Saturday, May 22, 2010

NEO SALAFI

Dewasa ini kedapatan banyak para pemuda yang bersemangat lagi ghairah dengan ajakan-ajakan kembali kepada mazhab salaf. Ini adalah sesuatu yang patut dibanggakan. 

Namun di sana terselit di celah-celah gelombang semangat ini sesuatu yang kami merasakan wajar untuk dinasihati serta diperingatkan kerana sesungguhnya peringatan itu bermanfaat bagi orang yang beriman.

Adalah tidak tersembunyi lagi bagi sesiapa yang mengamati dengan mata yang awas serta hati yang berwaspada bahawa terdapatnya trend di kalangan para pemuda yang menggemakan laungan kembali kepada salaf ini untuk melemparkan kecaman-kecaman serta tanpa rasa bersalah dengan mudahnya menghukum bid’ah atau menyalahi sunnah pada sebahagian amalan yang dipraktikkan oleh masyarakat berdasarkan pemahaman mereka. 

Mereka ini biasanya berpedomankan kepada karangan-karangan Syaikhul Islam Ibnu Taymiyyah dan anak muridnya Imam Ibn Qayyim serta ulama kontemporari seumpama Syaikh Al Albaani, Syaikh bin Baaz, Syaikh Ibn Utsaimin, Syaikh Muqbil rahimuhumuLLAhu rahmatan wasi’ah dan lain-lainnya.

Namun amatlah disayangkan kerana para pemuda ini kebanyakannya bukanlah daripada mereka yang mempelajari agama daripada peringkat awal. Ada di antaranya dari aliran sains sebagai contoh, melangkah kaki ke universiti lalu terjumpa para senior daripada kelompok yang bersemangat ini, lantas ia mula membeli buku-buku terjemahan karangan para masyaikh seumpama yang disebutkan namanya tadi lalu membacanya seterusnya menafsirkan mengikut pemahamannya sendiri. 

Terlihatlah perubahan pada dirinya. Seluarnya mula disingkatkan. Solatnya sudah berbeza. Selepas solat bingkas bangun sahaja tanpa memperdulikan makmum yang lain, ia berjalan melintas keluar. 
Atau ia telah meletak tangannya ke dada semula sebaik bangun dari rukuknya.Lagi berbeza dengan yang biasa, lagi dirasa lebih mengikut sunnah dirinya.

Setelah itu mulalah ia menerjunkan dirinya ke lautan fatwa di kalangan teman-temannya. Kemudiannya ia melihat perlunya ia mendakwahkan pemahamannya itu ke lingkungan yang lebih luas lagi. 

Mulalah ia membina sebuah blog atau laman web, kemudiannya menulis pandangan-pandangannya, setelah itu menyertai dan memberi komen pula pada tulisan-tulisan orang lain lantas terseret ke dalam medan perdebatan yang tidak berkesudahan pada perkara-perkara khilafiah yang ia sendiri kabur tentang usul masalah tersebut, maka ia terus tenggelam tanpa ia menyedari bahawa ia kini sedang kelemasan dan hampir binasa..

Para pemuda ini, yang tidak mengetahui bahasa Arab, yang tidak mampu menggali pendapat para ulama dari sumber aslinya yang berbahasa arab, yang hanya mencedok ilmu daripada laman-laman web yang tidak dapat dipastikan kesohehan pandangan yang dimuatkan, yang tidak mengetahui usul fiqh, yang tidak mendalami ulumul quran, yang tidak mengenal ulumul hadis, yang tidak berupaya menjelajah samudera jarh dan ta’dil, para pemuda ini; telah berani membid’ahkan masyarakat, menjarh syaikh fulan, mendhaifkan hadis ini dan itu, mentarjihkan pendapat syaikh fulan, mentafsirkan ayat sekian-sekian, melakukan qias demikian-demikian dan panjanglah senarainya jika terus kami nyatakan. 

Kami hanya mampu mengucapkan “inna lillahi wa inna ilaihi raaji’uun”. Wala haula wal quwwata illa billah..

Kami tidaklah mengatakan kepada mereka, hentikan membaca bahan-bahan terjemahan, atau kami juga tidak melaungkan bahawa jangan menjadikan ikutan para imam dan syaikh yang kami sebutkan namanya sebelum ini. 
Tidak! Tidak sekali-kali tidak! 

Kami juga tidak ingin mematikan semangat sesiapa yang bukan daripada aliran agama yang ingin belajar agama. Jangan anda menyangka kami ini anti orang yang menyingkatkan pakaiannya atas daripada buku lali, atau kami ini pengecut dan tidak punya semangat ingin menegakkan agama. 

Kami juga tidak kurang semangat daripadamu wahai anak muda, dan kami juga-untuk pengetahuanmu- masih lagi seorang pemuda! Dan kami juga pernah ditenggelami semangat menggelora sepertimu dahulunya.

Tiadalah hajat kami melainkan kami hanya ingin memperingatkan tentang betapa cepatnya mereka ini berfatwa, betapa lancarnya lidah mereka menjarh syaikh fulan, betapa fasihnya lisan mereka menuturkan kedaifan hadist sekian-sekian atau betapa mudahnya mereka membid’ahkan sesuatu amalan tanpa penyelidikan yang mendalam.

Wahai para pemuda! 
Dalamilah dan selamilah lautan ilmu! 

Tekunilah pandangan para ulama yang ku sebutkan di atas secara keseluruhan!
Masukilah gedung ilmu melalui pintunya!

Rendahkan dirimu dan tahanlah dahulu lidahmu serta penamu!
Redamkan nafsu bangga dengan pendapat sendiri agar engkau tidak binasa!

Akhirnya aku bawakan untukmu kata-kata Sahabat yang mulia yang takwanya usah cerita, ilmunya berkali ganda, PhDnya adalah daripada Madrasah Khatimal Anbiya, Muhammadinil Mustofa. Beliau adalah Samurah Bin Jundub Radhiyallahu anhu wa ardhah

Apakah tuturnya? Dengarkan ini…

"Dahulu, di waktu Rasulullah masih ada, aku masih lagi seorang pemuda, dan aku menghafal banyak daripada sabdaan-sabdaan Baginda. Namun tidak ada yang menghalangku daripada berbicara (kepada orang ramai tentang hadith-hadith dan sebagainya ) melainkan kerana di sini masih lagi ada mereka yang lebih tua umurnya (daripada kalangan sahabat yang lebih tua dan utama )"
[ Bukhari Muslim]

Itulah adab! 
Itulah bicara orang yang kenal kadar dirinya dan tahu di mana menempatkan diri mengikut kadarnya.

Akan tetapi kamu sekelian -wahai para pemuda!- sering saja tergesa-gesa!