Tulisan berwarna biru adalah daripada tuan blog.-harap maklum.
Artikel berikut
ini dirumikan daripada tulisan di dalam ruangan Hal Ehwal Tanahair, Majalah
Qalam bilangan ke 3, Oktober 1950, m/s 38-41.
“Mempelajari
sejarah daripada majalah2 lama
seumpama menyaksikan sendiri ketika sejarah itu terjadi”-alfindani
PERJUANGAN KITA:- MELAYU ATAU MALAYAN
Oleh : Dr. Burhanuddin
Al-Helmi
(Sesiapa
yang belum kenal Dr. Burhanuddin boleh mula menggoogle selepas ini)
Dasar Dan Tujuan
Perjuangan
Tiap2 sesuatu perjuanganitu
mesti ada anggar dasar dan tujuannya yang teguh dan nyata didasarkan di atas
hak dan keadilan.
Misalnya perjuangan agama seperti
Islam jika kita simpulkan dasarnya ialah Tauhid Al-Khaliq (mentauhidkan Allah yang Maha Pencipta) dan
tujuannya keselamatan dunia akhirat.
Perjuangan kebangsaan
dasarnya ibu pertiwi (watan-natus-nasci) dan tujuannya kemerdekaan penuh bagi
anak dan ibu pertiwi (bangsa dan nusa) dalam erti kebebasan dan kemerdekaan.
Perjuangan kebangsaan
Melayu dasarnya seluruh ibu pertiwinya dan tujuannya kebebasan dan kemerdekaan
penuh bangsa dan nusanya.
Tiap2 perjuangan itu mesti ada rancangan yang teratur tetap dan nyata seperti rancangan permulaan, menengah dan kesudahan.
Tiap2 perjuangan itu mesti ada rancangan yang teratur tetap dan nyata seperti rancangan permulaan, menengah dan kesudahan.
Mana2 perjuangan yang
tak terang dasar, tujuan dan rancangannya bukan sahaja akan mengelirukan
pengikutnya malah mudah sekali dikelirukan orang2 sehingga gagal dan menjadi tunggangan
kepentingan orang lain.
Perjuangan Melayu
Ragu2 Sekarang.
Saya telah berulang-ulang
menerangkan dan membentangkan perjuangan Melayu yang sebenar dan perjuangan Malayan.
Tetapi kerana permintaan yang bertalu-talu dan memandangkan ada golongan bangsa
kita yang ragu2 keliru dan bingung dimain dan dilambung oleh gelora pergolakan
politik Tenggara Asia –faham Timur dan barat- lebih2 lagi gelora Darurat di
tanahair kita yang berlaku sekarang- tawarikh (sejarah)
dunia menunjukkan berulang-ulang bahawa kekalahan besar bagi sesuatu bangsa itu
saban kali berlaku ialah oleh kecuaian, kelemahan dan ketewasan dalam kaum itu
sendiri lebih dahulu daripada dikalahkan oleh musuh.
Kerana keadaan perjuangan
kebangsaan kita sesama kita maklum, maka saya perlukan mengulang-ulangnya lagi.
Untuk menolakkan keraguan dan kekeliruan dan memperingatkan supaya perjuangan
kebangsaan Melayu yang telah diperjuangkan selama ini yang dipusakai turun
temurun telahpun memakan penderitaan dan pengorbanan yang tak sedikit jangan
hendaknya terpesong dan terkandas atau tenaga perjuangan kebangsaan Melayu
(National Forces) yang telah diperjuangkan selama ini bertukar menjadi tenaga
perjuangan dan kepentingan orang lain (bukan Melayu), hal ini mungkin terjadi
jika tidak lekas disadari atau disadarkan lagi yang mana akibahnya (akibatnya) sangat2 buruk yang akan dikutuk
oleh anak cucu Bangsa Melayu di belakang hari.
Perjuangan politik
kebangsaan Melayu yang sehabis-habis kencang dalam sejarahnya di zaman yang
akhir ini ialah dimulakan sesudah Perang Dunia Kedua. Dengan berlakunya
pembubaran dan sekatan badan pergerakan Melayu yang progresif dan tinggal
gerakan kanan Melayu yang telah bertelingkah dan timbul pula rancangan
Jawatankuasa Perhubungan Kaum (CLC) maka panaslah soal perjuangan Melayu atau
Malayankah? Bangsa Melayu tertanya-tanya ke mana mereka dipimpin!
Kita boleh ringkaskan
sahaja kesimpulan perjuangan kebangsaan Melayu itu pada pesan Laksamana Hang
Tuah “Tak Melayu Hilang Di Dunia” tegasnya mengawal dan memelihara
wujud, keturunan, nama kehormatan kedaulatan dan keagungan Melayu jangan lenyap
dan hilang malah timbul, kembang megah dan cemerlang di muka dunia setaraf
dengan bangsa2 lain yang hidup dan mulia.
Perjuangan kebangsaan
Melayu bukan diundur ke belakang ke zaman keagungan yang lampau atau mara ke
hadapan sampai terbabas menjadi Malayan yang diperjuangkan oleh orang dagang atau
maslahat dagang tetapi perjuangan kebangsaan Melayu mestinya berdiri tegak dan
bulat mempertahan dan memelihara hak dan keadilan turun temurun bangsa dan nusa
Melayu.
Datang Potugis menjajah
tanahair kita datuk nenek kita terus mempertahankan Melayu seperti kata Hang
Tuah itu. Datang penjajahan Belanda demikian jua sikap yang diteruskan oleh
datuk nenek kita.
Datang Inggeris kita
dapati semua triti2 (perjanjian2)
diperbuat dengan Raja2 Melayu tidak ada samasekali dengan Malayan. Hal ini amat nyata dan terang Melayu bertriti
dengan Inggeris dan Inggeris berjanji melindungi negeri2 Melayu. Melayu tetap
menghormati janji dan menghormati orang2 dagang daripada apa bangsa jua.
Melayu tetap berdiri
dan berpegang “Malaya hak Melayu” bukan “Malaya hak Malayan”. Orang Melayu belum pernah menyebut-nyebut apa lagi
memperjuangkan cogan yang akhir ini (iaitu
slogan Melayu hak Malayan atau kini Malaysian Malaysia).
Sebelum Perang Dunia Kedua
tidak pernah orang Melayu memanggilkan dirinya Malayan atau menamakan kelab,
perkumpulan, persekutuan, persatuan atau sebagainya dengan nama Malayan tetapi
semuanya memakai nama Melayu atau Inggeris “Malay’ seperti Persatuan Melayu,
Kesatuan Melayu, Persidangan Agung Melayu, Kongres Melayu Seluruh Malaya, Brunei
dan Sarawak.
Hinggakan setelah Perang
Dunia Kedua timbul pergerakan Melayu yang berterus terang dan progresif itupun
memakaikan nama Parti Kebangsaan Melayu. Dan kemudian timbul lagi Kebangsaan
Melayu Bersatu.
Tegasnya, dari sifat
berseorang-seorang, berkelab, ber’association’, ber’organisation’, berparti
maka Bangsa Melayu semua memakaikan nama Melayu atau Inggerisnya “Malay”
sebagaimana bangsa asing itu berkelab, berkumpulan, berpersatuan memakai dan merupakan
bangsanya (Nationality) maka demikian jua bangsa Melayu memakai dan merupakan
bangsanya iaitu puak dan nationalitinya, maka bukanlah bangsa Melayu itu
merupalan puak sahaja (Community) atau “race” tetapi sebenarnya merupakan “bangsa”
(Nationalaity) atau hasrat Kebangsaan Melayu (Malay Nation).
Perjuangan Malayan.
Bila dan bagaimana
timbulnya Malayan dan perjuangannya itu bukanlah soal baharu tetapi semenjak
nama Semenanjung Tanah Melayu ini ditukar namanya Malaya. Maka yang bersifat
dan bernisbah kepada Malaya disebut Malayan seperti India jadi Indian, Amerika
jadi American, Indonesia jadi Indonesian dan sebagainya.
Menurut makna atau
terjemah yang telah dipakai dari mula2 memakaikan perkataan Malayan itu bererti
Melayu sahaja tetapi perkara dan kebenaran mesti diingati sebagaimana yang
telah diterangkan. Orang atau bangsa Melayu tak pernah memakaikan Malayan itu
Melayu kerana bangsa Melayu bertetap berbangga dan bermegah dengan sebutan nama
Melayu atau “Malay”. Walaupun menurut istilahnya dahulu Melayu yang mesti
memakaikan sebutan Malayan itu bukan orang lain sebagaimana yang terpakai pada
ketentuan MCS itu. ( Saya meyakini MCS adalah singkatan bagi Malayan Civil Service.Boleh rujuk di SINI dan SINI atau SINI ) -alfindani. Update 10/05/2014
Siasah pintu terbuka
Inggeris berjalan terus. Buruh2 dari berbagai jenis dibawa masuk. Modal luar
dimasukkan ke Malaya. Pasar dan pekan dipenuhi oleh orang dagang. Orang Melayu
terdesak ke kampung2 maka sekolah2 dan peluang ekonomi terbuak dengan luasnya
kepada orang2 dagang itu. Maka lapangan ekonomi dan pelajaran orang daganglah
yang mendapat peluang yang baik dan berkedudukan yang mewah..
Manakala … (bersambung) di SINI
No comments:
Post a Comment