Tuesday, March 17, 2015

Anakku.. (#3)


Anakku..

Kau harus tahu asal usulmu. Cerita tentang orang tuamu. Kisah tentang datuk nenekmu. Orang kita dulu-dulu kaya dengan cerita lisannya. Namun di situlah terletak kelemahannya. Kerana berpada dengan cerita lisan tanpa memeliharanya dalam bentuk tulisan akhirnya menyebabkannya hilang ditelan zaman. Pabila mati yang empunya cerita, segala cerita pun turut dikuburkan bersamanya. 

Kerana itu di sini aku ingin bercerita..

***

Dulu-dulu. Rumah kami tivi memang tak ada. Radio tu adalah sebiji. Pakai bateri Eveready, gambar kucing hitam kena karan. Kalau ada cerita yang syok sikit maka kami berbondong-bondong pergi berhimpun di rumah jiran-jiran yang ada tivi. Macam mana tivi nak ada kalau letrik pun tak ada. Tapi aku teringat dan pernah melihat, di rumah yang ada tivi mereka guna generator atau bateri kereta untuk menghidupkannya.

Kehidupan waktu itu cukup ringkas kalau nak dibandingkan dengan hari ini. Namun di sudut hati, aku lebih sukakan kehidupan sebegitu. Pakaian pun serba ringkas saja. Tidak seperti sekarang, dalam sehari berkali-kali bertukar kain baju.

Oleh kerana hanya berbekal pelita minyak tanah saja, dan minyak tanah juga perlu dijimatkan penggunaannya, jadi waktu malam sebaik saja selesai solat Isyak, jika tak ada sebarang kerja sekolah yang perlu diselesaikan, pelita dipadamkan dan kami semua terus tidur. Bab padam pelita pun boleh jadi satu perkara yang menyeronokkan dimana tidak jarang kami pakat berebut-rebut untuk menghembus apinya. 

Biasanya sebelum waktu maghrib kami sudah bersedia untuk berderet ke telaga yang agak jauh di belakang rumah. Setelah bersedia semuanya maka kami akan mengekori emak untuk ke telaga. Kalau suasana sudah agak gelap kami akan membawa tanglung. Jangan difahamkan tanglung ini seperti tanglung Cina itu, tapi tanglung ini berupa tin minyak masak empat segi kecil yang bertangkai plastik di bahagian atasnya ditebuk bentuk empat segi di salah satu sisinya lalu diletak pelita yang tidak berkaki di dalamnya. Pelita minyak tanah juga ada dua jenis, satu yang berkaki tinggi dan satu yang tidak berkaki. Sampai di telaga juga belum tentu boleh terus mandi kerana perlu menunggu giliran orang yang datang lebih awal.

Kadang-kadang hari ini terlintas juga di fikiranku bagaimana kehidupan yang begitu dapat dilalui dengan selamba yang mana jika hendak dilalui semula di waktu ini tentu akan terasa betapa sukarnya.

Jika kena musim kemarau mencedok air telaga memang sangat perit kerana air jauh ke bawah.  Kalau malas cukup tiga kali cedok dan simbah kepala siaplah mandinya. Tapi emakku seorang yang sangat rapi orangnya. Kalau mandi dengan emak mesti kena bersabun. Kaki tangan kami akan digosok menggunakan berus sabut. Kemudian disuruh duduk dan pusing belakang untuk diberus belakang badan pula. Begitulah pembersih dan rapinya emak. 

Kalau rumah pula hari-hari diberusnya lantai papan di ruangan dapur rumah sehingga papan tersebut menjadi putih warnanya dek setiap hari digosok. Di bawah dan halaman rumah pula semestinya disapu bersih sehingga tidak berjumpa sehelai daun jua pun. Zaman itu pencakar seperti yang biasa diguna kini belum lagi ada meluas digunakan. Hampir semua menggunakan penyapu halaman yang diperbuat daripada pokok pagar anak. Penyapu ni memang efektif. Hasilnya halaman rumah bersih sebersihnya. Hanya tinggal hamparan pasir lada saja.

Rumah kami pula rumah papan yang kecil.  Hanya ada sebuah bilik. Kemudian disekat di ruangan dekat dapur menjadi sebuah bilik lagi. Padaku rumah papan lebih bagus berbanding rumah bata atas tanah seperti sekarang. Rumah papan lebih bersih dan sejuk pula.

Ah, nantilah ayah cerita lagi..