Thursday, October 29, 2015

BUMI RATA ATAU SFERA?


Bahan berfikir..

1. Saya memakai cermin mata. Kadang-kadang terjadi keadaan dimana apa yang dilihat kelihatan melengkung.

2. Wide angle lense, fisheye lense. Terfikir, barangkali gambar-gambar bumi yang diambil kelihatan bulat kerana ianya diambil menggunakan fisheye lense atau wide angle lense.




3. Ilusi optik.

4. Pertama kali yang terpapar di dalam minda kita apabila dikatakan bumi itu datar, maka kita akan menggambarkan ianya seolah sehelai kertas atau permaidani. Kenapa tidak kita menggambarkan ia berupa seperti sekeping CD? Bukankah ianya rata/datar, namun jika dilihat dari suatu sisi atas dan bawah ia kelihatan bulat, walau hakikatnya datar?



5. Al-Quran menyebutkan bumi ini terhampar/datar. Juga bumi ini tujuh lapis seperti langit. Di dalam hadis diterangkan bahawa setiap lapis bumi adalah sama seperti tiap lapis langit yang mana jarak setiap lapisnya adalah 500 tahun perjalanan. Bayangkan CD yang disusun berlapis-lapis.


6. Langit itu atap/bumbung kepada bumi. Barangkali langit itu berbentuk seperti kubah. Kubah memang melengkung bentuknya, sekalipun lantainya rata. Bayangkan ilusi optik yang tergambar. Lihat penciptaan skrin monitor terkini yang melengkung dan beza paparan yang kelihatan lebih jelas berbanding skrin rata. Dan sekalipun skrinnya melengkung, paparan yang terlihat nampak rata.

7.(UPDATE, Isnin 16/11/2015)  Banyak video di youtube dan laman web yang menerangkan tentang ratanya bumi (flat earth). Antara yang terbaik adalah laman berikut:- http://aplanetruth.info/ . Bolehlah dilihat di sana untuk melihat hujah-hujah seterusnya.

8. (UPDATE, Isnin, 26 Februari 2018). Salah satu video yang menarik untuk ditonton. https://youtube.com/watch?v=_0JwIF94XNU

 9, 10....... Terus berfikir dan mengkaji..



"Tuhanku, tambahkan daku ilmu."
"Maha Suci Engkau, kami tidak memiliki ilmu selain apa yang Engkau ajarkan kepada kami,. Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana"

***

p/s: Oh ya! Aku meyakini bumi ini rata (hamparan), kerana Al-Quran dan hadith menyebutkan demikian, biarpun NASA dan lain-lain menyatakan sebaliknya. Dan aku akan terus berfikir, membaca dan mengkaji..

*Keyakinan ini bukan kerana terpengaruh oleh fahaman Flat Earth daripada mana2.

Hamparan yang aku maksudkan di atas bukanlah seperti sekeping karpet yang terapung2 di ruang angkasa mengelilingi matahari.

Tetapi sebuah daratan pulau di atas sebuah lautan yang maha luas. Tiada yang mampu jejak ke tepiannya melainkan mereka yang dikehendaki Allah. Di atas kita adalah langit yang menyerkup. Kita ibarat terkurung di dalam sebuah terrarium. Tiada siapa yang mampu keluar dari sini melainkan yang dikehendaki Allah. Sepertimana Rasulullah SAW dikehendaki Allah menembus keluar langit, tetapi mestilah melalui pintu2nya yang dijaga rapi oleh malaikat yang ditugaskan. Titik mula dataran bumi ini adalah tapak Kaabah, kemudian berkembang. Bumi kita ini tujuh lapis yang mana jarak setiap lapisnya adalah 500 tahun perjalanan. Adakah bebola bumi yang dilukis mengelilingi matahari itu seperti yang aku sebutkan di atas?  Tujuh lapisan berjarak 500 tahun perjalanan setiap lapisnya. Tidak! Bahkan ia sangat kecil!

Allah yang menciptakan langit bumi. Dia lah jua yang maha tahu tentang ciptaannya. Dan Dia telah mengkhabarkannya melalui RasulNya. Dan itulah yang aku pegang dan aku imani.


1892 Flat Earth Map Found In Boston Library

***
KEMASKINI LAGI: Hari ini, Jumaat 13 Disember 2019, aku ada masa yang agak lapang. Jadi aku ambil keputusan untuk tampalkan di sini beberapa tulisanku yang lama berkaitan topik ini. Ada di antaranya telah pun dimuat naik ke laman efbi (semasa zaman kegemilangan blog telah berakhir dan blogger2 - termasuk aku juga - beralih ke efbi). Cuma kini aku tampalkan di sini sebagai suatu arkib kerana lebih mudah untuk dicari dan dibaca kembali.

***


BUMI DALAM SEBAHAGIAN WARISAN KEILMUAN SILAM

Telah berkata sebahagian ulama ilmu Hai’ah (astronomi) bahawa bumi itu terhampar. Dan berkata sebahagian yang lain bahawa ianya seperti sebiji bola, dan ia tetap (tidak bergerak) dengan bertempat di falak - falak-falak itu melingkari di atas bumi itu daripada segala arahnya - sepertimana kuning telur pada sebiji telur. Bumi itu terletak pada tengah-tengah falak yang mana jarak setiap kelilingnya dengan falak itu adalah sama jaraknya.

Penyebab yang membuatkan ia terletak tetap di tengah-tengah itu adalah kerana lajunya putaran falak dari segenap keliling yang menolaknya ke tengah-tengah, sepertimana jikalau segumpal tanah diletakkan di dalam sebuah bejana, lalu diputarkan airnya dengan sekuat-kuatnya, maka sesungguhnya tanah itu akan berada di tengah-tengah pusaran itu.

Adapun mereka yang mengatakan bumi itu terhampar, maka katanya bahawa Al-Bahrul Muhit (Lautan yang Maha Luas yang mengelilingi bumi) yang berukuran 24 ribu farsakh mengelilingi bumi sepertimana sebentuk cincin yang melingkari jari (yang dipakaikan cincin itu).

Telah berkata Ibn Abbas radhiyallahu Taala ‘anhuma bahawa sekeliling dunia itu terdapat suatu kegelapan. Kemudian di belakang kegelapan itu pula terdapat Jabal Qaf (Bukit/Gunung Qaf ).
Wallahu a’lam.

Halaman 7,
Kitab Bada’I’ Az-Zuhur fi Waqai’ Ad-Duhur,
Muhammad bin Ahmad ibn Iyas Al-Hanafi rahimahullah.
Matba’ah Mustafa Al-Babil Halabi,
Cetakan Rabi’ul Awwal 1338 Hijrah.

~ 22 Feb 2017. 11.40 mlm.

***

Sebilangan orang ada mengatakan Al-Idrisi mengatakan bumi berbentuk globe, dengan gambaran globe yang terapung di angkasaraya.

Benarkah demikian?

Setakat pemerhatian, pandangan tersebut semuanya kembali kepada teks2 terjemahan Inggeris, dan bukannya teks asal bahasa Arab kitab Al-Idrisi yang dimaksudkan, iaitu Nuzhatul Musytaq atau dikenal dengan Kitab Rujar (Roger).

Di sini mari kita lihat kembali apa sebenarnya yang dinyatakan oleh Al-Idrisi:-




-Sesungguhnya bumi itu bulat (mudawwarah) seperti bulatnya bola (kurrah).

-Bumi itu pada zatnya bulat, namun tidaklah benar2 bulat. Ada bahagiannya yang rendah dan ada pula bahagian yang tinggi. (Ada lembah, ada gunung ada gaung dll).

(Perhatian: Pada bahagian berikut ini kita akan dapat lihat bagaimanakah sebenar2nya bumi yang dimaksudkan beliau)

-Dan Laut Yang Mengelilingi (Al-Bahrul Muhit) melingkungi separuh bahagian bumi dengan lingkungan yang bersambung yang mana lingkarannya adalah seperti satu tali pinggang. Dan tidaklah terzahir daripada bumi itu melainkan hanya separuhnya sahaja.

(Bahagian berikut ini sangat penting untuk difahamkan baik-baik).

-Ianya (yakni bumi) itu pada sifatnya seolah-olah sebiji telur yang tenggelam di dalam air, dan air itu pula di dalam sebuah mangkuk. Maka demikianlah bumi itu. Separuhnya tenggelam di dalam laut (yakni Bahrul Muhit).

Inilah juga apa yang dinukilkan oleh Ibnu Khaldun dalam Muqaddimahnya. Cuma beliau memberikan gambaran sebiji anggur menggantikan tempat sebiji telur itu.

Dengan ini nampaklah kepada kita beza yang besar antara apa yang dimaksudkan oleh Al-Idrisi berbanding apa yang disalah fahamkan tentangnya.

