Monday, December 23, 2013

UPDATE BUKU#5 - TEGURAN SUCI DAN JUJUR TERHADAP MUFTI JOHOR


Sebelum ini aku ada mengepos entry berkenaan buku tulisan HAMKA dengan tajuk di atas di SINI.
Ketika itu aku masih belum menemui edisi ruminya.

Beberapa minggu sudah, ketika meninjau-ninjau sudut buku di ISTAFA Jalan Sultanah, Alor Setar sambil menunggu orang rumah membeli barang aku terserempak dengan edisi rumi buku berkenaan.

Apa lagi! Terus aku sambar senaskhah daripada hanya dua naskhah sahaja yang terdapat di rak.



Sebagai catatan, HAMKA hanya mengambil masa selama lima (5) hari sahaja bagi menulis buku ini! Tepatnya bermula pada hari Ahad, 17 Muharram 1378 bersamaan 03 Ogos 1958 dan selesai pada hari Jumaat 22 Muharram 1378 bertepatan 08 Ogos 1958 di Jakarta.

Naskhah aslinya bertulisan jawi adalah terbitan Persatuan Muhammadiyah Pusat Singapura.

Dengan harga RM15, buku terbitan semula Pustaka Dini pada tahun 2010 ini berbaloi untuk dimiliki.

Menariknya pada kata pengantar pengalih aksara dan penyunting istilah buku ini oleh Djamal Tukimin, beliau menyifatkan buku Teguran Suci dan Jujur Terhadap Mufti Johor adalah "The Lost Manuscript" HAMKA.

Berikut saya petik sedikit permulaan pengantar beliau di sini:

Sebenarnya buku yang satu ini dari karya Allahyarham Prof. Dr. Abdul Malik bin Karim Amrullah atau lebih dikenali sebagai Prof. Dr. Hamka dan Buya Hamka saja tidak terdapat di mana-mana dalam daftar buku-bukunya yang pernah diterbitkan sepanjang hayatnya.

Pada baris yang lain beliau berkata:
Buku polemik dan tangkisan ini merupakaan buku yang dianggap sebagai The Lost Manuscript yang sama sekali tidak diketahui ramai orang baik di Indonesia, Malaysia mahupun di Singapura.

Kata pengantar beliau diakhiri dengan ayat berikut:
Namun demikian saya bertanggungjawab sepenuhnya atas karya Buya Hamka yang diterbitkan ini setelah mengalami masa ghaibahnya sebagai "The Lost Manuscript" sekitar 50 tahun yang kini kembali ke rumah khazanah Islamiyah di Alam Melayu Nusantara ini. Kecuali, salah dan silap, harap maaf.



Sehingga ke saat entry ini ditaip saya masih belum berkesempatan menghabiskan bacaan edisi rumi ini -edisi Jawinya sudah habis dibaca lama dulu- dan memperbandingkan dengan naskhah asli bertulisan jawi peninggalan Almarhum Tok Ayah yang ada dalam simpanan saya.

Namun ketika berkesempatan menyelak beberapa mukasuratnya saya telah bertemu dengan alih aksara yang salah dan gantinama yang wajar disertakan nota kaki kerana perbezaan bahasa dulu2 dengan kini. Iaitu pada mukasurat 14 edisi ini yang mana menukilkan kembali salinan kenyataan Mufti Johor yang ada disertakan gambar asal edisi jawinya.


Ia berbunyi seperti berikut:

"Kaum kaum - muda ini mengambil fatwa-fatwa mereka dari Qadiani dan Hassan Bandung dan mereka tidak percaya kepada beberapa tiang-tiang agama Islam. Mereka ini dinamakan ulama-ulama "al-maklum minalaziina bi darurah," kata Datuk itu.

Pada kata yang ditebalkan oleh saya di atas yang pertama adalah gantinama "Mereka ini". Molek sekali jika disertakan tambahan penjelasan di dalam kurungan atau nota kaki sebagai ( yakni perkara2 tersebut) yang mana kembali kepada tiang2 agama Islam agar tidak disalah kembalikan oleh sebahagian pembaca yang tidak mesra interaksinya dengan gaya bahasa klasik gantinama tersebut kepada Kaum kaum - muda yang disebut di awal ayat.

Perkataan kedua yang dihitamkan adalah "al-maklum minalaziina bi darurah".
Ini adalah salah faham yang berpunca dari satu titik sahaja. Iaitu pada huruf Dzal yang mana sepatutnya adalah huruf Dal.

Berkait hal ini mengingatkan saya dengan lawak P. Ramlee di dalam Nujum Pak Belalang pada adegan teka-teki di manakah terletaknya kehebatan Hang Tuah. Iaitu pada huruf Taa-nya. Yakni pada titiknya. Benar P. Ramlee dalam hal ini.

Inilah salah satu keistimewaan Bahasa Arab yang mana memadai dengan tersilap satu titik sahaja sudah boleh membawa kepada salah faham makna. Ada cerita lain yang terkait juga dengan hal ini namun saya tidak berhasrat menaip panjang.

Berbalik kepada perbincangan kita, saya kira di dalam edisi jawinya memang ditulis Dal. Nanti saya semak semula. Namun jika salah tulis dengan Dzaal pada edisi jawinya pun hal ini perlu diperbetulkan.

Jadinya ia sepatutnya berbunyi: "Al-maklum minaddiin bi darurah" yang bermaksud "perkara2 dalam agama Islam yang semua orang Islam tahu". Contohnya kewajipan solat, haram arak dsb. Tanyalah orang sejahil-jahil orang Islam kaki maksiat yang fasiq dan tak pernah solat adakah solat 5 waktu itu wajib ditunaikan pastinya dia akan menjawab ya.

Dengan itu kalam Tuan Mufti yang dinukilkan itu sepatutnya berbunyi "Mereka itu (yakni tiang2 / prinsip2 / hukum2 asas agama Islam) dinamakan oleh ulama2 sebagai al-maklum minaddiin bi darurah (yakni perkara2 asasi di dalam agama Islam yang seluruh orang Islam memang sedia maklum).

Intaha (tamat).

Saya menyatakan kesilapan di atas bukanlah bermaksud mencari2 kesalahan penterjemah dan pengalih aksara. Namun ia hanya sebagai sedikit semakan yang berguna kepada mungkin sesiapa yang membaca posting ini dan memang memiliki edisi rumi naskhah ini atau berhasrat memilikinya.

Semoga saya dikurniakan Allah kesempatan untuk membuat semakan menyeluruh dan menambah baik mana2 yang kurang yang mungkin wujud selain dua yang saya nyatakan di atas untuk saya majukan kepada penerbit edisi rumi itu. Ameen.

Tetapi jika ada yang sudah mendahului usaha ini, baguslah. Mudah-mudahan.

Wallahu A'la wa A'lam. 




No comments: