Wednesday, April 10, 2013

NOTA-NOTA : AL-MUWAFAQAAT


3.40 petang.

Talaqqi Muwafaqaat kembali bersambung setelah tertangguh hampir dua bulan. Masih di Muqaddimah ke lapan.

Pada Muqaddimah kelapan ini Imam Asy-Shatibi ingin menegaskan lagi bahawa ilmu yang dipuji Allah dan terpuji itu adalah ilmu yang menggerakkan dan menghasung pemiliknya kepada beramal.
Dengan kata lain, nilai ilmu adalah pada amalnya.

Lalu beliau menerangkan tentang martabat manusia yang bergelumang dengan ilmu.

Beliau membahagikan mereka kepada tiga bahagian.

Martabat pertama:
Iaitu para penuntut ilmu. Yakni mereka yang masih lagi berenang di alur taqlid. Mereka ini ilmunya belum lagi menjadi satu yang menggerak mereka kepada amal dengan sebenar-benarnya, kerana ilmu masih lagi tidak menjadi suatu yang lazat dan sebati dengan mereka.

Martabat kedua:
Iaitu mereka yang lebih sedikit daripada tingkatan yang pertama. Mereka ini tidak sekadar berpuas hati dengan taqlid kepada pendapat-pendapat orang lain semata, namun melangkah setapak lagi kepada memerhati dan mengkaji dalil-dalil dan petunjuk2.

Mereka ini juga ilmu belum lagi menjadi penggerak yang sebenar kepada amal. Yakni mereka masih juga memelukan kepada bantuan-bantuan dan asakan-asakan luaran bagi membawa mereka ke medan amal.

Martabat ketiga:
Ini adalah martabat tertinggi di dalam pembahagian Ash-Shatibi. Iaitu mereka yang mana ilmu telah menjadi sesuatu yang seolah-olah satu sifat tabi'e yang tidak mungkin lagi berpisah dengan pemiliknya. Ilmu pada peringkat ini menjadi sebenar-benar penggerak kepada amal.

Bersambung...