Artikel berikut
ini dirumikan daripada tulisan di dalam ruangan Hal Ehwal Tanahair, Majalah
Qalam bilangan ke 4, November 1950, m/s 35-37. Edisi jawi artikel ini pada entri sebelum entry ini.
Di
samping menyelami matlamat penulis melalui rencana tersebut, perhatikanlah juga
keindahan kalimah dan susunan bahasa Orang Melayu zaman dahulu.
www.alfindani.blogspot.com
***
BANGSA MELAYU - MARILAH BERSATU !
Oleh: ‘Idrus
Merata-rata tempat
penduduk di dalam dunia ini hari ini memandang bahawa hal ehwal yang berlaku di
dalam dunia sekarang ini telah memberi satu tanda atau corak membawa kepada
Perang Dunia yang ketiga, jika belumpun mulai tetapi riak2nya telah menunjukkan
bahawa keadaan itu telah bercambah, seperti telur di hujung tanduk, menunggu
saatnya jua lagi yang dapat kita perhatikan di atas kegentingan yang terbit
daripada perjuangan di Korea dan lain2 bahagian di dunia ini.
Di sini saya tidak membawa
siapakah yang memulai peperangan itu kelak kerana yang demikian itu bukannya
tujuan saya menulis ini tetapi yang patut diperhati, menurut pandangan saya,
bahawa kekusutan yang berlaku itu dan jika ia merebak kelak, tentulah akan
membawa pula kesan dan perubahan kepada kedudukan kita Orang Melayu – sekali
air gedang (pasang besar) dua tiga tepian beralih.
Sungguhpun keadaan hari
ini belum sampai kepada peperangan besar itu tetapi kesan2 kejadian itu sudah
tentu membawa pula kepada beberapa rancangan yang bakal mengenai kedudukan
Orang2 Melayu pada masa hadapan. Hal yang demikian ini nampak dengan terangnya
kita lihat dan kita perhati hari ini sudahpun dimulai orang dan orang kita
Melayu sekalipun telah dipelawa tetapi pelawaan itu tidaklah bermakna
samasekali telah meliputi kehendak2 dan kemahuan bangsa kita Melayu.
Kita Orang2 Melayu telah
tertinggal dan terbiar dalam masa sebelum Peperangan Kedua yang lalu yang menjadikan
kita dengan mudah dibuat dengan sekehendak hati orang – dengan mudah kita
dipaksa atau terpaksa menerima sebahagian daripada perkara2 yang kita tidak
gemari. Kejadian2 yang demikian itu patutlah sekarang menjadi cermin bagi
keselamatan kita, cermin bagi faedah kita, cermin bagi menjauhkan kita daripada
menerima dua kali sebagai anak ayam yang kehilangan ibu dengan tidak mempunyai
pertadbiran atas hal ehwal mereka bertempiaran kesana kemari sehingga jika di
dalam masa itu negeri2 yang lain mendapat perubahan2 yang memuaskan, sekalipun
setengah2nya telah menumpahkan darahnya seperti di Indonesia itu, tetapi nasib
dan kedudukan kita tarafnya semakin buruk daripada kedudukan sebelum perang
dahulu.
Kejadian2 ini tidak lain
dan tidak bukan sebabnya ialah oleh kerana sebelum Perang Dunia yang Kedua
dahulu kita leka; kita tidak berapa mengambil endah perihal ehwal tanahair
kita, masing2 kita nafsu nafsi: yang kaya sedap dengan kekayaannya, yang
berpangkat tenggelam di dalam pangkat dan kebesaran2nya, anak raja2nya tidak
ambil hirau hal ehwal rakyatnya bahkan setengah2nya mereka leka dengan
kekuasaan dan kegembiraan untuk kesenangan diri mereka. Persatuan dan
persefahaman umat jauh sekali dan akhirnya kita menderita, kita di dalam
nama sahaja tuan rumah tetapi pada hakikatnya kita telah jadi tukang kebun –
orang yang menumpang, dan inilah yang digelar oleh wartawan2 Melayu dahulu
dengan sepatah perkataan yang mengandung makna yang luas; “Terbalik”.
Oleh sebab itu maka
semolek2nya di dalam keadaan dunia yang sedang genting ini, di dalam keadaan
kancah yang sangat2 keruh, ketua2 Orang2 Melayu hendaklah mencari jalan
bersefahaman di antara satu dengan lain bertukar2 fikiran dengan cukup mesra
dengan nama yang satu iaitu dengan nama Bangsa Melayu. Bersefahaman itu adalah lebih memberi bekas dengan
menjauh dan mengikis samasekali perasaan2 yang nampaknya tertanam atas
perselisihan faham di antara Orang2 Melayu sesama Melayu iaitu faham yang tidak
molek lagi dijalankan kerana merugikan kita pada masa yang akan datang.
Faham berkiri dan berkanan
yang telah memisahkan di antara golongan Orang2 Melayu itu mestilah dihapuskan
dan masa ini patutlah sesiapa daripada pertubuhan2 yang kuat hendaklah
menghulurkan tangannya kepada yang lemah, membawa mereka bersatu faham untuk
menjadikan keselamatan dan faedah Orang2 Melayu. Kebiasaan yang tidak hendak
berhulur bertarik itu hendaklah dikikis daripada hati2 Orang Melayu. Perasaan2
dendam dan perasaan2 memandang rendah di antara satu dengan lain mestilah
dijauhkan dan dikikis daripada perasaan Orang2 Melayu oleh kerana keadaan hari
ini telah tidak membenarkan lagi perasaan2 yang demikian itu bermaharajalela di
dalam hati orang kita Melayu.
Persatuan di antara orang2
yang berfaham kiri dan kanan itu masa ini hendaklah diadakan dengan segera.
Pandangan2 yang tidak hendak menghulurkan tangan mereka kepada yang kiri
sebagaimana yang telah lalu itu mestilah ditukar kepada suatu kerjasama supaya
di dalam keadaan yang genting ini hal ehwal Orang2 Melayu dapat difikir dan
ditimbang bersama2, dapat dihalusi bersama2, supaya meliputi kehendak dan
kemahuan Orang2 Melayu dengan berdasar kepada Undang2 Tubuh yang di dalamnya
ada memberi hak kepada puak2 kecil yang sepatutnya mendapat layanan tetapi
dengan syarat tidak merosakkan kedudukan dan hasrat Orang2 Melayu.
Dengan adanya persatuan di
antara Orang2 Melayu sesama Melayu itu maka di dalam keadaan yang sangat
mengkhuatirkan kita hari ini samaada di dalam perkara2 di luar daripada Tanah
Melayu ataupun perkara2 yang berlaku di dalam Tanah Melayu sendiri, dapatlah
hendaknya kita menyatukan tenaga kita kerana menuntut janji2 yang manis yang
telah dibuat kepada kita kerana kita, kerana faedah kita, - bukannya kerana
faedah anak2 dagang atau faedah orang lain.
Kita Orang2 Melayu tidak
akan mendapat faedahnya janji2 hendak memberi Semenanjung Tanah Melayu ini
berkerajaan sendiri jika di antara kita sesama kita tidak bersatu dan tuntutan2
serta desakan kita tidak kuat disebabkan oleh suara dan kekuatan kita berpecah,
perpecahan kita sesama kita itu sememangnya dijadikan suatu cita2 oleh orang2
yang menumpang di sini supaya mereka dapat memungut dan mendapat hasil2
daripada perjanjian hendak memberi pemerintahan sendiri di Malaya dengan Orang2
Melayu di Semenanjung ini hanya akan melumu telunjuk jua.
Janji2 yang diberi untuk
memimpin anak negeri (Melayu) bagi melayakkan diri mereka boleh memerintah
sendiri yang belum pun sedikit jua ditunaikan semenjak Perjanjian Federation
itu dibuat patutlah dituntut dengan kuatnya oleh Orang2 Melayu kerana jika
dipandang keadaan hari ini maka janganlah hal ehwal yang membawa kepada
“melayakkan memerintah sendiri” itu digalakkan tetapi orang2 yang bakal mengisi
tempat2 yang dikosongkan oleh pegawai2 tua di dalam sesuatu daerah di Tanah
Melayu itu pun boleh dikata tidak terisi kerana pabila ada sahaja terbuka
peluangnya kosong maka tempat2 itu terutama jawatan2 ketua jabatan diganti oleh
pegawai2 putih.
Yang demikian ini adalah
sebesar2 kerugian kepada Orang2 Melayu! Orang2 Melayu wajib memerhati keadaan2
yang terjadi dengan halus dan saksama. Pertelingkahan faham patut dihapuskan
supaya mulai hari ini dapat dibina usaha2 bagi membina kedudukan mereka bagi
menghadapi sesuatu kejadian bagi mengawal keselamatan mereka pada masa yang
akan datang.
Kita hari ini mesti memerhati
dengan saksama kepada perkara2 yang berat di luar tanahair kita dengan hal
ehwal keganasan yang berlaku hari2 di dalam negeri kita. Kita wajib mengadakan
persediaan menghadapi segala kejadian itu sebab jika terjadi sebagai keadaan
masa yang lalu maka yang menjadi korban bukan orang lain tetapi kita Orang2
Melayu yang telah menderita. Kita Orang2 Melayu yang telah menjadi umpama “pelanduk
yang terhimpit kerana gajah sama gajah berjuang”! Kita Orang2 Melayu yang
telah menderita oleh perbuatan2 keganasan yang setengah2nya dibuat oleh orang2
yang tinggal di negeri kita!
Yang demikian ni janganlah
hendaknya berlaku lagi. Kita hendaklah bersiap sedia bersatu padu menghadapi
perkara2 yang akan berlaku dengan hebatnya itu. Marilah kita bersatu,
jauhkanlah segala2 yang merugikan kepada kita kerana marabahaya telah hampir di
pintu rumah kita. Marabahayanya menurut pendapatan dan fikiran saya akan
“memecah” tidak berapa lama lagi dengan membahayakan keselamatan dan
kesejahteraan kita dan anak2 kita.
Bersatulah! Kerana dengan
bersatu itu dapat menguatkan kedudukan kita, hilangkan yang keruh ambil yang
jernih! Adanya.
Tamat.
No comments:
Post a Comment