Sunday, October 10, 2010

TENTANG LAGU...

Terdapat banyak pendapat yang berkisar tentang lagu, nyanyian dan alat muzik. 
Masing-masing kelompok punya dalil dan istinbatnya. Seharusnya bagi para awam seperti kita ini tidak cuba menjadi jaguh dengan secara melulu mengharamkan apa yang tidak qatie haram. 

Saya menulis ini kerana melihatkan kecenderungan sebilangan pemuda yang memuatkan semua yang bernama lagu dan nyanyian ke dalam satu bakul berlabel haram tanpa mengambil tahu dalil dan sebab-sebab mengapa sesuatu hukum itu berlaku. 
Lalu mereka memandang kelompok yang mengharuskan sebagai terlempar dari jalan kebenaran.

Wahai fulan! 
Kami katakan, sesungguhnya kelompok yang mengharamkan adalah sebilangan ulama, dan kelompok yang mengharuskan juga adalah segolongan ulama. Maka hormatilah mereka. 

Dan saya tidak bermaksud menghidangkan perbahasan yang akan memanjangkan kalam kerana tujuan penulisan ini adalah bagi membetulkan sikap dan cara berfikir sebahagian orang.
 
Ringkasnya , ketahuilah bahawa lagu dan nyanyian itu harus dengan syarat-syaratnya dan haram atau makruh dengan sebab-sebabnya. 

Sesiapa yang menginginkan perbahasan yang sempurna maka ia bolehlah meneliti karangan-karangan yang membahas masalah ini seumpama kitab-kitab Dr Yusof Al-Qaradhawi yang membentangkan setiap pendapat lalu mendatangkan kesimpulan dari pendapat yang dipilihnya.

Jika engkau memilih untuk mendengar nyanyian setelah mengetahui syarat-syaratnya, maka sesungguhnya orang yang lebih baik daripadamu telah melakukannya.

Dan seandainya engkau memilih untuk tidak mendengarnya setelah memahami sebab-sebabnya, maka sesungguhnya mereka yang lebih baik daripadamu telahpun memilihnya. 

Namun, memaksakan pandanganmu ke atas orang lain, maka sesungguhnya ia bukanlah hal yang sewajarnya.