Thursday, April 25, 2013

YANG KEENAM...


Dari SINI



Telah menulis Imam As Suyuti rahmatullah ‘alaih di dalam muqaddimah kitab Tarikh Khulafa ( cet pertama 1988, Darul Kutub Al ‘Ilmiyyah, Lubnan; m/s 15 dan 16 ) pada fasal : hal-hal yang berselerakan di dalam biografi....

Telah berkata Ibnul Jauzi rh; telah menyebutkan Ash Shuli rh bahawa manusia mengatakan:
“setiap pemimpin yang keenam akan dijatuhkan / dipecat / digulingkan”. 

Berkata ( Imam Ibnul Jauzi rh ): "Maka aku memerhatikan dengan saksama tentang hal ini, lalu aku kehairanan ( dengan kebenaran perkataan tersebut )!".

Urusan pemerintahan berada di tangan (1) Nabi kita SAW, kemudian (2) Abu Bakr r.anh, kemudian (3) Umar r.anh, kemudian (4) Usman r.anh, kemudian (5) Ali r.anh, kemudian (6) Al Hasan r.anh, lalu beliau dijatuhkan.[1]

Kemudian
1.     Muawiyah r.anh,
2.     Yazid bin Muawiyah,
3.     Muawiyah bin Yazid,
4.     Marwan,
5.     Abdul Malik bin Marwan,
6.     Ibn Zubair r.anh, lalu dia digulingkan.

Kemudian
1.   Al Walid,
2.   Sulaiman,
3.   Umar Ibn Abdul Aziz rh,
4.   Yazid,
5.   Hisyam,
6.   Al Walid lalu dia digulingkan.

Kemudian urusan pemerintahan tidak lagi teratur di tangan Bani Umayyah.

Maka memerintah pula ( daripada Bani Abbasiyah )
1.   As Saffah,
2.   Al Mansur,
3.   Al Mahdi,
4.   Al Hadi,
5.   Ar Rasyid,
6.   Al Amin, lalu dia digulingkan.

Kemudian
1.   Al Makmun,
2.   Al Mu’tashim,
3.   Al Watsiq,
4.   Al Mutawakkil,
5.   Al Muntashir,
6.   Al Musta’iin lalu dia digulingkan.


Kemudian
  1. Al Mu’tazz,
  2. Al Muhtadi,
  3. Al Mu’tamid,
  4. Al Mu’tadhid,
  5. Al Muktafi, dan
  6. Al Muqtadir, lalu dia digulingkan sebanyak dua kali kemudiannya dibunuh.

Kemudian
  1. Al Qahir,
  2. Ar Radhi,
  3. Al Muttaqi,
  4. Al Mustakfi,
  5. Al Muti’, dan
  6. At Thoi’, lalu di digulingkan.

Kemudiannya
  1. Al Qadir,
  2. Al Qaim,
  3. Al Muqtadi,
  4. Al Mustazhhir,
  5. Al Mustarsyid, dan
  6. Ar Rasyid, lalu dia digulingkan.

Tamat perkataan Ibnul Jauzi.

( Kemudian Imam As Suyuti rahmatullahi ‘alaih menyebutkan kritikan Imam Az Zahabi kepada kata-kata Ibnul Jauzi tersebut, lalu dijawab kritikan itu oleh Imam As Suyuti.)

Kemudiannya beliau (Imam As Suyuti) meneruskan:

Dikatakan sebagai tambahan kepada apa yang telah disebutkan oleh Imam Ibnul Jauzi rh:

Memerintah selepas Ar Rasyid adalah
  1. Al Muqtafi,
  2. Al Mustanjid,
  3. Al Mustadhi,
  4. An Nashir,
  5. Az Zhahir, dan
  6. Al Mustanshir iaitu yang keenam, namun dia tidak digulingkan.

Kemudian Al Mu’tashim yang dibunuh oleh Tatar.
Maka itulah akhirnya kekhalifahan.


