Sunday, August 30, 2009

KAIL CINTA TUHAN

Cinta Tuhan..
Ibarat sebuah mata kail yang dilemparkan,
ke dalam lautan kehidupan..



Diriku adalah seekor ikan kerdil,
Di kedalaman lautan yang terbentang luas,
Cuba menangkap mata kail CintaMu,
Lalu tercedera olehnya...



Tatkala Engkau menarikku ke HadhratMu,
Lewat kail cinta itu,
Ku berusaha untuk tidak menggelupur,
Oleh sakitnya penderitaan,
Pada setiap tarikan...



Namun lemahnya diriku,
Menjadikanku tidak mampu,
Menanggung derita itu..



Oh Tuhan!
Sentaplah aku kepadaMu,
Moga hilang semua deritaku...

SEBUAH PELARIAN


Bacalah Al Quran di kala hatimu terpecah-pecah
dilanda ombak kesedihan,
Kedukaan hati akan menjadikan engkau
tidak berhajat selain kepadaNya..


Kegundahan itu; berserta pergantungan kepadaNya,
membuatkan alunan tilawahmu bertambah merdu..


Akibat sempitnya dada oleh kesedihan,
Kerana tiada yang mengetahui derita batinmu selain Dia;
lantas engkau cuba bermesra denganNya,
lewat KalamNya yang mulia...


Oh Tuhan..
Aku tidak menginginkan selain DiriMu,
Dan daku tidak mendambakan selain CintaMu...

TENDA DUNIA

Dunia hanyalah sekadar perhentian,
Dari sebuah permusafiran yang panjang..


Mahligai impianmu adalah di syurgaNya,
Sedang dunia ini hanyalah sebuah tenda...