Iaitu bumi itu bukanlah sebuah globe yang terapung di angkasa (space), tetapi "terapung" di sebuah lautan yang maha luas, laut yang tidak bertepi, Al-Bahrul Muhit.

Wallahu A'lam.

P/s 1: Globe yang dicipta Al-Idrisi tidaklah dilukiskan muka bumi di sekelilingnya, tetapi di bahagian atasnya sahaja (yakni yang timbul di atas permukaan laut). Kerana itu sebahagian mereka tidak menyebutnya sebagai globe, bahkan disebut "disc".

P/s 2: Bumi dikatakan bulat/sfera merujuk kepada bentuk bumi. Dikatakan rata dinisbahkan kepada aras laut. Maksud bumi dihamparkan/dibentangkan dll merujuk kepada daratan bumi yang dihamparkan di atas Bahrul Muhit.

P/s 3: Apa kesannya kepada manusia apabila kita disogokkan dengan gambar2 kononnya bebola bumi yang diambil dari angkasa lepas?

Ia memberi kesan seolahnya tiada tempat lagi di bumi ini melainkan semuanya telah terjangkau dan berada di bawah pengawasan pihak2 yang menguasai angkasa itu. Dan seluruh daratan bumi itu apa yang terlukis dalam peta dunia itulah.

Sedangkan hakikatnya, bumi ini terlalu amat luasnya dan bahagian daratan yang belum dijejaki manusia hari ini adalah jauh lebih besar daripada apa yang telah mereka terokai.

~19 April 2016, 12.58 mlm.

***


~Mengenai Bumi Dalam Nukilan Ibn Khaldun~

Ketahuilah, telah jelas di dalam kitab2 para cendekiawan yang melakukan penelitian terhadap hal ehwal alam bahawasanya bentuk bumi itu adalah seperti bola (kurawiyy) dan ianya dikelilingi dengan unsur air seolah-olahnya bumi itu sebiji anggur yang timbul di atas permukaan air.

Lalu air itu semakin menyurut daripada sebahagian sisi-sisi bumi itu, dek kerana Allah berkehendak untuk menjadikan hidupan di atasnya serta memakmurkannya dengan makhluk jenis manusia yang ditugaskan sebagai khalifah ke atas sekalian hidupan itu.

Boleh jadi disalah sangkakan daripada penjelasan di awal tadi bahawa air itulah bahagian bawah bumi, sedangkan anggapan itu tidaklah benar. Hanyasanya "bawah" yang sebenarnya adalah teras (qalb) bumi dan bahagian tengahnya, ia itulah pusatnya (markaz). Dan segala benda disebabkan beratnya, tertarik ke arah markaz tersebut; demikian juga segala yang di sekelilingnya (bumi).

Adapun Air yang Meliputi/Mengelilingi bumi itu, maka ianya di atas bumi. Jikapun dikatakan pada sesuatu daripada bumi itu sebagai berada "di bawah bumi", hanya kerana disandarkan/dinisbahkan kepada bahagian lagi satu air itu (yakni bawah permukaan air yang meliputi/mengelilingi tadi).

Bahagian bumi yang tersingkap daripada air itu adalah separuh daripada permukaan bebola bumi itu, dalam bentuk bulat (daa-irah). Unsur air mengelilingi pada segenap arah/sisi bulatan tadi adalah lautan yang dinamakan sebagai Al-Bahrul Muhit. Ia juga dikenal dengan nama Labloayah; dengan ditebalkan bunyi sebutan (tafkhim) huruf lam yang kedua. Dinamakan juga Uqyanus, satu nama bukan Arab; juga disebut dengan nama Al Bahrul Akhdar (Lautan Hijau) dan Aswad (Lautan Gelap).

Kemudian, bahagian bumi yang timbul untuk dijadikan tempat kehidupan / untuk diimarahkan itu, bahagian yang tandus dan kosong itu jauh lebih banyak berbanding bahagian yang diimarahkan. Dan pula, bahagian kosong di selatan lebih banyak berbanding bahagian utara.

Bahagian yang dimakmurkan daripadanya (bahagian yang timbul) hanyalah secebis kecil (qit'ah) hala ke utara atas bentuk hamparan bola bumi, berakhir daripada bahagian selatan kepada garis tengah (Khattul Istiwa). [Maksudnya bahagian selatan hanya sedikit sahaja dimakmurkan, iaitu bahagian yang hampir dengan Khattul Istiwa saja].

Manakala bahgian utara pula dimakmurkan sehingga mencecah Khatt Kurawi [ yakni garis lingkaran bebola bumi yang bertemu dengan Al Bahrul Muhit ]. Dan di balik sana daripada bahagian yang dimakmurkan ini, ada banjaran gunung yang memisahkan antaranya [ yakni bahagian yang dimakmurkan ] dengan air [ yakni Bahrul Muhit ]. Dan antara kedua itulah terdapatnya Tembok Yakjuj dan Makjuj!
Banjaran gunung ini memanjang menghala ke arah timur.

Bahagian Timur dan Barat juga berakhir pada unsur air ( Bahrul Muhit ) yakni dengan dibahagikan bulatan itu kepada dua bahagi ( Timur dan Barat ).

Bahagian yang timbul ( di permukaan air ) daripada bumi ini, menurut mereka (hukamak) adalah kadar separuh saja daripada bebola bumi itu, bahkan mungkin kurang lagi daripada separuh itu. Sementara bahagian yang dimakmurkan pula hanya seperempat daripadanya (daripada bahagian yang timbul itu) yang mana ia dibahagikan kepada Tujuh Iklim [ iklim di sini bukan bermaksud cuaca seperti iklim panas dan lembab atau tropika dsb ].

Garisan Tengah (Khattul istiwa) membahagikan bumi kepada dua bahagian daripada Barat ke Timur. Dan ia itulah panjang bumi dan garis terbesar pada bebola bumi itu [ yang dimaksudkan dengan garis pada bola bumi bukanlah sekelilingnya, namun bahagian yang timbul daripada Bahrul Muhit itu saja ].

Tamat.

Sumber:-
Muqaddimah Kedua, Muqaddimah Ibn Khaldun. (F. Rosenthal meninggalkan terjemahan bahagian ini. Jika tidak silap daripada Muqaddimah Pertama beliau terus ke Muqaddimah Keempat).

P/s:
1- Dilihat persamaan antara apa yang disebutkan oleh Ibn Khaldun dengan Al Idrisi tentang bumi yang "terapung" di permukaan Bahrul Muhit.

2- Ulama Islam dahulu memang sedia maklum lokasi Tembok Yakjuj Makjuj dan ia dilukis dengan jelas di atas peta Al Idrisi dan dijelaskan pula tempatnya. Namun begitu mengapa dengan teknologi satelit yang dikatakan mengitari seluruh bumi yang dikatakan terapung di angkasa serta Googel Earthnya dll, masih tiada sekeping pun gambar tembok tersebut serta Yakjuj Makjuj yang di belakang tembok itu dapat kita lihat? Ataukah ada gambarnya namun tidak didedahkan, Wallahu a'lam.

Ada juga yang menyangka Tembok itu letaknya di Banjaran Kaukasus dekat Azerbaijan, lalu dikatanya Yakjuj Makjuj itu bangsa Rusia, Khazar dll lalu mula membuat pelbagai andaian dan teori. Hakikatnya amat jauhlah ia dengan kebenaran. Haihatahaihata.

Dalam sejarah barangkali hanya dua kisah sahaja yang pernah direkodkan tentang orang yang sampai ke tembok itu. Pertamanya Zulqarnain, dan ini tidak dapat dinafikan lagi kerana diceritakan dalam Al Quran dan beliaulah yang membinanya.
Keduanya adalah ekspedisi di zaman Abbasiah yang mengambil masa sekitar lapan belas bulan perjalanan pergi balik daripada Samarra, Iraq. Tentunya ia bukan di Banjaran Kaukasus.

P/s 3: Bulat/Sferanya bumi di sini bukanlah bermaksud bahagian yang timbul itu licin seperti bahagian luar bola. Mata kepala kita sendiri menyaksikan gunung dan lembah, teluk dan sungai. Dan itulah maksud bumi itu dihamparkan untuk kehidupan, yakni dihamparkan di atas permukaan Bahrul Muhit itu.

Dikatakan berbentuk kurawi itu kerana bahagian2 yang bertemu dengan Bahrul Muhit membentuk bulatan. Sementara lautan2 yang lain adalah pecahan daripada Bahrul Muhit yang terjadi dalam bulatan permukaan yang timbul itu, lalu air dari Bahrul Muhit memenuhinya.

P/s 4: Ibn Khaldun seorang yang amat kritis. Dalam hal di atas beliau hanya menaqal/menukil tanpa apa2 kritikan.
Dengan sikap yang demikian jugalah saya  menukilkannya di sini.

Wallahu a'lam bissowab.

Jika ada terjemahan yang tidak tepat bolehlah dimaklumkan terjemahan yang tepat di ruang komen.

"Dan tidaklah kamu diberikan daripada ilmu itu melainkan sedikit sekali". - Surah Bani Israil.

~21 April 2016, 10.52 pagi.

***


Mungkin ada sebahagian yang agak "kurang tangkap" pada posting yang lalu mengenai pandangan Al-Idrisi dan Ibn Khaldun tentang bentuk bumi. Ada beberapa hal yang terkait seperti berikut:-

- Bertujuan membetulkan salah tanggap yang menyangka Al-Idrisi menyatakan bumi adalah sebuah bebola dengan muka bumi di sekelilingnya yang terapung di angkasaraya dan berputar di atas paksinya seperti yang diyakini oleh majoriti hari ini.

Bumi dalam faham Al-Idrisi sebaliknya sebuah bebola yang separuhnya tenggelam dalam Bahrul Muhit dan separuh lagi timbul. Bahagian yang timbul itulah muka bumi, bukannya sekeliling bebola bumi. Dan lagi, bumi tidak berputar seperti dalam faham yg pertama. Bumi juga adalah pusat dan bukannya matahari.

- Penyebutan bumi "seperti sebiji telur" adalah permisalan sahaja, dan bukannya beliau maksudkan dengan penafsiran sebahagian orang yang menafsirkan kalimah "dahaha" sebagai bentuk bumi berbentuk telur burung unta.

Saya tidak tahu adakah tafsiran yang muktabar ataukah suatu pemaksaan ke atas ayat Al-Quran bagi menyesuaikan dengan teori-teori sains yang ada. Ini kerana tafsiran Ibn Abbas pada ayat tersebut tidak langsung sebegitu. Begitu juga tafsiran muktabar yang lain.

Zaman kini banyak kita menyaksikan sebahagian manusia memaksakan ayat Al-Quran untuk disesuaikan dengan teori-teori sains dan kejadian2 semasa. Sehingga peristiwa WTC 911 pun cuba disepadankan dengan ayat2 Al-Quran.

Sebahagiannya dengan maksud ingin menunjukkan bukti kemukjizatan Al-Quran. Hakikatnya sainslah yang memerlukan Al-Quran dan bukannya Al-Quran yang memerlukan sains untuk membuktikan kebenarannya.

- Bumi dalam bentuk yang difahami oleh Al-Idrisi dan Ibn Khaldun itu adalah salah satu daripada pelbagai faham yang berbeza tentang bumi. Pelbagai faham ini ada disebutkan contohnya di dalam kitab 'Ajaibul Makhluqat oleh Al-Qazwini, Nukhbatud Dahri oleh Syamsuddin Ad-Dimasyqi..

Salah satu pendapat yang disebutkan adalah seperti yang diyakini arus perdana hari ini sebagai sebuah bebola yang terapung diangkasaraya dengan muka bumi dan lautan disekeliling bebola itu. Dan inilah pendapat yang dipilih oleh sebahagian ulama Islam seperti Al-Qazwini dalam 'Ajaibul Makhluqaat dan Al-Mas'udi dalam Muruuj Adz-Dzahab.

Namun mereka ini berbeza dengan arus perdana hari ini pada menetapkan bumi sebagai pusat, bukannya matahari. Matahari sebaliknya yang mengorbit bumi pada falak yang keempat.

Perbezaan faham yang disebutkan mereka itu bukti lapang dada mereka dalam hal sebegini dengan sikap "pilihan saya ini betul menurut saya namun mungkin salah, pilihan anda salah tapi mungkin betul". Bukan memperlekehkan satu sama lain.

Faedah tambahan:-

- Sebahagian kita bila membaca riwayat2 yang tak tembus akal memikirkannya agak skeptik lalu beranggapan "Israiliyat kot?"

Sikap hati2 yang demikian itu bagus (berdasarkan ilmu, bukan semberono meng"Israiliyat"kan), malangnya sikap yang sama tidak kita amalkan dalam mempercayai sesuatu yang datang dari "Barat" sedangkan boleh jadi ia itulah Israiliyyat dalam bentuk moden. Israiliyyat dengan bungkusan sains dan isme2 yang muluk2. Mengapakah dalam hal ini kita lemparkan sikap berhati-hati kita itu?

- Kita tidaklah menolak sains. Namun sains yang datang kepada kita hari ini membawa bersama rangka berfikir yang agak bahaya. Ada beberapa peringkat rangka berfikir tersebut:-

1- Rangka berfikir Qadariyah. Iaitu manusia diberi kebebasan mutlak dalam setiap tindakannya.

2- Segala sesuatu hanya terkait dengan sebab musabbab yang zahir. Kemarau berlaku kerana El-Nino, gempa bumi kerana tergelincirnya plat bumi, tanah runtuh kerana aliran air bawah tanah dsb.

Rangka berfikir ini menutup tanpa sedar kaitan kemarau dengan maksiat, tertahannya hujan dengan sebab meratanya zina, harga barang naik kerana leluasanya riba dll..

Sains tiada jawapan mengapa istisqa dapat menurunkan hujan, istighfar dapat menghalau kemarau, selamatnya kawasan dari bencana kerana amal ketaatan dan seterusnya.

Ambil contoh kitaran hujan yang kita sedia maklum. Air laut dan sungai dll ada untuk disejat, matahari pun ada, awan pun nampaknya ada, namun hujan tak turun2 juga. Maknanya ada suatu kuasa lain yang mengaturnya.

Tetapi rangka berfikir yang dibawa hari ini tidak mengarah ke situ, sebaliknya berkata: "Kalau begitu kita benihkan awan!"
Usaha memanglah dituntut, namun rangka berfikir itulah yang dipersoalkan di sini.

Lihat kemarau panjang yang kita lalui hari ini. Kita barangkali melaluinya tanpa risau untuk kembali kepada Allah pun. Mana tidaknya, di rumah ada aircond, masuk kereta aircond, di tempat kerja pun aircond. Atau setidak-tidaknya kipas ada.

Lalu kita tidak merasa keperluan apa pun untuk menyemak diri kita dan kembali kepada Allah dengan istighfar. Maksiat jalan terus juga.

Istisqa? Pilihan terakhir. Itupun dilakukan dengan tidak menepati kaifiatnya yang sebenar. Bukan pada rakaat solat dan bilangan takbirnya, tapi pada menghinakan diri dan menunjukkan berhajatnya kita. Istisqa pun dengan pakaian yang indah2, dalam masjid yang beraircond juga.. Nampaknya dah melalut jauh ni.

3- Rangka berfikir Yahudi. Iaitu hampir sama dengan di atas, tapi sedikit berbeza. Yakni, alam ini berlaku dan bergerak dengan aturan yang ditentukan tanpa campurtangan Penciptanya lagi, kerana Allah mencipta langit dan bumi serta apa yang ada di antara keduanya dalam masa enam hari, maka pada hari ketujuh Allah berehat.

Meskipun Allah masih diakui sebagai Pencipta, namun Allah telah selesai mencipta maka kini tiada lagi campur tanganNya.

4- Rangka berfikir atheis. Iaitu alam ini semulajadi. Ia sama dengan ketiga-tiga di atas, namun rangka berfikir ini menafikan Pencipta sama sekali. Barangkali agak sukar umat Islam boleh terperosok ke dalam rangka berfikir yang ini. Namun tidak mustahil berlaku tanpa sedar.

Matahari terbit dan terbenam, angin yang bertiup, daun yang gugur, pergantian malam dan siang, hujan dan panas, kilat dan guruh, salji dan musim bunga dan lainnya, barangkali kita hanya melihatnya sebagai sesuatu yang semulajadi. Atau kita elokkan sebutannya "Sunnatullah".

Tetapi barangkali tidak pernah kita berfikir luar daripada itu dimana matahari terbit dan terbenam kerana ada malaikat yang ditugaskan Allah memperjalankannya, malam dan siang kerana ada malaikat yang melabuhkan dan menyelak tabirnya dan seterusnya... Boleh jadi ayat yang demikian saja pun sudah membuatkan kita mengangkat kening dan mengerutkan dahi!

Demikianlah, kerana kita seperti kanak2 yang terpesona menonton puppet beraksi, sehingga tali-tali halus yang memberi gerakan hilang dari pandangan kita, apatah lagi tangan yang sedang menggerakkan semuanya, tiada lagi dalam ingatan kita.

Aduh! Sudah jauh pula melalutnya!

Mohon undur diri.

Wallahu a'lam.

~22 April 2016, 11.25 mlm.

***


No comments: