Monday, January 23, 2012

DI MANAKAH PINCANGNYA DEMOKRASI? - 3

Sambungan dari SINI dan SINI.

Maafkan saya sekiranya entry ini mengganggu perasaan anda dengan bahasa yang agak mungkin kedengarannya kasar.

Namun saya di sini membincangkan sesuatu yang jika tidak dinyatakan seperti mana keadaannya yang sebenar boleh jadi ia gagal menterjemahkan maksud apa yang ingin saya sampaikan. Dengan itu saya memulakannya dengan memohon ribuan kemaafan anda.

Kita kini pada perbincangan dimanakah pincangnya sistem demokrasi yang diamalkan kini? Telah saya jelaskan di dalam dua siri sebelum ini tentangnya dan kini adalah fakta yang seterusnya.

Sistem demokrasi berpilihanraya seperti yang diamalkan kini mewujudkan kerajaan yang PENAKUT.

Sebelum sesiapa melontarkan kemarahannya dengan kenyataan dan perkataan itu, biar saya katakan bahawa ini adalah realiti yang tidak dapat disangkal sesiapa termasuk anda yang sedang membaca!

Mari kita lihat dahulu kepada situasi yang lebih sederhana.

Gambarkan seorang ayah yang mempunyai anak remaja yang sedang membesar. Oleh kerana kegagalan si ayah mendidik si anak atau entah pengaruh kawan-kawan si anak, maka anak bertukar menjadi liar dan sukar dikawal.

Anak ini balik rumah lewat malam dan menjerkah agar dibukakan pintu rumah yang berkunci, lalu si ayah bangun membuka pintu untuk anaknya. Anak pula memarahi si ayah kerana lambat membuka pintu dan si ayah diam sahaja.

Anak perempuan keluar rumah mendedah aurat, dibawa lelaki membonceng motosikal ke hulu ke hilir dan si ayah tidak berani hendak menegur.

Bahkan sehingga ada yang lebih teruk lagi, kawan lelaki anak perempuannya itu berani datang ke rumah mengambil anak perempuan ini untuk diusung ke sana ke mari tanpa si ayah menegah sepatah pun.


Anak lelaki bahkan perempuan juga berpakaian seluar pendek, boxer, mini skirt di dalam dan di luar rumah, anak lelaki memakai rantai tidak mampu ditegur atau dimarahi oleh si ayah.

Anak tidak solat, tidak puasa dan tidak pergi bersolat Jumaat sambil terlentang menonton tivi atau tidur terbongkang di rumah, si ayah takut untuk menegur.


Dan bermacam2 lagi contoh yang banyak jika hendak disenaraikan.

Apakah pendapat anda tentang seorang ayah yang seperti itu?

Ayah jenis apakah itu?

Penakut dengan anak sendiri sehingga membiarkan kemungkaran dan kerosakan perangai anaknya tanpa ditegur dan dididik sepatah kata?


Alasannya terlalu sayang mungkin.
Takut anak lari dari rumah mungkin.
Tidak mahu kecoh-kecoh kerana nanti anak melawan cakap akan mendatangkan malu kepada jiran mungkin.
Mengharap anak berfikir sendiri, insaf dan kemudian berubah mungkin.

Apakah alasan2 dapat diterima bagi menjustifikasikan tindakan yang tidak langsung menggambarkan kedudukan seorang ayah itu?

Bagi saya tidak samasekali!

Seorang ayah patut bersifat sebagai seorang ayah. Ia perlu kepada ketegasan walaupun ia juga perlu mendengar dan menyelami fikiran, hasrat dan cara berfikir anaknya namun kendali keputusan dan tindakan adalah terletak di tangannya.

Tidak semestinya mendengar dan meraikan fikiran dan pandangan anaknya memestikan ia mengikut telunjuk anaknya, bahkan ia lah yang semestinya mendidik dan memandu cara berfikir anaknya dengan menunjukkan baik dan buruk berdasarkan pengalaman hidup dan pengetahuannya serta kedudukannya sebagai bapa dan pemimpin keluarga.

Jika anak sudah di peringkat remaja yang masih tinggal bersama namun tidak bersolat 5 waktu misalnya, si ayah patut mengambil tindakan tegas menghalau saja keluar dari rumah itu setelah disuruh dan dinasihati sebaiknya.

Ada ayah yang berani melakukan sebegitu?
Zaman dahulu ada yang melakukannya.. Zaman kini? Si ayah pun 2 X 5 tidak bersolat.

Penyakit takut tak bertempat ini kini semakin merebak pula kepada guru2 di sekolah yang takut untuk menegur murid yang melakukan kesalahan dan pelanggaran disiplin.

Takut disaman, keluar berita di dalam akhbar, kereta dicalarkan, dibelasah di luar pagar sekolah dan sebagainya......

Nah, sampai di sini kita mengalihkan kembali pandangan kepada skop perbincangan kita yang sebenarnya iaitu kepincangan demokrasi sehingga mewujudkan sebuah kerajaan yang TAKUT kepada rakyatnya sendiri.

Sama seperti keadaan si ayah tadi, maka kerajaan yang terlahir daripada sistem undian majoriti 5 tahun sekali seperti di negara kita ini sentiasa di dalam kebimbangan dan ketakutan untuk melaksanakan satu-satu tindakan.

Kita boleh melihat unsur2 ketakutan dan kebimbangan itu di dalam tindak-tanduk perlaksanaan satu-satu dasar.

Ada dasar yang diwar-warkan berdegar-degar hendak dilaksanakan, namun akibat desakan sesetengah golongan maka akhirnya ia lenyap begitu sahaja. Contohnya banyak sekali. Anda yang sering membaca akhbar pasti akan teringat contoh2 yang saya bayangkan itu.

Kemungkaran2 yang dipromosikan terbuka di media2, billboard2 iklan serata negara, hiburan melampau di media2 dan lain2 lagi, ada kerajaan mengambil langkah menghentikannya beransur2? Ataukah semakin berleluasa jadinya?

Apakah punca ketakutan tersebut?
Kehilangan populariti yang membawa kepada kekurangan sokongan seterusnya kekurangan undi lalu BOOM! Tumbangnya kerajaan!

Itulah mimpi ngeri yang tidak mahu dialami oleh mana2 pihak pun yang berada di tampuk kuasa. Baik yang sedang berkuasa mahupun yang sedang mengidam kuasa.

Ketakutan ini mendorong sesebuah kerajaan itu melakukan sesuatu mengikut telunjuk dan kemahuan masyarakat terbanyak sekalipun kemahuan masyarakat terbanyak itu sungguh sesuatu yang tidak baik samsekali.

Tidak mampu untuk menegur, tidak mampu untuk mengambil tindakan...

Kerajaan jenis apa ini yang takut kepada rakyatnya sendiri dalam melaksanakan kebaikan, mendisipilinkan kehidupan dan menegur kesalahan mereka?


*****



Malam ini adalah malam Tahun Baru Cina 2012.
Saya memiliki seorang bayi berusia 2 bulan yang baru sahaja dapat tidur setelah semenjak petang tadi memeningkan kepala ibunya akibat kembung perut yang menyerangnya.

Tidak sampai setengah jam ia tidur, dan jam menunjukkan hampir pukul 12 tengah malam dan tiba2 berdentum di sana sini dengan bunyi mercun sehingga mengejutkan bukan sahaja bayi bahkan orang2 tua dan sesiapa sahaja yang sedang tidur atau berehat!

Saya angkat topi dan tabik hormat kepada anda jika anda di kedudukan saya dan anda tidak merasa marah sedikit pun!
Tetapi saya amat marah!

Hal sebegini sudah lama. Bukan sahaja di malam Tahun Baru Cina seperti malam ini, malam Awal Tahun Baru, malam 2 Hari Raya, Deepavali, Krismas dan macam2 perayaan lagi pasti akan ada letupan mercun yang membingitkan dan sangat mengganggu di waktu malam.

Bakaran mercun, ceramah2 dan konsert2 di tempat terbuka, bacaan2 Al Quran yang diperdengarkan sebelum masuk waktu di masjid2 dan surau, lagu2 dan muzik2 ketika kenduri kahwin, khutbah Jumaat, solat dan wirid yang memakai speaker luar dan lain2 lagi yang mana sistem bunyi semua itu  mengganggu ketenteraman awam patutlah dilarang sama sekali. Lebih2 lagi di waktu malam hari.

Kecuali azan yang mengambil masa tidak sampai 5 minit setiap kali, maka semua yang tersebut di atas dan seumpamanya mestilah dikenakan denda yang tinggi atau penjara beberapa hari atau apa saja tindakan yang difikir perlu bagi sesiapa yang ingkar.

Tetapi saya ragu2 bahawa kerajaan akan mengambil langkah seperti itu.

