Monday, May 13, 2013

MENJERNIHKAN SALAH FAHAM TERHADAP PERJUANGAN KEBANGSAAN




Tulisan berwarna biru adalah daripada tuan blog.-harap maklum.

Artikel berikut ini dirumikan daripada tulisan di dalam ruangan Hal Ehwal Tanahair, Majalah Qalam bilangan ke 3, Oktober 1950, m/s 38-41.

Mempelajari sejarah daripada majalah2 lama seumpama menyaksikan sendiri ketika sejarah itu terjadi-alfindani

***




PERJUANGAN KITA:- MELAYU ATAU MALAYAN
Oleh : Dr. Burhanuddin Al-Helmi

(Sesiapa yang belum kenal Dr. Burhanuddin boleh mula menggoogle selepas ini)

Dasar Dan Tujuan Perjuangan

Tiap2 sesuatu perjuanganitu mesti ada anggar dasar dan tujuannya yang teguh dan nyata didasarkan di atas hak dan keadilan.

Misalnya perjuangan agama seperti Islam jika kita simpulkan dasarnya ialah Tauhid Al-Khaliq (mentauhidkan Allah yang Maha Pencipta) dan tujuannya keselamatan dunia akhirat.

Perjuangan kebangsaan dasarnya ibu pertiwi (watan-natus-nasci) dan tujuannya kemerdekaan penuh bagi anak dan ibu pertiwi (bangsa dan nusa) dalam erti kebebasan dan kemerdekaan.

Perjuangan kebangsaan Melayu dasarnya seluruh ibu pertiwinya dan tujuannya kebebasan dan kemerdekaan penuh bangsa dan nusanya. 

Tiap2 perjuangan itu mesti ada rancangan yang teratur tetap dan nyata seperti rancangan permulaan, menengah dan kesudahan.

Mana2 perjuangan yang tak terang dasar, tujuan dan rancangannya bukan sahaja akan mengelirukan pengikutnya malah mudah sekali dikelirukan orang2 sehingga gagal dan menjadi tunggangan kepentingan orang lain.

Perjuangan Melayu Ragu2 Sekarang.

Saya telah berulang-ulang menerangkan dan membentangkan perjuangan Melayu yang sebenar dan perjuangan Malayan. Tetapi kerana permintaan yang bertalu-talu dan memandangkan ada golongan bangsa kita yang ragu2 keliru dan bingung dimain dan dilambung oleh gelora pergolakan politik Tenggara Asia –faham Timur dan barat- lebih2 lagi gelora Darurat di tanahair kita yang berlaku sekarang- tawarikh (sejarah) dunia menunjukkan berulang-ulang bahawa kekalahan besar bagi sesuatu bangsa itu saban kali berlaku ialah oleh kecuaian, kelemahan dan ketewasan dalam kaum itu sendiri lebih dahulu daripada dikalahkan oleh musuh.

Kerana keadaan perjuangan kebangsaan kita sesama kita maklum, maka saya perlukan mengulang-ulangnya lagi. Untuk menolakkan keraguan dan kekeliruan dan memperingatkan supaya perjuangan kebangsaan Melayu yang telah diperjuangkan selama ini yang dipusakai turun temurun telahpun memakan penderitaan dan pengorbanan yang tak sedikit jangan hendaknya terpesong dan terkandas atau tenaga perjuangan kebangsaan Melayu (National Forces) yang telah diperjuangkan selama ini bertukar menjadi tenaga perjuangan dan kepentingan orang lain (bukan Melayu), hal ini mungkin terjadi jika tidak lekas disadari atau disadarkan lagi yang mana akibahnya (akibatnya) sangat2 buruk yang akan dikutuk oleh anak cucu Bangsa Melayu di belakang hari.

Perjuangan politik kebangsaan Melayu yang sehabis-habis kencang dalam sejarahnya di zaman yang akhir ini ialah dimulakan sesudah Perang Dunia Kedua. Dengan berlakunya pembubaran dan sekatan badan pergerakan Melayu yang progresif dan tinggal gerakan kanan Melayu yang telah bertelingkah dan timbul pula rancangan Jawatankuasa Perhubungan Kaum (CLC) maka panaslah soal perjuangan Melayu atau Malayankah? Bangsa Melayu tertanya-tanya ke mana mereka dipimpin!

Kita boleh ringkaskan sahaja kesimpulan perjuangan kebangsaan Melayu itu pada pesan Laksamana Hang Tuah “Tak Melayu Hilang Di Dunia” tegasnya mengawal dan memelihara wujud, keturunan, nama kehormatan kedaulatan dan keagungan Melayu jangan lenyap dan hilang malah timbul, kembang megah dan cemerlang di muka dunia setaraf dengan bangsa2 lain yang hidup dan mulia.

Perjuangan kebangsaan Melayu bukan diundur ke belakang ke zaman keagungan yang lampau atau mara ke hadapan sampai terbabas menjadi Malayan yang diperjuangkan oleh orang dagang atau maslahat dagang tetapi perjuangan kebangsaan Melayu mestinya berdiri tegak dan bulat mempertahan dan memelihara hak dan keadilan turun temurun bangsa dan nusa Melayu.

Datang Potugis menjajah tanahair kita datuk nenek kita terus mempertahankan Melayu seperti kata Hang Tuah itu. Datang penjajahan Belanda demikian jua sikap yang diteruskan oleh datuk nenek kita.
Datang Inggeris kita dapati semua triti2 (perjanjian2) diperbuat dengan Raja2 Melayu tidak ada samasekali dengan Malayan.  Hal ini amat nyata dan terang Melayu bertriti dengan Inggeris dan Inggeris berjanji melindungi negeri2 Melayu. Melayu tetap menghormati janji dan menghormati orang2 dagang daripada apa bangsa jua.

Melayu tetap berdiri dan berpegang “Malaya hak Melayu” bukan “Malaya hak Malayan”. Orang Melayu belum pernah menyebut-nyebut apa lagi memperjuangkan cogan yang akhir ini (iaitu slogan Melayu hak Malayan atau kini Malaysian Malaysia).

Sebelum Perang Dunia Kedua tidak pernah orang Melayu memanggilkan dirinya Malayan atau menamakan kelab, perkumpulan, persekutuan, persatuan atau sebagainya dengan nama Malayan tetapi semuanya memakai nama Melayu atau Inggeris “Malay’ seperti Persatuan Melayu, Kesatuan Melayu, Persidangan Agung Melayu, Kongres Melayu Seluruh Malaya, Brunei dan Sarawak.

Hinggakan setelah Perang Dunia Kedua timbul pergerakan Melayu yang berterus terang dan progresif itupun memakaikan nama Parti Kebangsaan Melayu. Dan kemudian timbul lagi Kebangsaan Melayu Bersatu.

Tegasnya, dari sifat berseorang-seorang, berkelab, ber’association’, ber’organisation’, berparti maka Bangsa Melayu semua memakaikan nama Melayu atau Inggerisnya “Malay” sebagaimana bangsa asing itu berkelab, berkumpulan, berpersatuan memakai dan merupakan bangsanya (Nationality) maka demikian jua bangsa Melayu memakai dan merupakan bangsanya iaitu puak dan nationalitinya, maka bukanlah bangsa Melayu itu merupalan puak sahaja (Community) atau “race” tetapi sebenarnya merupakan “bangsa” (Nationalaity) atau hasrat Kebangsaan Melayu (Malay Nation).
Ingatlah riwayat Melayu menentang Malayan Union.


Perjuangan Malayan.

Bila dan bagaimana timbulnya Malayan dan perjuangannya itu bukanlah soal baharu tetapi semenjak nama Semenanjung Tanah Melayu ini ditukar namanya Malaya. Maka yang bersifat dan bernisbah kepada Malaya disebut Malayan seperti India jadi Indian, Amerika jadi American, Indonesia jadi Indonesian dan sebagainya.

Menurut makna atau terjemah yang telah dipakai dari mula2 memakaikan perkataan Malayan itu bererti Melayu sahaja tetapi perkara dan kebenaran mesti diingati sebagaimana yang telah diterangkan. Orang atau bangsa Melayu tak pernah memakaikan Malayan itu Melayu kerana bangsa Melayu bertetap berbangga dan bermegah dengan sebutan nama Melayu atau “Malay”. Walaupun menurut istilahnya dahulu Melayu yang mesti memakaikan sebutan Malayan itu bukan orang lain sebagaimana yang terpakai pada ketentuan MCS itu. ( Saya meyakini MCS adalah singkatan bagi Malayan Civil Service.Boleh rujuk di SINI dan SINI atau SINI ) -alfindani. Update 10/05/2014

Siasah pintu terbuka Inggeris berjalan terus. Buruh2 dari berbagai jenis dibawa masuk. Modal luar dimasukkan ke Malaya. Pasar dan pekan dipenuhi oleh orang dagang. Orang Melayu terdesak ke kampung2 maka sekolah2 dan peluang ekonomi terbuak dengan luasnya kepada orang2 dagang itu. Maka lapangan ekonomi dan pelajaran orang daganglah yang mendapat peluang yang baik dan berkedudukan yang mewah..

Manakala …  (bersambung) di SINI