Friday, December 23, 2011

BERITA DARI ORANG FASIQ

Saya banyak juga membaca dan mendengar cakap-cakap dan pandangan-pandangan yang dilontarkan oleh ramai orang menyatakan kita tidak boleh menerima berita/cerita/khabar yang disampaikan kepada kita oleh orang yang fasiq.

Lantas mereka melandaskan pandangan ini dengan sepotong ayat Al-Quran berikut:

 يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنْ جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَنْ تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَىٰ مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ


yang bermaksud:
"Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu.." (Al Hujuraat; ayat 6)


Anda juga mungkin pernah mendengarnya.


Namun, benarkah pandangan yang disimpulkan itu?
Ianya separuh benar.

Sesuatu yang dapat dilihat pada masyarakat kita adalah sikap "Jump into conclusion", iaitu terlalu cepat untuk menyimpulkan sesuatu tanpa mengambil kira pelbagai faktor. Contohnya orang yang bertanyakan sesuatu masalah agama hanya ingin mendengar samada ia dijawab hukumnya sahaja Halal atau Haram tanpa bersedia mendengar alasan-alasan sesuatu hukum itu dikeluarkan.

Kerana itu kita dapati masyarakat yang cacamerba fahamannya terhadap agamanya sendiri (baca: Islam) yang berdalilkan ustaz fulan kata halal sementara yang lain pula mengatakan ustaz fulan mengatakan haram, lalu berpecah belah. Kadangkala sesuatu masalah yang sama boleh menjadi berbeza hukumnya berdasarkan faktor-faktor yang pelbagai. Umpamanya keadaan si penanya, persekitaran yang berbeza, tempat yang berbeza dan lain-lain. Akan tetapi alasan-alasan ini tidak diambil faham bersama ketika seorang penanya itu mendengar jawapan yang disampaikan kepadanya. Dan ini adalah masalah yang bakal mencetuskan masalah-masalah yang lain pula.

Kembali kepada tajuk, maka begitu jugalah dengan pemahaman terhadap ayat-ayat Al-Quran dan hadith2 khususnya pada ayat di atas. Menjadikan ayat di atas sebagai dalil, sebahagian manusia berfahaman dan berkeyakinan bahawa kita dilarang menerima berita daripada orang yang fasiq sedangkan Allah tidak melarang kita hal tersebut!

Apa yang diperintahkan Allah adalah agar kita menyelidik. Kerana seorang yang sentiasa bercakap benar boleh jadi kadangkala tersilap kata, telajak lidah, tersasul dan sebagainya. Dan seorang yang pendusta boleh jadi ada waktunya bercakap benar. Maka, jika datang seorang yang fasiq (bahkan kafir sekalipun) membawa berita/khabar/berita, kita disuruh menyelidik berita tersebut samada ianya benar atau sebaliknya.

Perkataan menyelidik/usul periksa di dalam ayat tersebut bukanlah bermaksud menyelidik peribadi pembawa berita itu, tetapi menyelidik berita itu sendiri. Ini kerana di dalam ayat tersebut sudah dinyatakan "sekiranya datang seorang yang fasiq..". Maknanya keadaan pembawa berita itu sudah jelas! Yang belum jelas adalah beritanya palsu atau benar, kerana kebiasaannya kefasiqan akan membawa seseorang untuk lebih dicurigai cenderung berbohong.

Nah! Dengan itu, setelah diperiksa selidik lalu didapati sesuatu berita itu benar, maka apakah kita mesti tetap menolaknya hanya kerana penyampainya seorang yang fasiq? Maha Suci Allah yang menetapkan syariat Islam yang mulia ini daripada memerintahkan hal yang seperti itu.


Saya tangguhkan dahulu dengan meninggalkan anda di persimpangan ini sambil membiarkan anda berfikir dan terus memikirkannya..

Wassalam.