Tuesday, September 27, 2011

QATADAH BIN DI'AMAH RahmatuLLAH 'alaih.

Kali ini mari kita mengenal secara ringkas seorang tokoh di dalam ilmu Tafsir Al-Quran.

Di dalam kelas Ulumul Quran pagi tadi kelas masih lagi berkisar sekitar bahagian  tafsir yang pertama iaitu Tafsir Bil ma'tsur atau Bir riwaayah dan para tokohnya. Dan telah sampai kepada perkenalan dengan Qatadah bin Di'amah, seorang Mufassir yang hebat.

Kitab yang digunakan adalah At Tibyaan fi Ulumil Quran karangan Syeikh Ash Shabuuni.


Berikut adalah yang dicatat semula daripada ingatan..
***

Qatadah bin Di’amah As Saduusi Al Bashri adalah seorang tabi’in yang hebat. Lahir pada 61 Hijriyyah.Beliau ini berkeadaan buta semenjak dilahirkan lagi. Kunyahnya Abul Khattab.

Menakung ilmu daripada Anas bin Malik dan segolongan Sahabat Nabi yang lain, juga daripada Penghulu Para Tabi’en, Sa’id ibn Musayyab.

Beliau menjadi lambang dari segi kekuatan hafalan dan kecerdikan. Kekuatan hafalannya amat menakjubkan sehinggakan apa saja yang didengarnya dapat diingati oleh hatinya.

Diriwayatkan daripada beliau katanya: “Tidak pernah samasekali aku berkata kepada orang yang berbicara kepadaku :”Tolong ulang kembali untuk saya!”. Dan apa sahaja yang didengar oleh kedua telingaku maka hatiku akan menyimpannya.”

Pernah beliau masuk berjumpa Sa’id ibn Musayyab untuk beberapa hari bertanyakan banyak perkara. Lalu Ibn Musayyab berkata kepadanya: "Apakah apa yang engkau tanya kepadaku itu engkau menghafaznya?"

Lalu jawabnya: “Aku bertanya kepadamu begini begini lalu engkau menjawab begitu dan begini”. Dan beliau menceritakan kembali kesemua apa yang ditanyakan olehnya berserta jawapan Sa’id kepadanya sehingga menjadikan Sa’id terkagum-kagum lantas berkata: “Aku tidak pernah menyangka bahawa Allah pernah menciptakan seseorang sepertimu!”

Qatadah terkenal di dalam bidang tafsir dan Fiqh. Imam Ahmad sendiri berpanjang lebar di dalam memuji Qatadah. Namun kelebihan yang dimiliki Qatadah juga menjadi penyebab kekurangan kepadanya iaitu beliau mengambil perkataan daripada semua orang, sehinggakan Asy-Sya’bi pernah berkata: “Qatadah adalah (seumpama) pengumpul kayu api di malam hari.” *

Imam yang mulia ini wafat pada tahun 117 Hijriyyah dalam usia 55 tahun di Basrah serta dimakamkan di sana. Kematian beliau menjadikan para penduduk Basrah semuanya menangis kesedihan.
Semoga Allah merahmatinya. Ameen.

*Satu perlambangan iaitu orang yang mengumpul kayu api di malam hari kadangkala tidak  sedar bahawa di dalam ikatan kayu api yang dipikulnya itu terdapat ular dan binatang berbisa.

Thursday, September 22, 2011

TANPA TAJUK - #9



Memaksa diri untuk menulis,
Kerana kemalasan mencengkam,
Jiwa suram kelam menyedihkan.

Ke mana harus dituju,
Kerana langkah tidak seperti dulu,
Hati pula sekeras batu.

Semangat membara,
Namun mudah pula dibadai kecewa,
Usaha berganda hasil tiada di mata.

Walau yakin di sisiNya tetap ada,
Lemah tauhid menjadikan buta.

Mahu hidup perlu mati,
Mematikan diri sebelum mati,
Gerbang menuju hidup hakiki.

Manusia merangka,
Tuhan mentaqdir segala,
“Maa sya Allahu kaana”.

Di Lauh Keabadian tercatit semua,
Baik buruk bahagia celaka.

Kita manusia dikurnia usaha,
Dibentang jalan, pilih sahaja.

Kebaikan mendatang pujilah Dia,
Kecelakaan menimpa, salah pilihan kita.

Menyandar pada takdir  jangan menafikan usaha,
Kunci keretamu! Kemudian bertawakkallah kepadaNya.

Tuesday, September 20, 2011

PERSEPSI VS HAKIKI


Dunia,
Yang engkau memandangnya jernih itu,
Sebenarnya keruh.

Akhirat,
Yang engkau menyangkanya jauh,
Hakikatnya dekat.

Tuesday, September 13, 2011

BERSIHKAN AGAMAMU DAN JANGAN TAKSUB


Telah berbicara alfindani di madrasahnya setelah memuji Allah dan berselawat ke atas RasulNya SAW.

***
Jika engkau inginkan cinta Allah bersemarak di dalam hatimu, maka jangan engkau syirikkan Ia dengan suatu apa pun.

Jika engkau inginkan Dia sebagai tujuan hidupmu, maka jangan syirikkan Dia dengan suatu apa pun.

Jangan taksub kepada seseorang pun -biar siapa pun dia- selain Rasulullah SAW.
“Dan apa-apa yang dibawa oleh Rasul kepadamu, maka ambillah. Dan apa-apa yang ditegah olehnya, maka tinggalkanlah.”

Puak Syiah taksub kepada Para Imam mereka, lalu mereka mencampakkan akal-akal mereka, melukakan badan-badan mereka, menanggalkan iman-iman mereka, lalu mereka binasa.

Para ahli falsafah telah taksub kepada akal-akal mereka, lalu mereka telah mengatakan hal-hal yang tidak wajar kepada Yang Maha Pencipta, lantas mereka binasa.

Taksub adalah satu cabang kesyirikan. Bahkan ia adalah dahannya.

Taksub yang paling mengikat adalah taksub yang berkait dengan agama. Engkau akan dapati mereka yang taksub melandaskan agama bagi menghalalkan ketaksuban mereka, sedangkan agama berlepas diri daripada hal itu.

Inilah yang menyebabkan Syiah menjadi apa yang telah terjadi.

Di Negara kita, para pengikut Al-Arqam, seterusnya Rufaqa’ dan kini menjadi Global Ikhwan taksub kepada arwah Abuya mereka, lalu mereka menjadikan mimpi-mimpi sebagai dalil agama, kata-kata entah siapa sebagai sabda Rasulullah yang mulia, Minda Abuya sebagai tafsiran agama, sehingga menjadikan mereka jauh tersesat tanpa sedar.
Dan mereka tidak ingin sedar, sekalipun digegar dengan dalil-dalil dan hujjah-hujjah yang muktabar.

Sebahagian para pengikut Parti PAS juga menghidapi penyakit taksub yang hampir sama. Mereka ini menjadikan apa saja daripada Tok Guru atau pemimpin atasan seolah suatu Firman yang tidak boleh disangkal atau ditakwil-takwilkan. Ini adalah kenyataan yang siapa pun tidak boleh menafikan sedang berlaku dan menular.

Apa sahaja yang ditentukan pihak atasan, maka tiada jalan selain “kami dengar dan kami taat!”. Kesilapan yang terang-terangan sekalipun akan dicari hujjah dan alasan serta takwilan untuk dijadikan satu kebenaran. Benar-benar menjengkelkan.

Kerana berimejkan agama jugalah, para pengikut Anwar Ibrahim taksub kepadanya. Hatta apa sahaja yang dilakukannya, semuanya dibenarkan saja. Sekalipun akal menolak, dan hati berkata sebaliknya, tetapi ketaksuban menjadikan mereka buta, lalu akal dihumban ke longkang dan mereka merelakan diri untuk mengekori sahaja.

Aku mengatakan ini wahai saudara-saudara, dan aku menyebutkan nama-nama mereka secara jelas, adalah kerana ingin mengingatkan diriku dan kamu. Kerana hal ini adalah sudah jelas nyata dan tidak tersembunyi lagi. Hanya mungkin sebahagian orang segan untuk menyatakannya. Namun aku mengatakannya agar diri kita selamat dan zuriat kita juga turut terselamat, insyaAllah.

Ingatlah bahawa agama bukan sekadar janggut di dagu, kopiah dan serban di kepala, jubah di badan atau kata-kata yang menggunakan istilah-istilah berbunyi Islam.

Islam adalah aqidah sebagai asasnya. Lalu amal soleh dibina di atasnya. Aqidah yang dicemari syirik akan menjadikan amal seolah debu berterbangan, sekalipun indah di zahir pandangan.
“Bersihkan agamamu, memadai untukmu amalmu yang sedikit”.

Jangan engkau menjadi seseorang yang berlelah dalam beramal, namun di akhirat dihumban ke dalam Jahannam, seperti yang difirmankan Tuhan:  
“Ia beramal dengan susah payah. Kelak ia akan memasuki neraka yang menyala-nyala”.

Sufyan Ats-Tsauri r.h pernah ditanya tentang kejinakan hati bersama Allah, lalu jawabnya: “Iaitu engkau tidak merasa tertarik dengan setiap wajah yang berseri, suara yang merdu mahupun ucapan yang fasih”.

Semoga Allah menjadikan jiwa-jiwa kita hanya mencintainya, dan tulus dalam mencintainya, dengan tidak mensyirikkanNya dengan suatu apa pun.

Wahai tuhan kami, kurnakanlah kami kebaikan dunia dan akhirat, dan jauhilah kami dari azab neraka. Ameen.

Monday, September 12, 2011

BEZA ILMU DAN MAKLUMAT - SIRI 2


"Semua orang berhak bercakap tentang agama."
"Agama bukan hak milik ustaz ulamak saja!"

Benar atau tidak ayat-ayat di atas dan ayat-ayat lain yang semakna dengannya?
Ianya benar, namun memerlukan kepada penjelasan.

Memang benar semua berhak bercakap atau menulis tentang Islam, TETAPI mestilah dengan ilmu. Tiada siapa akan menghalang siapa-siapa menulis atau berbicara tentang Islam contohnya pada mengajak manusia melakukan kebaikan dan meninggalkan kemungkaran, mengajak mendirikan solat, mengimarahkan masjid, bertolong bantu dan akhlak-akhlak baik yang lain.

Atau juga menerangkan hal-hal yang semua sudah maklumi di dalam agama seperti kewajipan solat, kewajipan taat dan berbakti kepada ibubapa dan lain-lain tetapi dengan menggunakan uslub/teknik berbahasa atau berbicara yang pelbagai.

Hal-hal yang asas seperti itu sesiapa saja berhak berbicara dan menyampaikan, sesuai dengan sabda Nabi SAW yang selalu didengungkan iaitu: "Sampaikanlah daripadaku walaupun sepotong ayat..." (Bukhari)

Tetapi, berbicara atau menulis berkenaan hal-hal yang lebih mendalam dan memerlukan spesialisasi di dalam bidang Pengajian Islam dengan pelbagai cabangnya bukanlah hak semua orang. Ia adalah hak mereka yang mempelajari dan mengkhusus serta pakar di dalam bidang tersebut sahaja.

Bidang Pengajian Islam pada hari ini juga sama seperti pengajian bidang-bidang yang lain. Apakah setiap orang bebas berbicara perihal penyakit dan membuat rawatan sedangkan ia bukannya seorang doktor?

Apakah masuk akal seorang yang tidak pernah mendalami bidang kejuruteraan ingin membina bangunan 10 tingkat contohnya? Dan contoh-contoh lain yang semakna dengannya bolehlah anda fikirkan sendiri.

Kurang sepuluh tahun kebelakangan ini, kecenderungan masyarakat kepada bidang ilmu Hadith berkobar-kobar, terutamanya dikalangan anak muda yang berkesadaran agama. Ini adalah satu hal yang baik.

Namun, didapati mereka begitu cepat untuk berbicara dan menulis. Mereka bolehlah dikatakan dijangkiti "Sindrom Merasa Pandai dan Berilmu".

Banyaknya kitab terjemahan yang dibawa masuk daripada Indonesia -Alhamdulillah- membolehkan sesiapa juga membeli dan membacanya. Tetapi mereka tidak "memasuki rumah daripada pintu-pintunya".

Jika anda mempelajari bidang agama Islam secara bersistem, anda akan didedahkan dengan kitab-kitab mengikut takah-takah yang sesuai sehingga akan menjadikan anda seorang pelajar yang lapang dada dan memahami mengapakah berlakunya perbezaan pendapat di antara para ulama.

Pengajian bertahap juga akan membawa anda memahami dan mengetahui ilmu-ilmu alat yang penting seperti ilmu Kaedah Bahasa Arab, Ushul Fiqh, Tarikh Tasyri', Ulum Quran, Ulumul Hadith dan sebagainya. Sehingga apabila anda bertemu dengan sesuatu hadith yang kelihatan bertentangan, anda akan tahu ia hakikatnya tidak bertentangan.

Apabila anda menjumpai sebuah hadith yang kelihatan bertentangan dengan sesuatu hukum fiqh di dalam mazhab Syafie contohnya tidak akan menjadikan anda terkejut beruk dengan terus menyalahkan pandangan mazhab, kerana anda memahami bahawa hukum tidak semestinya dibina berdasarkan satu hadith sahaja.

Dan anda memahami bahawa di sana ada beberapa hal yang perlu diperkirakan sebelum sesebuah hukum dikeluarkan.Bukan sekadar sebuah hadith yang ditemui lalu terus diambil hukum dari zahir lafaznya tanpa diperhitungkan Sabab Wurud hadith, Konteks perbicaraan hadith, khitab hadith, mafhum hadith, penggunaan kalimah pada hadith dan banyak lagi. Sama juga dengan ayat Al Quran.

Namun, kitab-kitab terjemahan yang boleh dibeli dan dibaca oleh sesiapa sahaja ini dibeli dan dibaca oleh segolongan manusia ini, lalu ia kemudian membina pendapatnya dan seterusnya mensyarahkan dan menulis pula berdasarkan pandangannya itu.

Mereka mula menulis atau berbicara tentang 'Ilal-'ilal hadith, mensahih dan mendhaifkan bahkan memaudhu'kan hadith-hadith dan riwayat-riwayat contohnya dengan berdasarkan pendhaifan dan pensahihan Syeikh Al-Albani rahimahullah sahaja . Sedangkan di sana ada thuruq (jalan-jalan riwayat) yang lain yang menjadikan hadith tersebut Maqbul. Itu satu contoh dan aku tidak berhasrat memanjangkannya.

Membaca karya terjemahan pun tidak ada salahnya, tetapi untuk MENGUASAI ilmu agama perlu kepada penguasaan bahasa aslinya iaitu Bahasa Arab. Ada kalimah-kalimah Arab yang tidak sampai maksudnya bila diterjemahkan ke bahasa-bahasa lain.


Ada kalimah Arab yang berbagai-bagai hanya untuk sesuatu benda atau perkara. Juga ada satu kalimah yang dipakai untuk berbagai-bagai perkara. Maka terjemahan tidak dapat meliputi semua ini.

Terjemahan juga adalah berdasarkan kepada kefahaman penterjemah itu sendiri dengan maksud yang ingin disampaikan oleh pengarang kitab aslinya.

Malanglah jika seorang membina pendapatnya dengan prinsip tidak mahu bertaqlid bersandarkan terjemahan hadith-hadith atau kitab yang dibacanya sahaja. Lalu menolak hadith-hadith yang telah diamalkan para ulama sekian lama dengan beralasan contohnya: "Itu pendapat ulama saja, saya ada dalil hadith".

Setelah itu mereka mula menjarh ulama2 yang di dalam pandangan cetek mereka dengan gelaran2 seperti Hizbi, Murjiah, Khawarij dan lain2.

Kepada Allah jualah kita memohon pertolongan.

Semoga Allah menjadikan kita orang yang mengenal kadar diri kita sendiri dan menyelamatkan kita daripada berbicara tentang agamaNya tanpa ilmu.
Wassalam.

p/s: Tulisan ini tidak bertujuan mematikan semangat sesiapa untuk mendalami agama. Juga tidak menafikan ada yang tidak berkelulusan rasmi di dalam bidang agama yang mampu menguasai ilmu2 agama. 

Namun mereka ini tetap berguru dengan lulusan2 agama yang rasmi (rasmi di sini termasuk juga lulusan pondok, talaqqi sendiri2 dgn Tok2 Guru dan seumpamanya) bukannya dengan sekadar bacaan sendiri yang menghasilkan pemahaman dan kesimpulan yang kacau bilau.

Berfondasikan pemahaman dan kesimpulan yang kacau bilau itu ia melangkah pula lebih jauh dengan menyalahkan dan memberi gelar2 yang buruk kepada para ulama. Inilah yang cuba saya peringatkan. 

***
 
KLIK LINK BERIKUT UNTUK SIRI 1 DAN SIRI 3

BEZA ILMU DAN MAKLUMAT SIRI 1
BEZA ILMU DAN MAKLUMAT SIRI 3


Saturday, September 10, 2011

BEZA ILMU DAN MAKLUMAT- SIRI 1


Salam.

Dunia hari ini menyaksikan maklumat dapat diperolehi hanya di hujung jari. Anda boleh menaip satu kata kunci di halaman Google dan dalam masa hanya beberapa saat akan ditampilkan link-link berkaitan maklumat yang anda inginkan itu.

Kerana itu ada juga kalangan yang menjadikan Kitab Google sebagai rujukan ilmu agama mereka. Hal ini tidaklah salah, namun kita perlu berhati-hati di dalam memilih website-website dan blog-blog tersebut. Kadangkala, kemudahan mengakses maklumat ini telah menjadikan sebahagian golongan merasakan diri mereka sudah cukup berilmu. Sabar.. Nanti dulu..

Berilmu tidak sama dengan sekadar bermaklumat.

Kita mungkin memiliki ribuan e-book berupa kitab-kitab rujukan muktabar di dalam laptop, boleh menaip entry di dalam blog dengan menyertakan rujukan lengkap dengan mukasurat kitab-kitab yang tebal-tebal dari e-book yang kita miliki, namun itu bukanlah petanda bahawa kita sudah berilmu.

Kadangkala kita melihat sesuatu artikel yang disertakan dengan puluhan rujukan daripada kitab-kitab muktabar yang besar-besar yang berjilid-jilid yang jika disusun di rak buku pasti ia akan mengambil ruang yang banyak, yang ditulis oleh seorang penuntut tahun pertama jurusan kejuruteraan mekanikal di sebuah IPT contohnya.

Pastinya orang yang berbelas-belas tahun menekuni bidang Pengajian Islam secara khusus dengan belajar dan mengajar pun akan terheran-heran melihatkan nama-nama kitab yang disenaraikan di dalm artikel yang dicontohkan di atas. Ini kerana ia sedia mengetahui bahawa kitab yang disenaraikan itu bukanlah kitab-kitab yang menjadi teks pengajian peringkat bawahan di dalam tingkat-tingkat pengajian Islam secara bersistem, tetapi merupakan silibus dan teks kajian peringkat tinggi.

Namun, penulis artikel tersebut, yang pastinya majoriti masanya dihabiskan untuk assignment, kuliah, ko-kurikulum, persatuan dan seribu satu macam aktiviti mahasiswa, merujuk kitab-kitab yang tersebut!

Bersambung...

***

KLIK LINK BERIKUT UNTUK SIRI 2 DAN SIRI 3

BEZA ILMU DAN MAKLUMAT SIRI 2
BEZA ILMU DAN MAKLUMAT SIRI 3


Thursday, September 8, 2011

BERSEDERHANALAH..

Telah berkata Alfindani di madrasahnya setelah memuji Allah dan berselawat kepada Rasulillah SAW..

***

Jika engkau mengasihi seseorang, maka berpada-padalah. Kerana mungkin saja ia akan bertukar menjadi orang yang engkau benci esok hari. Seandainya engkau membenci seseorang, beringat-ingatlah. Jangan melampaui batas. Kerana, boleh jadi saja suatu waktu ia akan menjadi orang yang engkau cintai.

Hati kita semua di dalam genggaman Tuhan yang Maha Pengasih. Ia berkuasa membolak-balikkan mengikut yang dikehendakiNya. Kerana itu engkau dapati pada dirimu sendiri, sekejap engkau dalam keadaan suka, kemudian bertukar duka, risau, sedih, gusar, tidak tentu arah dan sebagainya lagi yang jika engkau ingin menghitungnya pasti tidaklah engkau mampu. Namun semua itu tidak luput samasekali daripada pengetahuan Tuhanmu, Allah Yang Maha Mengetahui.

"Dia mengetahui pandangan mata yang khianat dan apa yang tersembunyi di dalam lubuk hati.."

"Ketahuilah bahawa Allah mengetahui apa yang berada di dalam dirimu, maka berjaga-jagalah.."

Meminati, mengkagumi, menyayangi, mencintai seseorang atau sesuatu janganlah hendaknya menjadikan matamu buta daripada kekurangan-kekurangannya. Lalu engkau bertukar menjadi seorang pentaksub yang berkelakuan seolah-olah lembu dicucuk hidung yang bersedia untuk ditarik dan diseret ke mana sahaja.

Kerana engkau sudah mencampakkan anugerah Tuhan yang terbesar kepada dirimu berupa akal yang membezakan dirimu daripada binatang ternak, lalu engkau merelakan dirimu dengan kehinaan yang akan berakhir dengan kebinasaan dan kecelakaan. Seandainya engkau tidak bertaubat dan kembali kepada kesedaran.

"Demi sesungguhnya telah kami campakkan ke dalam Jahannam itu ramai daripada kalangan jin dan manusia. Mereka memiliki hati namun tidak memikirkan dengannya. Mereka memiliki mata, namun tidak melihat dengannya. Dan mereka mempunyai telinga, namun tidak mendengarkan dengannya. Mereka itulah seperti binatang ternak. Bahkan mereka lebih sesat (teruk lagi). Mereka itulah orang-orang yang lalai".

Ketika Ibrahim Khalilullah bertindak memecahkan berhala sembahan kaumnya dan meninggalkan satu berhala yang terbesar dengan digantungkan kapak pada lehernya, lalu kaumnya yang baru pulang dari pesta keramaian merasa amat terkejut menyaksikan apa yang telah berlaku. Lalu setelah dimaklumkan bahawa Nabi Ibrahim sebelum itu pernah mencela berhala-berhala mereka, lantas mereka memanggilnya untuk disoal siasat.

Tatkala Baginda menempelak mereka dengan menyuruh mereka menanyakan kepada berhala yang besar itu, maka kembalilah semula kesedaran mereka bahawa berhala yang mereka sembah selama ini tidak berdaya untuk melakukan suatu apa pun. Nah! Setelah itu apa yang berlaku? Ketaksuban telah menghalang mereka daripada kembali kepada Allah dan menerima kebenaran, sekalipun bukti terbentang di hadapan mereka. Engkau boleh melihat terjemahan kisah ini di dalam Surah Al-Anbiya jika engkau mahu.

Kerana itu aku mengingatkan diriku dan engkau semua agar bersederhana supaya tidak terjerumus ke lembah ketaksuban, lantas engkau binasa!

Ya Allah, jadikanlah kami daripada golongan yang mendengar perkataan-perkataan, lalu mengikuti yang terbaik di antaranya.. Ameen.

Hari ini, di zaman ini, kecintaan dan ketaksuban manusia -termasuk umat Islam- bukan lagi pada berhala-berhala berupa batu-batu yang diukir lalu disembah. Tetapi berhala-berhala itu telah menjelma bentuknya berupa ajaran-ajaran sesat berjenama agama, pegangan-pegangan parti, ketaksuban kepada pemimpin parti, wang ringgit dan kebendaan, ketaksuban kepada akal sehingga menakwilkan nas secara menyeleweng dan seribu satu macam lagi jika hendak disenaraikan.

Engkau dapat melihat realiti di sekelilingmu di mana sebahagian manusia yang taksub ini sehingga orang yang berakal sihat akan kehairanan dan tercengang-tercengang bagaimanakah ia menjadi sebegitu taksub. Wahai fulan! Jangan engkau mudah terpengaruh dengan kepandaian berkata-kata. Atau jubah serban yang dikenakan seseorang. Atau gelaran berbau agama yang ditabalkan pada seseorang atau apa jua.

Sesungguhnya kebenaran itu tidak dikenal melalui orangnya, namun kenalilah kebenaran, kelak engkau akan mengenal orang-orangnya.

Di kesempatan ini dan berkait dengan ini, marilah kita mengingat kembali seuntaian doa yang begitu indah yang diajarkan kepada kita untuk membaca dan menghayatinya dalam memohon kepada Yang Maha Esa.

"Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai satu kebenaran, dan anugerahkanlah kami untuk mengikutinya. Tunjukkanlah pula kepada kami kebatilan itu sebagai satu kebatilan, dan anugerahkanlah kami untuk menjauhinya.."

Alangkah indahnya doa ini! Bukankah di zaman ini kebenaran itu seringkali sahaja dianggap seuatu yang batil, sedangkan yang batil itu pula yang dianggap sebagai sesuatu yang benar?
Sesungguhnya syaitan telah menghiaskan kebatilan itu sehingga menjadikan ia seuatu yang tampak menarik di dalam pandangan hawa nafsu.

Inilah zamannya yang mana hal itu telahpun disebut oleh Nabi SAW di dalam hadithnya berkenaan akhir zaman. Inilah zaman dimana fitnah-fitnah berterbangan dan memasuki setiap rumah, lalu kebohongan tampak dan menjadi biasa, lantas kebatilan bermaharajalela sehinggakan generasi yang lahir seterusnya membesar di dalam kebatilan lantas menganggapnya satu budaya. Na'uzubillah min zalik.

Ah! Betapa ramainya orang yang menginginkan kebaikan, namun ia tersalah jalan. Betapa ramai pula yang mengetahui kebenaran, namun ketaksuban telah menghalanginya daripada menerima kebenaran.

"Mentari bersinar terang, namun seorang yang masih ingin menyambung tidurnya menarik selimut menutup matanya sambil bergumam; "malam masih panjang!"

Semoga Allah Yang Maha Pengasih berkenan menyelamatkan aku dan kamu dengan berkatNya daripada menjadi seperti itu.

"Ya Allah! Anugerahkanlah kami kebaikan dunia dan akhirat serta jauhkanlah kami dari azab nerakamu". Ameen.