Monday, January 31, 2011

KISAH MENGAJAR

Aku berfikir elok juga kalau aku tulis balik apa yang diajarkan di dalam kelas Tafaqquh hampir setiap malam. Sekurang-kurangnya dapat menyegarkan kembali ingatan akan apa yang diajar, serta menjadikan ingatan tersebut lebih bertahan lama. Kelas akan bermula setelah solat Isyak sekitar setengah jam bermula 9.30 malam sehingga 10.00 malam. Biasanya akan lebih sikit dalam 10 minit.

Kata Imam Asy-Syafi'e rahimahuLLAH seperti yang kulihat di dalam Diwannya; "al 'ilmu dhollatun, wal kitabatu qoidatun". "Ilmu itu (seumpama) binatang yang terlepas, menulis itu tali pengikatnya".

************

Malam ni mengajar kitab Sifrusa'adah, macam biasa sambungan bab Petunjuk Nabi berkenaan Jumaat. Dah sampai pada keistimewaan apa yang terdapat pada hari Jumaat yang membezakannya daripada hari-hari yang lain, sehingga digelarkan Sayyidul Ayyam (Penghulu segala hari).

Untuk kelas malam ini menyentuh sambungan keistimewaan yang ke 20. Iaitu tentang saat yang mustajab doa yang ada pada hari Jumaat. Kelas sebelum cuti baru ni dah bicara tentang itu, cuma belum habis lagi. Alhamdulillah malam ni habis.

Ringkas ceritanya tentang perbincangan waktu mustajab ni, ada perbezaan pendapat para ulama. Aku rangkumkan di sini berdasarkan ingatanku, apa yang dibincangkan minggu lepas dan malam ini apa yang dibawa oleh pengarang yang mulia rahimahuLLah di dalam kitabnya yang bermanfaat itu.

Pertamanya; perbezaan pendapat tentang adakah saat mustajab tersebut masih berterusan ada ataukah telah berakhir pada zaman Nabi SAW sahaja (maksudnya hanya khusus pada zaman Nabi masih hidup sahaja). Pendapat yang benar adalah waktu mustajab yang ada pada hari Jumaat itu masih berterusan ada.

Keduanya; mereka yang berpendapat berterusan adanya itu berbeza pendapat pula, adakah waktu tersebut tertentu ketikanya di dalam hari Jumaat atau bertukar-tukar (tidak tetap waktunya) di dalam hari Jumaat tersebut. Pendapat yang paling tepat adalah ianya tertentu ketikanya di dalam hari Jumaat.

Ketiganya; setelah pengarang memberitahu kepada kita bahawa pendapat yang tepat adalah menyatakan waktunya tertentu, maka beliau menyatakan pula bahawa mereka yang berpendapat dengan pendapat tersebut berbeza pula dalam menentukan bilakah secara tepatnya saat yang mustajab tersebut.

Lalu dibentangkanlah sebelas Qaul (pendapat) yang ditegakkan dari hujjah masing-masing bilakah saat mustajab itu. Aku tidak dapat membawanya satu persatu di sini kerana ketika ini aku hanya menaip berdasarkan ingatan saja.

Di antara kesebelas pendapat tersebut, dinyatakan pengarang bahawa yang paling tepat adalah dua daripadanya:-

Pertama: Saat bermula naiknya khatib ke atas mimbar sehingga selesainya solat Jumaat, berdasarkan hadis riwayat Muslim.

Kedua: -dan inilah pendapat yang paling tepat di antara dua pendapat ini pula- iaitu waktu terakhir setelah waktu Asar. Kalau boleh kita katakan hampir dengan waktu Maghrib. Lalu pengarang membawakan hadis-hadis yang banyak menyokong pendapat ini. Seumpamanya sebuah hadis yang mana sabdanya SAW: ...."maka carilah ia pada saat yang terakhir setelah Asar".

Kesimpulan untuk keistimewaan ke dua puluh ini adalah: Saat mustajab yang disediakan untuk umat Nabi SAW adalah sangat patut untuk kita mencarinya. Dan sangatlah disayangkan kerana hanya segelintir umat Islam yang tahu tentang perkara ini. Dikisahkan di dalam sebuah buku yang aku sudah lupa judulnya (bukunya nipis sahaja, karangan murid/khadam Maulana Zakariyya, beli di Sri Petaling lama dulu) bahawa Syaikhul Hadith Maulana Zakariyya Al-Kandhlewi apabila tiba waktu setelah Asar hari Jumaat, beliau akan menguncikan diri di dalam biliknya dan berzikir serta berdoa sehingga masuk waktu Maghrib. Demikianlah juga yang dilakukan oleh orang-orang pilihan yang mengetahui akan keutamaan waktu ini.

Keutamaan apakah itu? Tidak ada seorang hamba mukmin muslim pun yang mendapat kesempatan waktu tersebut (dan ianya amat sekejap/singkat) lalu berdoa kepada Allah, pasti akan dikurniakan apa yang dimintanya itu selagimana yang dimintakan itu bukan sesuatu yang haram.

*****************

Kemudian aku melanjutkan lagi dengan membaca dua lagi keistimewaan yang dicatatkan ringkas di dalam kitab tersebut iaitu:-

Keistimewaan yang ke dua puluh satu; Sedekah pada hari Jumaat adalah berbeza (dari segi gandaan pahalanya) berbanding sedekah pada hari-hari biasa.

"Selamatkanlah dirimu daripada api neraka walau dengan separuh tamar. Mungkin engkau mempunyai sebiji tamar,-hanya sebiji!- untuk dimakan, dan hatimu sangat menginginkannya. Tiba-tiba ada seorang, mungkin kawanmu yang lapar, nak diberi kesemuanya, engkau pun teringin memakannya. Nah! Gigit separuh untukmu dan berikan separuh untuknya. Nanti engkau akan pergi di hari kiamat, mungkin dosa-dosamu hampir membinasakanmu, tiba-tiba datang pahala sedekah separuh tamarmu yang engkau berikan dengan ikhlas, lalu engkau menyesal; Aduhai.. alangkah bagusnya jika aku memberi kesemuanya dahulu!

Kalau ingin lebih pahala, katakan di tanganmu adalah kurma yang diisi badam, keluarkan badam dahulu setelah engkau gigit separuh kurma tersebut dan berikan kurma itu. Setelah itu berikan pula badam tadi; Maka engkau telah menyedekahkan dua; separuh badam dan separuh kurma; Dan Allah Maha Kaya untuk menganugerahkan kepadamu pahala yang berganda-ganda. Membuat kebaikan pun kena pandai la."

Lalu para pelajar ketawa. Aku turut tersenyum.

"Apakah kamu tidak melihat para sahabat yang sengaja melangkah pendek-pendek ketika menuju ke masjid hanya bertujuan untuk menambahkan bilangan langkah mereka setelah mereka mengetahui bahawa setiap langkah itu mengangkat darjat dan menggugurkan dosa?"

Lantas mereka kemudian tersenyum tanda faham.

Kekhususan / keistimewaan yang ke 22; Iaitulah solat Jumaat itu sendiri yang berbeza dengan solat-solat yang lain dengan syarat-syaratnya yang khusus seperti bermukim, bermastautin, wajib dilakukan secara berjemaah dan syarat lainnya. Juga dengan keunikan solat Jumaat itu yang didahului dengan dua khutbah, dibaca kuat dan sebaginya lagi yang membezakannya dari solat yang biasa.

Kelas ditangguhkan di situ dan disusuli pertanyaan oleh seorang pelajar yang menginginkan penjelasan tentang kiamat dan perkara-perkara yang mendahuluinya.. Aku menjawab seringkas yang dapat kerana jam pun sudah hampir ke 10.20 malam..

Jika ada kelapangan aku akan menulis lagi berkenaan hal mengajar ni. Bagus juga untuk refresh ingatan..

"Alhamdulillah alladzi bi ni'matihi tatimmu ash-sholihaat".

No comments: