaz nak belanja ke?" Hehe.

"Insya Allah, no hal. (Senyum). Tapi saya musykil jugak takut2 perbuatan kita minum teh tarik tiap2 kali lepas solat tu jadi bid'ah!"

....

 Berbeza pendapat itu lumrah. Lain orang lain caranya.
Lain tahap pelajaran dan pengalaman seseorang lagi lain cara berfikirnya.

Kita berpandangan dan orang lain juga punya pandangan.
Teguh dengan pendapat sendiri terpuji. Keras kepala itu kadangkala tidak terpuji.
Memaksakan pendapat sendiri ke atas orang lain petanda masih banyak yang perlu dipelajari dan diperbaiki.

Orang yang bodoh memusuhi apa yang tidak diketahuinya.
Belajar ambil tahu apa yang belum tahu.
Hormati pengetahuan orang lain tentang sesuatu, sekalipun sesuatu itu telah kita ketahuinya lama dahulu, sebelum orang lain itu tahu tentang hal itu.

Belajar untuk mendengar sebelum belajar untuk bercakap.
Bercakap ketika hati rasa berat untuk bercakap, dan tahan lidahmu bila hati berkobar-kobar ingin bercakap.

Bodoh itu banyak peringkatnya.
Tahu diri bodoh dan sedia belajar.
Tak tahu diri bodoh tetapi sedia belajar.
Tak tahu diri bodoh dan tak mahu pula belajar dan diajar.
Tahu diri bodoh, tapi tak mahu belajar dan diajar.
Bodoh yang paling bodoh adalah si bodoh yang kurang ajar.



p/s 1: Kadang2 aku terlintas alangkah baiknya jika kitab2 agama yang besar2 tidak diterjemah agar setiap orang yang ingin belajar agama mempelajari dan memahami bahasa Arab lalu agama didatangi dari pintunya bukan dengan cara memanjat temboknya..

p/s 2: Membid'ahkan, mengharamkan, memakruhkan, mewajibkan, mensunnahkan, seorang penuntut ilmu tidak wajar sekadar dengan melihat terus kepada hukum dan kesimpulannya, namun amat perlu dilihat dahulu kepada perbahasan2nya.

PS3 is a home video game console produced by Sony Computer Entertainment.... dan itu adalah cerita lain.