Tuesday, January 28, 2020

SELAMAT DATANG 2020.

Hari ni sudah hampir masuk bulan Februari 2020.
Baru sempat menjenguk ke blog yang dah bersawang ni. Tadi ku jenguk sebentar ke blog Tuan FakirFikir memandangkan ada entry baru nampaknya. Lalu ku tinggalkan juga sepatah dua komen di situ.

Satu perkara yang "rare" (langka) juga melihat blogger yang masih menulis di zaman lani. Haha.

Waktu bergerak pantas. Umur makin berkurang. Manusia umumnya dalam hidup terkejar-kejar. Bersaing dengan masa. Semuanya mengejar matlamat hidup sendiri2. Ada yang matlamatnya untuk hidup yang abadi. Ada pula yang matlamatnya untuk memuaskan hawa nafsu semata. Ada yang mengimarahkan dunia untuk akhirat. Ada pula yang mengimarahkan dunia tanpa memikirkan akhirat.

Demikianlah sunnatullah agar dunia ini terus "hidup" sehingga kiamat.

Pesan Allah pada kita: "Dan carilah negeri akhirat pada apa yang dianugerahkan Allah kepadamu, dalam masa yang sama janganlah engkau lupakan bahagianmu daripada dunia ini."

FirmanNya lagi: "Harta benda dan anak pinak merupakan perhiasan dunia. Sedangkan amal baik yang kekal itu lebih bernilai di sisi Tuhanmu serta sebaik2 cita2."

Duniamu jadi suram tanpa perhiasan. Akhiratmu kerugian tanpa bekal amalan.

Habis.

Friday, December 13, 2019

BUMI DALAM WARISAN KEILMUAN MUSLIM SILAM 2





BUMI DALAM SEBAHAGIAN WARISAN KEILMUAN SILAM

Telah berkata sebahagian ulama ilmu Hai’ah (astronomi) bahawa bumi itu terhampar. Dan berkata sebahagian yang lain bahawa ianya seperti sebiji bola, dan ia tetap (tidak bergerak) dengan bertempat di falak - falak-falak itu melingkari di atas bumi itu daripada segala arahnya - sepertimana kuning telur pada sebiji telur. Bumi itu terletak pada tengah-tengah falak yang mana jarak setiap kelilingnya dengan falak itu adalah sama jaraknya.

Penyebab yang membuatkan ia terletak tetap di tengah-tengah itu adalah kerana lajunya putaran falak dari segenap keliling yang menolaknya ke tengah-tengah, sepertimana jikalau segumpal tanah diletakkan di dalam sebuah bejana, lalu diputarkan airnya dengan sekuat-kuatnya, maka sesungguhnya tanah itu akan berada di tengah-tengah pusaran itu.

Adapun mereka yang mengatakan bumi itu terhampar, maka katanya bahawa Al-Bahrul Muhit (Lautan yang Maha Luas yang mengelilingi bumi) yang berukuran 24 ribu farsakh mengelilingi bumi sepertimana sebentuk cincin yang melingkari jari (yang dipakaikan cincin itu).

Telah berkata Ibn Abbas radhiyallahu Taala ‘anhuma bahawa sekeliling dunia itu terdapat suatu kegelapan. Kemudian di belakang kegelapan itu pula terdapat Jabal Qaf (Bukit/Gunung Qaf ).
Wallahu a’lam.

Halaman 7,
Kitab Bada’I’ Az-Zuhur fi Waqai’ Ad-Duhur,
Muhammad bin Ahmad ibn Iyas Al-Hanafi rahimahullah.
Matba’ah Mustafa Al-Babil Halabi,
Cetakan Rabi’ul Awwal 1338 Hijrah.

~22 Feb 2017, 11.40 mlm.


Wednesday, December 4, 2019

BUMI DALAM WARISAN CENDEKIAWAN MUSLIM SILAM

DALAM warisan keilmuan cendekiawan Muslim, bumi berada di bawah sekali. Umpama pulau di lautan nan luas.* Tepian laut terbesar itu tidak terjangkau. Entah berapa buah pulau yang ada, tidaklah kita ketahui. Lautan dan daratan itu kesemuanya adalah bumi (Al-Ardh).

Manakala langit (As-Sama') adalah yang berada di atas bumi, dengan bulan, matahari dan segala bintang2nya. Langit juga dalam pengertiannya yang lain adalah bumbung yang menangkup bumi bagaikan sebuah kubah.

Memahami bumi dengan pengetahuan ini, maka pencarian kehidupan dan tempat baharu adalah dengan meredah lautan. Dengan faham inilah juga ditemui benua Amerika, Australia, New Zealand dan ribuan pulau2 di Pasifik. Dan boleh dikatakan setiap tempat yang baharu ditemui itu telah pun ada manusia yang mendiaminya. Apakah setelah penemuan2 itu bermakna seluruh bumi telah pun dijelajahi?

Sebaliknya, mempercayai bumi sebagai sebuah planet kecil yang terapung2 di ruang angkasa yang gelap membawa kepada pencarian kehidupan dan tempat baharu berupa planet2 dengan segala aliennya yang asalnya adalah bermula daripada fiksyen sains semata2.

Barangkali kini sudah terbuka sedikit kepada kita bagaimanakah bezanya dua kefahaman tersebut.

*Lautan Al-Bahrul Muhit yang tidak terjangkau.

http://oceana.org/marine-life/marine-science-and-ecosystems/open-ocean

https://relay.nationalgeographic.com/proxy/distribution/public/amp/news/2014/03/140319-ghost-ship-malaysia-airliner-atlantic-ocean

Wallahu a'lam.

30 Disember 2017

Thursday, September 5, 2019

Anakku...

Anakku...
Jika kehidupanmu hari ini mengecewakan,
Janganlah bertindak bebal,
Merosakkan hidupmu di masa depan.

Anakku...
Jika ada peluang terlepas darimu,
Resapkan di dalam hati:
"Allah menyediakan lebih baik sebagai ganti."

Anakku...
Hidup dunia ini tidak kekal,
Semuanya jadi ringan,
Jika akhirat engkau rindukan.



Sunday, September 16, 2018

SELAMAT HARI LAHIR BUAT AYAH.

Hari ini 16 September. Hari Malaysia. Juga hari lahir ayahku, yang lahir pada tahun 1939 di Sungai Rambai, Merlimau, Melaka. Ertinya ayah telah berumur 79 tahun jika mengikut kalendar Masihi. Kalau kalendar Hijrah sudah 80 tahun lebih sikit.

Kelmarin, entah siapa punya idea, dibuatlah sedikit majlis makan2 keluarga, konon2nya meraikan hari lahir ayah. Tidak pernah dalam keluarga kami diadakan majlis sambutan hari lahir sesiapa pun.

Kalau kebetulan jatuh hari lahir pada hari tertentu dan kami berkata sekadar memberitahu dan melawak, "Ha! Hari ni hari jadi cik. Kena sambut harijadi ni."
Maka ayah akan memberi jawapan epiknya, "Tadi jamu makan nasik dah. Campoq hat menyerok pagi tadi. Kira dia la tu!" Lalu kami sama2 ketawa.

Sebiji kek air tangan anak menakanku diletakkan di depan ayah dan mak. Kemudian kami meminta ayah dan mak sama2 memotong kek itu. Situasi yang agak lawak. Tapi mak dan ayah sambil gelak2 sama2 memotong kek.

Sebelum makan, ayah membacakan doa yang diaminkan kami semua. Ada sebak dan tangis dalam doa itu. Entah apalah agaknya yang dirasakan dalam hati ayah. Semoga kami semua dikumpulkan semula di syurga nanti sepertimana janji Allah dalam Al-Quran (Surah At-Thur: Ayat 21).

Aku dapat menyaksikan rahmat kasih sayang Allah serta berkatNya dalam kehidupan ayah dan mak. Melihat mereka berdua sama2 menunggang motorsikal (sesekali berkereta) ke masjid saja pun memberi impak rasa yang tak terungkap.

Ayah seorang yang sangat rajin membaca Al-Quran. Semua kami anaknya diajar membaca Al-Quran dan tajwid sehingga khatam. Sering ayah mengulang memberitahu bahawa memang niat ayah sejak dulu lagi iaitu, "Anak aku, semua mesti habih Quran dengan aku."

Satu tabiat ayah berkait dengan Al-Quran ini dari dulu lagi yang ku ingat adalah apabila ayah berbaring berbantal lengan untuk tidur siang maka akan kedengaranlah alunan Al-Quran ayah dengan tarannum ala2 arwah Ismail Hashim. Jika tiba2 sebentar kemudian tidak terdengar lagi, tahulah kami yang ayah sudah terlena.

Banyak lagi jika hendak dituliskan. Mungkin di masa depan dapat ku sambung lagi. Apapun, semoga Allah memberkati kedua orang tuaku, juga kita semua. Amin ya Rabb.


Sunday, September 9, 2018

OPTIMIS

Biarpun kehidupan makin perit,
Waktu makin sempit,
Usah biar asamu putus,
Atau harapanmu bungkus,
Kerana niat seorang Mukmin,
Lebih baik berbanding amalnya.
Kiranya kiamat tiba,
Sedang di tanganmu benih sedia,
Tanamlah!
Kerana rahmatNya melimpah,
Dan Dia Maha Pemurah.

Friday, May 11, 2018

SEKILAS TERSINGKAP.

Ketara sekali,
Dia melajukan gerak kerja,
Berkali ganda,
Barangkali kerana yakin,
Masanya berbaki sedikit cuma.

Hitunglah dua tahun dari sekarang,
Jika engkau mahu!
Apabila waktunya tiba,
Langit mencurahkan air mata,
Dan bumi tidak sabar2 untuk memeluknya,
Ribuan berduka hiba,
Dirinya bersukacita,
Bertamu kepada Pencipta.

