Wednesday, February 8, 2012

IMAM AZ-ZUHRI DAN SEBUAH HADITH

Satu hal menarik yang telah dinukilkan oleh Imam Ibn Qayyim Al-Jauziyyah rahmatullahi ‘alaih di dalam kitabnya yang terkenal; Zaadul Ma’aad, jilid 1, mukasurat 260 menjadikan saya tersenyum sendirian sekalipun apabila membacanya berulangkali.



Saya terjemahkan ia di sini untuk berkongsi kepada sesiapa yang menziarahi blog ini, juga kerana ia berisi pengajaran yang sangat berguna.

*****

Ketika membahaskan tentang memberi salam di akhir solat, beliau telah membawakan perkataan Imam Abu Umar Ibn Abdil Barr: ……. sehingga kepada menyebutkan sebuah hadith daripada jalur Ibnul Mubarak, daripada Mus’ab bin Tsabit, daripada Ismail bin Muhammad bin Saad, daripada ‘Amir bin Saad daripada bapanya yang telah berkata:

“Aku telah melihat  Rasulullah SAW memberi salam ke kanan dan ke kirinya sehingga seolah-olah aku dapat melihat seluruh pipi* Baginda.
 ---
*Di sini disebut “Shof-hati khad-dihi”. Literalnya bermaksud: muka pipi. Ia bermakna pipi jika dilihat daripada pandangan hadapan. Jadi saya terjemahkan sebagai keseluruhan pipi (sebelah pipi mengikut arah yang dipalingkan muka, bukan kedua-duanya)
---
Sambung.. (Bahagian berikut inilah yang saya nyatakan sangat menarik itu)

Lantas berkata Az-Zuhri (setelah mendengar hadith tersebut): “Kami tidak pernah mendengar ini daripada Hadith Nabi SAW!”

Lalu tingkah Ismail ibn Muhammad: “Apakah kesemua hadith Nabi SAW engkau telah mendengarnya (mengetahuinya)?”

Jawab Az-Zuhri: “Tidak..”

Berkata lagi Ismail Ibn Muhammad: “ (Atau) separuhnya?”
Jawab Az-Zuhri: “Tidak..

Lalu ujar Ismail Ibn Muhammad: “Jadikanlah hadith ini termasuk daripada bahagian separuh (hadith-hadith Nabi SAW) yang engkau tidak pernah mendengarnya (mengetahuinya)..”

Tamat.

Imam Az-Zuhri adalah guru kepada Imam Malik bin Anas. Beliau adalah alim besar yang hafizh (menghafaz ribuan hadith).
Lihat bagaimana tawadhu’ beliau, rahimahullah.

Dan bagaimana sesetengah kita hari ini yang belum pun mampu menghafal walaupun Hadith 40 susunan Imam Nawawi sudah mula menolak dengan sombong sesuatu perkara dengan alasan tiada Hadith Sahih, atau hadith yang dijadikan dalil oleh golongan lain itu dhoif.

Ketahuilah!
Bukan semua yang tidak pernah kita dengar itu tidak wujud.
Bukan pula semua yang wujud itu kita tahu.
Begitu juga bukan semua hadith sohih itu boleh diamalkan dan bukan pula semua hadith dhoif itu tidak boleh diamalkan.

Semoga kita semua diberi kefahaman yang benar di dalam beragama. Ameen.

HIKMAH - #8

Membelanjakan ilmu daripada gedung khazanah Tuhan,
apakah mungkin akan berkurang?"

HIKMAH - #7

"Orang yang berakal berfikir sebelum bicara,
agar bicara tiada salahnya.

Orang yang Siddiq bicaranya terus sahaja,
kerana ucapannya benar belaka!"

HIKMAH - #6

"Ilmu apa namanya
jika tidak disertai akhlaq mulia?!"

HIKMAH - #5

"Banyak ketawa mengotorkan jiwa,
mengeraskan hati, mengeruhkan rasa"

HIKMAH - #4

"Memuji Allah di waktu senang dan susah
adalah petanda sempurnanya Ma'rifah"

HIKMAH - #3

"Berfikirlah untuk mendapatkan ilmu,
sebelum kurnia ilmu tanpa berfikir datang kepadamu"

DEAD END


Hati, 
kalau sudah lama terdedah kepada udara kehidupan yang tercemar, 
ia akan layu dan hampir mati.

Kalau begitu,
Minta cuti 3 hari. 
Deal dengan isteri; "Beri saya 3 hari untuk bersendiri."
Tiada akhbar, tiada tivi, tiada rokok, tiada call dan SMS, tiada internet...

Cuma baca Al-Quran dan terjemahannya setiap hari.
Ditambah dengan membaca kisah Nabi dan Sahabat Nabi.

Ambil masa sebentar asingkan diri.
Sendiri..

Setiap waktu solat, ke masjid hadirkan diri.
Cuba jadi orang yang terawal sampai dan yang terakhir pulang dari masjid.

Kunci mulut rapat2.
Jangan bercakap selain yang sangat perlu diucap.
Jika ada yang menyapa, jadikan senyuman sebagai jawapannya.

Kurangkan makan, kawal pandangan.
Kurangkan pergaulan selain dengan Al-Quran.

Akal dan hati, kawal!
Jangan biarkan ia menerawang, selain ingatan kepada hidup yang kekal.

Selepas berjemaah Isyak, tidurlah.
Di akhir malam bangunlah.

Selepas berlalu 3 hari, periksa hatimu.
Kau akan dapati ia sangat berbeza dengan hari ini.

Jika hatimu masih seperti hari ini,
Berdoa kepada Tuhan; "Ya Allah! Hatiku telah benar2 mati. Berikan aku ganti!"


***

Jika terlalu banyak ikatan yang menyangkut pada hati, kita akan dilalaikan dari maksud hidup yang hakiki. 

Orang yang ketagihan twitter & facebook, hatinya dipenuhi ingatan kepada twitter & facebook. 
Orang yang ketagihannya politik, ingatannya kepada sensasi2 politik. 
Orang yang obsesinya artis & gossip2, ingatannya dipenuhi artis2 & gossip2. 
Orang yang ketagihan ber'SMS' dan ber'BBM', terjaga dari tidur saja, yang pertama menerjah ingatannya adalah handphone. 
Dan begitulah seterusnya.

Lalu, ingatan kepada Allah pudar.
Akhirat terasa hambar.
Agama terasa terlalu mengikat.
Solat dirasa membebankan.

Andai hati ingin dikembalikan kepada fitrahnya, cantas segala ikatan2 itu.
Jika hatimu sebuah rumah, jangan biarkan semua itu melepasi pintu!
Bahkan jangan benarkan ia melintasi pagar rumahmu!
Kerana di dalam hatimu ada Cinta Ilahi, sedang mereka semua para pencuri!