Monday, February 8, 2010

re: HIDUP ADALAH HIMPUNAN PERSEPSI


Suatu waktu dahulu,
Di Dunia Yang Tidak Terlihat..:

“Jiwa-jiwa adalah seumpama tentera-tentera yang berbaris.
Mana-mana yang saling menghadap akan saling berkasihan,
mana-mana yang saling membelakang akan berjauhan”

Antara kita telah ada yang saling berkenalan dahulu.

Kerana itu terkadang engkau akan dapati dalam kehidupan ini
Sekali-sekala, bilamana engkau berjumpa
Seseorang buat pertama kalinya,
Namun jiwamu terasa dekat dengan jiwanya,
Bahkan engkau merasa seakan-akan pernah melihatnya Tetapi hanya engkau tidak pasti bila dan di mana…

Déjà vu

Ya, itu perkataan yang terkenal untuk menyatakannya..

Pernahkah engkau terfikir atau berfikir sejenak, mungkinkah engkau telah mengenalinya
‘suatu waktu dahulu’?


Di dunia ini ada lelaki-lelaki yang saling mengasihi
Dan bahkan mencintai,
Bukan kerana nafsu syaitani,
Bukan pula kerana ingin bermaksiat kepada Ilahi..


Malam-malam yang panjang telah mereka rentasi 
Bersama-sama merenung langit dan bintang-bintang, 
Lalu jiwa mereka terbang
Ke Alam Yang Tidak Terjangkau.

Keagungan Tuhan mereka resapi,
Dan jiwa-jiwa menjadi bertambah cinta…


Dunia ini penuh keajaiban,
Dan dalam dirimu terdapat alam yang lebih luas
Berserta keajaiban-keajaiban yang mencengangkan.

“Dan pada dirimu, apakah kamu tidak memerhatikan?”

re: TANGISAN


Selalunya tangisan adalah kerana kesedihan..
Terkadang tangisan kerana kegembiraan…
Seringkali juga tangisan disebabkan kerinduan yang mendalam…


Bahkan tidak tersembunyi dari kita bahawa tangisan kadangkala kerana keterharuan yang sukar ditafsirkan…


Rasul memberitahu Ubay bin Kaab r.a di satu hari;
“ALLAH menyuruhku untuk membacakan surah Al Bayyinah kepadamu”

Ubay r.a kembali bertanya;

“wahai Rasulallah, apakah ALLAH menyebutkan namaku?”
“Demikianlah”, jawab Rasul.
Lantas Ubay tersedu-sedan dalam keterharuan…
isk….

re: MARTABAT CINTA


Mencintai untuk dicintai..

Mencintai apabila dicintai..

Mencintai dan larut dalam cinta…
Sekalipun sang kekasih membisu tanpa kata..

re: PERIHAL CINTA


Cinta benar-benar ajaib..
Ia membakar hangus kesakitan dan keperitan,
Namun di kala
yang lain
Ia menyakitkan dan memeritkan…



Cinta benar-benar mengundang kehairanan..
Kerana cinta;
Seorang sanggup berkorban demi kekasihnya.
Kesenangan sanggup ditinggalkan.
Keperitan ibarat hiburan.


Kerana cintalah
Seseorang akan memperolehi kemanisan iman..


Kerana cinta jugalah
Seseorang akan dikumpulkan dengan yang dicintainya
Di hari kebangkitan..



Kerana cinta itulah,
seseorang akan menempati mimbar-mimbar khusus
Daripada cahaya di dalam syurga..




Seorang datang menemui Nabi SAW dan bertanya bilakah hari kiamat. Rasul kembali bertanya; “apakah yang kamu sediakan untuk menghadapinya?”
ohh.. "aku tidak menyediakan solat dan puasa yang banyak. 
Namun! Aku amat menyintai anda..”

Rasulullah membalas; “seseorang akan bersama siapa yang dicintainya”.. 
Anas r.a menyatakan; “tiada yang lebih menggembirakan kami setelah Islam selain ucapan Rasulullah SAW itu..”


Ya! “Seseorang akan bersama kekasihnya..”


Oh engkau...
Apa pendapatmu jika sang kekasih adalah ALLAH dan RasulNya?
....isk,isk,isk…





re: ORANG YANG BIJAK

Perbezaan tingkatan manusia



Ada yang menganggap keburukan adalah kebaikan
Lantas ia larut di dalam keburukan.





Ada lagi yang yang sekadar dapat mengenalpasti
Antara kebaikan dan keburukan.





Ada juga yang sekadar dapat memilih
yang terbaik di antara dua kebaikan.





