Thursday, January 2, 2014

MENGHAFAL AL-QURAN DAN PEMIKIRAN SISTEMATIK


Hari ini sudah masuk dua hari pada tahun baru 2014. Mudah-mudahan aku akan lebih produktif menulis di sini. Sekali-sekala ingin juga menulis panjang2 dengan gaya yang lebih akademik (kununnya).

Apapun aku lebih selesa menulis dengan gaya sendiri yang apa adanya saja. Kadang2 tulisan biasa2 pun ada nilai dan kadang2 ada juga tulisan yang nampak akademik dan penuh rujukan (copy paste) tapi hampeh! Harap2 jangan ada ahli akademik yang terasa sebab ia tidak merujuk kepada tuan2 semua.

~~~~

Otak Sistematik vs Otak Pasembor*

Berfikir secara sistematik, berfokus dan terpandu merupakan satu masalah bagi sebahagian manusia. Mereka yang gagal berfikir secara sistematik memiliki satu pola dan gaya berfikir yang bercelaru dan cacamarba atau saya katakan sebagai "Otak Pasembor".

Menjenguk-jenguk dan melepak-lepak di laman2 efbi dan forum2 perbincangan agama dan politik menampakkan gejala ini jika diperhatikan pada komen-komen yang terpapar. Suatu status atau topik perbincangan yang dibuka akhirnya akan keluar topik kepada macam2 perkara yang kita lantas akan terdetik "Aduh, apekebenda ni?!".


Si pemilik otak pasembor ini kebiasaannya tidak mengesani bahawa dirinya mengidap kecelaruan berfikir bahkan akan menafikan dan menyanggah lantas menyerang balik pula jika hal itu jika diberitahu kepadanya.

Menghafal Al-Quran dan Pemikiran Sistematik

Otak kita bolehlah diibaratkan seperti komputer yang anda tatap sekarang. Tentunya komputer anda memiliki drive C dan D. Kemudiannya di dalamnya diisi pula dengan folder2 tertentu yang di dalamnya pula mengandungi fail2 yang bersesuaian dengan folder berkenaan.

Demikian juga otak kita perlu dioperasikan. Jika pada komputer anda semua file tidak difolderkan bahkan dicampak semuanya di bahagian "Desktop" tentunya menyakitkan mata. Atau juga diletak tanpa folder di drive C atau D ikut sedap -"ikut dan" kata org Kedah- pastinya akan menyukarkan mencarinya di saat memerlukan nanti.

Begitulah halnya dengan otak kita. Jika semua maklumat dan masukan ilmu tidak difolderkan atau dilacikan secara sistematik, kita akan mengalami kesukaran yang sama ketika berhajat kepadanya bila2 masa.

Menghafal Al-Quran adalah salah satu cara paling berkesan membina pemikiran yang sistematik dan terpandu. Sebuah buku tebal berhalaman 600 muka surat, tanpa gambar, hanya tulisan semata-mata dengan bahasa asing kini terletak di hadapan anda. Bayangkan sukarnya untuk anda menghafalnya!

Namun, para ulama Islam yang sangat bijaksana telah mencipta kaedah2 sehingga memudahkan lagi pekerjaan mengahafal Al-Quran tersebut. Jika kita perhatikan, Al-Quran memangnya tersusun dengan surah2. Ada surah yang panjang dan ada surah yang pendek2 serta ada pula yang pertengahan. Ini adalah sesuatu yang tawqifi (ketentuan wahyu) dan bukannya susunan dan rekacipta para ulama atau sahabat Nabi SAW.

Akan tetapi, para ulama kemudian telah membahagi-bahagikan pula Al-Quran itu kepada juzuk2 yang kita ketahui bilangannya 30 juzuk. Ini adalah sebenarnya berasal daripada kebiasaan sesetengah ulamak yang istiqamah mengkhatamkan Al_Quran dalam masa sebulan. Kemudian, di dalam setiap juzuk pula mengandungi rubu'2 yang mana setiap setengah juzuk memiliki 4 rubu'. Ini adalah bagi Mushaf Rasm Uthmani. Bagi Mushaf jenis lama (Quran Majid/ Mushaf India) pula terdapat ruku'2 yang bertanda huruf 'ain.

Setiap juzuk dan setengah juzuk serta rubu' itu memiliki tandaan2 yang tersendiri.

Jadi, bagi pelajar2 tahfiz, mereka akan menghafal (mengikut kebiasaan) berpandukan kepada rubu'-rubu' dan ruku'-ruku' ini. Bermakna mereka menyusun setiap hafalan harian mereka mengikut fail2 tertentu, di dalam folder2 tertentu pada laci2 tertentu di dalam minda mereka.

Jika boleh kita gambarkan susunan memori mereka dalam bentuk tulisan adalah sebegini :

 rubu' sekian2 - juzuk sekian2 - surah sekian2 -

Atau lebih terperincinya seperti berikut:

rubu' sekian2 ( contohnya rubu' wa idzistasqa Musa) - halaman sebelah kanan/kiri - kedudukan ayat pada halaman samada atas, bawah atau tengah2 halaman - beberapa perkataan terawal pada ayat paling atas muka surat berkenaan - juzuk sekian2 -surah sekian2. 

Itu belum lagi tentang photographic memory yang terhasil ketika menghafal dan akibat ulangan2 hafalan yang padu sehingga menjadikan minda ibarat scanner yang mengimbas keseluruhan tanda2 dan gambaran yang terdapat pada setiap halaman. Kemudian minda mereka bertukar pula menjadi ibarat projektor yang memancar kembali imbasan2 imej tadi ke mana2 sahaja mereka memandang sambil mulut mereka kumat-kamit mengulang2 hafalan.

Kerana itu jika anda berpeluang melawat ke pusat2 tahfiz cuba anda perhatikan ketika mereka galak mengulang hafalan, anda dapat melihat mereka memandang ke dinding, kadang2 memandang kepada anda -namun seolah-olah tidak melihat anda- sambil boleh pula tersenyum dan mengangkat tangan kepada anda dan mulutnya terus2an kumat-kamit membaca.

Untuk menambah fokus, maka kerana itu jugalah umumnya madrasah2 dan pusat2 tahfiz tidak menambah pelajaran2 lain selain hafazan dan beberapa pelajaran yang berkaitan dengan Al-Quran juga seperti tajwid dan tafsir bagi mengelakkan bercelarunya tumpuan fikiran yang akan mengakibatkan kualiti dan kuantiti hafazan harian terjejas dan lambat.

Ini adalah satu perkara penting yang sangat2 perlu difahami oleh ibu bapa yang menginginkan anak2 mereka menghafal di usia muda. Namun disayangkan sungguh ramai ibu bapa yang tidak faham hal ini dan memandang serong dengan menyangka madrasah2 dan pusat2 tahfiz ini meminggirkan akademik dan membuang dunia.

Kembali kepada topik.

Demikianlah sedikit sebanyak bagaimana proses menghafal dan mengulang2 hafalan Al-Quran dapat menjana pemikiran yang sistematik bahkan melampaui sehingga menghasilkan pemikiran fotografik. Dan itu adalah cerita lain.

Walhasil, sekiranya anda memiliki anak2, asuh mereka untuk minat menghafal Al-Quran, dan mulakan hidup mereka di awal usia dengan memberi mereka menghafal Al-Quran. Beri mereka masa untuk fokus menghafal Al-Quran 3,4 atau 5 tahun, kemudian beri mereka belajar yang lain2 dan anda akan dapati mereka mampu mengatasi rakan2 sebaya mereka.

Anda boleh memilih untuk percaya atau tidak, juga untuk bersetuju atau tidak bersetuju.

Dengan itu saya menutup kes ini.


02 Januari 2014, Khamis 10.00 pagi.


Nota kecik:
*_ Pasembor adalah makanan popular Pulau Pinang (Kedah juga) yang segala jenis bahan dicampur gaul sekali daripada cucur udangnya, timunnya, sengkuangnya dan lain2 lagi.

Ketika memikirkan orang yang memiliki pemikiran cacamerba ini entah mengapa tiba2 teringatkan pasembor, lantas terpacul di minda istilah Otak Pasembor ini. Dan saya belum lagi menjumpai atau terbaca di mana2 akan istilah ini.. Kalau ada terjumpa nanti maka tahulah aku yang si penulisnya pernah membaca blogku ini. Haha