Sunday, July 31, 2011

RAMADHAN DAN HAKIKAT SEBUAH KEHIDUPAN

Esok Ramadhan bakal datang lagi. Di depan pintu umur kita yang semakin berkurang. Tidak pasti, apakah kita sempat menikmatinya, ataukah maut terlebih dahulu datang menjemput kita.

Ada yang mungkin tidak sempat merasai Ramadhan kali ini. Ada juga yang mungkin sempat menyambut Ramadhan yang bertamu sekadar beberapa hari, lalu ia sendiri kemudiannya diusung pergi.

Sekitar 12 tahun yang lampau, anak bulan Ramadhan baru memasuki usia 5 hari, dan tiba-tiba aku dikejutkan dengan satu pesanan daripada seseorang, ”Ada panggilan untuk enta!”.

Aku yang ketika itu bertugas menjadi Imam Tarawih di sebuah Institut di Bandar Ilmu di Selangor masih tidak merasakan sesuatu yang pelik. Ingatkan sekadar panggilan yang biasa daripada orang tua di kampung. 

Maklumlah, sudah hampir setahun juga aku tidak pulang ke kampung sekalipun pada waktu cuti pengajian demi menumpukan kepada hafalan Al Quran.

Bercakap melalui public phone yang terlekat pada dinding kantin, aku dimaklumkan satu berita yang mengejutkan. Kematian abangku yang baru berusia 22 tahun akibat kemalangan semasa hendak ke Alor Star bagi membeli kelengkapan sebelum memasuki Politeknik.

Aku sekadar terpaku dan fikiran menjadi kosong.

Kakakku yang bercakap di hujung talian mengabarkan agar aku menunggu kerana sekejap lagi suami kepada sepupuku yang tinggal berdekatan akan datang mengambilku untuk dibawa ke rumah abangku di Sungai Buloh untuk bersama-sama pulang ke kampung.

Fikiran dan jiwaku benar-benar kosong. Tanpa rasa sedih atau apa-apa perasaan yang menerkam. 
Khali.

Sampai waktunya suami sepupuku datang mengambilku di petang tersebut, aku melangkah ke perut kereta setelah memberitahu sahabat yang turut bersama menjadi Imam Tarawih bahawa aku hanya sekadar pulang sebentar dan akan kembali lagi dalam beberapa hari.

Dan kereta terus meluncur laju menuju ke Sungai Buloh membawa aku yang terdiam membisu di dalamnya sedang cuba menyusun kembali fragmen-fragmen kenangan bersama abangku yang kini tiada lagi. Namun realitinya, kenangan-kenangan itu amat bercampur baur seolah-olah selerakan jigsaw puzzle yang berlukisan abstrak gambarnya.

Sesampainya di rumah abangku di Sg. Buloh, kelihatan beliau dan keluarganya serta seorang lagi abangku yang masih bujang telah bersedia di sisi van, lalu di maghrib itu van yang dipandu abang sulungku terus memecut laju menghala ke utara.

Menempuh perjalanan ratusan kilometer menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan, kami hanya menjejakkan kaki di rumah pada jam hampir 1 pagi. Dan kami hanya sekadar berpeluang menatap tikar tempat jenazah dibaringkan buat kali terakhir di dalam rumah, kerana Allahyarham telahpun selamat dikebumikan. 
Semoga Allah sentiasa merahmatinya dan menjadikan pusaranya satu taman daripada taman-taman syurga. Ameen.

Demikianlah..

Hidup kita ini sudah ditentukan batas ajalnya. Maut akan menjelma, meskipun kita masih muda, semangat masih menyala-nyala, kudrat masih bertenaga. Dan aku telahpun melihat kematian demi kematian yang menimpa abangku, sepupuku, teman sepergaulanku yang hampir berdekatan waktu mereka, sedangkan kami kala itu masih muda remaja. Maka keindahan dunia yang manakah yang akan menjadikan aku tertawan padanya setelah semua hakikat kehidupan itu telah terpampang di hadapan mata...
”dan sesungguhnya akhirat itu benar-benar lebih baik buatmu berbanding dunia..” ( Ad-Dhuhaa)