Namun yang terbijak adalah
yang berjaya memetik kebaikan daripada keburukan.



re: APASAL LA ENGKAU MALAS SEMBAHYANG

kredit: info ni di copy paste dari site yang copy paste jgk tapi
aku dah tak ingat ktne..apepun layaan je..


Apasal la engkau malas sembahyang,
Tuhan kasi engkau jasad siap dengan bayang-bayang,
Bukan ke lebih beruntung daripada dari tiang,
Berdiri tanpa roh malam siang......

Apasal la engkau malas sembahyang,
Kerja dah best keluarga pun dah senang,
Negara pun dah aman tidak lagi hidup berdagang,
Takkan lima minit lima waktu engkau tak boleh luang....

Apasal la engkau malas sembahyang,
Tuhan kasi otak supaya engkau tak bangang,
Tuhan kasi ilmu boleh fikir susah senang,
Tuhan kasi nikmat kenapa engkau tidak kenang...

Kenapa la engkau malas sembahyang,
Main bola engkau sanggup sampai petang,
Beli tiket konsert engkau sanggup beratur panjang,
Apa engkau ingat masuk syurga boleh hutang...?

Apasal la engkau malas sembahyang,
Engkau kena ingat umur kita bukannya panjang,
Pagi kita sihat petang boleh kejang,
Nanti dalam kubur kena balun sorang-sorang...

Apasal la engkau malas sembahyang,
Siksa neraka cuba la engkau bayang,
Perjalanan akhirat memang terlalu panjang,
Janji Allah Taala akan tertunai tak siapa boleh halang !!



p/s: walaupun anda ingin 'nakal-nakal' tapi semayang jangan la tinggal. adeu.:)

re: INDAHNYA HIDUP BERSAMA AL-QURAN


Pernahkah engkau menjalani hidup bersama Al-Quran?
Meredah denai kehidupan bersama ahlinya?
Menangis dan tersenyum gembira bersamanya?



Marilah aku kisahkan padamu secuit kisah ...
Kisah kehidupan bersama AlQuran.
Kisah permusafiran bersama kafilah ahli-ahlinya..
Kisah tangis dan senyum bersamanya…


Ini adalah sebuah kisah yang asing.
Selingkar kisah bersama orang-orang yang asing..

Tidak ku nikmati lagi hidup seindah itu
Tatkala kaki-kaki kami melangkah
Meninggalkan sebuah daerah penuh berkah
Di mana Kalam Allah sentiasa beralun
Siang dan malamnya..


Ia memenuhi dada-dada..
Menjemput esak tangis tika mana kerinduan kepada akhirat
Tidak tertahankan..
Kerinduan kepada Rasul junjungan menjadi igauan…
Ohhh…


“betapa kami masih mengingati suatu ketika,
Hari-hari di mana kami cukup berbahagia,
Bersama Kitab Allah
Yang ayat-ayatnya kami alunkan
Di setiap pagi dan petang”
-petikan nasyid Ghurabaa’ oleh Saad Ghamidi-


Seperti mana Ghamidi berkata,
Seperti itulah hatiku merasa.


Pernahkah engkau berdiri di dalam saf yang tersusun rapi
Dan ayat-ayatNYA dibacakan sang imam
Dan hati-hati seolah ingin terbang
Di sana sini terdengar esakan yang cuba disembunyikan
Kerana besarnya penghayatan 
Pada ayat yang dibacakan…


Pernahkah engkau menemui situasi
Di mana seorang sahabat tidur sebentar
Setelah penat menghafal ayat-ayatNya
Dan tiba-tiba ia berkata-kata di dalam tidurnya
Sedangkan igaunya itu tidak lain melainkan AlQuran semata-mata!!


Wah! Alangkah ajaibnya ketika aku melihatnya!
Betapa jiwa sahabat ini dipenuhi KalamNya,
Sehingga mimpinya juga AlQuran semata!


Hidup bersama AlQuran
Menjadikan dunia ini hina dalam penglihatan
Perhiasannya hanyalah tipuan
Cumbu rayunya hanyalah kebinasaan
Kerana hati sentiasa dibuai keindahan syurga idaman..


Ohh engkau!
Carilah sebuah kehidupan bersama Al-Quran!
Dan engkau akan benar-benar hidup
Di kala manusia semuanya diselimuti “kematian”


re: SEBUAH PERTEMUAN


Semalam, 13 April 2008, 
PWTC, Pesta Buku Antarabangsa
Pertemuan tak disangka
Dengan seorang sahabat lama.

Aku kagum melihat kejernihan wajahnya.
Aku yakin ianya adalah pancaran nur Al Quran
Yang menerangi hatinya sentiasa
Lantas terpancar melalui wajah dan kilau sinar matanya.


