Tuesday, August 2, 2011

MUHASABAH RAMADHAN

Kedatangan Ramadhan ini tentunya membawa sebahagian kita melangkahkan kaki ke masjid atau surau berhampiran bagi menunaikan solat Tarawih secara berjemaah. Alhamdulillah.

Namun, ada beberapa perkara yang sepatutnya diambil perhatian oleh kita semua. Antaranya, janganlah kita silap di dalam memahami keutamaan sehingga kita lebih mementingkan solat Tarawih berbanding berjemaah solat Isyak.

Ada kalangan yang sambil lewa berlambat-lambat datang ke masjid atau surau dengan beralasan "Alah! Takpe! Boleh solat Isyak berjemaah dengan orang solat Tarawih..". Tetapi tahukah kita bahawa kelebihannya tidaklah sama, sekalipun ianya tetap ditunaikan secara berjemaah?

Kemudian, oleh kerana bilangan jemaah ramai dan bermacam ragam, maka ada yang terlepas pandang dengan berjalan melintas di hadapan orang yang sedang bersolat sendirian. Jika kita tidak dapat tidak mesti melintas, maka melintaslah di hadapan garis yang biasanya terdapat di karpet itu. Iaitu dengan tidak melintas di antara orang yang bersolat dan garisan di hadapannya, tetapi setelah garisan itu.

Orang yang sedang bersolat pula hendaklah menahan jika ada sesiapa yang hendak melintas di antaranya dan garis hadapannya. Ini sekiranya dia bersolat sendirian. Tetapi jika di dalam saf, dan ada orang yang melintas dihadapan di antara saf, maka tidak perlu dihalang kerana ia bukanlah satu kesalahan.

Ada juga ibu bapa yang membawa anak-anak kecil ke masjid surau. Seeloknya mereka diberitahu awal-awal lagi untuk tidak membuat bising di sana. Tetapi adat budak-budak, bila berjumpa kawan tentunya akan mula membuat bising. Tetapi hal ini janganlah pula menjadikan pakcik-pakcik surau/masjid menengking dan bertempik menjerkah mereka. Beberapa kali juga aku melihat situasi ini berlaku. Bahkan ada satu ketika berlaku di hari Jumaat menggunakan mikrofon pula tu. Nah! Sekarang siapa pula yang patut disuruh jangan bising...

Ini pula tentang hari Jumaat.

Di tempat aku tinggal menyewa sekarang, oleh kerana masjid hanya sudah dibina di atas lakaran kertas oleh arkitek, dan belum lagi muncul di permukaan tanah, maka surau yang ada diizinkan didirikan solat Jumaat. Tetapi ia tetaplah berstatus surau.

Ajaibnya, bila tiba hari Jumaat, ramai yang datang ketika khatib sedang berkhutbah tidak terus duduk mendengarkan khutbah, sebaliknya mendirikan solat 2 rakaat. Jika di masjid tentulah hal ini suatu yang benar, tetapi ini bukannya masjid. Begitu juga yang datang ketika azan, berdiri menunggu azan selesai,baru kemudiannya menunaikan solat. Jika di masjid, tahiyyatul masjid akan luput jika seseorang telah duduk, tetapi surau tidaklah mempunyai solat tahiyyatus surau sepanjang yang aku tahu..

Apapun, nyatanya masih banyak kalangan yang beramal sekadar ikut-ikutan atau mungkin tidak mengetahui sebab musabbab dan perincian amalan harian yang dilakukan.

Tentunya ini menuntut tanggungjawab yang besar daripada semua kita untuk mempelajari agama kita dan menyampaikannya kepada orang lain pula.