Sunday, January 30, 2011

AKU DAN KENANGAN...

Musim Timur muncul lagi.. Memunculkan bersama kenangan yang manis untuk dikenangkan. Aku yang bermalas-malas di pangkin ini sambil menghirup udara segar yang belum tercemar seakan-akan melihat tayangan sebuah wayang gambar dari memori yang tersimpan kemas di ingatan...

Bayu timur berpuput menderu.. menerbangkan kekabu memutih yang bercerai dari buahnya yang terkopak nun di tinggi di dahan.. Pokok-pokok kapal terbang yang berbaris di sepanjang birai jalan mini tar kampung kami menayangkan bunga-bunganya yang turut memutih. Kadang-kadang kami mengutip bunga-bunganya dan memenuhkan poket-poket seluar kami untuk dijadikan peluru sumpit yang terbuat daripada straw. Boleh tahan sakitnya juga kalau terkena leher.

Di kebun-kebun getah ada sejenis pokok -melur hutan agaknya- berwarna putih juga, mekar dan menghiasi di dalam redupnya kebun. Daun-daun getah pula akan mula menguning dan berjatuhan menyentuh bumi. Di sepanjang jalan yang di kiri kanannya dibarisi pohon-pohon getah yang menjulang, daun-daun getah di dada jalan yang berterbangan apabila ada kenderaan melaju menyerlahkan panorama seolah-olah musim luruh di luar negara.

Buah-buah getah mula pecah dan menggugurkan biji-biji yang dikandungnya. Kanak-kanak seperti kami akan mencari wang tambahan dengan memungut biji-biji getah tersebut untuk dijual. Dapatlah lebih kurang 4 ringgit untuk setin biji getah di dalam tin yang biasanya diisi minyak tanah. Selain dijual, kami juga mengutip biji getah untuk di'pelaga'kan.

Di bendang lain pula ceritanya. Mesin padi, biasanya 2 buah, menjalankan tugasnya menuai padi. dari pagi sampai malam. Di belakang jentera tersebut kami akan berlarian mengejarnya. Ada yang lebih bertuah akan dapat turut sama bertenggek di atas jentera berwarna kuning tersebut.

Puas mengejar mesin menuai padi, kami akan beramai-ramai terjun sungai pula. Sebelum balik ke rumah kami akan lepak-lepak dulu menunggu rambut kering, takut kena marah nanti. Cover line la kononnya, macam la orang tua-tua tak tahu. Tengok mata merah, kulit ber'kelarah' semacam, rambut keras kejung pun dah tahu anak mereka mandi sungai.

Ada hari-harinya kami akan main tuju tin a.k.a tuju pot. Memang best! Lagi-lagi kalau kita selalu jadi penyelamat kumpulan kita untuk meneruskan penguasaan dalam game tu. Iaitu kita jadi orang terakhir yang di'aim' dan dikepung oleh pemain-pemain kumpulan lagi satu untuk dibaling bola mengenai badan, tetapi dengan cekapnya kita berjaya melepasi kesemua balingan dan terus meluru menyusun tin-tin untuk kembali membentuk susunan asal sehingga kumpulan kita berjaya memenangi game tersebut. Lebih mengujakan lagi kalau esok dan seterusnya kawan-kawan semua berharap untuk menjadi ahli pasukan kita. Kami biasanya bermain tuju tin di tanah lapang dekat kedai bihun sup (dah ditutup) berhadapan sekolah, setelah sebelum itu rumah aku menjadi 'port'nya.

Tapi itu semua cerita dulu. Sekarang aku lihat musim pun tidak tentu. Kadang musim Timur, tapi ada hujan yang turun juga. Daun getah kalau dulu akan rontok habis, tetapi sekarang belum habis luruhnya dah nampak hijau pucuk-pucuk yang baru. Nak lihat budak-budak bermain tuju tin, mengejar mesin padi (jentera menuai), mandi sungai dan lain-lain aktiviti yang cukup adventerous hampir tidak ada. Yang banyaknya aku lihat, menunggang motor ke sana ke sini. Minyak murah agaknya.. Oh! Ya tak ya! Getah sekarang kan naik harga..hehe

Banyak lagi kalau nak dikenangkan. Dan panjang lagi kalau nak diceritakan. Tapi aku rasa lain kali mungkin jika ada kesempatan akan menceritakan kembali dengan bahasa dan ayat-ayat yang lebih tersusun. Semoga kesempatan itu akan muncul, insyaAllah.. Dan aku akan bercerita lagi..