Tuesday, May 14, 2013

MENJERNIHKAN SALAH FAHAM TERHADAP PERJUANGAN KEBANGSAAN - #2




Sambungan dari SINI..

Manakala kebangunan rasa kebangsaan berkobar-kobar di negeri asal orang dagang itu seperti Indian dan Cina maka perasaan politik itu terbabit dan terbawalah ke Malaya ini sesudah mereka dapat kedudukan yang baik dalam ekonomi dan pelajaran mereka menuntut pula di dalam hak berpolitik. Hak berpolitik HANYA ada pada Bumiputera sahaja di mana2 jua dalam dunia ini, maka mereka tidak boleh dan memakaikan pula nama Melayu malah orang memandang rendah pula kepada bangsa Melayu. Maka sebagaimana bangsa Inggeris dapat memakaikan panggilan Malayan pada jawatan sedang orang Melayu pun tak ambil berat pada sebutan Malayan masa itu maka mereka ambil peluang menggunakan nama Malayan itu.

Orang yang menamakan dirinya Malayan itu bolehlah dibahagikan:-
  1. Golongan yang betul putih hati hendak berwatankan (bernegarakan) Malaya.
  2. Golongan mencari dua belah kepentingan.
  3. Golongan terikut-ikut.
Dengan bertambah luasnya ladang2 dan lombong2 di Malaya dan pecahnya perang China-Jepun dahulu, bertambah banyaklah orang Cina dan India datang ke Malaya ini.

Dalam masa pendudukan Jepun dan setelah tamat Perang Dunia Kedua perjuangan Malayan itu bertambah-tambah besar hingga merupakan satu factor yang tiada dapat diasingkan dari soal Malaya sehingga kerajaan British membawakan perlembagaan Malayan Union.

Mana janji dan apa perlindungan British.

Triti Michael (Harold Mc Michael) dan datangnya perlembagaan Malayan Union sangat mengejutkan perasaan bangsa Melayu. Walaupun demikian  golongan kebangsaan Melayu yang progresif berani menyambut satu Malayan Union dengan syarat bersetuju dan selaras kandungan perlembagaan dengan hasrat dan cita2 kebangsaan Melayu. Begitupun sehingga hari ini soal yang di atas itu masih belum bangsa Melayu dapat jawapan yang menyenangkan hati demikian jua perasaan itu masih demikian jua sehingga sesudah berjalan Perlembagaan Federation. Kedudukan ekonomi dan pelajaran orang yang bukan Melayu telah mengatasi Melayu, sekarang kedudukan politik pula dilapangkan.

Menyatukan Dua Cita2

Angkatan Kebangsaan Melayu Muda setelah menghalusi dan insaf pada duduk perkara yang sebenar dalam cita2 kebangsaan Melayu dan perjuangan Malayan. Menampak dan menjelaskan bahawa rancangan Federation tak dapat menjamin dan menegakkan keamanan dan kemakmuran Malaya.

Perkara yang mesti disedari oleh orang Malayan ialah Malaya hak Melayu. Malaya tuan rumahnya Melayu. Malayan hendak serumah dengan Melayu- Melayukah mesti meleburkan perjuangan kebangsaan kedalam kebangsaan Malayan atau Malayan melebur ke dalam kebangsaan Melayu? Padahal Melayu sedar merekalah yang terbanyak bilangan dihitung panjang daripada Malayan yang tulin atau yang setengah tiang. Soal ini ada orang memandang sentiment tetapi sebenarnya tidak kerana perpecahan kebangsaan Melayu cuma di antara Nun dan Ku[1] tetapi di dalam perjuangan Melayu masih banyak pancarobanya lagi. Dan lagi atas nama bangsa Melayu atau perjuangan Melayu hingga makalah ini ditulis belum lagi ada membuat satu ikrar atau persetiaan baharu menukar kebangsaan Melayu kepada kebangsaan Malayan.

Tetapi kerumitan dan kesulitan yang besar dalam soal kebangsaan ini jalannya telah dapat dilorong dan diatasi oleh 10 anggaran dasar PUTERA. Malayan dan Melayu telah merupakan bersatu padu dan menghormati anggaran dasar yang sepuluh itu di bawah pimpinan Kebangsaan Melayu yang tulen dan bulat, bukan Kebangsaan Melayu dipimpin oleh Malayan. Maka cita2 dan gerakan kebangsaan Melayu yang tulin dan waras itu dituduh pula dengan tuduhan yang tiada waras, maka jadilah Malaya tidak waras hingga hari ini.[2]

Terlambat Dan Salah Tiru.

Pergerakan Kebangsaan Melayu yang sebenar menyedari pentingnya perhubungan dan pertalian dengan British tetapi hak dan keadilan kebangsaan Melayu hendaklah dibuktikan menurut semangat triti2 yang lalu. Tenaga kebangsaan Melayu yang tulen adalah tenaga yang kuat dan perkasa dapat dipergunakan untuk kepentingan mempertahan dan mengawal maslahat bersama yang hak dan adil.
Cadangan Jawatankuasa Di antara Bangsa2 (CLC) itu telah pun ditegur dan dibangkang oleh bangsa Melayu yang sedar –di setengah tempat dan bahagian membayangkan “seperti beruang sayangkan tuan”,[3] “kapak naik pemidang”, mencapak perjuangan Kebangsaan Melayu. Penganjur mengekor maka bagaimanakah rakyat Melayu dapat meletakkan harapan yang mendatangkan perubahan nasib mereka yang dicita2. 

