Friday, October 10, 2014

ULUM AL-HADITH : TERJEMAHAN MATAN BAYQUUNI



Kata guru saya meriwayatkan perkataan ulama:



من حفظ المتون نال الفنون

"Sesiapa menghafal matan kan menguasai pengetahuan"

Maka barangsiapa yang berhasrat berkenalan dengan Ulum Al-Hadith seeloknya ia berusaha menghafaz beberapa matan di dalam ilmu ini.

Sebagai permulaan bolehlah ia menghafaz matan yang ringkas bernama Matan Bayquuni. Ia berisi pengenalan beberapa daftar istilah utama dalam ilmu Mustolah Hadith yang tidak wajar seorang penuntut ilmu Syar'ie menjahilkan diri tentangnya.

Berikut ini saya mencuba terjemahkan secara terus Matan tersebut daripada hafalan dengan sedaya mungkin upaya mengekalkan gaya syairnya. Moga2 bermanfaat untuk diri saya pertamanya, dan untuk sesiapa yang bertandang keduanya.

Apa2 yang baik itu daripada Allah jua, kekhilafan dan salah itu daripada saya.

***



Terjemahan Matn Bayquuni


Ku mulakan dengan pujian sambil berselawat ; buat sebaik-baik Nabi yang diutuskan bernama Muhammad,

Inilah dia beberapa pembahagian hadith ; setiap satunya datang bersama istilah dan takrif,

Pertamanya SAHIH iaitulah yang bersambung ; isnadnya dan tidak syadz serta tidak cacat,

Rawinya adil, dhabit meriwayat daripada yang semisalnya ; lagi dapat dipercaya kedhabitan dan periwayatannya.

HASAN pula dikenal banyak jalan riwayatnya namun ; perawinya tidaklah masyhur seperti rawi sahih.

Dan setiap yang kurang daripada martabat Hasan ; maka itulah DHAIF yang banyak pula bahaginya.

Apa-apa yang disandarkan pada Nabi, itu MARFU’ ; jika pada Tabi’en itu pula MAQTU’.

MUSNAD itu isnadnya bertalian daripada ; rawinya hingga Yang Terpilih tanpa putusnya,

Dan setiap sama’ segala rawi yang bersambung ; isnadnya kepada Yang Terpilih maka itu MUTTASHIL.

MUSALSAL katakan setiap yang datang sama cirinya ; umpama “Ketahuilah! Demi Allah telah memberitahuku pemuda itu..”,

Begitu juga “Sungguh! Ia telah bicara kepadaku sambil berdiri” ; Atau setelah berkata “Haddatsani” seraya tersenyum.

‘AZIZ itu rawinya dua atau tiga ; MASYHUR pula rawinya lebih daripada tiga.

MU’AN’AN umpama kata rawi “‘an Saied, ‘an Karom” ; Manakala MUBHAM ada rawi tidak disebutkan.

Semua yang sikit rawinya itu ‘ALI ; lawan kepadanya itulah NAZIL namanya.

Apa saja engkau sandarkan kepada Sahabat ; tak kira ucapan atau perbuatan, MAWQUF lah ia dikatakan.

MURSAL pula gugur rawi Sahabat ; tentang GHARIB perawinya seorang saja,

Setiap yang tak kira apa keadaan tidak bersambung ; isnadnya, MUNQATHI’ nama gelarnya.

MU’DHAL yang gugur dua rawi ; MUDALLAS datang dengan dua jenis,

Pertamanya digugur syeikhnya serta ; diriwayat langkau ke atas dengan lafaz “Bahawasanya” dan “Daripada”.

Jenis kedua tidak digugur syeikh tapi disebut ciri ; syeikhnya dengan sifat yang tidak ma’ruf.

Apa yang seorang rawi tsiqah bercanggah dengan ramai tsiqah lainnya ; itu SYADZ, MAQLUB pula dua bahaginya,

Satunya tukar rawi dengan rawi lain ; kedua tukar isnad dengan bukan matan aslinya.

FARD kadang dikait dengan seorang rawi tsiqah, atau kumpulan atau menyendiri dengan satu riwayat.

Setiap yang memiliki cacat tersembunyi padanya ; gelar  MU’ALLAL dikenal di sisi mereka.

Yang bertentang isnad atau kadang pada matan ; bernama MUDHTARIB di sisi para ahli.

MUDRAJ dalam hadith terjadi ; bila sebahagian lafaz rawi bersama matan terangkum sekali.

Riwayat seorang dari sahabatnya ; namanya MUDABBAJ kenal dan ingatlah sentiasa.

