Monday, April 1, 2013

NOTA-NOTA : ULUM AL-HADITH


Hadith 'Aziz ialah yang diriwayatkan oleh dua orang perawi. Seperti tersebut di dalam Matn Bayquni.

Apa erti 'Aziz?
1- 'Aziz ertinya Mulia.
2- 'Aziz ertinya Perkasa/ Kuat.
3- 'Aziz ertinya Sedikit/Nadir.

Perkataan 'Aziz menjadi nama salah satu jenis Hadith adalah sebagai nama sifat yang diserupakan (Sifah Musyabbahah) dengan makna lafaznya.

Dari segi manakah keserupaannya?

Dari segi kemuliaannya sudah termaklum.
Dari sudut kekuatannya kerana ia diriwayatkan oleh dua rawi.
Dari segi sedikitnya hadith 'Aziz itu. Hadith 'Aziz hanya terdapat sedikit sahaja.

Apakah darjat pengamalan Hadith 'Aziz?
Ia wajib diamalkan setelah dilakukan penelitian dan istidlal, kerana ia daripada bahagian Hadith Ahad.

Apakah contoh hadith 'Aziz?
Hadith : "Tidak beriman (dengan keimanan yang sempurna) seseorang kamu sehingga aku (Nabi SAW) lebih dikasihinya berbanding ayahnya, anaknya dan manusia seluruhnya."

Hadith ini diriwayatkan oleh Sahabat Anas dan Abu Hurairah r.anhuma.

Tambahan
Apakah dengan hadith itu Nabi SAW melarang kita mencintai yang lain?
Tidak.
Kerana kecintaan kepada semua itu adalah fitrah dan tabiat manusia yang sedia Allah bekalkan. Menghapuskannya dari hati tentulah hal yang di luar kemampuan manusia. Dan Syariat ini tidak menyuruh sesuatu yang di luar batas kemampuan.

Lalu apakah maksud hadith itu?
Maksudnya adalah kita mendahulukan perintah Allah daripada perintah nafsu dan lainnya.
Apabila bertembung antara dua suruhan, suruhan Allah dan lainnya lalu kita mendahulukan suruhan Allah dan Rasul maka kita telah benar beriman seperti yang dikehendaki di dalam hadith itu.

Tamat.

Seterusnya adalah Hadith Gharib.

Apa erti Gharib?
Iaitu terasing, bersendiri.

Iaitu hadith yang diriwayatkan oleh cuma seorang perawi.

Hadith Gharib terbahagi dua:-

1- Gharib Mutlak. Iaitu gharabahnya (kesendirian periwayat yang seorang itu) pada awal/punca sanad. Iaitu cuma seorang Sahabat atau Tabiin meriwayatkannya.

Contoh: Hadith "Sesungguhnya setiap amalan itu dengan niat". Hanya diriwayatkan oleh Sayyidina Umar sahaja.

2- Gharib Nisbi. Iaitu gharabahnya pada mana2 bahagian sanad selain Sahabat dan Tabiin. Nisbi ertinya hanya pada rawi tersebut sahaja gharib, tetapi pada rawi2 yang lain tidak.

Tamat.

UPDATE (14/10/2014): Terjemahan Matan Bayquni (KLIK)


No comments: