Wednesday, February 8, 2012

IMAM AZ-ZUHRI DAN SEBUAH HADITH

Satu hal menarik yang telah dinukilkan oleh Imam Ibn Qayyim Al-Jauziyyah rahmatullahi ‘alaih di dalam kitabnya yang terkenal; Zaadul Ma’aad, jilid 1, mukasurat 260 menjadikan saya tersenyum sendirian sekalipun apabila membacanya berulangkali.



Saya terjemahkan ia di sini untuk berkongsi kepada sesiapa yang menziarahi blog ini, juga kerana ia berisi pengajaran yang sangat berguna.

*****

Ketika membahaskan tentang memberi salam di akhir solat, beliau telah membawakan perkataan Imam Abu Umar Ibn Abdil Barr: ……. sehingga kepada menyebutkan sebuah hadith daripada jalur Ibnul Mubarak, daripada Mus’ab bin Tsabit, daripada Ismail bin Muhammad bin Saad, daripada ‘Amir bin Saad daripada bapanya yang telah berkata:

“Aku telah melihat  Rasulullah SAW memberi salam ke kanan dan ke kirinya sehingga seolah-olah aku dapat melihat seluruh pipi* Baginda.
 ---
*Di sini disebut “Shof-hati khad-dihi”. Literalnya bermaksud: muka pipi. Ia bermakna pipi jika dilihat daripada pandangan hadapan. Jadi saya terjemahkan sebagai keseluruhan pipi (sebelah pipi mengikut arah yang dipalingkan muka, bukan kedua-duanya)
---
Sambung.. (Bahagian berikut inilah yang saya nyatakan sangat menarik itu)

Lantas berkata Az-Zuhri (setelah mendengar hadith tersebut): “Kami tidak pernah mendengar ini daripada Hadith Nabi SAW!”

Lalu tingkah Ismail ibn Muhammad: “Apakah kesemua hadith Nabi SAW engkau telah mendengarnya (mengetahuinya)?”

Jawab Az-Zuhri: “Tidak..”

Berkata lagi Ismail Ibn Muhammad: “ (Atau) separuhnya?”
Jawab Az-Zuhri: “Tidak..

Lalu ujar Ismail Ibn Muhammad: “Jadikanlah hadith ini termasuk daripada bahagian separuh (hadith-hadith Nabi SAW) yang engkau tidak pernah mendengarnya (mengetahuinya)..”

Tamat.

Imam Az-Zuhri adalah guru kepada Imam Malik bin Anas. Beliau adalah alim besar yang hafizh (menghafaz ribuan hadith).
Lihat bagaimana tawadhu’ beliau, rahimahullah.

Dan bagaimana sesetengah kita hari ini yang belum pun mampu menghafal walaupun Hadith 40 susunan Imam Nawawi sudah mula menolak dengan sombong sesuatu perkara dengan alasan tiada Hadith Sahih, atau hadith yang dijadikan dalil oleh golongan lain itu dhoif.

Ketahuilah!
Bukan semua yang tidak pernah kita dengar itu tidak wujud.
Bukan pula semua yang wujud itu kita tahu.
Begitu juga bukan semua hadith sohih itu boleh diamalkan dan bukan pula semua hadith dhoif itu tidak boleh diamalkan.

Semoga kita semua diberi kefahaman yang benar di dalam beragama. Ameen.

No comments: