Monday, January 2, 2012

SUJUD SYUKUR GANTI BUNGA API???!!

Itu bunyi tajuk berita dalam Metro Ahad semalam. Anda boleh membacanya di SINI
(Manakala tanda tanya dan tanda seru tersebut adalah tambahan saya sendiri)

Cuba mencari alternatif kepada kebiasaan kurang baik yang dilakukan oleh masyarakat sememangnya sesuatu yang perlu dipuji. Lebih-lebih lagi jika alternatif tersebut adalah sesuatu yang sesuai dengan syariat Islam.

Akan tetapi, hal seperti yang dilakukan oleh golongan berkenaan di dalam berita di atas adalah sesuatu yang sepatutnya didapatkan pandangan oleh orang yang berpengetahuan terlebih dahulu. Saya tidak tahu jika ada seseorang yang ada sedikit pengetahuan agama dalam hal yang begitu asas seperti hal sujud syukur itu akan menyetujui apa telah dianjurkan oleh Perkasa itu.

Sujud syukur adalah satu bentuk ibadat. Dan sesuatu ibadat tidak boleh dilakukan mengikut apa yang kita rasa elok atau "asal ok, jalan!" saja. Berkumpul beramai-ramai menunggu detik 12 malam, kemudian beramai-ramai sujud syukur kerana meraikan datangnya tahun baru adalah jelas sesuatu yang diada-adakan di dalam agama, dan hal yang diada-adakan itu adalah tertolak.

Apa itu sujud syukur? Menurut apa yang dijelaskan di dalam pelbagai kitab (anda boleh merujuk mana-mana kitab feqah, di dalam Sabilal Muhtadin pun ada penjelasan panjang lebar) ia adalah sujud yang dilakukan dengan syarat2 seperti sujud tilawah kerana datangnya nikmat atau terlepasnya sesuatu bala.

Nikmat itu boleh berbentuk hissi (sesuatu yang nampak contohnya dapat hadiah banglo) atau maknawi (sesuatu yang tidak nampak seperti makrifah/ atau dapat menyelesaikan sesuatu persoalan ilmiah yang rumit yang telah lama diusahakan dan dicari penyelesaiannya). Terlepas dari bala itu contohnya bebas dari penjara, sembuh dari penyakit kronik dan lain-lain.

Kemudian, syarat nikmat itu pula hendaklah BUKANNYA nikmat yang berulang-ulang. Anda mungkin pernah bertemu orang yang melakukan satu sujud setiap kali selepas selesai solat. Bila ditanyakan, ia akan menjawab bahawa dia sujud syukur kerana telah dizinkan oleh Allah untuk mengadapNya lagi (bersolat). Ini adalah satu bentuk silap faham (atau kurang faham) tentang sujud syukur.

Oleh kerana solat (jika dianggap sebagai nikmat) adalah sesuatu yang berulang-ulang, maka tidak perlu kita bersujud syukur untuknya. Apakah kita perlu bersujud syukur setiap kali selepas makan, setiap kali keluar tandas, setiap kali itu dan ini?

Bahkan kita kalau demikian tidak akan boleh mengangkat wajah kita sedetik pun dari sujud syukur kerana setiap detik kita diberi nikmat menyedut dan menghembus udara sehingga dapat meneruskan kehidupan ini.

Kerana itulah ada disebutkan di dalam sebuah kitab (maaf, saya lupa nama kitabnya ketika ini) lebih kurangnya bahawa orang yang bersujud syukur atas nikmat yang berulang-ulang itu petanda akan kurang akalnya. Ironinya ramai yang melakukan hal ini.

Nah Itu adalah suatu hal, iaitu tiadanya sujud syukur bagi nikmat yang berulang-ulang.

Hal berkumpul bersama-sama menunggu detik 12 malam kemudian sujud syukur bersama-sama pula adalah satu bentuk ibadah baru pula yang diada-adakan yang disebut di dalam istilahnya bid'ah yang tercela. Dan itu adalah jelas.

Kemudian, dikaitkan nikmat itu dengan kedatangan tahun baru, bahkan nantinya akan dilanjutkan lagi pada sambutan ambang merdeka pula. Apakah hal ini sesuatu yang ada di dalam agama?
Jawapannya TIDAK ADA SAMASEKALI!

Logikkah anda bersujud syukur kerana berlalunya hari Sabtu dan datangnya hari Ahad?
Tentunya ia satu Lawak Antarabenua.

Kalau dikatakan ; "Oh tidak! ini adalah pertukaran tahun 2011 kepada 2012!". Apakah bezanya? Bukankah ia hanya pertukaran hari-hari sahaja? Aduh..
Saya rasa anda semua dapat menangkap point yang saya ingin sampaikan di sini.

Kemudian nantinya akan dilanjutkan kepada sambutan ambang merdeka.
Apakah anda pernah mengetahui ada sesiapa daripada umat Islam yang bersujud syukur setiap kali 12 Rabiulawwal kerana mengenang nikmat diutusnya Rasulullah SAW?

Atau bersujud syukur setiap kali datangnya tarikh2 penting dalam Islam, contohnya Israk Mikraj, Nuzul Quran, Asyura (yang banyak peristiwa penting dikatakan berlaku), Tarikh2 berjayanya tentera-tentera Islam di dalam peperangan2 terkemuka contohnya medan Hittin, pembebasan Al-Quds, penerokaan Andalusia, pembebasan Konstantinopel dan lain2 lagi?

Tentunya tidak pernah bukan?
Kalu demikian, sudah pasti anda faham apa yang saya ingin sampaikan.

Semoga Allah mengurniakan kita semangat di dalam beragama dan menjadikan semangat kita di atas landasan ilmu yang sebenarnya. Ameen.

Saturday, December 31, 2011

REALITI TELAH MENJELASKAN

Baca dengan matahati, jangan baca dengan emosi.
Kemudian perhatikan realiti kanan dan kiri.
Kiranya yang direncana sedang terjadi.
Sila baca di SINI

Friday, December 23, 2011

BERITA DARI ORANG FASIQ

Saya banyak juga membaca dan mendengar cakap-cakap dan pandangan-pandangan yang dilontarkan oleh ramai orang menyatakan kita tidak boleh menerima berita/cerita/khabar yang disampaikan kepada kita oleh orang yang fasiq.

Lantas mereka melandaskan pandangan ini dengan sepotong ayat Al-Quran berikut:

 يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنْ جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَنْ تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَىٰ مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ


yang bermaksud:
"Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu.." (Al Hujuraat; ayat 6)


Anda juga mungkin pernah mendengarnya.


Namun, benarkah pandangan yang disimpulkan itu?
Ianya separuh benar.

Sesuatu yang dapat dilihat pada masyarakat kita adalah sikap "Jump into conclusion", iaitu terlalu cepat untuk menyimpulkan sesuatu tanpa mengambil kira pelbagai faktor. Contohnya orang yang bertanyakan sesuatu masalah agama hanya ingin mendengar samada ia dijawab hukumnya sahaja Halal atau Haram tanpa bersedia mendengar alasan-alasan sesuatu hukum itu dikeluarkan.

Kerana itu kita dapati masyarakat yang cacamerba fahamannya terhadap agamanya sendiri (baca: Islam) yang berdalilkan ustaz fulan kata halal sementara yang lain pula mengatakan ustaz fulan mengatakan haram, lalu berpecah belah. Kadangkala sesuatu masalah yang sama boleh menjadi berbeza hukumnya berdasarkan faktor-faktor yang pelbagai. Umpamanya keadaan si penanya, persekitaran yang berbeza, tempat yang berbeza dan lain-lain. Akan tetapi alasan-alasan ini tidak diambil faham bersama ketika seorang penanya itu mendengar jawapan yang disampaikan kepadanya. Dan ini adalah masalah yang bakal mencetuskan masalah-masalah yang lain pula.

Kembali kepada tajuk, maka begitu jugalah dengan pemahaman terhadap ayat-ayat Al-Quran dan hadith2 khususnya pada ayat di atas. Menjadikan ayat di atas sebagai dalil, sebahagian manusia berfahaman dan berkeyakinan bahawa kita dilarang menerima berita daripada orang yang fasiq sedangkan Allah tidak melarang kita hal tersebut!

Apa yang diperintahkan Allah adalah agar kita menyelidik. Kerana seorang yang sentiasa bercakap benar boleh jadi kadangkala tersilap kata, telajak lidah, tersasul dan sebagainya. Dan seorang yang pendusta boleh jadi ada waktunya bercakap benar. Maka, jika datang seorang yang fasiq (bahkan kafir sekalipun) membawa berita/khabar/berita, kita disuruh menyelidik berita tersebut samada ianya benar atau sebaliknya.

Perkataan menyelidik/usul periksa di dalam ayat tersebut bukanlah bermaksud menyelidik peribadi pembawa berita itu, tetapi menyelidik berita itu sendiri. Ini kerana di dalam ayat tersebut sudah dinyatakan "sekiranya datang seorang yang fasiq..". Maknanya keadaan pembawa berita itu sudah jelas! Yang belum jelas adalah beritanya palsu atau benar, kerana kebiasaannya kefasiqan akan membawa seseorang untuk lebih dicurigai cenderung berbohong.

Nah! Dengan itu, setelah diperiksa selidik lalu didapati sesuatu berita itu benar, maka apakah kita mesti tetap menolaknya hanya kerana penyampainya seorang yang fasiq? Maha Suci Allah yang menetapkan syariat Islam yang mulia ini daripada memerintahkan hal yang seperti itu.


Saya tangguhkan dahulu dengan meninggalkan anda di persimpangan ini sambil membiarkan anda berfikir dan terus memikirkannya..

Wassalam.

Wednesday, December 21, 2011

ANAK-ANAK KITA

Siapakah yang mengajar anak-anak kita jadi kurang ajar?

Hari ini turunkan gambar Perdana Menteri yang mungkin lebih tua dari ayahnya sendiri lalu dengan angkuh tidak merasa bersalah dan kesal apalagi untuk meminta maaf.

Semoga kejatuhanlah kepada setiap politikus yang mengambil setiap kesempatan dan peluang memperkudakan anak muda dan sesiapa sahaja untuk nafsu berkuasanya semata-mata.

 Selamatkan anak kita
Dari padang jerangkap samar
Selamatkan anak kita
Orde baru politikus usang

Panggillah mereka pulang
Ayah nak ajar
Tentang kurang ajar
Jadi mereka takkan dimomok lagi



Terima kasih M.Nasir untuk lirik dan lagu yang sungguh bermakna itu. 

BUKU #1- SYEIKH YUSUF AL-KANDHLAWI

Buku ini menceritakan biografi Maulana Yusuf, Amir Jemaah Tabligh yang kedua selepas ayah beliau Maulana Muhammad Ilyas Rahmatullahi 'alaihima. 

Banyak sekali catatan-catatan menarik yang akan menerbitkan rasa kagum kepada sesiapa yang membaca kisah2 kehidupan para ulama, dan Maulana Yusuf adalah salah seorang daripada mereka. 

Antara yang menarik adalah bagaimana Maulana Yusuf sewaktu mudanya dikisahkan langsung tidak tertarik untuk bergiat dalam dakwah seperti cara bapanya  sekalipun tetap "keluar" jika ditentukan. Ini kerana beliau lebih ghairah dengan dunia buku dan penulisan ilmiah. 

Namun apakah yang menyebabkan beliau akhirnya terjun ke dalam dunia dakwah dan memberikan seluruh hidupnya untuk usaha tersebut? Semua itu ada diceritakan di dalam buku ini.

Setiap orang terutamanya yang terlibat secara khusus di dalam dakwah patut membacanya. Tidak tahu sama ada kitab ini sudah ada diterjemahkan atau belum.


Wednesday, December 14, 2011

DUA SISI DOSA

Oh fulan!
Tidak kira seBESAR mana dosamu,
Keampunan Allah lebih besar.

Tidak kira sekecil mana dosamu,
Sungguh!
Kau telah menderhakai Allah Yang Maha Besar!

Sunday, December 11, 2011

INDAHNYA DESAKU - (GAMBAR)

Sudah lama berhasrat nak ambil gambar satu kawasan yang sangat menarik berhampiran kampungku.

Cuma hari ni berkesempatan dalam perjalanan balik dari rumah mertua. Berhentikan kereta dan terus ambil beberapa gambar. Sekadar menggunakan kamera handphone N85. Kalau DSLR lagi cun gamaknya.

Gambar diambil sekitar jam 9 pagi, membelakangi matahari. Kalau waktu hampir senja akan nampak cahaya jingga melimpahi hamparan sawah di bawah sana.

Tiada waktu lawatan ditetapkan untuk menikmati panorama indah ini disebabkan ia bukanlah sebuah pusat peranginan, tetapi sekadar tempat yang berangin biasa2 saja. :)

Kalau nak lihat lebih jelas boleh klik pada gambar.




Saturday, December 10, 2011

SIFAT PENUNTUT ILMU YANG SEBENAR

Seorang pelajar yang mempersiapkan diri dengan ilmu sebelum pergi menuntut ilmu akan menarik kasih sayang guru.

Juga akan membangkitkan kekaguman guru dan menjadikan ia 'besar' di mata guru.

Seterusnya sejarah akan mencatatkannya sehingga membuatkan generasi manusia merasa takjub dengan kesungguhannya dalam menuntut ilmu.

***

Ketika Imam Asy-Syafi'e datang ke Madinah buat pertama kali untuk mempelajari A-Muwattho' (kitab hadith susunan Imam Malik) beliau telah terlebih dahulu menghafal keseluruhan isi kitab tersebut semasa masih berada di Makkah.

Dan kisah seterusnya kebanyakan kita semua sudah maklumi.

Friday, December 9, 2011

UNTUK YANG GEMAR MEMBACA

Kawan,

Engkau memerlukan ribuan tahun jika ingin mempelajari tentang kehidupan daripada pengalamanmu sendiri.

Di sana ada jalan yang lebih pantas daripada itu, iaitu MEMBACA!

Engkau kan dapat menjimatkan ribuan tahun hidupmu untuk mempelajari ribuan tahun kehidupan dengan membaca.

Bacalah kisah kehidupan manusia.

Bacalah kisah hidup manusia.

Dan bacalah juga kisah keunggulan dan kebinasaan mereka.

Lalu engkau akan dapati hidup ini hanyalah ulangan sejarah silam.

Takjub?!

Al Quran telah menyatakannya sejak lama..

 لَقَدْ كَانَ فِي قَصَصِهِمْ عِبْرَةٌ لِأُولِي الْأَلْبَابِ ۗ مَا كَانَ حَدِيثًا يُفْتَرَىٰ وَلَٰكِنْ تَصْدِيقَ الَّذِي بَيْنَ يَدَيْهِ وَتَفْصِيلَ كُلِّ شَيْءٍ وَهُدًى وَرَحْمَةً لِقَوْمٍ يُؤْمِنُونَ

Sesungguhnya pada kisah-kisah mereka itu terdapat pengajaran bagi orang-orang yang mempunyai akal. Al Quran itu bukanlah cerita yang dibuat-buat, akan tetapi membenarkan (kitab-kitab) yang sebelumnya dan menjelaskan segala sesuatu, dan sebagai petunjuk dan rahmat bagi kaum yang beriman. (Yusuf: 111)

Maka bacalah Kitab bagi segala kitab; Al Quran. Pelajari tafsirannya.

Dan engkau akan dapati ufuk pengetahuanmu melebar sehingga tak terjangkau.

Maha Suci Tuhan Kita yang telah memuliakan Umat Muhammad SAW dengan kitabNya.

لَقَدْ أَنْزَلْنَا إِلَيْكُمْ كِتَابًا فِيهِ ذِكْرُكُمْ ۖ أَفَلَا تَعْقِلُونَ

Sesungguhnya telah Kami turunkan kepada kamu sebuah kitab yang di dalamnya terdapat sebab-sebab kemuliaan bagimu. Maka apakah kamu tidak memikirkannya? (Al Anbiyaa: Ayat 10)

***

Seorang sahabat Imam Asy-Syafi'e telah masuk menemui beliau sebelum waktu Subuh dan mendapati beliau sedang duduk sambil Mushaf Al Quran terbuka di hadapannya.

Lelaki tersebut terpegun dan bertanya: "Di waktu sebegini wahai Abu Abdillah?"

Kehairanan melihatkan Sang Imam sedang menelaah Kitabullah di waktu seawal itu.

Tahukah engkau apakah jawapan Sang Imam?
Dengarkannya:

"Beginilah keadaanku semenjak Isyak tadi.." !!! #1



Wahai Imam!,
Pena telah patah! 
Jemariku telah lelah! 
Dakwat sudah habis berkolah-kolah!
Namun keagunganmu belum habis untuk ku madah!

***
#1 terjemahan bebas daripada Manaqib Imam Asy-Syafie karangan Imam Al Baihaqi radhiyallahu 'anhuma.