Anda fikir mengapa kerajaan tidak menggubal dan melaksanakan satu undang2 yang tegas dalam hal ini?

Bersambung..

Thursday, January 19, 2012

BUKU #2 - PERANG SALIB DI ALAM ISLAMI


Ini adalah satu buku yang sangat bagus untuk dibaca bagi sesiapa yang ingin mengetahui lanjut berkenaan Perang Salib. 

Ia memuatkan penilaian yang objektif dan tidak berlandaskan kebencian kepada bangsa Eropah sekalipun penulisnya adalah seorang Muslim. Buktinya adalah ia turut memuatkan kritik kepada umat Islam yang saling bercakaran sesama sendiri sehingga membawa untung kepada pihak lain. Juga dicatatkan sama petikan2 yang diambil dari tulisan2 para penulis Barat tentang perang yang masyhur ini.

Hal ini amat berbeza sekali dengan kalangan Orientalis yang turut mengarang mengenai Perang Salib, namun menyelitkan unsur kebencian dan kemarahan mereka kepada umat Islam di celah fakta2 yang turut sama sesetengahnya diselewengkan dan diberi persepsi yang salah.

Karya ini boleh dikatakan sempurna kerana ia bukan saja menceritakan tentang Perang Salib yang berlaku di sekitar Timur Negara2 Kaum Muslimin, bahkan ia turut menghimbau ekspedisi tentera salib dan peperangan yang berlaku di Barat Negara2 Kaum Muslimin seperti di Maghribi, Tunisia dan Andalusia.

Bagi sesiapa yang meminati sejarah tentunya buku ini amat menyelerakan, namun bagi yang sebaliknya saya nasihatkan untuk tabahkan diri juga membacanya. Kerana dengan sejarah dapat kita mengambil iktibar seterusnya mempelajari kelemahan dan kelebihan kita sebagai satu umat bagi merangka strategi dan menyusun langkah untuk mengembalikan keunggulan Islam.

Buku ini sudah lama dikarang, iaitu pada tahun 1373H / 1953 M dan terjemahannya yang seperti gambar di atas juga sudah lama iaitu cetakan pertama pada tahun 1998.

Pengarangnya adalah Syeikh Muhammad Al-'Arusiy Al-Matwiy, seorang Ustaz (Professor) di Pusat Pengajian Tinggi Zaytunah yang masyhur di Tunisia itu.

Carilah di kedai2 buku berdekatan. Mungkin ada cetakan yang baru, saya tidak tahu.  Kata sebuah pepatah : "Sesiapa yang mencari akan berjumpa dan sesiapa yang berusaha akan berjaya."

Wallahu a'lam.


Wednesday, January 18, 2012

HUDUD, PAKCIK TAKSUB & PEMUDA "A"

Pakcik Taksub: Haram kita sokong kerajaan sekarang sebab depa zalim dan tolak Islam!

Pemuda A: Macammana yang kata depa tolak Islam tu pakcik?

Pakcik taksub: Depa tolak dan tak mau laksana Hudud!

Pemuda A: Depa bukan tak mau laksana Hudud tu pakcik, tapi belum berkemampuan lagi. Nak kena bagi kefahaman agama kat rakyat dulu, kena latih hakim2 dulu, macam2 lagi la. Tapi tu bukan bermakna depa tolak Hudud tu.

Pakcik: Hisy! Mana boleh?! Kerajaan dah ada kuasa, dah 50 tahun lebih merdeka. Alasan nak tunggu rakyat faham baru nak buat, sampai bila2 pun tak akan dapat buat Hudud kalau macam tu!
Hudud ni kena buat dulu, lama2 rakyat faham sendiri la.

Macam kita naik motor tiba2 kena tahan dengan JPJ dan dia saman kita. Walaupun kita buat alasan tak tau undang2, saman tetap kena bayar jugak. Lepas tu kita jadi faham sendiri la undang2 tu.

Pemuda A: Hmm, pakcik dah pi haji ka belum?

Pakcik: Awat yang hang tiba2 pi ubah tajuk ni? Pakcik tak pi haji lagi la sebab tak cukup duit lagi. Haji kan untuk orang yang mampu saja. Lagipun haji ni bukan macam semayang yang kita dok buat hari2 tu. Kena pi kursus dulu semua..

Pemuda A: Kalau macam tu, kira pakcik ni tolak Islam la sebab tak pi Haji lagi, kan? Rukun Islam ke 5 lagi tu!!

