Wednesday, August 24, 2011

BAGAIMANA MENGHAFAL AL-QURAN - 2

( Jika anda ingin terus kepada cara2 praktikal menghafal, sila klik siri terakhir(3) di SINI )


OK!

Kita sambung kembali fasal cara-cara nak menghafal Quran. Tapi...! Sebelum itu, niat adalah sangat penting. Kena selalu tanya diri sendiri / muhasabah : "Mengapa aku nak menghafal Quran..?"

"Supaya aku dipanggil Al-Hafiz?"
"Dapat offer jadi Imam Tarawih?"
"Kemudian ada makcik-makcik dan pakcik-pakcik yang menjadi makmum terpikat dengan alunan lemak merdu dan tarannum bacaan akan offer jadi menantu diaorang?"
etc..

Hmm, di bulan Ramadhan yang mulia ni banyaklah masjid dan surau yang mengambil Imam-imam Hafiz mengimamkan tarawih. Ini sesuatu yang bagus, alhamdulillah. Aku sendiri setiap kali tiba Ramadhan pasti ada pertanyaan; "Tahun ni jadi imam kat mana?"
Dan jawapan standard aku adalah; "Hoho, aku jadi makmum je! Heh!"

Aku pun tak tahu nak terangkan pada orang lain mengapa aku tidak berminat lagi -buat masa ini- menjadi imam tarawih secara rasmi ni. Seingat aku adalah 7 tahun lepas agaknya, di masjid UTM. Kalau ada yang minta bantuan semalam dua tu bolehlah. Apapun, menjadi imam tarawih ni sebenarnya bagus untuk melancarkan hafalan. Nak nak ada masjid yang sanggup buat 1 juzuk satu malam. Memang bagus untuk imam tersebut. Kalau buat 8 rakaat pun boleh, dengan syarat 1 rakaat baca 1 rubu' (tanda bunga di dalam Al Quran- setiap juz mempunyai 8 rubu'/maqrak).

Hoh! Dah terlajak bernostalgia la pulak!

Kembali kepada tajuk.

Jika anda sudah mendapat niat yang baik, atau jika belum lagi mendapat niat baik sekalipun, mulakan projek menghafal dengan mendapatkan sebuah mushaf Al Quran yang sederhana besar. Ukuran seperti mushaf yang biasanya dihadiahkan kepada jemaah haji. Jangan mushaf yang besar atau juga mushaf saiz poket. Mushaf saiz poket sesuai hanya untuk mengulang hafalan. Anda boleh melihatnya sekali sekala ketika tersangkut ayat-ayat yang sukar mungkin ketika anda mengulang sambil berjalan atau di dalam kenderaan dan sebagainya.

Mushaf tersebut seeloknya Mushaf Rasm Utsmani yang berisi 15 baris di dalam setiap mukasurat, yang mana ayatnya tamat pada setiap akhir muka surat itu tanpa bersambung ke muka sebelah seperti mushaf-mushaf sebelum tahun 90-an dahulu yang biasanya daripada India, Rasm Hija-i (seingat saya mushaf seperti ini sudah dilarang penggunaannya di Malaysia).

Pastikan mushaf yang anda gunakan tersebut adalah mushaf yang sama tanpa dikongsikan dengan adik, kakak, abang, bapa mentua dan lain-lain. Eksklusif milik anda sahaja! Daripada mula menghafal sehingga selesai, pastikan hanya menggunakan satu mushaf tersebut sahaja.

Jadi, sekarang anda sudah memiliki niat dan sebuah mushaf. Lalu anda pun ingin menghafal bukan?

Nanti dulu! Kita sambung nanti, insyaAllah..

SILA KLIK LINK BERIKUT UNTUK SIRI TERAKHIR:-
SIRI 3 (PENUTUP)

A TRIBUTE TO FAKIRFIKIR


Dalam banyak-banyak blog yang aku baca, hanya satu blog saja yang aku menjadi 'follower'nya. Blog tersebut adalah blog Saudara FakirFikir.

Bagi aku, blog beliau adalah unik, bukan dari segi template yang berwarna warni dengan widgets yang menyemakkan atau mouse pointer yang berkelip-kelip etc, tetapi dari segi pengisiannya yang berilmu dan santai dengan penggunaan bahasa yang sedap atau mengalir.

Boleh dikatakan ianya berkisar kepada kisah kehidupan dan membawa kita untuk lebih banyak menilik diri sendiri dan masyarakat. Tentu saja hal ini wajar disebabkan tuan blog tersebut sedang 'on the way' menyelesaikan PhD di dalam bidang psikologi. Dengar-dengarnya, dalam sehari dua ini misi PhD beliau akan tamat.

Aku berdoa semoga beliau berjaya dengan cemerlang dan dapat pula meneruskan projek memandaikan masyarakat seperti yang beliau rencanakan bersama Dr. Ben. Ameen.

Aku menulis entry ini bukanlah untuk memuji beliau sehingga membuatkan beliau binasa dengan pujian, tetapi hanyalah sebagai satu penghargaan kerana banyaknya manfaat yang aku dapat daripada blog beliau.

Namun seperkara yang menjadikan blog beliau amat menarik adalah sifat tawadhuk a.k.a merendah diri beliau yang terasa pada kita melalui tulisannya sekalipun beliau sudah di tahap PhD. So, itu pengajaran paling utama.

That's all folk.

***

Tuesday, August 23, 2011

KATA SAHIBUL HIKAYAT

Suatu Jumaat.

Dan alfindani menapaki tangga mimbar. Memberi salam, lalu duduk sebentar menantikan azan selesai dikumandangkan.

Kemudian ia bangun lagi dan terdiam. Lama sekali. Sehingga jemaah ternanti-nanti.
Yang mulanya mahu tidur membuka mata. Yang sedang tersandar memperkemas duduknya. Yang menunduk mendongak kepala.

Semua memandang ke satu arah. Mimbar.
Dan kanak-kanak yang biasanya membuat bising terdiam semua. Ada yang menerpa hampir ke pintu dan melihat-lihat apa yang tidak kena? Sehingga khutbah belum lagi bermula.

Tertanya-tanya.
Ada juga yang berfikir; "Apa, dia sudah gila?"
"Nyanyuk agaknya.."
"Terlupa teks gamaknya?"
"Gementar barangkali"..


(Lantas tiba-tiba ia bersuara. Memecah hening suasana.)

"Alhamdulillah. Saya memujiNya, dan memohon pertolonganNya dan memohon ampun kepadaNya.

Kita berlindung kepada Allah daripada perbuatan-perbuatan buruk kita.
Maksiat kita.
Kejahatan kita.


Oh! Siapakah di antara kita ini yang tidak melakukan kejahatan?
"Sekali-kali tidak! Sesungguhnya manusia itu benar-benar melampaui batas! Ia menyangka dirinya serba cukup!"*

Allahumma solli 'ala 'abdiKa Muhammad. Wa 'ala aalihi wa sohbihil mukhtaar.
Asyhadu alla ilaha illa Allah. Wa asyahdu anna Muhammadan 'abduhu wa Rasuuluh.

(Kemudian ia membaca beberapa potong ayat Al-Quran berisi pesanan agar bertaqwa daripada Surah Aali 'Imraan, An Nisaa dan Al Ahzaab. Lalu ia berkata..)

Tuan-tuan yang mulia!

Di luar sana hujan sedang turun. Dan titis-titis airnya membasahi bumi yang selama ini kemarau. Lalu setelah ini kita akan melihat rumput-rumput kembali tumbuh dan menghijau. Bukankah rumput-rumput itu dahulunya mati dan hancur di dalam bumi?

Demikianlah!

Kalian dan aku akan dibangkitkan di hari kiamat nanti.

(Kemudian ia mendongak ke atas lalu para jemaah turut mendongak. Lantas ia menyambung khutbahnya.)

Di atas sana. Di langit tinggi.
Di Alam Yang Tak Terlihat.
Ada pohon yang tercatat pada helaian daunnya ajal-ajal kita.
Begitulah yang diberitahukan kepada kita oleh para ulama di dalam kitab-kitab mereka.


Apabila sehelai daun itu gugur, maka bererti sampailah ajal sesiapa yang namanya tercatat pada helai daun itu.
Mungkin saja sehelai daun yang tercatat nama salah seorang daripada kita yang berada di sini ketika ini telah gugur.


(Kemudian ia kembali secara perlahan-lahan memandang ke bawah seolah-olah ia sedang melihat di hadapan matanya sehelai daun daripada pohon yang diceritakannya itu gugur dibawa angin.)

Lalu ia ketika ini masih bersama kita dan dipanggil dengan namanya, sedangkan di Alam atas sana...

(Sambil ia kembali memandang ke langit dan mengacungkan tangannya menunjuk ke arah yang dilihatnya)

... ia sekarang sudah pun dipanggil sebagai mayat.


Mungkin saja Malaikat Maut bersama para pembantunya sedang berada dipintu sana.

(Sambil ia memandang ke arah pintu utama).

"Marhaban wahai Pesuruh Allah!"

(Ketika ini para jemaah kelihatan agak kaget. Suasana kelihatan meresahkan sekali. Setiap orang tidak senang duduk.

Matanya masih memandang ke arah pintu dan ia menyambung kata, seolah-olah sedang berbicara kepada seseorang yang tiada seorang pun melihatnya kecuali dia)

Apakah engkau sedang mencari si fulan?
Rezekinya sudah habis?
Ajalnya sudah sampai?
Apakah tidak boleh engkau membiarkannya dahulu sebentar sehingga kami selesai?..

(Suasana benar-benar sepi sekali. Tiada langsung kedengaran suara apa pun. Hanya bunyi angin yang menderu dari kipas yang berputar melenggang-lenggok di dinding-dinding masjid. dan hujan kian melebat..

Khali.

Tiada suara kanak-kanak yang biasanya membuat bising. Tiada sesiapa pun yang biasa melepak di bangsal motosikal. Semua berkumpul di dalam dan merapat ke arah mimbar.

Khatib terdiam. Matanya masih memandang ke arah pintu. Seolahnya jauh sekali dia memandang. Dan kami turut sama melirik ke arah itu. Namun hanya kelihatan titik-titik hujan yang berlumba-lumba mencecah bumi...)

"Seorang daripada kita ini.. Mungkin akan menemui ajalnya sebentar lagi. Malaikat Maut akan datang dan mencabut nyawanya dan membawanya pergi.
Aku tidak tahu siapakah orang itu di antara kita. Dan aku benar-benar tidak tahu!

Jika ia seorang yang mukmin yang baik, pasti Pesuruh Allah itu akan berlemah lembut dengannya.

Namun; jika ia seorang yang sebaliknya, maka kita memohon perlindungan Allah yang Maha Penyayang daripada menjadi orang yang celaka!

(Secara tiba-tiba ia menangis. dan para jemaah spontan turut menangis. Sambil mendongak dan menunjuk jari telunjuknya ia berdoa..)

Allahumma! Kami berlindung dengan kasih sayangMu daripada kemurkaanMu. dan kami berlindung dengan kemaafanMu daripada azab siksaMu. dan kami berlindung denganMu daripadaMu.

(Dan masjid bergema dengan ucapan Amin yang menggemuruh berserta esak tangis.)

Lidah-lidah kami tidak mampu untuk memujiMu dengan sebaik-baik pujian. Engkaulah seperti mana Engkau memuji diriMu sendiri..

(Dan tangisnya seakan masih belum mahu berhenti. Seumpama hujan yang masih membasahi..)

Sesungguhnya jiwa-jiwa kita di dalam genggaman Tuhan Ar-Rahmaan.

(Kemudian ia melaung dengan suara yang tinggi. Mengalahkan dentum guruh di langit ketika itu.)

Wahai hamba-hamba Allah!!!

Bertaubatlah sewaktu masih ada kesempatan.

Cabutlah dirimu daripada maksiat yang selama ini engkau lakukan.

Persiapkanlah dirimu sebelum datangnya ajal.

Dan engkau akan berdiri di hadapan Tuhanmu. lalu Dia akan berbicara kepadamu, tanpa penterjemah, dan tanpa orang tengah.

Dia akan bertanya kepadamu sendiri.

Tentang umurmu, ke manakah engkau habiskan?


Ia akan bertanyakan ilmumu, apakah engkau manfaatkan?

Ia akan bertanyakan hartamu. Dari manakah engkau dapatkan dan ke manakah engkau belanjakan?

Oh! Celakalah engkau jika umurmu telah engkau habiskan di dalam kemaksiatan dan kelalaian.

Dan hartamu dari jalan yang haram dan engkau belanjakan pada yang dimurkai Tuhan.


Kemudian Ia akan bertanyakan nikmatnya yang banyak kepadamu.
Maka apakah jawapanmu, wahai fulan?!!!


Dan engkau pada hari itu akan menoleh ke kiri dan ke kanan.

Mencari sanak saudara dan rakan taulan mengharapkan pertolongan.

Pertolongan siapakah yang engkau harapkan? Jika murka Tuhan ada di hadapan?!!


(Kemudian dia membacakan ayat-ayat terakhir surah 'Abasa di dalam bacaan yang sungguh menggugah hati kami. Bacaan yang seolah-olah baru pertama kali aku mendengarkan.
Dan ia menangis keras tatkala membacanya.

Setelah itu ia menterjemahkan maknanya dengan terjemahan yang menjadikan tangisan makin menggema.
Lalu ia terus beristighfar dan menamatkan khutbah pertamanya secara tiba-tiba.

Demikianlah.
Dan Jumaat itu adalah kali pertama dan terakhir kami mendengarnya berkhutbah. Kerana setelah itu khabarnya ia tidak dilihat lagi di daerah itu.)


* Ini adalah ayat daripada Surah Al-'Alaq.

Wednesday, August 17, 2011

GURAUAN DAN HARGA IMAN

Bergurau sememangnya suatu tabiat semulajadi manusia. Ia juga suatu yang diakui dan dibenarkan di dalam agama Islam. Nabi sendiri bergurau dan berlucu dengan para isterinya Ummahatul Mukminin serta para Sahabat Baginda Radhiyallahu 'anhum.

Riwayat-riwayat hadith banyak menceritakan hal ini. Antaranya di dalam Bukhari, di mana seorang sahabat menceritakan bahawa pernah Rasulullah SAW menyemburkan air dari mulut Baginda ke mukanya secara bergurau ketika beliau semasa itu baru berumur sekitar 5 tahun. Juga di dalam Syamail Tirmizi ada bab khusus berkenaan gurau senda Nabi SAW.

Maka tidak benarlah anggapan sesetengah orang yang 'josh' (terlebih semangat) yang menganggap orang agamawan atau para ustaz dan seumpamanya tidak patut bergurau kerana menghilangkan 'tsiqoh' (di sini bermaksud wibawa). Tetapi, gurau senda itu hendaknya beradab dan bersempadan. Rasulullah SAW tidaklah bergurau dan mengatakan selain hal yang benar. Ketawa juga hendaklah tidak sehingga mengeluarkan suara berdekah-dekah. Jika engkau ketawa, letaklah tangan di mulut dan kawallah suaramu.

Semoga Allah melimpahkan selawat dan salam kepada Junjungan yang telah mengajarkan kita adab sehingga menjadikan kita mulia kerananya.

'Ala kulli hal, Islam tidaklah datang untuk mengajak manusia bermuka masam dan menjadikan hari-hari di dalam kehidupan seumpama hari seorang yang kematian orang tersayang.

Namun, gurauan yang melampaui batas sehingga menyentuh hal-hal agama (baca: Islam) adalah sesuatu yang amat dilarang. Kerana ia boleh membawa kepada murtad tanpa sedar! Biar apa jua namanya sama ada lawak, sarcasm, sindiran etc.

Seperti yang dinyatakan Allah di dalam ayat Al Quran tentang sifat orang kafir;

"Mereka yang menjadikan agama mereka sebagai bahan mainan dan senda gurau..."

Maka aku mengingatkan diri sendiri dan sesiapa yang membaca agar berhati-hati dalam tulisan dan percakapan, kerana barangsiapa yang meneliti, dia akan dapat melihat betapa benarnya yang diucapkan di dalam sebuah hadith tentang keadaan manusia di akhir zaman yang mafhumnya:

"Mereka berpagi-pagi dalam keadaan beriman, dan di waktu petangnya menjadi kafir, dan sebaliknya berpetang-petang di dalam beriman dan di waktu paginya menjadi kafir. Mereka menjual agama mereka dengan keuntungan yang sedikit."

Inilah yang dapat kita saksikan. Aku membaca beberapa blog dan melihat hal ini banyak terjadi. Ada yang menjual agamanya dengan bilangan trafik pengunjung blog. Ada yang menjualnya dengan beberapa sen yang dibayar Nuffnang, Ad Sense dan apa-apa lagi dan seterusnya....

Semoga Allah menyelamatkan kita semua daripada kejahilan dan kekufuran. Amin.

Tuesday, August 16, 2011

PENGHARAPAN

Tuhan
Aku ingin hidup bersama Al-Quran
Aku ingin mati dengan Al-Quran

Jadikan ia temanku di kala kesepian
Penghibur hatiku di ketika keresahan

Pengubat laraku sewaktu kesedihan
Penyejuk jiwaku pabila kegundahan..

Tuhan
Jadikan hatiku sebuah taman
Untuk ku semai di sana benih Al Quran

Thursday, August 11, 2011

SEMALAM, HARI INI & AKAN DATANG

"Semalam
engkau boleh menjadi siapa saja,

Tetapi,

hari ini dan seterusnya,
jadilah sebenar-benar hambaNya"


Wednesday, August 10, 2011

MENUNTUT ILMU DAN KERENDAHAN HATI

Tuntutlah ilmu bersama kerendahan hati,
rendah hati itu akhlak para Nabi,
sombong diri itu sifat syaitoni.

Tuntutlah ilmu dan raihlah kerendahan hati,
jangan nanti belajar di pagi hari,
petang sudah menyanggah ulama itu dan ini.

Tuntutlah ilmu dan bersifatlah rendah hati,
ia kan menarik berkat Ilahi,
umpama magnet bertemu besi.

Tuntutlah ilmu dan teruslah merendah diri,
menjadi seperti resminya padi,
semakin berisi merunduk ke bumi.

Apalah guna ilmu tanpa kerendahan hati,
seumpama Azazil yang bijak bestari,
Akhirnya dilaknat Yang Maha Suci.



Thursday, August 4, 2011

PESANAN ILAHI

وَلَا تَمُدَّنَّ عَيْنَيْكَ إِلَى مَا مَتَّعْنَا بِهِ أَزْوَاجاً مِّنْهُمْ زَهْرَةَ الْحَيَاةِ الدُّنيَا لِنَفْتِنَهُمْ فِيهِ وَرِزْقُ رَبِّكَ خَيْرٌ وَأَبْقَى

Dan janganlah kamu tujukan kedua matamu kepada apa yang telah Kami berikan kepada golongan-golongan dari mereka, sebagai bunga kehidupan dunia untuk Kami cobai mereka dengannya. Dan karunia Tuhan kamu adalah lebih baik dan lebih kekal.