Kaget sehingga kami tidak berpelukan seperti biasanya
berbual kami sebentar cuma,
Terlalu singkat bagi sebuah pertemuan yang hangat.
Dan sepanjang pertemuan itu
Tangannya erat menggenggam tanganku
Seakan tidak mahu melepaskan


Aku dapat merasakan aliran cinta
Yang mengalir melalui genggam jemarinya
Aku dapat merasakan hangat rindunya
Setelah lamanya perpisahan
Dan betapa aku telah berubah banyak
Sedang dia masih istiqamah seperti dahulunya


Mungkinkah dia sendiri merasa
Bahawa aku telah tersasar
Dan genggamannya yang erat membawa isyarat
“kembalilah menjadi dirimu yang dahulu wahai sahabat..


Mungkinkah dari pengalaman kami bersahabat
Serta pancaran kejernihan hatinya
Lalu ia melihat
Nur pada wajahku sudah mula memudar
Dan genggaman erat jemarinya berbicara
“Kembalikanlah nur Al Quran yang dahulunya
Di wajahmu sentiasa terpancar sinarnya..”


Dan kami berpisah
Setelah aku menanyakan arah
Dan akhirnya kami berpelukan
Setelah itu meneruskan langkahan..


Semenjak saat itu dan sehingga kini
Aku tidak lepas berfikir dan bermuhasabah
Ohhh… betapa aku telah hilang arah
Sedang para sahabatku telah jauh melangkah..


Di ruang ini aku bertafakur
Sampai bila aku ingin terus-terusan begini
Bagai mengejar fatamorgana di tengah hari
Seolah berlari mengejar pelangi

Ku capai semula mushaf kecilku
Lama benar tidak ku sentuh “dirimu”
Dan aku mula membaca
Ayat-ayat suci ini benar-benar meruntun jiwa…


Oh engkau!
Milikilah sahabat yang benar
Yang mana melihatnya sahaja sudah mengingatkanmu
negeri akhirat
bergaul dengannya menjadikan dirimu sentiasa ingat
ujarannya adalah ibarat
perbuatannya adalah teladan
renungannya sahaja cukup menjadikanmu rindukan TUHAN…


Ohh Mentari Kehidupanku!
Himpunkan kami seperti dahulu…

RE: ANEKDOT LAYAAN..

Satu hari Juha berjalan masuk ke pasar ( zaman Baghdad 1001 malam nih ).

Juha berdiri di tengah-tengah pengunjung pasar lalu berteriak,
"Mari-mari! ada berita penting Juha nak beritahu!"
Manusia-manusia mula mengerumuni Juha.

"Adakah tuan-tuan semua tahu apa yang saya akan beritahu
tuan-tuan hari ini?", soal Juha.
"Manalah kami tahu sebab engkau belum pun beritahu
kami!", orang ramai membalas separuh bengang.

"Huh! kalau begitu maka kamu semua orang yang jahil
kerana orang jahil ialah orang yang tidak tahu!
dan aku tidak suka berbicara dengan orang jahil!"
kata Juha
dengan selamba sambil berlalu pergi.

Esoknya Juha datang lagi ke pasar dan berteriak seperti semalam.
Orang ramai mula mengelilingi Juha semula.
"Apakah tuan-tuan tahu apa yang akan saya beritahu tuan-tuan
ini?" ujar Juha.
Mengingatkan peristiwa hampeh semalam maka mereka menjawab,
"ya, ya, kami sudah tahu!"
"Huh!" dengus Juha.
"kalau begitu tak perlu lah aku beritahu kamu
semua kerana kamu sudah tahu semuanya"
, Juha berkata
sambil berjalan pergi dengan selamba..

Esoknya Juha datang lagi ke pasar danberteriak lagi seperti
selalunya.
Para pengunjung mula mengelilinginya. Kali ini mereka
semua berpakat untuk mengenakan Juha pula.
"Tuan-tuan semua. Adakah tuan-tuan sudah tahu apa yang
akan saya beritahu hari ini?"
ujar Juha.

Mendengar itu, orang ramai pun menjalankan helah mereka.
"Kami tidak tahu!" jawab sebahagian mereka dan
sebahagian yang lain pula berkata
"Ya, ya kami sudah
tahu!". "Juha pasti akan terkena hari ini"
, fikir mereka.

Namun Juha hanya tersengih.

"Huh! kalau begitu, hendaklah orang yang tidak tahu bertanya
kepada yang tahu dan orang yang tahu hendaklah
memberitahu kepada sesiapa yang tidak tahu".

