Kehidupan – Bil 19 –
Ogos 1957 – Muharram 1377
Kita mengucap syukur
kepada Allah bahawa hari ini Malaya telah merdeka politik, ekonomi dan
kebudayaan.
Benarkah demikian?
Pada hakikatnya tentu
belum semuanya. Kita telah diserahkan kemerdekaan politik, memang benar, tetapi
ekonomi masih dikuasai dan kebudayaan masih dipengaruhi.
Oleh sebab itu, hari
kemerdekaan 31 ogos 1957 ini bukanlah hari yang mengakhiri perjuangan kita yang
telah 400 tahun hidup di bawah tekanan penjajahan, yang kita sambut secara
besar-besaran hari ini ialah kemerdekaan politik, tetapi tak dapat tiada dialah
anak tangga untuk mencapai kemerdekaan yang lain.
Kemerdekaan kita dikatakan
telah dicapai secara perlembagaan. Tidak setitik pun darah yang mengalir untuk
mencapainya. Namun, dalam proses untuk mencapainya banyak pengorbanan yang
telah dilakukan.
Kemerdekaan adalah suatu
nikmat daripada Allah. Oleh itu kita sebagai hamba Allah hendaklah
memperlihatkan nikmat itu. Kita haruslah pandai menggunakan dan mengisi
kemerdekaan itu hingga benar2 kita dipandang sebagai bangsa yang merdeka dari
cengkaman asing.