Thursday, May 9, 2013

BANGSA MELAYU - MARILAH BERSATU! ( EDISI RUMI )





Artikel berikut ini dirumikan daripada tulisan di dalam ruangan Hal Ehwal Tanahair, Majalah Qalam bilangan ke 4, November 1950, m/s 35-37. Edisi jawi artikel ini pada entri sebelum entry ini.

Di samping menyelami matlamat penulis melalui rencana tersebut, perhatikanlah juga keindahan kalimah dan susunan bahasa Orang Melayu zaman dahulu.

www.alfindani.blogspot.com

***

BANGSA MELAYU - MARILAH BERSATU !
Oleh: ‘Idrus

Merata-rata tempat penduduk di dalam dunia ini hari ini memandang bahawa hal ehwal yang berlaku di dalam dunia sekarang ini telah memberi satu tanda atau corak membawa kepada Perang Dunia yang ketiga, jika belumpun mulai tetapi riak2nya telah menunjukkan bahawa keadaan itu telah bercambah, seperti telur di hujung tanduk, menunggu saatnya jua lagi yang dapat kita perhatikan di atas kegentingan yang terbit daripada perjuangan di Korea dan lain2 bahagian di dunia ini.

Di sini saya tidak membawa siapakah yang memulai peperangan itu kelak kerana yang demikian itu bukannya tujuan saya menulis ini tetapi yang patut diperhati, menurut pandangan saya, bahawa kekusutan yang berlaku itu dan jika ia merebak kelak, tentulah akan membawa pula kesan dan perubahan kepada kedudukan kita Orang Melayu – sekali air gedang (pasang besar) dua tiga tepian beralih.

Sungguhpun keadaan hari ini belum sampai kepada peperangan besar itu tetapi kesan2 kejadian itu sudah tentu membawa pula kepada beberapa rancangan yang bakal mengenai kedudukan Orang2 Melayu pada masa hadapan. Hal yang demikian ini nampak dengan terangnya kita lihat dan kita perhati hari ini sudahpun dimulai orang dan orang kita Melayu sekalipun telah dipelawa tetapi pelawaan itu tidaklah bermakna samasekali telah meliputi kehendak2 dan kemahuan bangsa kita Melayu.

Kita Orang2 Melayu telah tertinggal dan terbiar dalam masa sebelum Peperangan Kedua yang lalu yang menjadikan kita dengan mudah dibuat dengan sekehendak hati orang – dengan mudah kita dipaksa atau terpaksa menerima sebahagian daripada perkara2 yang kita tidak gemari. Kejadian2 yang demikian itu patutlah sekarang menjadi cermin bagi keselamatan kita, cermin bagi faedah kita, cermin bagi menjauhkan kita daripada menerima dua kali sebagai anak ayam yang kehilangan ibu dengan tidak mempunyai pertadbiran atas hal ehwal mereka bertempiaran kesana kemari sehingga jika di dalam masa itu negeri2 yang lain mendapat perubahan2 yang memuaskan, sekalipun setengah2nya telah menumpahkan darahnya seperti di Indonesia itu, tetapi nasib dan kedudukan kita tarafnya semakin buruk daripada kedudukan sebelum perang dahulu.

Kejadian2 ini tidak lain dan tidak bukan sebabnya ialah oleh kerana sebelum Perang Dunia yang Kedua dahulu kita leka; kita tidak berapa mengambil endah perihal ehwal tanahair kita, masing2 kita nafsu nafsi: yang kaya sedap dengan kekayaannya, yang berpangkat tenggelam di dalam pangkat dan kebesaran2nya, anak raja2nya tidak ambil hirau hal ehwal rakyatnya bahkan setengah2nya mereka leka dengan kekuasaan dan kegembiraan untuk kesenangan diri mereka. Persatuan dan persefahaman umat jauh sekali dan akhirnya kita menderita, kita di dalam nama sahaja tuan rumah tetapi pada hakikatnya kita telah jadi tukang kebun – orang yang menumpang, dan inilah yang digelar oleh wartawan2 Melayu dahulu dengan sepatah perkataan yang mengandung makna yang luas; “Terbalik”.

Oleh sebab itu maka semolek2nya di dalam keadaan dunia yang sedang genting ini, di dalam keadaan kancah yang sangat2 keruh, ketua2 Orang2 Melayu hendaklah mencari jalan bersefahaman di antara satu dengan lain bertukar2 fikiran dengan cukup mesra dengan nama yang satu iaitu dengan nama Bangsa Melayu. Bersefahaman itu adalah lebih memberi bekas dengan menjauh dan mengikis samasekali perasaan2 yang nampaknya tertanam atas perselisihan faham di antara Orang2 Melayu sesama Melayu iaitu faham yang tidak molek lagi dijalankan kerana merugikan kita pada masa yang akan datang.

Faham berkiri dan berkanan yang telah memisahkan di antara golongan Orang2 Melayu itu mestilah dihapuskan dan masa ini patutlah sesiapa daripada pertubuhan2 yang kuat hendaklah menghulurkan tangannya kepada yang lemah, membawa mereka bersatu faham untuk menjadikan keselamatan dan faedah Orang2 Melayu. Kebiasaan yang tidak hendak berhulur bertarik itu hendaklah dikikis daripada hati2 Orang Melayu. Perasaan2 dendam dan perasaan2 memandang rendah di antara satu dengan lain mestilah dijauhkan dan dikikis daripada perasaan Orang2 Melayu oleh kerana keadaan hari ini telah tidak membenarkan lagi perasaan2 yang demikian itu bermaharajalela di dalam hati orang kita Melayu.

