Wednesday, August 17, 2011

GURAUAN DAN HARGA IMAN

Bergurau sememangnya suatu tabiat semulajadi manusia. Ia juga suatu yang diakui dan dibenarkan di dalam agama Islam. Nabi sendiri bergurau dan berlucu dengan para isterinya Ummahatul Mukminin serta para Sahabat Baginda Radhiyallahu 'anhum.

Riwayat-riwayat hadith banyak menceritakan hal ini. Antaranya di dalam Bukhari, di mana seorang sahabat menceritakan bahawa pernah Rasulullah SAW menyemburkan air dari mulut Baginda ke mukanya secara bergurau ketika beliau semasa itu baru berumur sekitar 5 tahun. Juga di dalam Syamail Tirmizi ada bab khusus berkenaan gurau senda Nabi SAW.

Maka tidak benarlah anggapan sesetengah orang yang 'josh' (terlebih semangat) yang menganggap orang agamawan atau para ustaz dan seumpamanya tidak patut bergurau kerana menghilangkan 'tsiqoh' (di sini bermaksud wibawa). Tetapi, gurau senda itu hendaknya beradab dan bersempadan. Rasulullah SAW tidaklah bergurau dan mengatakan selain hal yang benar. Ketawa juga hendaklah tidak sehingga mengeluarkan suara berdekah-dekah. Jika engkau ketawa, letaklah tangan di mulut dan kawallah suaramu.

Semoga Allah melimpahkan selawat dan salam kepada Junjungan yang telah mengajarkan kita adab sehingga menjadikan kita mulia kerananya.

'Ala kulli hal, Islam tidaklah datang untuk mengajak manusia bermuka masam dan menjadikan hari-hari di dalam kehidupan seumpama hari seorang yang kematian orang tersayang.

Namun, gurauan yang melampaui batas sehingga menyentuh hal-hal agama (baca: Islam) adalah sesuatu yang amat dilarang. Kerana ia boleh membawa kepada murtad tanpa sedar! Biar apa jua namanya sama ada lawak, sarcasm, sindiran etc.

Seperti yang dinyatakan Allah di dalam ayat Al Quran tentang sifat orang kafir;

"Mereka yang menjadikan agama mereka sebagai bahan mainan dan senda gurau..."

Maka aku mengingatkan diri sendiri dan sesiapa yang membaca agar berhati-hati dalam tulisan dan percakapan, kerana barangsiapa yang meneliti, dia akan dapat melihat betapa benarnya yang diucapkan di dalam sebuah hadith tentang keadaan manusia di akhir zaman yang mafhumnya:

"Mereka berpagi-pagi dalam keadaan beriman, dan di waktu petangnya menjadi kafir, dan sebaliknya berpetang-petang di dalam beriman dan di waktu paginya menjadi kafir. Mereka menjual agama mereka dengan keuntungan yang sedikit."

Inilah yang dapat kita saksikan. Aku membaca beberapa blog dan melihat hal ini banyak terjadi. Ada yang menjual agamanya dengan bilangan trafik pengunjung blog. Ada yang menjualnya dengan beberapa sen yang dibayar Nuffnang, Ad Sense dan apa-apa lagi dan seterusnya....

Semoga Allah menyelamatkan kita semua daripada kejahilan dan kekufuran. Amin.