Monday, August 17, 2015

WARITA SUATU KEMATIAN



Aku dah hampir terlelap semalam, setelah menidurkan anak-anak. Malam masih sangat muda. Belum larut. Baru sekitar jam sembilan setengah malam.

Tiba-tiba telefon bimbit di sebelah bantal bergetar. Henpon itu sememangnya sentiasa dalam keadaan "Silent mode" sepanjang masa. Hanya vibrate sahaja.

Ku capai henpon. Terpapar di skrin nama adikku yang memanggil.
"Assalamualaikum.. Hmm.. awat? Ada apa?" tanyaku.
"Waalaikumussalam.. Ni, nak habaq.. Kak Lina dah takdak.."
".... Ha?"
"Kak Lina dah meninggal.. Baru tetsat.."
......
Aku terdiam lama...
"Innalillah...Ok"

Kakak iparku itu masih muda umurnya. Baru pertengahan 40an. Namun kematian tidak mengenal usia.

Lalu aku teringatkan hari-hari yang telah berlalu. Ketika remaja dan zaman belajar dahulu, rumah abang dan kakak iparku itulah sering aku jejakkan kaki. Demikianlah kehidupan. Masa lalu sekadar kekal hidup di ingatan.

Khabar yang ku terima lewat henpon itu segera melarikan ingatanku kepada situasi yang sama lima belas tahun lalu. Ketika itu Ramadhan. Dan aku menjadi Imam Tarawih di sebuah tempat di Selangor bersama seorang teman baik.

Baru berlalu lima hari Ramadhan. Temanku memberitahu yang ayahku menalifon ingin bercakap denganku menerusi "public phone" di kafe. Aku bergegas turun untuk menjawabnya. Di hujung talian terdengar suara ayah dengan tenang memberitahu bahawa abangku telah meninggal akibat kemalangan.
Aku terdiam lama.. Sama seperti semalam..

"Hello..! Hang dengaq dak?" Tiba-tiba terdengar suara ayah bertanya.
"Ha.. ha, che dengaq..", jawabku seolah terkejut dari lamunan yang panjang.

Kalau ada yang bertanya apa perasaanku ketika mendengar berita kematian itu, aku pun tidak tahu nak menerangkannya. Nak dikatakan sedih, tidak juga. Nak dikatakan tidak sedih, tak juga. Perasaan terasa kosong.. Khali.. Jiwa seolah terbang ke tempat lain yang bening dan hening..

"Hang bersiap. Petang satgi abang Nik pi ambik hang hantaq pi rumah Abang Sham. Ikut depa balik petang ni jugak...", ayah memberi arahan dari hujung corong.

Maghrib itu kami bertolak. Kami sampai ke rumah mendekati pukul dua pagi. Dan arwah telah pun selamat disemadi.

Esoknya kami bersembang dan mendengar cerita sekitar peristiwa itu. Mengunjungi kubur hari itu aku masih tidak terasa apa-apa. Seingatku, setelah seminggu berlalu baharulah rasa hiba beransur datang ketika terkenangkan hari-hari yang telah ku lalui bersama arwah.

Masa berlalu, dan warita kematian orang-orang yang kita kenali dan pernah bergaul bersama hampir saban waktu menyapa cuping telinga kita. Kadang ia membekas jiwa. Kerapnya ia tidak lebih sekadar sebuah perkhabaran yang biasa, bagai angin lalu sahaja.

Demikianlah kita.

Kerana dunia telah begitu menyita perhatian kita. Gajet-gajet dan sembang serta gosip di media sosial telah mencuri masa dan umur kita. Dan kita pun menjadi begitu leka. Sehingga apabila nama kita telah dipanggil untuk berangkat, lalu tika itu barulah kita tersedar! Dan kesedaran itu sudah terlalu lewat!

Wahai engkau!
Dunia hanyalah sebuah hentian.. Waktu berangkat telah ditentukan. Ketika loceng kematian untukmu dibunyikan, engkau harus segera pergi. Seorang demi seorang.

"Sesungguhnya kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah mainan dan senda gurau saja. Dan sungguh negeri akhirat itulah kehidupan yang sebenar-benarnya.. Itupun jika mereka semua menyedarinya.." 
(Al-'Ankabuut)

Maka, apakah engkau menyedarinya?


____________

*Warita: Berita, warta.