Tuesday, October 18, 2011

MA'RIFAH



Tuhanku,
mengenalMu buat aku berani,
mengenalMu buat aku kaya hati,
mengenalMu buat aku yakin diri,
mengenalMu buat aku ingin "pergi"..

TUJUAN MENULIS

Menulis untuk memandaikan diri.
bukan menunjuk-nunjuk pandai diri.

Menulis untuk berkongsi,
Jangan pula aib diri turut dikongsi.

Menulis untuk mengasah bakat,
bukan untuk menunjuk hebat.

Menulis untuk melepas "beban",
jangan sampai menampakkan bebal.

Menulis kerana diri sendiri,
bukan untuk dipuja puji.

Menulis untuk bersyukur pada Ilahi,
keistimewaan yang hanya pada insani.

MUHASABAH DIRI

Tak ingin aku menjadi Al-Hafiz,
di dada Mushaf tersembam menangis,
di tengah rumah "fitnah" tak tertangkis.

Tak ingin aku menjadi Sufi peratib,
di majlis zikir fikiran ghaib,
di pintu sendiri Dajjal mengintip.

Tak ingin aku menjadi Wali suci,
"fana" di alam Cinta Ilahi,
anak dan isteri tergadai diri.

Tak ingin aku menjadi sang Da'ie,
di Jalan Allah berkeliling negeri,
ibu ayah sendiri tidak dipeduli.

HELAH NAFSU

Rupa-rupanya,
rasa ingin terkenal masih melekat di jiwamu.

Rupa-rupanya,
ikhlas itu hanya mainan bibirmu.

Rupa-rupanya,
engkau masih mengharapkan sanjungan.

Rupa-rupanya,
engkau masih ingin disebut-sebut orang.

Kerana itu,
Diam!

MUNAJAT


Tuhan,
hari ini aku derhaka lagi,
kerana nafsuku sering merajai,
limpahkan aku rahmatMu,
tunjukkan aku jalan ke gerbang taubatMu,
terimalah aku,
jangan biarkanku terhalau jauh dariMu.

Tuhanku,
jika Engkau tidak mengasihiku,
maka kasih siapa lagi ku harap selain itu?

Tuhanku,
Engkau berjanji takkan menolak doa yang dizalimi,
maka inilah aku, hamba yang terzalimi,
dizalimi nafsu sendiri..

KEMBARA HIDUP

Mengingat kenangan lalu adakalanya melukakan,
meskipun terkadang memekarkan senyuman,
namun begitu mengapakah kita,
masih belum dapat berhenti mengimbas setiap kenangan
yang bertamu malam dan siang?

hidup hanyalah kembara hari ini,

dari jejak-jejak kenangan semalam,
menuju impian esok hari..

usah peduli dari mana engkau kemari,
namun perhatikan ke mana engkau akan pergi..

HAKIKAT

Cinta kan menjemput luka,
rindu kan menghampar nestapa,
seandai keduanya pada yang fana..

DALAM RENUNGAN

Dalam renungan,
 aku kembali terbayang wajahmu.

Dalam renungan,
aku kembali disengat hangat cintamu.

Dalam renungan,
dan kita tak mungkin kembali bersatu.

MEMBAJAK HATI


Membajak hati,
kerana kemaraunya lama sekali.

Hujan ma'rifah belum mengguyur,
dan bumi hatiku kontang.

Benih kebaikan di semaian,
menunggu masa dialihkan.

KENANGAN YANG TERSIMPAN

Mengingati dirimu,
kadangkala aku sendu.

Mengingati senyummu,
membangkitkan rindu.

Mengingati sendamu,
bikin aku terharu.

Namun semua itu,
hanya kenangan yang berlalu...

DALAM HATIMU

Dalam hatimu,
masih banyak debu.

Dalam hatimu,
masih kesat dan membatu.

Dalam hatimu,
masih gelap tanpa lampu.

Dalam hatimu,
masih tiada cinta Yang Satu.

Dalam hatimu,
masih bersarang cinta semu.

Dalam hatimu,
masih gemuruh amukan nafsu.

Dalam hatimu,
Oh Fulan! Kendalikan hatimu!