Sunday, July 31, 2011

RAMADHAN DAN HAKIKAT SEBUAH KEHIDUPAN

Esok Ramadhan bakal datang lagi. Di depan pintu umur kita yang semakin berkurang. Tidak pasti, apakah kita sempat menikmatinya, ataukah maut terlebih dahulu datang menjemput kita.

Ada yang mungkin tidak sempat merasai Ramadhan kali ini. Ada juga yang mungkin sempat menyambut Ramadhan yang bertamu sekadar beberapa hari, lalu ia sendiri kemudiannya diusung pergi.

Sekitar 12 tahun yang lampau, anak bulan Ramadhan baru memasuki usia 5 hari, dan tiba-tiba aku dikejutkan dengan satu pesanan daripada seseorang, ”Ada panggilan untuk enta!”.

Aku yang ketika itu bertugas menjadi Imam Tarawih di sebuah Institut di Bandar Ilmu di Selangor masih tidak merasakan sesuatu yang pelik. Ingatkan sekadar panggilan yang biasa daripada orang tua di kampung. 

Maklumlah, sudah hampir setahun juga aku tidak pulang ke kampung sekalipun pada waktu cuti pengajian demi menumpukan kepada hafalan Al Quran.

Bercakap melalui public phone yang terlekat pada dinding kantin, aku dimaklumkan satu berita yang mengejutkan. Kematian abangku yang baru berusia 22 tahun akibat kemalangan semasa hendak ke Alor Star bagi membeli kelengkapan sebelum memasuki Politeknik.

Aku sekadar terpaku dan fikiran menjadi kosong.

Kakakku yang bercakap di hujung talian mengabarkan agar aku menunggu kerana sekejap lagi suami kepada sepupuku yang tinggal berdekatan akan datang mengambilku untuk dibawa ke rumah abangku di Sungai Buloh untuk bersama-sama pulang ke kampung.

Fikiran dan jiwaku benar-benar kosong. Tanpa rasa sedih atau apa-apa perasaan yang menerkam. 
Khali.

Sampai waktunya suami sepupuku datang mengambilku di petang tersebut, aku melangkah ke perut kereta setelah memberitahu sahabat yang turut bersama menjadi Imam Tarawih bahawa aku hanya sekadar pulang sebentar dan akan kembali lagi dalam beberapa hari.

Dan kereta terus meluncur laju menuju ke Sungai Buloh membawa aku yang terdiam membisu di dalamnya sedang cuba menyusun kembali fragmen-fragmen kenangan bersama abangku yang kini tiada lagi. Namun realitinya, kenangan-kenangan itu amat bercampur baur seolah-olah selerakan jigsaw puzzle yang berlukisan abstrak gambarnya.

Sesampainya di rumah abangku di Sg. Buloh, kelihatan beliau dan keluarganya serta seorang lagi abangku yang masih bujang telah bersedia di sisi van, lalu di maghrib itu van yang dipandu abang sulungku terus memecut laju menghala ke utara.

Menempuh perjalanan ratusan kilometer menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan, kami hanya menjejakkan kaki di rumah pada jam hampir 1 pagi. Dan kami hanya sekadar berpeluang menatap tikar tempat jenazah dibaringkan buat kali terakhir di dalam rumah, kerana Allahyarham telahpun selamat dikebumikan. 
Semoga Allah sentiasa merahmatinya dan menjadikan pusaranya satu taman daripada taman-taman syurga. Ameen.

Demikianlah..

Hidup kita ini sudah ditentukan batas ajalnya. Maut akan menjelma, meskipun kita masih muda, semangat masih menyala-nyala, kudrat masih bertenaga. Dan aku telahpun melihat kematian demi kematian yang menimpa abangku, sepupuku, teman sepergaulanku yang hampir berdekatan waktu mereka, sedangkan kami kala itu masih muda remaja. Maka keindahan dunia yang manakah yang akan menjadikan aku tertawan padanya setelah semua hakikat kehidupan itu telah terpampang di hadapan mata...
”dan sesungguhnya akhirat itu benar-benar lebih baik buatmu berbanding dunia..” ( Ad-Dhuhaa)

Saturday, July 30, 2011

MURAQABAH

Wahai fulan!

Tatkala bersendirian,
dan nafsu mengajakmu bermaksiat kepada Tuhan,
apakah seharusnya kau lakukan?