Juha tersenyum sendiri sambil berjalan pulang
dengan keselambaan beliau... Heh!






p/s: Juha adalah watak pandir yang cerdik di dalam
cerita-cerita Arab klasik.

Re: JIKA ENGKAU PUNYA AKAL, MAKA FIKIRKANLAH

Suatu malam, di zaman bekalan elektrik belum masuk lagi di sebuah kampung terpencil..

Seorang anak kecil di pangkuan bapanya dan sebuah pelita yang menerangi rumah buruk mereka..Cuaca malam itu sejuk..Si Ibu sudah tertidur dengan seutas
tasbih masih erat di jemari..Sekali sekala
angin berhembus ke dalam rumah melalui sela-sela dinding yang
sememangnya menanti roboh akibat sudah lama dimakan bubuk..

Si ayah masih leka menatap kitab tuanya..Kitab jawi..Entah apa yang ditelaahnya,
si anak kecil tidak tahu dan tidak mahu ambil tahu..Matanya lebih tertarik
kepada api pelita yang meliuk lintuk seolah-olah menari
dengan satu irama yang tersendiri lagi unik..Si anak kecil seolah-olah sedang berfikir...

Malam makin larut..Si ayah makin larut di dalam pembacaannya..Dan si anak kecil
kelihatan tenang sedang matanya masih terpaku pada api yang meliuk lintuk..
Entah apa yang difikirkannya, sang ayah tidak tahu dan tidak mahu ambil tahu..

Sekali-sekala agas menerpa api lantas terbakar mati..
Sang ayah mengangkat pandangannya sekilas apabila
terdengar bunyi agas yang terbakar oleh nyala api pelita...
"hmmm...tak mengantuk lagi ke?". Ayah ada sikit lagi nak dihabiskan ni." si anak kecil memandang ayahnya sekilas,
sekadar menjawab dengan senyuman..

Malam mula menginjak tua..Riang-riang yang galak berbunyi
sudah tidak kedengaran lagi nyanyiannya..Tiba-tiba
angin berhembus agak kuat. Api pelita kelihatan condong ke kiri dan ke kanan,
sebentar ke kiri, sebentar ke kanan, lantas tiba-tiba terpadam.Kelam.
Namun agak berbalam-balam kerana dibantu cahaya bulan
13 haribulan. "Huh!" dengus sang ayah.
"InnaliLLAHi wa inna ilaihi raaji'uun.." sambil meraba-raba kotak mancis,
mulut si ayah mengucap kata.. Si anak kecil diam sahaja.
"ha, ada pun mancis ni" ujar si ayah seolah-olah bercakap kepada anak kecilnya itu..

Ruang itu terang kembali setelah sang ayah menyalakan semula
pelita.. Si ayah ingin mula membaca semula
namun terhenti oleh sebuah pertanyaan dari si anak kecilnya.
"ayah, ke mana api itu pergi
bila pelita tadi padam, dan dari mana pula
api tu datang bila ayah nyalakan semula pelita tu?"



Si ayah diam seketika. Kaget sejenak..
"Dah la, ayah pun dah mengantuk ni, jom kita tidur lah". "hmm, jom!"

Malam itu sang ayah masih terkebil-kebil di dalam kegelapan, dan
anak kecilnya telahpun nyenyak dibuai mimpi..Si ayah masih berfikir,kemanakah perginya api.....................

Re: PERKENALKAN DIRIMU DAN KENALILAH DIRIMU

Assalamualaikum warahmatuLLAH..

"Kamu tidak akan masuk syurga sehingga kamu saling beriman, dan kamu tidak dikira (benar-benar) beriman sehingga kamu sayang menyayangi. Apakah kamu suka jika aku tunjukkan kepada kamu sesuatu yang mana jika kamu lakukan maka timbul kasih sayang di antara kamu? sebarkanlah salam di antara kamu" -hadith

"Jadilah kamu di dunia ini seumpama seorang yang asing atau seperti seorang yang sedang melalui satu jalan." berkata ibnu Umar r.a, "jika kamu berada di waktu pagi maka janganlah kamu mengharap akan bertemu waktu petang, dan jika kamu berada di waktu petang maka janganlah kamu berharap akan hidup lagi di waktu pagi esoknya"...

"Life is very short, there is no time for fussing and fighting my friend...." -lirik lagu The Beatles nih-



Hairan bin ajaib...pernahkah anda melihat orang membina rumah di atas jambatan? dunia adalah jambatan ke akhirat...

MEMO

Salam.

Oleh kerana saya akan menutup blog yang lama, jadi saya akan mengepos kembali entry-entry di dalamnya ke dalam blog ini. Entry-entry itu akan saya tandakan dengan perkataan Re: yang bermaksud Reposted. That's all.