Wednesday, August 5, 2009

MAZHAB AHLIL HADITH

Dewasa ini kedengaran seruan-seruan tajdid berkumandang di mana-mana. 
Maka bangkitlah kesedaran para pemuda terutamanya untuk kembali kepada agamanya yang tulen tidak bercampur dengan bid'ah-bid'ah seperti yang diamalkan oleh para sahabat dan salafussoleh tiga kurun pertama. 

Demi Allah ini adalah suatu fenomena yang baik. 
Namun di celah-celah itu kedapatan sedikit sebanyak gejala-gejala yang berpunca daripada menggeloranya semangat yang tidak diimbangi dengan kedalaman ilmu.

Maka dapat dilihat pelecehan kepada para ulama, kurangnya adab dalam menyikapi perselisihan pendapat, merasakan pendapat sendiri lebih benar serta pelbagai lagi.. 


Sesungguhnya kami tidak berhasrat memanjangkan kalam dalam hal ini. Kerana itu kami nukilkan di sini kata-kata Al Imam Al Allamah Ibn Qayyim Al Jauziyyah tentang sikap yang sepatutnya bagi orang yang mengaku ingin menjejaki perjalanan Ahlul Hadith dan kaum Salaf.

Moga ia bermanfaat bagi diri kami dan para pembaca semua. Ameen..

Mazhab Ahlil Hadis adalah seperti yang dikatakan oleh Al Imam Ibn Qayyim Al Jauziyyah di dalam kitabnya Zaadul Ma’aad ketika membicarakan tentang qunut (m/s 273 jilid 1 cet Muassasah Ar Risaalah):

“...dan Ahlul Hadis berada di tengah-tengah di antara mereka itu (yang mengatakan tiada qunut sama sekali bahkan menghukumkan bid’ah) dan mereka yang menggalakkan qunut ketika berlaku sesuatu peristiwa (naazilah) dan lainnya.  


Mereka (Ahlul Hadis) adalah golongan yang paling berbahagia dengan hadis daripada dua golongan tersebut. Ini kerana mereka berqunut pada ketika Nabi SAW berqunut dan meninggalkannya pada ketika yang Nabi SAW meninggalkannya. Dan mereka bercontoh kepada Nabi SAW pada melakukannya dan meninggalkannya.  

Mereka mengatakan: “melakukannya adalah sunnah dan meninggalkannya juga adalah sunnah”. Dalam masa yang sama, mereka juga tidak mengingkari sesiapa yang melakukan qunut terus-menerus, dan tidak membenci perbuatan tersebut, serta tidak pula membid’ahkannya, atau mengatakan pelakunya sebagai menyalahi sunnah. 

Sepertimana mereka juga tidak mengingkari orang yang mengatakan tiada qunut ketika nawazil (berlaku sesuatu peristiwa), dan tidak melihat perbuatan meninggalkan itu sebagai bid’ah, atau mengatakan orang yang meninggalkan itu sebagai menyalahi sunnah. 

Bahkan sesiapa yang berqunut sesungguhnya ia telah melakukan kebaikan, dan sesiapa yang meninggalkannya juga sesungguhnya ia telah melakukan kebaikan. I’tidal adalah tempat bagi doa dan pujian kepada Allah SWT. Sesungguhnya Nabi SAW telah mengumpulkan di antara keduanya (doa dan pujian) semasa I’tidal itu, dan doa qunut adalah (mengandungi) doa dan pujian kepada Allah, dan ia lebih utama (untuk dibaca) padanya (I’tidal). 

Jika imam sesekali menjaharkan dengan tujuan mengajari makmum, maka tidak apa-apa, kerana Umar r.anh pernah menjaharkan doa istiftah untuk mengajari para makmum, juga Ibn Abbas r.anhuma pernah menjaharkan bacaan Fatihah di dalam solat janazah bertujuan menunjukkan kepada makmum bahawa ianya adalah sunnah. Dalam kes ini ia samalah seperti imam menjaharkan bacaan amin.  

Ini adalah perbezaan pendapat (ikhtilaf) yang diharuskan yang mana tidaklah boleh dicela sesiapa yang melakukannya atau sesiapa yang meninggalkannya. Ia juga sama seperti mengangkat tangan di dalam solat atau meninggalkannya, atau perbezaan lafaz-lafaz tasyahhud, bentuk azan dan iqamat, bentuk perlakuan ibadat semasa berhaji daripada segi Ifrad, Qiran dan Tamattu’nya.  

Dan tujuan kami tidak lain adalah untuk menerangkan petunjuk Nabi SAW seperti yang dilakukan Baginda SAW, kerana itulah maksud dan motif penulisan kitab ini, dan itulah hasrat yang ingin dicari dan diharapkan. Ini adalah satu perkara. Dan tentang harus melakukan sesuatu atau meninggalkan itu adalah sesuatu perkara yang lain pula, yang mana ia bukanlah menjadi hasrat kami di dalam mengarang kitab ini. Kerana maksud kami hanyalah ingin menerangkan petunjuk Nabi SAW yang dipilihnya untuk diri Baginda sendiri, kerana itulah peunjuk yang paling sempurna lagi paling utama.  

Maka jika kami katakan : “bukanlah dari petunjuk Baginda berterusan melakukan qunut di dalam solat fajar (subuh), atau tidak menyaringkan Basmalah”, ia bukanlah bermakna ianya makruh, atau bid’ah. Namun petunjuk Baginda adalah petunjuk yang paling sempurna dan paling utama (untuk dituruti). 
Allah jualah tempat memohon pertolongan”. 

Tamat terjemahan kata2 Imam Ibn Qayyim rahimahullah.

*****
Maka, wahai saudara yang ingin menjalani jalan Ahlil Hadith!
Lihat diri kita hari ini!

Apakah kita punya kelapangan dada seperti yang dituturkan oleh Imam Ibn Qayyim di atas?
Atau kita termasuk mereka yang keras sikap dan cakap kepada orang lain yang menyalahi cara kita?
Semoga Allah berkenan memperbaiki adab2 kita sebagaimana Dia telah berkenan mengurniakan kita semangat untuk mengikuti Sunnah RasulNya. Ameen