Barang yang ghaib itu di sisiNya,
Di sisi kita, ghaib itu relatif jua,
Pada seorang, ianya ghaib,
Pada yang lain, ianya nyata.

Di hari itu tahulah semua,
Hakikat sebenar dirinya,
Seorang wali di sisiNya,
Tersembunyi pada khalayak jelata,
Dikenal oleh yang sepertinya.

Hanya pabila dia berangkat pergi,
Sesal pun tidak berguna lagi,
Kerana tiada menghargai,
Sewaktu masih di sini.

Ketahuilah!
Sesungguhnya para wali Allah itu,
Tiada takut dan tiada pula berduka.

Jumaat,
11 Mei 2018,
2:32 petang.




Monday, October 23, 2017

PESAN-PESAN.


Anakku!

Bacalah dan kenali perihal para sahabat Nabi SAW,
Hiduplah engkau seperti kehidupan mereka.
Kehidupan mereka adalah kehidupan yang manusiawi,
Bukan kehidupan yang plastik.
Jauhkan dirimu dari terpengaruh dengan kehidupan selain mereka,
Jangan engkau ingin hidup seperti para agamawan,
Atau orang soleh dan para wali yang dikisahkan,
Atau para ulama fulan dan fulan.
Tidak perlu anakku!

Para sahabat Rasul kehidupan mereka sangat simple,
Kehidupan mereka santai dan sempoi,
Tidak mereka berlebih-lebihan dan melampau,
Tidak mereka menjalani hidup para rahib dan biarawan,
Tidak mereka menanggalkan kemanusiaan untuk masuk ke daerah para malaikat.
Mereka adalah pilihan Allah untuk mendampingi Rasul,
Iman mereka seteguh gunung,
Taqwa mereka tidak terbanding.
Mereka luar biasa, walau hidup biasa-biasa.

Anakku!
Contohilah mereka itu.
Hindarilah jemaah2, usrah2, harakah2, parti2.
Seluruh Muslim adalah saudaramu seagama.
Seluruh manusia adalah saudaramu sedarah.
Setiap kita daripada Adam, dan Adam daripada tanah.
Hindari seruan2 yang mengajakmu membenci orang lain.
Jika dalam hatimu wujud cinta,
Engkau akan mencintai setiap saudara,
Saudara seagama mahupun saudara semanusia.

Anakku!
Janganlah mensucikan dirimu.
Menganggap dirimu selamat dan orang lain binasa.
Menganggap dirimu ahli syurga dan orang lain bahan bakar api neraka.
Menganggap dirimu beragama dan orang lain fasiq belaka,
Menganggap dirimu alim dan orang lain jahil semua.

Anakku!
Hiduplah semahumu,
Tapi ingatlah!
Kematian bila2 saja bakal tiba padamu.
Lalu engkau bakal menemui Tuhan,
Dia akan menyoal tentang kehidupanmu.
Jika engkau punya jawapan, apakah yang engkau risaukan?

Thursday, September 14, 2017

BUKU - Rihlatus Sirafi





BERBEZA dengan zaman kini yang mana maklumat mengenai negeri-negeri yang jauh dapat diketahui hanya melalui internet, seribu tahun dahulu maklumat-negeri sebegitu hanya sampai ke telinga melalui perkhabaran para pengembara, pelayar, saudagar dan nakhoda.

Inilah sebuah naskhah berusia lebih seribu tahun lampau yang berisikan perkhabaran para nakhoda, saudagar, pelayar dan pengembara berkaitan negeri-negeri di benua India, Kepulauan Melayu, benua China dan Timur Afrika pada zaman tersebut.

Terjemahan ini diusahakan terus daripada naskhah berbahasa Arab. Tiga buah naskhah cetakan yang berbeza dijadikan tonggak dan perbandingan dalam menghasilkan naskhah terjemahan yang pertama kalinya ke dalam bahasa Melayu ini.

Turut diterjemahkan adalah bahagian muqaddimah ketiga-tiga naskhah berbeza tersebut yang berisikan maklumat-maklumat penting lagi bernilai bagi karya klasik ini.

Dikenali juga sebagai Akhbarus Sin wal Hind, Aja'ibud Dunya wa Qiyasul Buldan dan Silsilatut Tawarikh sehinggakan ada yang menganggap semua itu adalah nama bagi kitab-kitab yang berbeza, karya klasik ini menjadi rujukan bagi para pengkaji sejarah di Barat dan Timur.

Naskhah asal bertulisan tangan kini tersimpan di Eropah. Ia bahkan telah diterjemahkan ke dalam bahasa Perancis pada abad ke-19 lagi.

Kini ia hadir sebagai terjemahan yang julung-julung kalinya ke dalam bahasa Melayu buat tatapan dan kajian masyarakat di Kepulauan Melayu ini.

Rihlatus Sirafi ini diusahakan penerbitannya oleh BAYTUL HIKMA.

Naskhah ini boleh dibeli secara online melalui pautan berikut:-

https://www.kafilahbuku.com/rihlatus-sirafi?manufacturer_id=29