Monday, October 7, 2013

Ucapan Tahniah dan Selamat Datang Serta Kesyukuran Tak Terhinggakan..


Kepada anda para pembaca,
Maafkan aku sekiranya entry kali ini bunyinya agak peribadi.

Aku ingin mengucapkan tahniah buat diriku sendiri dan selamat datang buat puteraku; Asim.
Ini adalah putera sulung bagi kami setelah kelahiran puteri sulungku ;- Najla - hampir dua tahun lalu.

Oh, aku tidak pula menulis entry sebegini sempena kelahiran kakak hampir dua tahun dahulu! Ni kira rangkum sekali lah. :).
Jangan marah ya kakak! :)

Alhamdulillah segalanya dimudahkan Allah. Sesungguhnya benarlah firmanNya di dalam sebuah Hadith Qudsi (Riwayat Imam Al Bukhari) :

"Sesungguhnya Aku adalah menurut sangkaan hambaKu terhadapKu".

Perbaikilah sangkaanmu terhadapNya. Jangan biarkan sekelumit pun terlintas sangkaan2 putus harap dan buruk sangka. Dia yang memeliharamu di dalam kegelapan rahim dalam tiga lapisan kegelapan, memberimu rezeki ketika ibumu sendiri tidak mengenalimu dan engkau sendiri tidak mengenalinya. Dia itu yang memudahkan jalanmu keluar ke dunia ini, memberimu rezeki pada setiap hela nafas.

Dia yang Maha Pemurah dan Penyayang itu, setelah semua nikmat yang tercurah apakah akan membiarkanmu mengharungi kehidupan dan perjalanan ini begitu sahaja?

Tidak!
Bahkan seperti kasih sayangNya yang menyelimutimu semenjak di alam rahim itu, kasih sayangNya akan terus menemanimu sehingga engkau menemuiNya pada waktu yang Ia sendiri telah pun menetapkannya.

Maka perelokkanlah sangkaanmu sentiasa.
Bahawa Dia sentiasa akan menolongmu.
Bahawa Dia akan sentiasa memudahkan urusanmu.
Bahawa Dia sentiasa menemanimu.
Menjawab doa2mu.
Mendengar rintih tangismu.
Mengusap lelahmu.
Menyelesaikan permasalahanmu.
Merungkai segala kekusutanmu.

Jemari kelenguhan. Namun kasih sayangNya terlalu banyak untuk diungkapkan..

...
Aku hanya selesai mendaftarkan namanya puteraku ini semalam (kemarin kata orang Kedah). 14 hari selepas kelahirannya 24 September lalu. Kakaknya dahulu pada hari ketiga sudah siap bernama. Untuk kali ini agak lambat entah mungkin juga kerana terlalu banyak pilihan nama yang bertandang di minda. :)

Kami telah menetapkan untuk menamakan anak2 dengan nama yang ringkas (dan sudah tentulah mengandungi makna yang bagus2) kerana mahukan mereka dipanggil dengan nama penuh. Bukankah nama itu adalah doa?

Kakaknya dahulu ketika aku terpandang sahaja kali pertama setelah dilahirkan, aku terperasan matanya yang bundar itu. Lantas nama Najla melintas di fikirku. Najla/Najla' (dgn Hamzah di akhir ejaan Arab) bermakna "perempuan cantik yang bermata bulat/bundar dan jeli" (macam kartun perempuan Jepun tuu..).

Nama Asim dipilih kerana maknanya yang baik, ringkas dan mudah untuk ditulis, bermula dengan huruf A (Arabnya huruf 'Ain) sehingga tak lah lama sangat nk sampai giliran dipanggil kalau dalam list, hehe, dan sebagai tafa-ul (atau ambil berkat) dengan nama orang soleh dan para ulama.

Asim (ada juga ejaan 'Asim / 'Ashim) adalah Fa'il dengan makna Maf'uul (ni pelajaran Arab sikit, harap maaf).
Senang cakapnya begini: Perkataan Asim ni maknanya "Pemelihara/Penjaga". Tetapi makna yang dikehendaki di sini adalah "Yang Terpelihara" (Ma'sum).

Nama Asim adalah nama bagi salah seorang anak Sayyidina Umar bin Al-Khattab. Anda tentu pernah mendengar kisah tentang bagaimana Umar sebagai Khalifah meronda pada waktu malam bukan?
Pada suatu malam beliau meronda dan terdengar perbualan seorang ibu bersama anak perempuannya yang mana disuruh oleh ibunya mencampurkan susu dengan air sebelum dijual esoknya.

Ringkas cerita gadis berkenaan tidak mahu menuruti suruhan ibunya walaupun kata ibunya "Umar bukan tahu pun". Lalu dijawab olehnya "Tapi Allah tahu". Tertarik dengan kejujuran dan ketakwaan gadis itu Umar mengambilnya sebagai menantu. Siapakah anak Sayyidina Umar yang bertuah menjadi suami kepada gadis jujur tersebut? Asim itulah. Kemudian dari zuriat mereka berdua lahir ibu kepada Umar bin Abdul Aziz.

Asim juga adalah nama bagi seorang daripada Ahli Qiraat yang Tujuh yang mana bacaan majoriti Umat Islam hari ini adalah mengikut bacaan beliau melalui jalan Imam Hafs daripada Imam 'Asim bin Abi Najud. Dan di sana terdapat beberapa ulama lagi yang bernama Asim..

Di antara Sunnah Nabi SAW yang dianjurkan untuk kita melakukannya apabila mendapat anak adalah:-
~Menyembelih aqiqah (sebaiknya hari ketujuh, atau ke empat belas, atau ke dua puluh satu sehingga baligh). Lagi bagus jika si ayah/datuk dapat menyembelih sendiri.
~Menamakan dengan nama yang baik (hari ketiga atau ketujuh)
~Mencukur rambut (sunnah pada hari ketujuh, tak perlu nak tunggu luruh/tanggal tali pusat)
~Rambut yang dicukur tadi ditimbang mengikut berat timbangan perak dan nilainya disedekahkan. (Kalau pergi kedai emas mereka akan timbang ikut emas, tak apa sedekah ikut nilai emas pun sebab emas lebih mahal daripada perak. Jadi sedekah pun lebih sikit)
~Khitan (ni kalau buat ketika masih kecil kurang sakit dan lekas sembuh)
~Dan lain2..

Ada macam2 lagi berkenaan hal nak menjadi ibu bapa ni. Untuk anda, saya sarankan bacaan terbaik bagi mendalami hal di atas adalah sebuah buku karangan Imam Ibn Qayyim Al-Jauziyyah yang telah ada diterjemahkan (lihat gambar yang saya sertakan di bawah). Sila pergi cari di kedai buku sekarang! :)

Buat para pembaca budiman sekalian, sekali lagi maafkan saya atas coretan agak peribadi ini.
(Kalau dah peribadi tulis kat diari la, awat dok pi tulih dalam blog pulak!) Demikian pendapat sesetengah orang. Saya kurang gemar juga berkongsi hal peribadi di sini, tapi kemudiannya saya berfikir alangkah baiknya jika suatu hari nanti ketika saya sudah tiada (dan dunia ini masih ada) anak2 saya dapat membaca catatan2 ini.. Kerana itu saya memuatkannnya di ruang ini.

Tentu perasaannya seperti perasaan ketika membelek-belek majalah2 lama yang berisi berita dan cerita serta gambar2 lama yang retro dan vintaj. Atau album2 yang dipenuhi gambar2 lama kita dan keluarga serta kawan2 kita sendiri. Demikianlah..

Semoga bermanfaat.

Oh! Gambar buku!
Jangan risau, saya tak lupa insya Allah. :)

Jangan lupa pi cari di kedai buku.
Harganya?
RM 25.00 (Semenanjung) RM 27.90 (Sabah/Sarawak)
Murah sangat berbanding kandungannya yang bermanfaat.