وَأْمُرْ أَهْلَكَ بِالصَّلَاةِ وَاصْطَبِرْ عَلَيْهَا لَا نَسْأَلُكَ رِزْقاً نَّحْنُ نَرْزُقُكَ وَالْعَاقِبَةُ لِلتَّقْوَى
Dan perintahkanlah kepada keluargamu mendirikan shalat dan bersabarlah kamu dalam mengerjakannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan akibat (yang baik) itu adalah bagi orang yang bertakwa.


( Surah Toha; Ayat 132-133 )

Tuesday, August 2, 2011

MUHASABAH RAMADHAN

Kedatangan Ramadhan ini tentunya membawa sebahagian kita melangkahkan kaki ke masjid atau surau berhampiran bagi menunaikan solat Tarawih secara berjemaah. Alhamdulillah.

Namun, ada beberapa perkara yang sepatutnya diambil perhatian oleh kita semua. Antaranya, janganlah kita silap di dalam memahami keutamaan sehingga kita lebih mementingkan solat Tarawih berbanding berjemaah solat Isyak.

Ada kalangan yang sambil lewa berlambat-lambat datang ke masjid atau surau dengan beralasan "Alah! Takpe! Boleh solat Isyak berjemaah dengan orang solat Tarawih..". Tetapi tahukah kita bahawa kelebihannya tidaklah sama, sekalipun ianya tetap ditunaikan secara berjemaah?

Kemudian, oleh kerana bilangan jemaah ramai dan bermacam ragam, maka ada yang terlepas pandang dengan berjalan melintas di hadapan orang yang sedang bersolat sendirian. Jika kita tidak dapat tidak mesti melintas, maka melintaslah di hadapan garis yang biasanya terdapat di karpet itu. Iaitu dengan tidak melintas di antara orang yang bersolat dan garisan di hadapannya, tetapi setelah garisan itu.

Orang yang sedang bersolat pula hendaklah menahan jika ada sesiapa yang hendak melintas di antaranya dan garis hadapannya. Ini sekiranya dia bersolat sendirian. Tetapi jika di dalam saf, dan ada orang yang melintas dihadapan di antara saf, maka tidak perlu dihalang kerana ia bukanlah satu kesalahan.

Ada juga ibu bapa yang membawa anak-anak kecil ke masjid surau. Seeloknya mereka diberitahu awal-awal lagi untuk tidak membuat bising di sana. Tetapi adat budak-budak, bila berjumpa kawan tentunya akan mula membuat bising. Tetapi hal ini janganlah pula menjadikan pakcik-pakcik surau/masjid menengking dan bertempik menjerkah mereka. Beberapa kali juga aku melihat situasi ini berlaku. Bahkan ada satu ketika berlaku di hari Jumaat menggunakan mikrofon pula tu. Nah! Sekarang siapa pula yang patut disuruh jangan bising...

Ini pula tentang hari Jumaat.

Di tempat aku tinggal menyewa sekarang, oleh kerana masjid hanya sudah dibina di atas lakaran kertas oleh arkitek, dan belum lagi muncul di permukaan tanah, maka surau yang ada diizinkan didirikan solat Jumaat. Tetapi ia tetaplah berstatus surau.

Ajaibnya, bila tiba hari Jumaat, ramai yang datang ketika khatib sedang berkhutbah tidak terus duduk mendengarkan khutbah, sebaliknya mendirikan solat 2 rakaat. Jika di masjid tentulah hal ini suatu yang benar, tetapi ini bukannya masjid. Begitu juga yang datang ketika azan, berdiri menunggu azan selesai,baru kemudiannya menunaikan solat. Jika di masjid, tahiyyatul masjid akan luput jika seseorang telah duduk, tetapi surau tidaklah mempunyai solat tahiyyatus surau sepanjang yang aku tahu..

Apapun, nyatanya masih banyak kalangan yang beramal sekadar ikut-ikutan atau mungkin tidak mengetahui sebab musabbab dan perincian amalan harian yang dilakukan.

Tentunya ini menuntut tanggungjawab yang besar daripada semua kita untuk mempelajari agama kita dan menyampaikannya kepada orang lain pula.