Wednesday, May 30, 2012

BAGAIMANA BERINTERAKSI DENGAN ILMU AGAMA


Permasalahan manusia memang tidak ada penamatnya.

Jika seorang ahli ilmu berusaha menjawab setiap persoalan yang diajukan kepadanya, untuk memuaskan hati mereka yang bertanya, maka dia benar-benar gila.

Kadangkala ada persoalan yang jawapannya sekadar diam, atau “Aku tidak tahu”.

Sikap yang benar adalah ahli ilmu perlu mendidik mereka yang mengambil ilmu daripadanya tentang prinsip2 dasar di dalam agama meliputi aqidahnya, fiqhnya dan ihsannya. 

Kemudian, murid2 dilatih untuk kembali kepada asas2 yang telah dipelajari apabila berdepan dengan persoalan2 yang datang di dalam kehidupan.

Dengan ini, tiada lagi keperluan akan munculnya soalan-soalan yang pelbagai bentuk sedangkan jawapannya  adalah sama dan boleh difikirkan sendiri oleh seorang murid itu..

Masalah-masalah yang timbul, baik dari segi akidah, feqah, akhlak, kemasyarakatan dengan bentuk yang beraneka macam hendaklah dikembalikan kepada usul-usul yang telah dipelajari untuk mendapatkan jawapannya.

Namun, jika ia seorang penuntut ilmu, jawapan2 yang diperolehinya sendiri dengan mengembalikan kepada usul yang telah dipelajari itu hendaklah seeloknya dibentangkan kepada gurunya atau mereka yang lebih ahli daripadanya.

Jika gurunya atau mereka yang lebih ahli itu memberi solusi yang berbeza dengan jawapannya sendiri, maka hendaklah ia meneliti dan memahami benar-benar hujah-hujah dan dasar-dasar serta alasan2 yang digunakan mereka itu  sehingga menghasilkan jawapan yang berbeza tersebut.

Setelah itu hendaklah ia sendiri mengkaji dan terus mengkaji sehingga ia sampai kepada kesimpulan yang menenangkan hatinya.

Dengan itu ia boleh memilih sama ada untuk akur dengan jawapan mereka atau tetap dengan jawapannya sendiri.

Atau saja ia menemui satu jawapan yang baru yang lebih dekat kepada kebenaran; -menurut kefahamannya-.

Wallahu A’lam.

p/s: Seorang penuntut ilmu semestinya memusatkan perhatiannya pada mempelajari perkara2 asas dan usul-usul bagi setiap bidang sebelum ia terjun ke lautan furu’ masalah, baik feqahnya, hadithnya, tafsirnya dan lain2.

Bayangkan seorang yang berdebat tentang perkara yang rumit2 dalam bidang kejuruteraan sedangkan asas matematik pun dia tak tahu!  Sangat pelik bukan?

Thursday, May 24, 2012

MENGANTUK DAN TIDUR

Sekuat dan segagah mana pun seorang manusia itu, tatkala Allah mengirimkan makhlukNya bernama "Kantuk" (rasa mengantuk), manusia itu akan tewas akhirnya.

Kemudian apabila Allah menjadikan "Kantuk" menguasainya, ia pun tertidur. Dan ia benar2 tidak dapat mengawal dirinya. Sehingga air liur yang meleleh keluar daripada mulut sendiri pun tidak dapat ditahannya.

Demikianlah manusia itu. Ketika jaga ia seorang yang menyombongkan diri di bumi Tuhannya. Namun tatkala tidur, ia tidak ubah seumpama kain buruk pengelap kaki di pintu bilik air.

Ajaibnya, ketika kembali jaga ia kembali lupa bahawa dirinya, nyawanya, rezekinya, hidup matinya, bahkan segala-galanya, semuanya di dalam genggaman Allah Taala.

Tahukah engkau apakah hakikat ungkapan di dalm genggaman Allah Taala?
Andai Dia Berkehendak merenggutnya, secara tiba-tiba manusia itu kehilangan segala!

Jika kita memikirkan ini sahaja, nyatalah kepada kita akan lemahnya manusia dan Maha Berkuasanya Allah Ta'ala.

Dengan itu juga akan ternampaklah kepada kita serba sedikit rahsia, mengapakah Allah menyebutkan di dalam Ayatil Kursi :-

 

"Allah, Tiada Sembahan Yang Sejati melainkan Dia. Yang Maha Hidup lagi Maha Menguruskan (makhluk-makhlukNya). Dia tidak pernah disentuh rasa mengantuk dan Dia pula tidak pernah tidur...."


Wednesday, May 23, 2012

MUHASABAH LAGI

Kata Anas bin Malik r.a:

"Sekiranya seorang lelaki memeluk Islam semata-mata untuk mendapatkan habuan dunia, maka sebelum sempat menjelang petang melainkan Islam itu sendiri menjadi sesuatu yang lebih ia cintai berbanding dunia dan seisinya".

(Ibn Rajab Al Hanbali, Lataiful Ma'aarif, 37)

Kita sudah memeluk Islam semenjak lahir, namun adakah Islam lebih kita cintai?

Ataukah dunia dan keindahannya yang lebih kita kasihi?

Monday, May 14, 2012

BERANGKAT KE HADHRAT ALLAH

Telah berkata alfindani setelah memuji Allah dan berselawat kepada RasulNya SAW..

" Dalam kehidupan dunia ini, kau dan aku; -kita semua-, hanya dikurniakan satu nyawa. Kerana seandainya kita memiliki ratusan nyawa, sudah pastilah para syuhada akan diizinkan Allah untuk kembali lagi ke dunia lalu mereka berperang untuk mendapatkan ratusan kali kesyahidan.

Setelah menyedari hal itu, maka kehidupan yang cuma sekali ini apakah engkau membiarkannya terbuang sia-sia?

Engkau dan aku,; -umur kita- adalah cuma hari-hari yang datang dan pergi. Semakin berlalu hari, hilanglah sebahagian dirimu.

Kerana kehidupan ini adalah suatu perjalanan,haruskah engkau bertangguh di hentian ini tanpa menyiapkan bekalan, sedang kafilah orang pilihan telah lama berangkat pergi?

Apakah engkau akan menunggu datangnya petang ketika engkau masih berpagi-pagi? Ataukah engkau ingin menunggu terbitnya mentari pagi esok di waktu engkau kini di petang hari? Sungguh penantian itu suatu yang benar-benar lama!

Dan katamu "nanti" hanyalah akan membawamu lebih dekat kepada kuburan sedangkan bekalmu masih belum engkau siapkan!









Wahai engkau!

Kerana kehidupan ini cuma sebentar, jangan engkau jadikan himmahmu sekadar memperbanyak amal tanpa menghiraukan penerimaannya di sisi Tuhan.

Amalmu adalah manifestasi keimanan dan kehambaan, maka dengarkan peringatanNya bahawa "Dia akan mengujimu dicelah-celah bilahan hari-hari kehidupan ini siapakah di antara kamu yang lebih baik amal perbuatannya".

Bukankah Ia menginginkan yang terbaik darimu? Bukan sekadar terbanyak.

Oleh itu, seandainya engkau diberitahu bahawa dua rakaat yang engkau kerjakan telah benar-benar diterima Tuhan, itu sudah cukup membuatkanmu bergembira dan bersyukur kepadanya.

Disebabkan engkau masih belum tahu, -dan engkau memang pasti tidak akan tahu di dunia ini-, maka perbanyakkanlah amalmu serta indahkanlah sangkaanmu kepadaNya bahawa Dia akan menerima walau sekadar satu saja amalmu yang penuh kekurangan itu.

Wahai fulan!

Jika engkau memaksiati Allah di dalam suatu waktu, maka iringkanlah keburukan dan kederhakaan itu dengan kebaikan. Kerana sesungguhnya kebaikan itu akan menghapuskan keburukan sepertimana baju yang putih dibersihkan kembali dari kekotoran yang terkena padanya. Mudah-mudahan.

Ya Allah! Kurniakanlah kami semangat untuk beramal, dan jadikanlah semangat kami di atas landasan Sunnah Rasul Pilihan, Muhammad Khairil Anam.

Dan akhir segala doa kami adalah segala puji bagi Allah, Tuhan Semesta Alam. "

Wednesday, February 22, 2012

MENARIK KURNIA



Di majlis keramaian,
para pelayan berlegar,
dari meja ke meja,
untuk memenuhkan segera,
gelas yang berkurang isinya.

Kawan!,
jika engkau inginkan tambahan,
"Gelasmu", segera kosongkan! 


Tuesday, February 21, 2012

BERSENDIRI... DAN INGATAN KEPADANYA..



Adakalanya...,
Bersendirian itu..,
 lebih mendekatkan kita kepada Tuhan..

***
(Kredit gambar utk Sdr Kolek Kecil )

Link Gambar
Link Gambar



Katakanlah: "Sesungguhnya aku hendak memperingatkan kepadamu suatu hal saja, yaitu supaya kamu menghadap Allah (dengan ikhlas) berdua-dua atau sendiri-sendiri*; kemudian kamu fikirkan...
(Surah Saba', Ayat 46)

*."Berdua-dua atau sendiri-sendiri" maksudnya ialah bahwa dalam menghadap kepada Allah, kemudian merenungkan keadaan Muhammad SAW itu sebaiknya dilakukan dalam keadaan suasana tenang dan ini tidak dapat dilakukan dalam keadaan beramai-ramai.

p/s: Sila rujuk tafsir untuk pemahaman lebih mendalam.

HIJAU BUMI TUHAN (Ini Bukan Lagu XPDC)




Monday, February 20, 2012

ASYIK ('Asyeeq)

Dalam dunia,
ada banyak asyiknya.

Ada asyik erti cinta,
ada asyik erti leka.

Asyik dengan dunia,
lupa suruh agama.

Asyik menggadai cinta,
lupa berumahtangga.

Asyik mencari salah orang,
lupa pada salah sendiri.

Asyik membaca sejarah orang,
lalai mencipta sejarah sendiri.

Asyik dengan buku,
bahagia.

Asyik dengan hiburan,
bencana.

Asyik mengumpul harta,
jangan lupa bayar zakatnya.

Asyik dengan Tuhan,
tak perlu hingga lupa dunia.

Asyik dengan indah dunia,
usah lupa nikmat di Syurga.

Tuesday, February 14, 2012

ENGKAU BUKANNYA YA'QUB DAN ANAKMU BUKANLAH YUSUF - 'alaihimassalaam-

Jika engkau punya anak2 yang masih di umur kanak2, berikanlah ruang masa untuk mereka bermain-main.

Jangan terlalu membebankan mereka dengan jadual belajar yang rasmi sehingga merampas waktu bermain mereka.

Kelas dari pagi membawa ke petang. Disambung pula dengan tuisyen di waktu malam. Sampai2 hujung minggu pun padat dengan bermacam-macam kelas itu dan ini.

Kanak2 sebegini mahu bermain, tetapi bila?

Ia akan mencuri waktu kelasnya, waktu tuisyennya untuk bermain-main.
Apabila besar ia akan mencuri pula masa kerjanya di pejabat bermain permainan2 di komputer kerana sudah terbiasa mencuri waktu belajarnya dahulu.

Mungkin anda pernah membaca ruangan hobi di dalam akhbar2 atau majalah yang mana terdapat bapak2 budak yang hobinya mengumpul koleksi patung2 watak2 komik, model2 kereta hotwheel, dan lain2 yang bersifat keanak-anakan.

Salah satu puncanya adalah kerana ingin meng'Qadha' semula suatu waktu yang telah terlepas darinya.

Justeru jika engkau selama ini terlalu menginginkan anakmu cemerlang di dalam pelajaran sehingga merampas waktu bermain mereka, maka mulai saat ini kembalikan semula rampasan itu kepadanya.

Kerana kanak2 lebih banyak belajar melalui permainan dan cenderung bermain-main sewaktu pembelajaran yang membosankan.

Juga kerana engkau bukanlah sehebat Nabi Ya'qub dan anakmu pula tidaklah seistimewa Yusuf -'alaihimassalaam-.*

Wallahu a'lam.

* Rujuk tafsir/terjemahan ayat 12 dan 13 Surah Yusuf.