MUTTAFIQ sama tulisan dan lafaznya ; jika tidak maka ia dipanggil MUFTARIQ.

MUKTALIF sama tulisan berbeza lafaznya ; lawannya MUKHTALIF hati-hati jangan terkecoh.

MUNKAR diriwayat seorang sahaja ; yang dengan bersendirinya tak ditanggap riwayatnya.

Dusta dan karut yang direka-reka ;  sandar pada Nabi MAUDHU' namanya,

Inilah umpama mutiara indah sekali ; ku namakan ia MANZHUMAH BAYQUUNI,

Terjalin dari empat puluh tiga bait tercatat ; kemudian puji bagi Allah sebagai penamat.

 ***

Terjemahan syi’ir oleh:

~alfindani~

01:17 pagi, 10/10/2014, Malam Jumaat.
من حفظ المتون نال الفنون

 p/s: Ini adalah terjemahan Matan sahaja. Dan setiap matan perlu kepada syarahnya. Cuma entry kali ini bukanlah tempatnya.



Tuesday, October 7, 2014

ALLAH DI LANGIT?


Ini adalah perkara yang menarik minat sebahagian manusia untuk diperdebatkan. Seharusnya bukan hal itu yang patut dipertegang urat leher untuk mempertahan masing2 hujah, namun yang lebih patut difikirkan adalah "engkau sendiri itu nantinya di mana? Syurgakah atau neraka?"

Ketika manusia cuba menyibuk tentangNya, Dia lalu berkata: "Dia tidak akan ditanya tentang apa yang diperbuatnya, bahkan merekalah yang nantinya akan ditanya ( tentang segala yang diperbuat di dunia )".. 

Bertautan dengan hal ini juga, kita melihat sebahagian manusia bermain dan mempermain hujah sehingga kepada tahap yang jika difikir-fikir dan diamat-amatinya kembali nescaya ia menyungkur dan tidak akan bangun2 lagi daripada hamparan taubat.

Terkadang sepatah kata boleh jadi mungkin membuatmu terlempar sedalam tujuh puluh tahun perjalanan cahaya ke dasar Jahannam, sedangkan si penuturnya ketawa mengekek ketika melafaz atau menuliskannya berselimut kejahilan dan kecongkakan dirinya. Ohh.. Kita berlidung kepada Allah daripada hal2 sebegini.

Ada pula yang ingin mematah hujjah pihak berlawanan dengan mendatangkan hujjahnya dengan penuh rasa bangga seakan hujjah bawaannya itu adalah halilintar yang menumbangkan sepohon pokok yang menjulang dengan sekali sambaran, namun di sisi yang lain dilihat oleh yang punya akal hanyalah sepatah kata rapuh umpama sebatang lidi yang amat mudah dipatahkan.

Mari kita lihat contohnya:

Pihak A: Jadinya kamu mendakwa Allah itu dilangit?
Pihak B: Ya.
Pihak A: Kalau begitu aku ingin bertanya kamu: Sebelum Allah menciptakan langit Allah duduk di mana?
Pihak B: ???..

Begitulah kisahnya yang cuba digambarkan oleh mereka yang berpendapat "Allah itu tiada bertempat". Kisah itu dimatikan setakat itu bagi memberi makna bahawa hujjah yang amat mudah itu sebagai paku terakhir bagi keranda dakwaan Pihak B yang mendakwakan "Allah di Langit"

Di sini saya bukanlah ingin menyebelahi iktiqad Pihak A atau Pihak B. Cumanya adalah mahu menunjukkan kerapuhan hujjah Pihak A tersebut yang disangkanya satu mantik yang maha kukuh bagi membungkam Pihak B.

Hujjah tersebut sebenarnya dengan mudah dipatahkan begini:

Pihak B: Kita bermuzakarah ni ketika langit sudah diciptakan atau belum?

Bagi yang cepat menangkap, maka kata2 wajar berhenti di sini. Namun bagi yang kurang jelas, maka inilah lanjutannya..

"Jika bicara kita ini berlangsung dan langit telah ada sedia dicipta, maka kata2 kami bahawa Allah di langit adalah absah tentunya. Namun seandainya engkau cuba menafikannya, maka ucapan orang mengigau memanglah tidak perlu diambil kira."

Demikianlah adanya..

~alfindani; 07/10/2014 (Selasa, 8.22 pg)~


p/s: Dalam hal sebegini pendirian saya adalah sebagaimana yang terdapat dalam dua perenggan yang pertama entry ini.. Adapun fokus entry ini adalah tentang cara berhujjah. Harap maklum.