ISLAMKAN DIRI WAHAI MUSLIM!

kita,
mengharapkan pemerintah umpama para khalifah,
sedang kita,
tidak seperti rakyatnya para khalifah.

baiki diri kita,
kan baik nanti pemerintah kita.

katamu:
itu jalan jauh, dan lambat pula.

kataku:
inilah jalan terpantas,
dan hasilnya tuntas!

hari ini menanam durian,
jangan mimpi esok sudah dapat dimakan.

PARA POLY-TIKUS DAN NEGARA LABU

Negara sudah lama merdeheka*,
rakyat kian cacamerba..

politik huru hara,
hu sini, ha sana,
huha huha.

politikus damba pengaruh,
rakyat berbunuh-bunuh.
bodoh!

"pejuang" bangsa cari kaya,
"pejuang" agama gadai agama,
Si Dajjal menanti masa!

engkau ingin negara sejahtera?
bawa ke laut para politikus,
campak saja!


*bahasa kitab lama bermaksud "merdeka".

IKHLAS NIAT

jiwa bolak-balik,
di celahan jari penulis,
dan aku adalah sebatang pena..

diam!
jangan sekadar lihat zahirku!
batinku, Ah! Apa urusan denganmu?

menulis kerna apa?
dulu bukankah hanya catatan semata?
apakah kini pemuas dahaga pembaca?

muhasabah!
dan engkau kenal aku bukan?
kenalan lamamu...
bertahun dahulu,
waktu kita masih "baharu"..

jiwa kita memang begini,
sekejap ke kanan,
sekejap ke kiri..
berhenti! teguhkan kaki!
niat murni Dia ketahui..

KERUH DUNIA DAN HARUM MAWAR SYURGA

Dunia yang keruh..
akhirat yang dirasakan jauh..

hidup yang terkejar-kejar,
maut yang sentiasa mengejar..

Para kekasih telah pergi,
rindu masih berbaki...

***

mengapa engkau tidak lagi seperti dahulu?

ingat aku..

Ah, tidak!
Kerna aku ingin hanya Dia di hatiku..

Nanti!
Aku akan pergi!

KEZALIMAN

wahyu turun..

"mereka yang tidak mencampurkan kezaliman bersama iman mereka,
bagi mereka keamanan dan mereka itulah yang mendapat petunjuk.."

dan para Sahabat menangis..

Oh Sahabatku! Mengapakah kalian menangis?

Ya Rasulullah!..
Siapakah di antara kami ini yang tidak pernah melakukan kezaliman?..
Itulah yang kami tangiskan..

Rasul memahami.
Dan sememangnya Rasul sangat memahami..
Bukanlah ia seperti yang kalian fahami wahai Sahabat yang tulus..
Ia adalah seperti ucapan hamba yang soleh:

"Sesungguhnya Syirik itulah kezaliman yang amat besar!"

***
Ajaib!

Sebahagian orang bertempik menentang yang dikatanya kezaliman,
Bersekongkol dengan munafik dan kuffar penyangkal Tuhan,
Ayat dan Hadis menjadi mainan,
Fitnah dan dusta ibarat makanan.

Kasihan..

Kezaliman apa yang kalian tentang,
sedang kesyirikan kalian kompromikan?

HANYA TIBA-TIBA!

Hanya tiba-tiba!
dan aku ingin kembali belayar,
setelah kapalku kepatahan layar,
namun sauhnya tetap juga ku angkat!

apa mimpinya ini?
dan aku masih tetap jaga,
bagaimanakah mimpi dapat menjelma?

diam!
ribut kiamat akan menyerbu ke sini!
engkau!
mari pergi!

HIDUP BERJUANG

jika hidup adalah perjuangan,
hairan!
ke manakah menghilangnya para pejuang?

MERAHSIAKAN DOSA

Oh fulan!

Jika engkau telah berdosa,
jangan tambah dosamu dengan menceritakannya.

Jangan!
Jangan ceritakan ia pada sesiapa jua!
Jangan pula dengan satu alasan juga!
waimma katamu; "Aku hanya ingin meminta nasihat,
kerana itu aku menceritakannya.."

Tahan lidahmu!
Jangan siarkan rahsiamu,
dan jangan mengadu!
Selain kepadaNya yang Maha Mendengarmu,

di kesepian malam, curahkan!
curahkan kesalmu yang terpendam,
penyesalan dosa semalam,
serta jutaan dosa nan silam,
dalam limpah nikmatNya yang tak berkesudahan,

dan engkau! Dengan nikmat itulah,
terus bermaksiat kepada Allah!

TABIR KASIH SAYANG TUHAN

Oh engkau yang patut dikasihani!

jika Tuhan telah menutupi dosa-dosamu dengan seribu tabir kerahmatanNya,
janganlah pula engkau berani mencarik-carikkannya!

Dosa yang engkau lakukan dengan sembunyi,
dengan yakinmu akan dosanya,
lebih mudah bagiNya untuk mengampuni,
melainkan engkau meremehkannya.

HAKIKAT HIDUP

dunia adalah jambatan ke akhirat.
bersusah payah di dunia,
dan kelak mudah-mudahan senang di sana.

namun celakanya kita ini,
ingin membina dunia kita dengan meruntuhkan akhirat kita,
tapi akhirnya dunia tidak terbina,
akhirat pula yang rosak binasa.

Tuesday, July 19, 2011

POLITIK BIJAKSANA


Kerajaan tak sentiasa betul selamanya,
Pembangkang pula jangan membangkang segalanya.

Membangkang biarlah berfakta,
Menyokong pula jangan membabi buta.

Yang ringan sama dijinjing,
Yang berat sama dipikul.

Berganding bahu di dalam kemakrufan,
Bertolong bantu mencegah kemungkaran.

Saudara seIslam patutlah diutamakan,
Seruan perpaduan jangan tak diendahkan.

Dengan Non-Muslim boleh kerjasama,
Jangan prinsip digadaikan pula.

Agama bukan sekadar jenama,
Lihat juga isi dan rasanya.

Berpolitik perlukan bijaksana,
Bukannya ceramah gegak gempita.

Politik itu ilmu mentadbir,
Bukannya ilmu ta'bir menta'bir.

Pandai berceramah belum tentu pandai mentadbir.
Kerana modal ceramah hanya lidah dan bibir.

Mengkritik dan membangkang memang mudah,
Bertindak dan mengurus, itu yang payah.

Ulama mendidik penguasa,
Penguasa melaksana suruh agama,
Rakyat taat tanpa prasangka.

Itu barulah politik bijaksana,
Negara kan maju, Allah pun redha.




Tuesday, July 12, 2011

DI MANAKAH PINCANGNYA DEMOKRASI? - 2

Baiklah!

Aku akan menulis secara ringkas sahaja dulu. Jika ada waktu yang memadai barulah aku akan cuba memperpanjang lebarkannya, insyaAllah.

Di antara kepincangan-kepincangan demokrasi adalah:-

1. Memberi hak memilih pemimpin kepada setiap orang.

Ini adalah kepincangan yang sangat bertolak belakang dengan cara memilih yang digaris bawahkan secara umum oleh ajaran Islam. Perlu kita bezakan, hak memilih pemimpin tidaklah boleh disamakan dengan hak menasihati pemimpin. Menasihati pemimpin tidaklah akan menyebabkan kepimpinan berada pada kemungkinan boleh terlepas kepada genggaman orang yang tidak layak, berbeza dengan hak memilih pemimpin dengan cara mengundi yang diamalkan sistem demokrasi.

Kenapa kita katakan hak mengundi yang akan menabalkan seseorang pemimpin berdasarkan bilangan undi terbanyak adalah satu kepincangan demokrasi? Alasannya seperti berikut:-

1. Urusan kepimpinan adalah satu urusan yang sangat agung seperti yang telah disinggung di dalam mukaddimah. Sedangkan hak mengundi membolehkan setiap golongan masyarakat yang terdiri daripada orang awam menabalkan pemimpin. Di dalam ajaran Islam, memilih pemimpin bukanlah semudah memangkah pada kertas undi sahaja. Ia memerlukan pengetahuan dan pemahaman yang mendalam berkenaan kriteria kelayakan seorang pemimpin seperti yang digariskan oleh Islam. Ia turut memerlukan kefahaman ilmu usul bagi menimbang manfaat dan mudharat, ilmu jarh wa ta'dil dalam menilai peribadi calon yang difikir layak dan lain-lain cabang ilmu yang banyak.Secara ringkasnya ini adalah martabat para ulama. Para ulama lah yang sepatutnya mengangkat pemimpin, seterusnya memandu mereka di atas panduan Islam. Itulah cara yang sebenar. Sedihnya, di dalam Parti berlabel Islam pun menggunakan sistem undian suara terbanyak ini di dalam pemilihan pemimpin mereka.