Sementelahan pula di dalam golongan pemimpin Melayu yang menyokong (CLC)  itu telah menunjuk dan menyuarakan tak setujunya yang boleh ditinjau mungkin menjarak dan membawa pertelingkahan di antara kaum hingga dalam satu2 kaum itu sendiri maka bagaimanakah diharap sokongan rancangan atau cadangan yang bertentangan dengan rasa pusaka dan hasrat perjuangan Kebangsaan Melayu yang tulen yang ingin aman dan damai serta kukuh berpegang kepada adat istiadat dan kebudayaannya.

Meniru Malaya menjadi Malayan membandingkan America-American, Indonesia-Indonesian itu cara (CLC)terang2 sudah ketewasan kedudukan dan hak Melayu bila dihalusi daripada dua segi perjuangan Melayu dan Malayan. Malaya dan Malayan pada orang Melayu serupa seperti kedudukan Netherland East Indias (Hindia Timur Belanda, N.E.I) di Indonesia dahulu sedang Indonesia dan Indonesian gerakan Nasionalis yang mutlak dari umbi2nya, maka Malaya-Melayu itulah gerakan kebangsaan yang mutlak dan tuan rumah yang mutlak.

Tamat.

***

p/s:
1.  Perjuangan Kebangsaan Melayu bukanlah 'asobiyyah  yang dicanang2kan sebagai bercanggah dengan Islam dan ditegah oleh Nabi SAW. Sebaliknya 'asobiyyah yang ditegah itu adalah membela puak atau bangsa atau kabilah sendiri sekalipun puak, kabilah, bangsa,parti itu melakukan kezaliman dan dosa.

Seandainya sebuah parti/jemaah yang berlabel Islam sekalipun, jika terdapat padanya sikap yang dinyatakan itu, maka itulah 'asobiyyah yang bertentangan dengan Islam.

2. Dr. Burhanuddin Al-Helmi adalah seorang Nasionalis Melayu yang tulen bersama angkatan sahabat2 beliau yang lain. Daripada tulisannya ini dan lainnya kita boleh melihat sikap beliau yang kurang atau boleh kita katakan tidak bersetuju dengan golongan kanan seperti Umno ketika itu yang dilihat lemah, tidak berani menyatakan hak Melayu ke atas bumi Malaya dan terlalu bertolak ansur sehingga terjerat di dalam muslihat British.

Di dalam makalah di atas kita melihat bagaimana beliau dengan tegas menyatakan Malaya adalah hak mutlak Melayu. Ia diibaratkan sebagai tuan rumah, dan orang dagang (pekerja asing Cina dan India yang dibawa masuk oleh British) adalah tetamu, mana mungkin tetamu berbuat sesuka hati di rumah orang lain bahkan sampai mahu menyingkirkan tuan rumah untuk mengambil alih rumah pula!

Bahkan Dr. Burhanuddin di dalam ucapannya di dalam bulan Julai sebelum Ogos 1957 (akan saya rumikan dan siarkan di sini insya Allah) menyifatkan kemerdekaan yang bakal diberi British sebagai kemerdekaan yang tidak sempurna. Ini disebabkan antaranya adalah Umno telah termasuk jerat British serta menerima jus soli yang dahulunya ditentang semasa Malayan Union.

Gerakan Kebangsaan Melayu progresif yang disebut-sebut di dalam makalah beliau adalah gerakan Nasionalis Melayu yang dibungkam dan diharamkan oleh British. Merekalah sebenarnya antara para pejuang kemerdekaan yang dilupakan.

Makalah di atas ditulis dalam tahun 1950. Cara orang Melayu memandang buruh2 asing Cina dan India ketika itu adalah sama seperti rakyat Malaysia memandang pekerja2 pendatang asing daripada Bangladesh, Myanmar, Indonesia dan lainnya. Jika anda para pembaca melihat video2 yang dimuat naik oleh pengundi2 Cina ketika PRU 13 baru2 ini (berlambak di Youtube) menunjukkan tingkah laku mereka yang agresif terhadap warganegara Malaysia yang dituduh Bangla anda akan dapat memahami perasaan Orang Melayu sebelum 31 Ogos 1957 terhadap pendatang2 Cina dan India ketika itu. Namun Melayu yang bersopan santun (baca: segan silu/ apologetic) dan bersikap tidak apa tidaklah sampai bertindak agresif seperti sikap mereka di dalam video2 tersebut.

Sikap dan prinsip ketegasan Dr. Burhanuddin sememangnya menjadi idaman untuk kita lihat pada ahli2 politik Melayu di zaman mana pun. Jika di tahun-tahun 50an beliau sudah mengkritik kelembikan golongan kanan (Umno?) yang ketika itu berjuang sememangnya turut memperjuangkan Kemerdekaan dengan cara yang mereka yakini, maka bagaimanakah sekiranya jika beliau melihat Umno hari ini yang sudah menjadi alat perjuangan memenuhkan tembolok dan mengaut laba diri sebahagian besar para pembesarnya?

Wallahu a’la wa a’lam.



[1] Mungkin yang dimaksudkan adalah pertukaran kepimpinan Umno yang baru berlaku sebelum itu dengan keluarnya Dato Onn (nun pada hujung nama ejaan jawi) menubuhkan IMP dan digantikan Tunku (Ku pada hujung nama) -alfindani
[2] Merujuk kepada tekanan2 dan tuduhan2 yang membawa kepada pengharaman danpenangkapan tokoh nasionalis melayu yang digelar nasionalis kiri seperti pengarang, boestamam dan lain2. -alfindani
[3] Peribahasa menggambarkan pertolongan yang tak kena cara boleh membawa bencana. Seperti seekor beruang peliharaan yang melihat nyamuk di pipi tuan kesayangannya ingin menunjukkan sayang dengan menampar nyamuk tersebut, sudah tentu tamparan beruang itu lebih dahsyat daripada sekadar gigitan seekor nyamuk -alfindani