Pakcik: ???...

Thursday, January 12, 2012

MUHASABAH UNTUK PAS - #2

"Jangan engkau mengeji zaman,
kerana zaman tidaklah rosak,
melainkan yang rosak adalah manusianya".

Mungkin ada di antara kita yang telah menonton atau tertonton video aksi muslimat PAS bernyanyi riang meraikan keputusan mahkamah yang semua sedia maklum baru-baru ini.

Sungguh memalukan apabila menyaksikannya. Sungguh tidak dapat dibayangkan pula seandainya mereka itu ibu2, adik2 atau kakak2 kita.

Perkara seterusnya adalah tentang apa yang dinyanyikan itu sendiri. Ada daripada laungan tersebut berbunyi: "Mampus Umno" yang diulang-ulang.

Aduhai, sungguh cetek dan dangkal sekali akal mereka..

Politik demokrasi yang disertai PAS kini adalah memerlukan undi rakyat. Di antara rakyat teramai adalah para penyokong Umno. Jika begitu yang dilaungkan apakah PAS akan berjaya menarik hati dan memikat pengundi-pengundi Umno untuk beralih arah menyokong mereka?

Tentunya tidak samasekali!

Politik antaranya adalah seni memikat dan menawan hati rakyat. Sama juga seperti dakwah. Maka dalam hal ini PAS telah gagal sebenarnya untuk menunjukkan kewibawaannya berpolitik secara matang.

Selama 50 tahun terjun dalam kancah politik demokrasi nampaknya tidak menjadikan PAS semakin matang, bahkan sebaliknya semakin cacamerba dan memburukkan citra Islam itu sendiri.

Islam adalah sesuatu yang indah, namun PAS telah menghuduhkannya.

Jika anda ke restoran yang mempunyai masakan teramat sedap, namun layanan sangat zero, pastinya kelazatan makanan tersebut tidak akan mampu menjadikan anda berkunjung lagi akibat sakit hati dengan sikap pelayannya.

Begitu juga Islam yang sangat indah ini, dibawa dan ditampilkan oleh PAS yang mengaku sebagai pejuang Islam dengan cara yang sangat buruk  menjadikan Islam itu tidak dipandang indah lagi.

Dalam hal ini, ia hanya membuktikan satu perkara, iaitu PAS telah mengabaikan satu teras penting jemaahnya iaitu tarbiyah.

Dapat disimpulkan berdasarkan tindak-tanduk ahli dan penyokong PAS dekad terakhir ini begitu berbeza samasekali berbanding PAS era 80-an yang meriah dengan tarbiyah dengan segala bentuk pengisiannya.

Apakah igauan dan mimpi indah ingin menakluk Putrajaya telah menjadikan PAS seperti hari ini?

Ataukah bersekedudukannya PAS dengan DAP dan PKR secara sumbang itu mungkin penyebabnya?

Wallahu a'lam.

*****
"Bebaskan diri daripada belenggu taksub".

Monday, January 9, 2012

MAKNA ADIL

Tahukah anda apa makna adil?

Adil ertinya apabila kemenangan atau keuntungan berpihak kepada kita. Jika sebaliknya, maka itu bukanlah suatu keadilan samasekali!

Heh!

***

p/s: Dunia semakin nyanyuk..

Thursday, January 5, 2012

BAGAIMANA SEHARUSNYA KITA BERPOLITIK? - #3

Sambungan..

Sekarang, kita akan menelusuri pula denai perbincangan bagaimanakah seharusnya peranan yang patut dimainkan oleh parti-parti politik Melayu Muslim di Malaysia dengan fokusnya pada Umno dan Pas (Pkr hanyalah parti sampah yang berjuang atas asas penubuhan "Justice for "someone" sahaja).

Pada hemat saya, kedua-dua Pas dan Umno perlu meninggalkan cara berpolitik yang mereka bawa selama ini. Kita perlu menuju kepada satu corak berpolitik yang baru. Hal ini lebih2 lagi saya tekankan kepada Pas. Ini kerana saya melihat akan pentingnya peranan Pas di dalam menjadi pengimbang dan penasihat yang baik kepada Umno.

Pas boleh berdiri sendiri tanpa bergabung secara terus dengan Umno di dalam BN, tetapi Pas hendaklah mengambil sikap tidak memusuhi Umno. Mungkin ada yang menolak saranan ini, tetapi jika kita katakan Pas sebagai wadah menjalankan kerja dakwah melalui saluran politik demokrasi, maka inilah 'stand' yang Pas perlu berdiri di atasnya.

