Tuesday, October 2, 2012

“Menjaring Lintasan2 Fikiran”


Hati yang alpa daripada melihat kekurangan sendiri 
akan sibuk memandang salah orang lain.

Hati yang menyedari kelemahan diri, banyaknya dosa2, 
sedikitnya amal taat yang dilakukannya, 
akan tunduk dan merendah diri dengan Tuhan dan sesama.

Aku tidak tahu mana satu hatimu antara kedua ini ! 
Kerana aku hanyalah pengawas kepada hatiku sendiri.

***

Rasa ingin berhenti menulis, tetapi teramat rugi jika lintasan2 fikiran yang baik terlepas begitu sahaja tanpa catatan.

Kerana ingatan manusia akan disibukkan dengan banyak perkara sehingga idea2, gagasan2, wawasan2, dan lintasan2 (yang baik tentunya) akan terluput tanpa dapat dimanfaatkan jika tidak dicatat.

Berkenaan hal ini Imam Ibnul Jauzi rahmatullah ‘alaih telah menunjukkan contoh yang baik kepada kita semua dengan mengarang sebuah kitab yang unik bernama  " صيد الخطير " “Shaidul Khatir” yakni “Menjaring Lintasan2 Fikiran”.

Sesuai dengan temanya, kitab ini tidak dikarang dengan bab2 tersusun seperti kebiasaannya kitab2, tetapi tajuk2nya melompat daripada satu tema ke tema yang lain. Kerana begitulah sifatnya fikiran dan lintasan hati kita.

Semoga juga suatu hari nanti kita tidak mengeluh kepada diri sendiri dengan berkata: “Oh, alangkah baiknya jika dulu aku mencatatkan begini dan begitu”. Atau “Dahulu aku pernah terfikir satu cadangan tentang ini, tapi aku sudah lupa bagaimana ingin melakukannya”.. atau sebagainya.

Tetapi jangan pula tulisanmu menjadi bahan penyesalan disebabkan perkataan2 kotor yang engkau gunakan, umpatan2 keji yang engkau tuliskan, gurauan2 "18 tahun ke atas" yang engkau catatkan atau seumpamanya.

Kerana suatu tulisan atau catatan tidak akan habis setakat itu sahaja, namun jika ribuan yang membaca terkesan dengan keburukan yang engkau contohkan maka engkau akan mendapat saham dosa atas setiap apa yang engkau contohkan itu.
Demikian jualah jika sebaliknya.

Kerana setiap goresan pena dan ketukan keyboardmu akan bertukar menjadi pahala atau bahana.
Maka berhati2lah wahai orang yang punya akal yang sejahtera.