Thursday, October 17, 2013

BUKU #9 - Belitan Iblis (Talbis Iblis)


Ini adalah antara buku terbaik untuk dihadam. Karya terbitan Pustaka Nasional Singapura oleh Ustadz Syed Ahmad Semait rahimahullah ini adalah terjemahan beliau (terjemahan beliau Terbaik!) daripada kitab Talbis Iblis karangan Al-Imam Ibnul Jauzi rahimahullah.

Cetakan yang ada pada tangan saya ini adalah cetakan terawal kitab tersebut. Meskipun seperti yang saya nyatakan di atas tentang terjemahan Syed Ahmad Semait adalah sangat bagus, namun manusia adalah tidak dapat lari dari kekurangan. Demikian itulah yang berlaku pada terjemahan kitab ini.

Para pembaca yang budiman akan dapat melihat di dalam gambar yang saya sertakan di bawah sana tertera nama Al-Imam Ibn Qayyim sebagai pengarang buku ini. Bahkan di dalam pengantar / muqaddimah buku ini oleh penterjemah juga diulang-ulang bahawa penulis buku ini adalah Al-Imam Ibn Qayyim.

Nyatanya adalah bahawa Ustadz Syed Ahmad Semait telah terkeliru antara Ibnul Jauzi dan Ibn Qayyim Al-Jauziyyah. Agaknya perkataan Jauzi dan Jauziyyah itu bersama juga metod kritikan mereka berdua yang hampir serupa terhadap kekeliruan-kekeliruan sebahagian pengaku sufi menjadi penyebab terhasilnya kekhilafan nisbah terjemahan ini.

Cumanya saya tidak tahu adakah cetakan2 terkini telahpun diperbaiki hal ini atau masih lagi berterusan kesilapan tersebut. Moga2 sudah diperbetulkan.

Buku ini membicarakan selok-belok putar belit Iblis dalam menyesatkan manusia biar siapa pun orang itu dan apa jua kedudukannya baik dia itu pemimpin atau rakyat, ulama atau orang awam, si zuhud atau si gila dunia, orang kaya atau si miskin, abid atau si malas beribadah dan seterusnya.

Membaca buku ini akan ternayata kepada kita betapa mahirnya Imam Ibnul Jauzi di dalam ilmu ihsan atau ilmu tasawwuf. Ini kerana tidak ada yang dapat mengenal tipu daya musuh (Iblis) yang halus-halus melainkan orang itu adalah pemilik ihsan yang tulus.

Kritikan2 Ibnul Jauzi di dalam kitab ini nyata tajam sekali seumpama ketajaman pena Ibn Hazm Al-Andalusi rahimahullah yang sedia terkenal itu. Penterjemah bagaimanapun menyatakan di dalam muqaddimah beliau bahawa beliau disebabkan kerasnya nada kritikan Pengarang telah meninggalkan menterjemah sebahagian kandungan kitab terutamanya yang berkaitan kritikan keras terhadap sebahagian pengaku2 sufi yang tertipu kerana beliau melihat hal itu (meninggalkan menterjemah) pada beliau adalah lebih bermanfaat dan tidak mahu kelak menimbulkan keributan di tengah masyarakat. Bagi yang masih ingin membaca kritikan2 tersebut bolehlah mendapatkan naskhah berbahasa Arabnya.

Ringkasnya, membaca buku ini menjadikan kita sedar dan awas tentang tipu daya Iblis. Dan kita juga akan melihat keluasan agama Islam dan kemudahannya. Tidak ada yang menyeru kepada kemudahan dan keluasan Islam melainkan mereka yang benar2 memahami benar2 Islam itu dengan prinsip2nya. Dan Al-Imam Ibnul Jauzi adalah salah seorang jagoan para Ulama Islam itu yang sudah mampu benar2 memahami agama ini dengan pemahaman yang benar tanpa dapat disangsikan. Maka bacalah buku ini untuk anda lebih memahami Islam dengan benar.

Namun satu peringatan juga wajar diambil perhatian iaitu membaca buku ini janganlah hendaknya menjadikan kita orang yang semakin galak menyorot kesalahan golongan itu dan ini. Bahkan sebaliknya menjadi satu dorongan dan hentakan kesedaran untuk kita lebih memuhasabah kekurangan2 diri kita sendiri. Alangkan para ulama pun ada yang tidak terselamat daripada godaan Iblis, ini pula aku yang jahil. Alangkan si kaya pun tidak selamat, inikan pula aku yang miskin. Alangkan.... demikianlah hendaknya.

Semoga pengenalan kita yang ringkas melalui entry ini dengan buku yang penuh manfaat ini berguna untuk saya dan anda.

Harganya? Semasa saya membelinya dahulu hanya RM 36.00. Sekarang mungkin sedikit berbeza. Apapun ianya sangat bernilai untuk anda, percayalah..
Jadi, apa tunggu lagi? Dapatkanlah senaskhah sekarang! :)






2 comments:

alfindani said...

Info:

Sepertimana Allahyarham Syed Ahmad Semait telah TERsalah menisbahkan buku Talbis Iblis karangan Ibn Al-Jauzi kepada Ibn Qayyim Al-Jauziyyah demikian juga ramai manusia telah tersalah menyangka Allahyarham Syed Ahmad Semait sebagai (bekas) Mufti Singapore.

Sedangkan bekas Mufti Singapore tersebut adalah Syed Isa Semait, adik bongsu kepada Allahyarham dan masih hidup..

p/s: kalau orang alim / ulama ada kesalahan, kita sendiri lagi banyak kesalahannya.

Gunakanlah perkataan yang lunak, anggaplah mereka TERsalah, TERlupa dan pelbagai sangka baik yang lain.

Hari ini aku terbaca di dalam sebuah komen efbi menuduh Syed Ahmad tidak amanah dalam menterjemah.

Kalau tidak amanah beliau tidak akan menjelaskan di dalam mukaddimah terjemahan bahawa beliau meninggalkan menterjemah sebahagian.

Hati2 wahai orang muda! Jangan mudah menuduh mereka tidak amanah dan sebagainya. Tidak amanah lawannya khianat. Dan khianat adalah salah satu sifat munafik.

Tahukah kalian besarnya pertuduhan tersebut?!

Dan apa pula kaitan Ibn Qayyim Al-Jauziyyah dengan Ibn Al-Jauzi?

Al-jauziyyah adalah sebuah madrasah yang diasaskan oleh anak kepada Ibn Al-Jauzi yang bernama Yusuf.

Bapa Ibn Qayyim, Abu Bakr pula adalah Qayyim yang bererti Penjaga/Pengurus madrasah tersebut pada masanya.

Ibn Qayyim Al-Jawziyyah ertinya anak lelaki kepada Pengurus Madrasah Al-Jawziyyah. Habis cerita.

[ Penuntut ilmu agama kena daqiq dan jangan gopoh nak berpendapat ].

Ilmu perlukan adab.

Wallahu A'la wa A'lam.

21/05/2014

Unknown said...

Bagaimana Saya nak dapatkan kitab ini?