Pendakwah tidak boleh memusuhi orang yang ingin dinasihati dan didakwahinya, jika tidak maka bagaimanakah yang didakwahkan akan menerima dakwahnya?

Baiklah!
Bagaimanakah jalan yang seharusnya ditempuh? Biar saya cuba menjelaskannya.

Oleh kerana Umno memberi laluan kepada calon2 dari parti2 komponennya untuk bertanding di kawasan2 yang bermajoriti Melayu atas dasar kesepakatan anatara sesama parti di dalam BN, maka seharusnya kawasan2 inilah yang sepatutnya Pas meletakkan calonnya.

Pada kawasan2 yang majoritinya  Melayu yang ditandingi oleh Umno, Pas tidak perlu meletakkan calonnya. Inilah yang ingin saya tegaskan. Pas perlu menerima hakikat bahawa ia tidak akan dapat memerintah negara ini berdasarkan sistem sekarang jika tidak bergabung dengan mana2 parti kaum lain , malangnya hakikat ini seolahnya hanya disedari oleh Pas beberapa tahun ini sahaja. Kerana itulah mereka mengambil langkah menggabungkan diri di dalam Pakatan Rakyat. Malangnya langkah ini adalah langkah yang tempang kerana Pas lebih memilih untuk tidur sebantal dengan Dap.

Sedangkan Pas boleh memilih jalan yang lebih baik daripada itu dengan bekerjasama dengan Umno sekalipun tidak mahu bergabung di dalam BN. Hanya kerana kebencian, dendam kesumat dan buruk sangka yang lama menjadikan Pas berpatah arang dan berkerat rotan dengan Umno. Bagaimanakah bentuk kerjasama itu? Ia adalah seperti yang saya jelaskan tadi.

Umno merelakan calon parti komponennya bertanding pada kawasan majoriti Melayu kerana perjanjian pengagihan kerusi di dalam BN dengan dalam masa yang sama Umno sendiri perlu berperanan tidak memaksa dan memberi arahan kepada ahlinya untuk mengundi calon ini, dan Pas mengenal pasti kawasan2 tersebut untuk meletakkan calonnya. Semua umat Islam dan ahli2 Umno di kawasan tersebut khasnya mestilah sedar bahawa mereka MESTI memangkah calon yang Muslim jika berlaku pertandingan antara calon Muslim dan kafir.

Dengan ini sudah pasti -InsyaAllah- bilangan wakil rakyat Muslim akan menjadi majoriti sama ada di Parlimen atau DUN. Ini adalah suatu yang kelihatannya mudah sekali untuk dikatakan, tetapi perlaksanaannya tentunya perlu menempuh banyak halangan. Namun ia bukan sesuatu yang mustahil untuk dilakukan.

Oleh kerana politik adalah suatu seni yang boleh diibaratkan sebagai peperangan dengan cara yang licik, dan muslihat (saya tidak katakan tipu muslihat) adalah satu yang dibenarkan di dalam peperangan, maka Pas dan Umno hendaklah mengambil jalan muslihat seperti ini untuk mengukuhkan penguasaan orang Islam di dalam pemerintahan negara ini. Barulah Pas dan Umno bersatu di dalam menghadapi satu musuh yang sama iaitu golongan bukan Islam, sedangkan dalam masa yang sama Umno kelihatannya bekerjasama dengan golongan bukan Islam itu di dalam BN.

Sebaliknya pada hari ini, sikap berpolitik yang diambil oleh Pas dan Umno adalah menggunakan muslihat dan saling menghalakan muncung senjata masing2 sesama sendiri, lalu golongan bukan Islam yang mengaut labanya. Anda boleh saksikan sendiri betapa mereka mengajukan tuntutan demi tuntutan dan desakan demi desakan kepada kerajaan akibat lemahnya kuasa umat Islam dan anda lihatlah bagaimana Mca dan Gerakan boleh menyuarakan nada yang sama dengan Dap pada perkara2 yang menyangkut kepentingan bangsa mereka.

Sedangkan umat Islam berbeza pandangan sehingga tidak mahu bersatu walau bagaimana pun yang berlaku. Kerana itulah anda boleh mendengar satu istilah yang singkatannya ABU, Asal Bukan Umno. Maknanya biarlah kafir sekalipun yang dipilih, asalkan bukan Umno. Saya katakan: ini adalah cara berpolitik yang kosong samasekali daripada ajaran Islam.

