Thursday, December 20, 2012

AGAMA INI BUKAN UPACARA!



Seorang lelaki bersolat dengan berpakaian ringkas baju pagoda. Dalam hatinya penuh rasa malu dan takut mengenangkan dirinya seakan seorang hamba yang baru kembali setelah melarikan diri daripada tuannya. Pakaiannya mengingatkan ia akan taraf kehambaannya.

Di waktu yang lain ia bersolat dengan berpakaian indah dan berwangian semerbak. Hatinya penuh rasa rindu dan gemuruh mengingatkan pertemuan dengan Kekasihnya Yang Maha Agung. Rasa yang membuak dari lubuk jiwanya yang terdalam membuatkan ia datang bertemu Sang Kekasih dengan rupa dan keadaan yang paling menawan.

***~~~***

Begitu hendaknya engkau beribadah!

Jangan engkau menjadi seperti sebahagian orang yang terikat dengan rupa zahir dan penampilan sehingga mereka terhijab dari melihat sesuatu yang lebih utama.

Ibadah mereka kosong daripada "jiwa".  Jasad tanpa nyawa.

Ibadah2 khusus berubah bentuknya menjadi sekadar satu upacara.

Apabila ibadah dan amal agama di"upacara"kan, maka ia akan menjadi kosong daripada makna dan hakikat pengabdian. Manusia itu akan hanya ingat Tuhan ketika di masjid atau di tikar sembahyang.

Mereka tidak datang ke masjid melainkan dengan mewajibkan diri mereka berpakaian dengan fesyen tertentu berkain pelikat dan berbaju "gombang" (terima kasih kepada sahabatku Zaiemuddin yang memperkenalkan aku dengan perkataan ini).

Kerana itu sebahagian manusia merasa terbeban dan sukar untuk mendirikan solat kerana fikirnya solat itu perlu ditunaikan di tempat yang namanya masjid atau surau. Pakaian pula mesti begini dan begitu. Kopiah atau songkok pula mesti ada di kepala. Sejadah pula jangan dilupa.

Maka jadilah ibadah yang sebenarnya mudah itu berkeadaan sebaliknya. Agama kita sudah jadi beban kerana tambah-tambahan. Agama kita sudah menjadi beban dengan birokrasi ada-adaan.

Perbuatan mengupacarakan amalan agama membunuh roh agama sebenarnya.

Jadinya apa?

Engkau dan aku, kita semua; wajib mendalami agama kita.

Sehingga kita kelak kan tahu membeza, yang mana ranting dan akarnya, teras dan cabangnya, asal agama dan tokok tambahnya.


p/s: Ibadah solat hanya sekadar contoh. Seseorang seharusnya berkemampuan untuk memikirkan dan meluaskan fikirnya kepada perkara2 lain. Jika fikirmu terbatas pada sesuatu yang disuap maka engkau tidak lain selain tergolong di dalam "sebahagian manusia" di atas jua.


No comments: