Showing posts with label Anakku. Show all posts
Showing posts with label Anakku. Show all posts
Thursday, November 19, 2015
Anakku...(#5)
Anakku..,
Engkau itu dilahirkan merdeka,
Maka,
janganlah engkau miliki jiwa hamba!
Jangan engkau merasa lemah jiwa,
Engkau hanya hamba Yang Maha Esa,
Hanya kepadaNya engkau tunduk dan patuh,
Dan menyerah segala-gala.
Adapun manusia lainnya,
Maka,
mereka itu makhluk sepertimu jua,
tidak berdaya upaya,
selain dengan izin Yang Maha Kuasa.
Taatkan ibu bapa,
kerana itu suruhan Dia,
Taatkan ulul amri,
selagi taat mereka kepada Dia.
Anakku..,
Jangan tunduk kepada sesiapa,
Namun,
kepada kebenaran, tundukkanlah kepala,
Kepada ibu bapa,
"wakhfidh lahuma janahaka."
Anakku..,
Antara harta dan ilmu,
Pilihlah ilmu!
Antara kuasa dan ilmu,
Dahulukan ilmu!
Ketahuilah!
Rakyat itu dipimpin penguasa,
Sedang penguasa; ulama lah pemimpinnya.
Anakku..,
Jagalah Allah,
Dia kan menjagamu.
Penuhi janjimu kepadaNya,
JanjiNya kepadamu, akan ditunai segera.
Anakku..,
Rezeki itu telah ditentukan,
Apa-apa yang menjadi ketentuanmu,
Tidak akan jatuh ke tangan yang lain,
Apa-apa yang bukan ketentuanmu,
Sekalipun berhimpun sekalian makhluk,
Takkan mampu mereka menyampaikan kepadamu.
Ketahuilah anakku,
Dia menciptakan segala isi dunia ini untukmu,
Sedang dirimu itu dicipta untuk ibadah kepadaNya.
Maka,
janganlah engkau bersibuk hati dengan apa yang menjadi urusanNya,
sedang tugasmu yang sebenar diabai pula.
Fahamilah!
Moga-moga rahmatNya menyertaimu sentiasa.
Monday, November 16, 2015
Anakku.. (#4)
Anakku..,
Jangan engkau sertai mana-mana jemaah atau parti jua pun.
Namun, sekiranya mana-mana parti atau jemaah mengajakmu untuk melakukan kebaikan dan ketakwaan, maka bekerjasamalah.
Bekerjasama tidak mengharuskanmu untuk menyertai sebagai ahli.
Menyertai hanya akan merampas kemerdekaanmu,
Membekukan daya fikirmu,
Menyempitkan rasa kasih sayangmu,
Membutakan matamu dari kebaikan orang lain,
Merasakan suci dirimu lebih daripada orang lain,
Dan seribu satu macam yang lain-lain.
Ayah..!
Apakah tiada kebaikan langsung jika menyertainya?
"Dan mereka bertanya kepadamu mengenai arak dan judi. Katakanlah, pada keduanya dosa yang besar, dan manfaat-manfaat kepada manusia. Sedang, dosanya adalah lebih besar berbanding manfaat keduanya."
Tuesday, March 17, 2015
Anakku.. (#3)
Anakku..
Kau harus tahu asal usulmu. Cerita tentang orang tuamu. Kisah tentang datuk nenekmu. Orang kita dulu-dulu kaya dengan cerita lisannya. Namun di situlah terletak kelemahannya. Kerana berpada dengan cerita lisan tanpa memeliharanya dalam bentuk tulisan akhirnya menyebabkannya hilang ditelan zaman. Pabila mati yang empunya cerita, segala cerita pun turut dikuburkan bersamanya.
Kerana itu di sini aku ingin bercerita..
***
Dulu-dulu. Rumah kami tivi memang tak ada. Radio tu adalah sebiji. Pakai bateri Eveready, gambar kucing hitam kena karan. Kalau ada cerita yang syok sikit maka kami berbondong-bondong pergi berhimpun di rumah jiran-jiran yang ada tivi. Macam mana tivi nak ada kalau letrik pun tak ada. Tapi aku teringat dan pernah melihat, di rumah yang ada tivi mereka guna generator atau bateri kereta untuk menghidupkannya.
Kehidupan waktu itu cukup ringkas kalau nak dibandingkan dengan hari ini. Namun di sudut hati, aku lebih sukakan kehidupan sebegitu. Pakaian pun serba ringkas saja. Tidak seperti sekarang, dalam sehari berkali-kali bertukar kain baju.
Oleh kerana hanya berbekal pelita minyak tanah saja, dan minyak tanah juga perlu dijimatkan penggunaannya, jadi waktu malam sebaik saja selesai solat Isyak, jika tak ada sebarang kerja sekolah yang perlu diselesaikan, pelita dipadamkan dan kami semua terus tidur. Bab padam pelita pun boleh jadi satu perkara yang menyeronokkan dimana tidak jarang kami pakat berebut-rebut untuk menghembus apinya.
Biasanya sebelum waktu maghrib kami sudah bersedia untuk berderet ke telaga yang agak jauh di belakang rumah. Setelah bersedia semuanya maka kami akan mengekori emak untuk ke telaga. Kalau suasana sudah agak gelap kami akan membawa tanglung. Jangan difahamkan tanglung ini seperti tanglung Cina itu, tapi tanglung ini berupa tin minyak masak empat segi kecil yang bertangkai plastik di bahagian atasnya ditebuk bentuk empat segi di salah satu sisinya lalu diletak pelita yang tidak berkaki di dalamnya. Pelita minyak tanah juga ada dua jenis, satu yang berkaki tinggi dan satu yang tidak berkaki. Sampai di telaga juga belum tentu boleh terus mandi kerana perlu menunggu giliran orang yang datang lebih awal.
Kadang-kadang hari ini terlintas juga di fikiranku bagaimana kehidupan yang begitu dapat dilalui dengan selamba yang mana jika hendak dilalui semula di waktu ini tentu akan terasa betapa sukarnya.
Jika kena musim kemarau mencedok air telaga memang sangat perit kerana air jauh ke bawah. Kalau malas cukup tiga kali cedok dan simbah kepala siaplah mandinya. Tapi emakku seorang yang sangat rapi orangnya. Kalau mandi dengan emak mesti kena bersabun. Kaki tangan kami akan digosok menggunakan berus sabut. Kemudian disuruh duduk dan pusing belakang untuk diberus belakang badan pula. Begitulah pembersih dan rapinya emak.
Kalau rumah pula hari-hari diberusnya lantai papan di ruangan dapur rumah sehingga papan tersebut menjadi putih warnanya dek setiap hari digosok. Di bawah dan halaman rumah pula semestinya disapu bersih sehingga tidak berjumpa sehelai daun jua pun. Zaman itu pencakar seperti yang biasa diguna kini belum lagi ada meluas digunakan. Hampir semua menggunakan penyapu halaman yang diperbuat daripada pokok pagar anak. Penyapu ni memang efektif. Hasilnya halaman rumah bersih sebersihnya. Hanya tinggal hamparan pasir lada saja.
Rumah kami pula rumah papan yang kecil. Hanya ada sebuah bilik. Kemudian disekat di ruangan dekat dapur menjadi sebuah bilik lagi. Padaku rumah papan lebih bagus berbanding rumah bata atas tanah seperti sekarang. Rumah papan lebih bersih dan sejuk pula.
Ah, nantilah ayah cerita lagi..
Tuesday, April 8, 2014
Anakku..! (#2)
Anakku..!
Jangan mudah percaya dengan kata2
para politikus bahawa mereka
menyelami detik nadi para marhaen seperti kita.
para politikus bahawa mereka
menyelami detik nadi para marhaen seperti kita.
Jangan sekali-kali engkau terpedaya
dengan janji2 muluk mereka,
dengan janji2 muluk mereka,
Biarpun dari mana jua partinya,
Biar indah nian idealisme dicanangnya.
Jangan mudah percaya!
Jangan mudah tergoda!
Anakku..!
Jangan mudah tergula-gula
pabila politikus membelanja rakyat jelata
di meja2 gerai kaki lima.
pabila politikus membelanja rakyat jelata
di meja2 gerai kaki lima.
Lalu engkau berkata: "Aduh, dermawannya dia!"
Kalaulah engkau tahu elaun keraian yang diterimanya,
takjubmu pasti hilang entah ke mana.
takjubmu pasti hilang entah ke mana.
Anakku..!
Para politikus itu semuanya sama.
Maka jangan sesekali engkau
menggolongkan diri bersama penyokong dan pemuji,
menggolongkan diri bersama penyokong dan pemuji,
yang menjahilkan diri dibuai fantasi,
diheret ke kanan dan ke kiri,
mengikut rentak dinyanyikan sang oppurtunis,
yang menyembunyikan tawa di hati,
melihat kebodohan pengikut sendiri.
Anakku..!
Pandang dengan mata hati,
guna akalmu, nilaikan sendiri,
jangan cepat kagum dengan siapa pun,
hatta dengan dirimu sendiri!
Anakku..!
Sekali lagi ku ingatkan dirimu,
Berilmu! Semoga Allah menyelamatkanmu.
~alfindani~
08/04/2014
p/s:
~ Mengapa ramai tergoda menjadi wakil rakyat? Mungkin sebahagian jawapannya ada pada keistimewaan2 yang diperuntukkan seperti di link berikut :-
http://www.parlimen.gov.my/kemudahan-ahli.html?uweb=p&view=57
Thursday, February 3, 2011
"Anakku..."
Anakku..
Jika kau memilih untuk dicintai,
janganlah cepat menaruh hati,
kerana zaman silih berganti,
kini berkasih, esok mungkin membenci.
Anakku..
Jika engkau ingin mencintai,
cintailah sekadar separuh hati,
agar engkau kan sedar nanti,
betapa mudahnya insan berubah hati.
Anakku..
Jika engkau ingin berkahwin nanti,
kahwinilah perempuan yang engkau cintai,
sehingga hatimu tenteram dan tidak gusar lagi,
dan engkau tidak pula termimpi-mimpi,
kekasih lamamu yang telah pergi..
Anakku..
Jika engkau benar-benar mengerti,
tahulah engkau akan cinta sejati,
hanyalah cinta kepada Ilahi,
kerna Dialah yang sangat mencintai.
Subscribe to:
Posts (Atom)