Monday, March 24, 2014

MH 370 dan DOA-DOA


Ujian adalah kebaikan yang tidak terhingga bagi mereka yang cerdik lalu memanfaatkannya.

Sebarang ujian daripadaNya adalah bermakna dan memimpin kita lebih dekat denganNya seandainya kita kembali melihat kekhilafan diri kita dan menyelak-nyelak kembali lembaran2 amal selama ini apakah benar kita ini berjalan menapak kepadaNya seiring berjalannya kitaran masa ataukah kita ini saban ketika semakin berlari menjauhiNya.

Biar ribuan kali sehari Dia memanggilmu dengan pelbagai macam cara, namun engkau tetap juga berlari semakin laju menjauhiNya.

Lalu ketika engkau semakin menjauh dan panggilanNya menjadi sayup di telinga kesedaranmu maka Dia bertindak mengirim rantai ujian bagi menarik dan mengheretmu kembali kepadaNya.

Namun celakanya engkau mencaci maki dan mengutukNya hanya kerana tidak berpuas hati dengan rantai ujian yang mengheretmu itu. Hanya kerana mata makrifatmu telah makin rabun daripada melihat kasih sayangNya di sebalik setiap helaan dan tarikan rantai ujian itu.

Kerana itu engkau masih belum mengerti benar bagaimana seharusnya engkau bertindak agar tindakanmu benar pada pandanganNya. Kerana engkau masih lagi berpandu kepada hawa nafsu dan keegoan serta keAKUanmu tanpa mahu melihat jauh ke dalam diri mencari salah dan dosa-dosa sebelum meminta dan berdoa bermohon kepadaNya.

Ketahuilah bahawa doa-doamu tidak akan dimakbulkanNya bukan kerana perbendaharaanNya telah kosong atau lautan rahmatNya telah kering. Ia hanya kerana engkau belum lagi membersihkan diri dari segala kesalahanmu dan melakukan sesuai dengan apa yang Dia redhai.

Aku tidak bermaksud meremehkan usaha2 yang dilakukan, juga doa-doa yang dipanjatkan serta munajat2 yang disenandungkan.

Namun ketahuilah bahawa ujian adalah medan bagi memperbaiki diri. Itupun jika engkau benar2 menatapnya dengan bashirah dan pandangan makrifat menerusi kacamata keimanan yang bening.

Seandainya engkau adalah mukmin dan ujian menimpamu harus engkau segera mencabut dirimu dari kemaksiatan dan kembali kepadaNya. Rintihanmu dan pengakuan dosa2mu akan menjemput rahmatNya.

Jika ujian menimpa sebuah organisasi dan para BODnya adalah para mukmin yang benar, maka harus mereka menyemak kembali perjalanan organisasinya apakah benar2 menepati keredhaanNya.

Apakah kamu ketika ini memohon kepadaNya dengan penuh lirih sedangkan kamu masih lagi tidak pernah terdetik sekelumit pun jua untuk menyemak kembali kesalahan2mu. Arak masih lagi dihidang, wanita-wanitamu yang disapa kesedaran ingin menutup aurat masih lagi tidak punya kebebasan itu.

Maka mengapakah tidak kamu menyedari kesalahan2 ini lalu mengambil jalan bertindak segera sebelum kamu merintih mengharap jalan keluar daripadaNya?

Ah! Ini adalah kalam ortodok dan tidak sesuai dengan arus masa. Kamu ini tidak faham dunia niaga. Kamu ini tidak faham zaman dan kemajuan yang melingkari kita. Kamu ini lebai entah mana ingin menasihati korporat berusaha juta-juta.

Kata-katamu tidak bernilai langsung. Lebih baik engkau diam sahaja dan biarkan kami dengan cara kami. Engkau nantikan sahaja. Dan beberapa hari nanti engkau akan melihat bagaimana teknologi canggih masakini akan berhasil menamatkan segala penantian ini. Tika itu lihat! Bukankah Dia masih menyebelahi kami. Dan bukankah itu buktinya doa-doa dan munajat2 kami masih didengari? Sekalipun arak masih tetap tersaji.

Lantas kadangkala ujian pada sebahagian hamba tidaklah berhasil selain semakin menjauhkannya dari hadrat Tuhannya...

Semoga kita semua tidak termasuk di dalam golongan terakhir ini..


No comments: