Monday, January 2, 2012

SUJUD SYUKUR GANTI BUNGA API???!!

Itu bunyi tajuk berita dalam Metro Ahad semalam. Anda boleh membacanya di SINI
(Manakala tanda tanya dan tanda seru tersebut adalah tambahan saya sendiri)

Cuba mencari alternatif kepada kebiasaan kurang baik yang dilakukan oleh masyarakat sememangnya sesuatu yang perlu dipuji. Lebih-lebih lagi jika alternatif tersebut adalah sesuatu yang sesuai dengan syariat Islam.

Akan tetapi, hal seperti yang dilakukan oleh golongan berkenaan di dalam berita di atas adalah sesuatu yang sepatutnya didapatkan pandangan oleh orang yang berpengetahuan terlebih dahulu. Saya tidak tahu jika ada seseorang yang ada sedikit pengetahuan agama dalam hal yang begitu asas seperti hal sujud syukur itu akan menyetujui apa telah dianjurkan oleh Perkasa itu.

Sujud syukur adalah satu bentuk ibadat. Dan sesuatu ibadat tidak boleh dilakukan mengikut apa yang kita rasa elok atau "asal ok, jalan!" saja. Berkumpul beramai-ramai menunggu detik 12 malam, kemudian beramai-ramai sujud syukur kerana meraikan datangnya tahun baru adalah jelas sesuatu yang diada-adakan di dalam agama, dan hal yang diada-adakan itu adalah tertolak.

Apa itu sujud syukur? Menurut apa yang dijelaskan di dalam pelbagai kitab (anda boleh merujuk mana-mana kitab feqah, di dalam Sabilal Muhtadin pun ada penjelasan panjang lebar) ia adalah sujud yang dilakukan dengan syarat2 seperti sujud tilawah kerana datangnya nikmat atau terlepasnya sesuatu bala.

Nikmat itu boleh berbentuk hissi (sesuatu yang nampak contohnya dapat hadiah banglo) atau maknawi (sesuatu yang tidak nampak seperti makrifah/ atau dapat menyelesaikan sesuatu persoalan ilmiah yang rumit yang telah lama diusahakan dan dicari penyelesaiannya). Terlepas dari bala itu contohnya bebas dari penjara, sembuh dari penyakit kronik dan lain-lain.

Kemudian, syarat nikmat itu pula hendaklah BUKANNYA nikmat yang berulang-ulang. Anda mungkin pernah bertemu orang yang melakukan satu sujud setiap kali selepas selesai solat. Bila ditanyakan, ia akan menjawab bahawa dia sujud syukur kerana telah dizinkan oleh Allah untuk mengadapNya lagi (bersolat). Ini adalah satu bentuk silap faham (atau kurang faham) tentang sujud syukur.

Oleh kerana solat (jika dianggap sebagai nikmat) adalah sesuatu yang berulang-ulang, maka tidak perlu kita bersujud syukur untuknya. Apakah kita perlu bersujud syukur setiap kali selepas makan, setiap kali keluar tandas, setiap kali itu dan ini?

Bahkan kita kalau demikian tidak akan boleh mengangkat wajah kita sedetik pun dari sujud syukur kerana setiap detik kita diberi nikmat menyedut dan menghembus udara sehingga dapat meneruskan kehidupan ini.

Kerana itulah ada disebutkan di dalam sebuah kitab (maaf, saya lupa nama kitabnya ketika ini) lebih kurangnya bahawa orang yang bersujud syukur atas nikmat yang berulang-ulang itu petanda akan kurang akalnya. Ironinya ramai yang melakukan hal ini.

Nah Itu adalah suatu hal, iaitu tiadanya sujud syukur bagi nikmat yang berulang-ulang.

Hal berkumpul bersama-sama menunggu detik 12 malam kemudian sujud syukur bersama-sama pula adalah satu bentuk ibadah baru pula yang diada-adakan yang disebut di dalam istilahnya bid'ah yang tercela. Dan itu adalah jelas.

Kemudian, dikaitkan nikmat itu dengan kedatangan tahun baru, bahkan nantinya akan dilanjutkan lagi pada sambutan ambang merdeka pula. Apakah hal ini sesuatu yang ada di dalam agama?
Jawapannya TIDAK ADA SAMASEKALI!

Logikkah anda bersujud syukur kerana berlalunya hari Sabtu dan datangnya hari Ahad?
Tentunya ia satu Lawak Antarabenua.

Kalau dikatakan ; "Oh tidak! ini adalah pertukaran tahun 2011 kepada 2012!". Apakah bezanya? Bukankah ia hanya pertukaran hari-hari sahaja? Aduh..
Saya rasa anda semua dapat menangkap point yang saya ingin sampaikan di sini.

Kemudian nantinya akan dilanjutkan kepada sambutan ambang merdeka.
Apakah anda pernah mengetahui ada sesiapa daripada umat Islam yang bersujud syukur setiap kali 12 Rabiulawwal kerana mengenang nikmat diutusnya Rasulullah SAW?

Atau bersujud syukur setiap kali datangnya tarikh2 penting dalam Islam, contohnya Israk Mikraj, Nuzul Quran, Asyura (yang banyak peristiwa penting dikatakan berlaku), Tarikh2 berjayanya tentera-tentera Islam di dalam peperangan2 terkemuka contohnya medan Hittin, pembebasan Al-Quds, penerokaan Andalusia, pembebasan Konstantinopel dan lain2 lagi?

Tentunya tidak pernah bukan?
Kalu demikian, sudah pasti anda faham apa yang saya ingin sampaikan.

Semoga Allah mengurniakan kita semangat di dalam beragama dan menjadikan semangat kita di atas landasan ilmu yang sebenarnya. Ameen.