Persatuan di antara orang2 yang berfaham kiri dan kanan itu masa ini hendaklah diadakan dengan segera. Pandangan2 yang tidak hendak menghulurkan tangan mereka kepada yang kiri sebagaimana yang telah lalu itu mestilah ditukar kepada suatu kerjasama supaya di dalam keadaan yang genting ini hal ehwal Orang2 Melayu dapat difikir dan ditimbang bersama2, dapat dihalusi bersama2, supaya meliputi kehendak dan kemahuan Orang2 Melayu dengan berdasar kepada Undang2 Tubuh yang di dalamnya ada memberi hak kepada puak2 kecil yang sepatutnya mendapat layanan tetapi dengan syarat tidak merosakkan kedudukan dan hasrat Orang2 Melayu.

Dengan adanya persatuan di antara Orang2 Melayu sesama Melayu itu maka di dalam keadaan yang sangat mengkhuatirkan kita hari ini samaada di dalam perkara2 di luar daripada Tanah Melayu ataupun perkara2 yang berlaku di dalam Tanah Melayu sendiri, dapatlah hendaknya kita menyatukan tenaga kita kerana menuntut janji2 yang manis yang telah dibuat kepada kita kerana kita, kerana faedah kita, - bukannya kerana faedah anak2 dagang atau faedah orang lain.

Kita Orang2 Melayu tidak akan mendapat faedahnya janji2 hendak memberi Semenanjung Tanah Melayu ini berkerajaan sendiri jika di antara kita sesama kita tidak bersatu dan tuntutan2 serta desakan kita tidak kuat disebabkan oleh suara dan kekuatan kita berpecah, perpecahan kita sesama kita itu sememangnya dijadikan suatu cita2 oleh orang2 yang menumpang di sini supaya mereka dapat memungut dan mendapat hasil2 daripada perjanjian hendak memberi pemerintahan sendiri di Malaya dengan Orang2 Melayu di Semenanjung ini hanya akan melumu telunjuk jua.

Janji2 yang diberi untuk memimpin anak negeri (Melayu) bagi melayakkan diri mereka boleh memerintah sendiri yang belum pun sedikit jua ditunaikan semenjak Perjanjian Federation itu dibuat patutlah dituntut dengan kuatnya oleh Orang2 Melayu kerana jika dipandang keadaan hari ini maka janganlah hal ehwal yang membawa kepada “melayakkan memerintah sendiri” itu digalakkan tetapi orang2 yang bakal mengisi tempat2 yang dikosongkan oleh pegawai2 tua di dalam sesuatu daerah di Tanah Melayu itu pun boleh dikata tidak terisi kerana pabila ada sahaja terbuka peluangnya kosong maka tempat2 itu terutama jawatan2 ketua jabatan diganti oleh pegawai2 putih.

Yang demikian ini adalah sebesar2 kerugian kepada Orang2 Melayu! Orang2 Melayu wajib memerhati keadaan2 yang terjadi dengan halus dan saksama. Pertelingkahan faham patut dihapuskan supaya mulai hari ini dapat dibina usaha2 bagi membina kedudukan mereka bagi menghadapi sesuatu kejadian bagi mengawal keselamatan mereka pada masa yang akan datang.

Kita hari ini mesti memerhati dengan saksama kepada perkara2 yang berat di luar tanahair kita dengan hal ehwal keganasan yang berlaku hari2 di dalam negeri kita. Kita wajib mengadakan persediaan menghadapi segala kejadian itu sebab jika terjadi sebagai keadaan masa yang lalu maka yang menjadi korban bukan orang lain tetapi kita Orang2 Melayu yang telah menderita. Kita Orang2 Melayu yang telah menjadi umpama “pelanduk yang terhimpit kerana gajah sama gajah berjuang”! Kita Orang2 Melayu yang telah menderita oleh perbuatan2 keganasan yang setengah2nya dibuat oleh orang2 yang tinggal di negeri kita!

Yang demikian ni janganlah hendaknya berlaku lagi. Kita hendaklah bersiap sedia bersatu padu menghadapi perkara2 yang akan berlaku dengan hebatnya itu. Marilah kita bersatu, jauhkanlah segala2 yang merugikan kepada kita kerana marabahaya telah hampir di pintu rumah kita. Marabahayanya menurut pendapatan dan fikiran saya akan “memecah” tidak berapa lama lagi dengan membahayakan keselamatan dan kesejahteraan kita dan anak2 kita.

Bersatulah! Kerana dengan bersatu itu dapat menguatkan kedudukan kita, hilangkan yang keruh ambil yang jernih! Adanya.

Tamat.

BANGSA MELAYU - MARILAH BERSATU !


Ini adalah seruan yang ditulis di dalam Majalah Qalam, bil ke 4, November 1950.

Sila klik kanan pada gambar (Open Link in A New Tab) dan besarkan (zoom in) untuk membaca.




p/s: Harap maaf senget2. Mohon sediakan balm untuk disapu pada urat leher setelah selesai membaca.
p/s 2: kalau ada kelapangan masa akan saya rumikan bagi bacaan mereka yang tidak biasa dengan jawi fesyen lama..