Monday, May 14, 2012

BERANGKAT KE HADHRAT ALLAH

Telah berkata alfindani setelah memuji Allah dan berselawat kepada RasulNya SAW..

" Dalam kehidupan dunia ini, kau dan aku; -kita semua-, hanya dikurniakan satu nyawa. Kerana seandainya kita memiliki ratusan nyawa, sudah pastilah para syuhada akan diizinkan Allah untuk kembali lagi ke dunia lalu mereka berperang untuk mendapatkan ratusan kali kesyahidan.

Setelah menyedari hal itu, maka kehidupan yang cuma sekali ini apakah engkau membiarkannya terbuang sia-sia?

Engkau dan aku,; -umur kita- adalah cuma hari-hari yang datang dan pergi. Semakin berlalu hari, hilanglah sebahagian dirimu.

Kerana kehidupan ini adalah suatu perjalanan,haruskah engkau bertangguh di hentian ini tanpa menyiapkan bekalan, sedang kafilah orang pilihan telah lama berangkat pergi?

Apakah engkau akan menunggu datangnya petang ketika engkau masih berpagi-pagi? Ataukah engkau ingin menunggu terbitnya mentari pagi esok di waktu engkau kini di petang hari? Sungguh penantian itu suatu yang benar-benar lama!

Dan katamu "nanti" hanyalah akan membawamu lebih dekat kepada kuburan sedangkan bekalmu masih belum engkau siapkan!









Wahai engkau!

Kerana kehidupan ini cuma sebentar, jangan engkau jadikan himmahmu sekadar memperbanyak amal tanpa menghiraukan penerimaannya di sisi Tuhan.

Amalmu adalah manifestasi keimanan dan kehambaan, maka dengarkan peringatanNya bahawa "Dia akan mengujimu dicelah-celah bilahan hari-hari kehidupan ini siapakah di antara kamu yang lebih baik amal perbuatannya".

Bukankah Ia menginginkan yang terbaik darimu? Bukan sekadar terbanyak.

Oleh itu, seandainya engkau diberitahu bahawa dua rakaat yang engkau kerjakan telah benar-benar diterima Tuhan, itu sudah cukup membuatkanmu bergembira dan bersyukur kepadanya.

Disebabkan engkau masih belum tahu, -dan engkau memang pasti tidak akan tahu di dunia ini-, maka perbanyakkanlah amalmu serta indahkanlah sangkaanmu kepadaNya bahawa Dia akan menerima walau sekadar satu saja amalmu yang penuh kekurangan itu.

Wahai fulan!

Jika engkau memaksiati Allah di dalam suatu waktu, maka iringkanlah keburukan dan kederhakaan itu dengan kebaikan. Kerana sesungguhnya kebaikan itu akan menghapuskan keburukan sepertimana baju yang putih dibersihkan kembali dari kekotoran yang terkena padanya. Mudah-mudahan.

Ya Allah! Kurniakanlah kami semangat untuk beramal, dan jadikanlah semangat kami di atas landasan Sunnah Rasul Pilihan, Muhammad Khairil Anam.

Dan akhir segala doa kami adalah segala puji bagi Allah, Tuhan Semesta Alam. "