Hak memilih pemimpin yang diberikan kepada orang awam mengikut sistem demokrasi menjadikan urusan diserahkan kepada mereka yang bukan ahlinya (urusan memilih pemimpin) yang akhirnya menyebabkan urusan kepimpinan itu sendiri akan diserahkan kepada bukan ahlinya. Lalu terjadilah apa yang disebut Rasulullah SAW yang bermaksud: "Apabila amanah diserahkan kepada bukan ahlinya, maka tunggulah As-Sa'ah" ( segolongan ulama menafsirkan saat disini adalah saat kehancuran urusan tersebut. Manakala majoriti ulama mengatakan maknanya adalah kiamat).

Bersambung...

Monday, July 11, 2011

DI MANAKAH PINCANGNYA DEMOKRASI? - MUKADDIMAH

Bismillah.

Urusan kepimpinan adalah urusan yang sangat agung dan penting. Kerana itulah ia dikenal dengan sebutan "Imamatul 'Uzhma". Dek kerana begitu agungnya urusan ini di dalam agama, maka para Sahabat telah mendahulukan urusan melantik pemimpin -iaitu Khalifah- sebelum urusan menyemadikan jasad Baginda SAW yang mulia itu.

Bermula itu, dilantiklah Abu Bakr radhiyallu 'anhu sebagai Khalifah Umat Islam yang pertama. Beliau digelar Khalifah yang bererti Pengganti, kerana kedudukannya sebagai pengganti tugas-tugas Nabi SAW di dalam menguruskan Umat dan menegakkan agama, iaitulah apa yang disebut sebagai "Iqaamatuddin wa Siyasatuddunya" yang bermaksud "Menegakkan agama dan mentadbir dunia". Ini disebabkan para Rasul sebelum Nabi kita SAW, tatkala wafat seorang mereka, maka akan disusuli oleh Nabi dan Rasul yang lain. Namun, oleh kerana Rasulullah SAW adalah Penutup Segala Nabi dan Rasul yang tiada lagi sesudah Baginda Nabi yang lain, maka yang akan meneruskan tugas yang mulia itu adalah Para Khalifah, yakni Pengganti Nabi SAW di dalam segala tugasnya melainkan saja Kenabian tidak akan diberikan kepada mereka.

Demikianlah. Aku menyebutkan sejarah disebalik munculnya penggunaan perkataan Khalifah itu, kerana ada segolongan manusia yang bersemangat mengembalikan Sistem Kekhalifahan -dan itu adalah niat yang murni baik- dengan membataskan pemimpin itu dengan perkataan Khalifah sahaja. Maka itulah sebabnya aku catitkan sebagai ingatan. Sedangkan yang benar adalah disebutkan pemimpin itu sebagai Imam. Adapun gelarnya, boleh jadi saja seorang Presiden, Perdana Menteri, YDP Agong, Sultan, Raja, Cansellor dan sebagainya, tertakluk kepada konteks negara, zaman dan suasana. Berkenaan seorang Imam tunggal mentadbir dunia sejagat di bawah sistem Islam, maka ia tidak akan berlaku lagi sehinggalah ditabalkan Imam Mahdi. Ini bukanlah ungkapan pesimis, tetapi berdasarkan realiti dan pemahaman hadith oleh para ulama.

Nah! Kita akan cuba memfokuskan, bagaimanakah Para Khalifah bermula Sayyidina Abu Bakr itu dipilih. Dan kita akan cuba pula membandingkan apakah sistem demokrasi yang diamalkan di dalam banyak negara di dunia termasuk negara kita ini dengan pemilihan yang ditunjukkan Para Sahabat dan generasi kurun yang terbaik itu lebih bagus di dalam urusan ini atau sebaliknya. Seterusnya kita akan cuba mencari ide melakar jalan bagaimanakah seharusnya pemilihan yang terbaik patut diamalkan di dalam konteks Malaysia.. Dan lain-lain lagi, insyaAllah.