Seterusnya terputuslah ( kosonglah ) kekhalifahan selama 3 ½ tahun.
Kemudian dinaikkanlah Al Mustanshir, namun tidak sempat memerintah. Ia dibai’ah di Mesir, lalu ia mara ke Iraq lantas ditentang oleh Tatar dan dibunuh.
Lalu kerusi khalifah menjadi kosong lagi selama 1 tahun.

Setelah itu didirikan pula kekhalifahan di Mesir. Maka yang pertama memerintah adalah
  1. Al Hakim, lalu
  2. Al Mustakfi,
  3. Al Watsiq,
  4. Al Hakim,
  5. Al Mu’tadhid, dan
  6. Al Mutawakkil iaitu yang keenam, lalu dia digulingkan.

Memerintah pula
  1. Al Mu’tashim (i), lalu dia digulingkan setelah lima belas hari dan dikembalikan Al Mutawakkil namun digulingkan lagi.

Lalu dibai’ah pula
  1. Al Watsiq, kemudian Al Mu’tashim (ii), lalu dia digulingkan dan dikembalikan lagi Al Mutawakkil yang memerintah sehingga mangkat.

Kemudian

  1. Al Musta’iin,
  2. Al Mu’tadhid,
  3. Al Mustakfi, dan
  4. Al Qaim iaitulah yang keenam daripada Al Mu’tashim yang pertama (1) dan Al Mu’tashim yang kedua (2) lalu dia digulingkan.

Kemudian Al Mustanjid yang sedang memerintah kini ( pada zaman Imam As Suyuti rh ) dan dia adalah khalifah yang ke 51 daripada Bani Abbasiyah.  

Tamat perkataan Imam As Suyuti.


[1] Sayyiduna Al Hasan tidaklah dijatuhkan, bahkan beliau sendiri secara sukarela menyerahkan kekhalifahan kepada Sayyidina Mu’awiyah radhiyalluanhum ajma’iin.


Monday, April 22, 2013

LURUS JIWA



Tidak kan lurus kata-kata,
Sehingga lurus jiwa.

Demikian tidak akan lurus pena,
Sehingga benar lurus jiwa.

Siapakah hari ini peduli,
Tentang lurus jiwa sendiri?

Kerna semua bagai dirasuki,
Virus merasa diri suci.

Dosa orang dicari-cari,
Dosa sendiri tiada peduli.


Wednesday, April 10, 2013

NOTA-NOTA : AL-MUWAFAQAAT


3.40 petang.

Talaqqi Muwafaqaat kembali bersambung setelah tertangguh hampir dua bulan. Masih di Muqaddimah ke lapan.

Pada Muqaddimah kelapan ini Imam Asy-Shatibi ingin menegaskan lagi bahawa ilmu yang dipuji Allah dan terpuji itu adalah ilmu yang menggerakkan dan menghasung pemiliknya kepada beramal.
Dengan kata lain, nilai ilmu adalah pada amalnya.

Lalu beliau menerangkan tentang martabat manusia yang bergelumang dengan ilmu.

Beliau membahagikan mereka kepada tiga bahagian.

Martabat pertama:
Iaitu para penuntut ilmu. Yakni mereka yang masih lagi berenang di alur taqlid. Mereka ini ilmunya belum lagi menjadi satu yang menggerak mereka kepada amal dengan sebenar-benarnya, kerana ilmu masih lagi tidak menjadi suatu yang lazat dan sebati dengan mereka.

Martabat kedua:
Iaitu mereka yang lebih sedikit daripada tingkatan yang pertama. Mereka ini tidak sekadar berpuas hati dengan taqlid kepada pendapat-pendapat orang lain semata, namun melangkah setapak lagi kepada memerhati dan mengkaji dalil-dalil dan petunjuk2.

Mereka ini juga ilmu belum lagi menjadi penggerak yang sebenar kepada amal. Yakni mereka masih juga memelukan kepada bantuan-bantuan dan asakan-asakan luaran bagi membawa mereka ke medan amal.

Martabat ketiga:
Ini adalah martabat tertinggi di dalam pembahagian Ash-Shatibi. Iaitu mereka yang mana ilmu telah menjadi sesuatu yang seolah-olah satu sifat tabi'e yang tidak mungkin lagi berpisah dengan pemiliknya. Ilmu pada peringkat ini menjadi sebenar-benar penggerak kepada amal.

Bersambung...


Tuesday, April 9, 2013

BENING HATI



Kesucian hati bukan pada puisi laras sufi,
Kedekatan pada Ilahi bukan dengan hitam dahi.

Kopiah tajam, serban besar, janggut lebat,
Allah! Bening hati Engkau menatap.




TERBAKAR



Kawan,
Bila lagi kan menziarahiku?

Walau di kejauhan jiwa menyatu,
Namun menatapmu memadam rindu.

Gila! Setelah padam marak ia.
Lebih marak dari semula!

Dan air mata tumpah sentiasa,
Mendingin rindu di dalam dada.

 

Monday, April 1, 2013

NOTA-NOTA : ULUM AL-HADITH


Hadith 'Aziz ialah yang diriwayatkan oleh dua orang perawi. Seperti tersebut di dalam Matn Bayquni.

Apa erti 'Aziz?
1- 'Aziz ertinya Mulia.
2- 'Aziz ertinya Perkasa/ Kuat.
3- 'Aziz ertinya Sedikit/Nadir.

Perkataan 'Aziz menjadi nama salah satu jenis Hadith adalah sebagai nama sifat yang diserupakan (Sifah Musyabbahah) dengan makna lafaznya.

Dari segi manakah keserupaannya?

Dari segi kemuliaannya sudah termaklum.
Dari sudut kekuatannya kerana ia diriwayatkan oleh dua rawi.
Dari segi sedikitnya hadith 'Aziz itu. Hadith 'Aziz hanya terdapat sedikit sahaja.

Apakah darjat pengamalan Hadith 'Aziz?
Ia wajib diamalkan setelah dilakukan penelitian dan istidlal, kerana ia daripada bahagian Hadith Ahad.

Apakah contoh hadith 'Aziz?
Hadith : "Tidak beriman (dengan keimanan yang sempurna) seseorang kamu sehingga aku (Nabi SAW) lebih dikasihinya berbanding ayahnya, anaknya dan manusia seluruhnya."

Hadith ini diriwayatkan oleh Sahabat Anas dan Abu Hurairah r.anhuma.

Tambahan
Apakah dengan hadith itu Nabi SAW melarang kita mencintai yang lain?
Tidak.
Kerana kecintaan kepada semua itu adalah fitrah dan tabiat manusia yang sedia Allah bekalkan. Menghapuskannya dari hati tentulah hal yang di luar kemampuan manusia. Dan Syariat ini tidak menyuruh sesuatu yang di luar batas kemampuan.

Lalu apakah maksud hadith itu?
Maksudnya adalah kita mendahulukan perintah Allah daripada perintah nafsu dan lainnya.
Apabila bertembung antara dua suruhan, suruhan Allah dan lainnya lalu kita mendahulukan suruhan Allah dan Rasul maka kita telah benar beriman seperti yang dikehendaki di dalam hadith itu.

Tamat.

Seterusnya adalah Hadith Gharib.

Apa erti Gharib?
Iaitu terasing, bersendiri.

Iaitu hadith yang diriwayatkan oleh cuma seorang perawi.

Hadith Gharib terbahagi dua:-

1- Gharib Mutlak. Iaitu gharabahnya (kesendirian periwayat yang seorang itu) pada awal/punca sanad. Iaitu cuma seorang Sahabat atau Tabiin meriwayatkannya.

Contoh: Hadith "Sesungguhnya setiap amalan itu dengan niat". Hanya diriwayatkan oleh Sayyidina Umar sahaja.

2- Gharib Nisbi. Iaitu gharabahnya pada mana2 bahagian sanad selain Sahabat dan Tabiin. Nisbi ertinya hanya pada rawi tersebut sahaja gharib, tetapi pada rawi2 yang lain tidak.

Tamat.

UPDATE (14/10/2014): Terjemahan Matan Bayquni (KLIK)