Pas sepatutnya kembali kepada asas penyertaan ke dalam sistem ini dengan mengingat selalu jatidirinya sebagai sebuah gerakan dakwah yang berjalan menyusur denai demokrasi bagi menyampaikan dakwahnya di Parlimen atau Dun. Tugas itu memerlukan Pas menghantar dan memastikan kemenangan calonnya untuk duduk di kerusi Parlimen atau Dun sebagai menegakkan amar ma'ruf dan mencegah kemungkaran dan salah tadbir dari sudut Islam yang mungkin berlaku.

Sebaliknya, jika para calon Pas sendiri sudah diresapi tabiat ingin menunggangi kuasa bagi mendapatkan keuntungan diri, maka tiada istimewa dan uniknya lagi Pas berbanding parti2 politik yang lain!

Bersambung..

Wednesday, January 4, 2012

BAGAIMANA SEHARUSNYA KITA BERPOLITIK? - #2

Sambungan..

Tidak sesuainya demokrasi dengan cara berpolitik mengikut syariat dapat kita bayangkan mengikut situasi berikut:-

Kita bayangkan seandainya puak2 LGBT (anda boleh menggooglenya sendiri jika belum tahu maknanya) menjadi majoriti yang bermakna undi (baca: kuasa) penentu di dalam suatu kawasan Parlimen. Lalu, oleh kerana sistem demokrasi menentukan kemenangan berdasarkan undi terbanyak, maka pihak parti2 yang bertanding akan berusaha memenangi hati golongan ini dan golongan tersebut pula akan mengambil kesempatan membuat tuntutan2 mereka. Dan anda boleh bayangkan cerita selanjutnya.

Demikian juga jika sesebuah negara, majoriti pengundinya adalah masyarakat yang tidak beragama (dalam ertikata tidak mengamalkan hidup beragama), yang mahukan kebebasan tanpa batas agama dan adat (yang baik2 saja) , apakah anda mengira pilihan mereka adalah pilihan yang baik?

*Penilaian tentang "baik" itu sesuatu yang subjektif dan relatif. Boleh jadi sesuatu yang dianggap baik oleh sesuatu kelompok tidak baik pada pandangan kelompok yang lain. Oleh yang demikian kita mesti kembali kepada penilaian Allah SWT tentang apakah yang dikehendaki dengan kebaikan di sisiNya. Tentu apa yang baik di sisi SyariatNya.

Nanti ada pula yang menjawab: "Agama lain pun menganjurkan kebaikan juga!". Jika anda seorang Islam dan anda masih mengakui dan mengiktiraf agama lain sebagai baik juga sebagaimana Islam, maka ia berbahaya kepada aqidah anda.  

Tak apa, hal ini kita bincang nanti2 lah.


Kembali kepada perbincangan asal kita.
Meskipun demokrasi dengan segala kepincangannya itu (dan banyak lagi), tetapi disebabkan kita kini berada di dalam sistem ini, maka mahu tidak mahu kita perlu menyertainya (dengan syarat2nya -kena buka entry lain pula nanti untuk topik syarat2 ni-)

Jika anda seorang yang sudah merasa amat mual dengan kerenah para politikus (memang benar pun), atau merasa demokrasi bukan ajaran Islam a.k.a bid'ah dholalah (betul bukan dari ajaran Islam, tapi bid'ah dholalah tu tidak tepat kerana ini adalah urusan pentadbiran, yakni urusan keduniaan, maka tidak tepat jika diistilahkan bid'ah dholalah), atau disebabkan anda mengatakan ia bukan "cara Nabi SAW" atau lain2 sebab, LALU anda mengambil keputusan tidak ingin mengambil tahu lagi hal politik DAN tidak mahu mendaftar sebagai pengundi atau tidak mahu mengundi, MAKA ini adalah sikap yang SAMASEKALI TIDAK TEPAT!

Sabar! Nanti dulu!
Kenapa saya katakan sikap anda itu tidak tepat? Kerana jika sikap sebegitu diambil oleh ribuan, atau ratusan ribu mereka yang layak mengundi di dalam negara ini dari kalangan orang Islam sedangkan golongan bukan Islam tetap keluar mengundi, anda bayangkan apa yang bakal terjadi!

Dengan itu, sikap kita yang pertama di dalam berpolitik adalah mengambil tahu perkembangan politik semasa negara khasnya dan dunia secara amnya serta mendaftar diri sebagai pengundi dan gunakan hak anda untuk mengundi.

Inilah jawapan yang pertama bagi tajuk entry kita.

"OK! Tapi, kalau kami mengundi, nak pangkah siapa nanti?"

Soalan tu, kita jawab nanti2.. OK? Cun!
Jom solat dulu!

Bersambung...

BAGAIMANA SEHARUSNYA KITA BERPOLITIK? - #1

Politik adalah sesuatu yang amat menarik minat aku sedari kecil. Kerana politik berhubungkait dengan boleh dikatakan segala perkara di dalam kehidupan kita.

Pendidikan berkait politik, agama berkait politik, hiburan berkait politik, pentadbiran berkait politik, sukan, kebajikan, kehakiman dan semua aspeknya.

Berbicara perihal politik jangan hendaknya menjadikan kita sempit cara berfikir dengan spontan menggambarkan ia dengan politik kepartian, hijau dan biru, dacing dan bulan mengambang, keris dan mata All seeing eye, atau fulan itu dan fulan ini. Namun inilah yang banyak terjadi.

Politik adalah suatu jalan, satu seni, satu kepakaran yang memerlukan asahan minda yang tajam, satu gerakan mengunggulkan suatu negara, agama atau bangsa, satu kelicikan mendepani cabaran dan pelbagai lagi.

Oleh kerana itu, politik memerlukan hati2 yang beriman, jiwa2 yang yang yakin dengan janji2 Tuhan, minda yang tajam menganalisis sekitaran dan putaran roda zaman, firasat dan ilmu kejiwaan yang mampu membaca dan merangka taktik dan strategi berpandukan tanda2 dan membedah berita di sebalik berita2, kepintaran yang sempurna, kesabaran yang maksima serta kemahuan yang tega.

Ternyata apabila sedemikian, tidak semua layak untuknya. Apalagi untuk turut sama menjadi pembuat dan penentu keputusan politik sesebuah negara. Namun datang demokrasi menghalalkannya...

Berpolitik cara demokrasi, nenek tua kurang upaya yang sudah tidak ingin lagi mengambil tahu perkembangan semasa negara pun turut sama disorong berkerusi roda bagi menentukan nasib negara.

Berpolitik cara demokrasi, seorang pemuda yang tidak tahu-menahu selain "hura-hura" turut diajak menentukan nasib negara.

Berpolitik cara demokrasi, rakyat di hujung negeri yang maklumatnya dari akhbar perdana atau akhbar lidah parti, berita tivi atau ceramah anjuran parti, atau sekadar telahan-telahan dan kesimpulan2 dari sembang2 kedai kopi, turut sama digesa menetukan nasib negara. Sedangkan maklumat yang berat sebelah sudah tentunya tidak dapat mendatangkan sudut pandang yang adil.

Berpolitik cara demokrasi, selak kain sana selak kain sini, gelar buruk sebelah sana gelar buruk sini, umpat sana umpat sini, caci sana caci sini, hanya kerana kerusi persaudaraan Islam tolak ke tepi, biar menang jadi arang kalah jadi abu. Asal geng kita biar kafir sekalipun, beri undi, walaupun lawan yang satu lagi Muslim, hanya berlainan parti.

Jika anda seorang Muslim, lalu di kawasan anda seorang Muslim calon parti lawan bertanding melawan calon bukan Muslim parti komponen/ sepakatan parti anda, siapakah calon yang akan anda pangkah? Jika anda memangkah calon bukan Muslim, maka ketahuilah (dalam bahasa yang sopannya) bahawa anda telah menjadikan Islam itu lebih rendah.

Seorang Muslim selamanya lebih tinggi berbanding seorang kafir, sekalipun si Muslim itu seorang hamba yang hitam sedangkan si kafir itu tetaplah tidak dianggap mulia sekalipun ia seorang raja.

Apakah anda akan mengatakan Umayyah bin Khalaf -penguasa kafir Quraisy Makkah- itukah yang lebih mulia, atau hambanya Bilal yang lebih mulia? Apakah sebabnya? Tentunya nilaian Islamnya.
Namun, politik kepartian berasaskan demokrasi telah membutakan sekian banyak matahati Muslim untuk memandang dari jendela ini..


Bersambung..

Monday, January 2, 2012

SUJUD SYUKUR GANTI BUNGA API???!!

Itu bunyi tajuk berita dalam Metro Ahad semalam. Anda boleh membacanya di SINI
(Manakala tanda tanya dan tanda seru tersebut adalah tambahan saya sendiri)

Cuba mencari alternatif kepada kebiasaan kurang baik yang dilakukan oleh masyarakat sememangnya sesuatu yang perlu dipuji. Lebih-lebih lagi jika alternatif tersebut adalah sesuatu yang sesuai dengan syariat Islam.

Akan tetapi, hal seperti yang dilakukan oleh golongan berkenaan di dalam berita di atas adalah sesuatu yang sepatutnya didapatkan pandangan oleh orang yang berpengetahuan terlebih dahulu. Saya tidak tahu jika ada seseorang yang ada sedikit pengetahuan agama dalam hal yang begitu asas seperti hal sujud syukur itu akan menyetujui apa telah dianjurkan oleh Perkasa itu.

Sujud syukur adalah satu bentuk ibadat. Dan sesuatu ibadat tidak boleh dilakukan mengikut apa yang kita rasa elok atau "asal ok, jalan!" saja. Berkumpul beramai-ramai menunggu detik 12 malam, kemudian beramai-ramai sujud syukur kerana meraikan datangnya tahun baru adalah jelas sesuatu yang diada-adakan di dalam agama, dan hal yang diada-adakan itu adalah tertolak.

Apa itu sujud syukur? Menurut apa yang dijelaskan di dalam pelbagai kitab (anda boleh merujuk mana-mana kitab feqah, di dalam Sabilal Muhtadin pun ada penjelasan panjang lebar) ia adalah sujud yang dilakukan dengan syarat2 seperti sujud tilawah kerana datangnya nikmat atau terlepasnya sesuatu bala.

Nikmat itu boleh berbentuk hissi (sesuatu yang nampak contohnya dapat hadiah banglo) atau maknawi (sesuatu yang tidak nampak seperti makrifah/ atau dapat menyelesaikan sesuatu persoalan ilmiah yang rumit yang telah lama diusahakan dan dicari penyelesaiannya). Terlepas dari bala itu contohnya bebas dari penjara, sembuh dari penyakit kronik dan lain-lain.

Kemudian, syarat nikmat itu pula hendaklah BUKANNYA nikmat yang berulang-ulang. Anda mungkin pernah bertemu orang yang melakukan satu sujud setiap kali selepas selesai solat. Bila ditanyakan, ia akan menjawab bahawa dia sujud syukur kerana telah dizinkan oleh Allah untuk mengadapNya lagi (bersolat). Ini adalah satu bentuk silap faham (atau kurang faham) tentang sujud syukur.

Oleh kerana solat (jika dianggap sebagai nikmat) adalah sesuatu yang berulang-ulang, maka tidak perlu kita bersujud syukur untuknya. Apakah kita perlu bersujud syukur setiap kali selepas makan, setiap kali keluar tandas, setiap kali itu dan ini?

Bahkan kita kalau demikian tidak akan boleh mengangkat wajah kita sedetik pun dari sujud syukur kerana setiap detik kita diberi nikmat menyedut dan menghembus udara sehingga dapat meneruskan kehidupan ini.

Kerana itulah ada disebutkan di dalam sebuah kitab (maaf, saya lupa nama kitabnya ketika ini) lebih kurangnya bahawa orang yang bersujud syukur atas nikmat yang berulang-ulang itu petanda akan kurang akalnya. Ironinya ramai yang melakukan hal ini.

Nah Itu adalah suatu hal, iaitu tiadanya sujud syukur bagi nikmat yang berulang-ulang.

Hal berkumpul bersama-sama menunggu detik 12 malam kemudian sujud syukur bersama-sama pula adalah satu bentuk ibadah baru pula yang diada-adakan yang disebut di dalam istilahnya bid'ah yang tercela. Dan itu adalah jelas.

Kemudian, dikaitkan nikmat itu dengan kedatangan tahun baru, bahkan nantinya akan dilanjutkan lagi pada sambutan ambang merdeka pula. Apakah hal ini sesuatu yang ada di dalam agama?
Jawapannya TIDAK ADA SAMASEKALI!

Logikkah anda bersujud syukur kerana berlalunya hari Sabtu dan datangnya hari Ahad?
Tentunya ia satu Lawak Antarabenua.

Kalau dikatakan ; "Oh tidak! ini adalah pertukaran tahun 2011 kepada 2012!". Apakah bezanya? Bukankah ia hanya pertukaran hari-hari sahaja? Aduh..
Saya rasa anda semua dapat menangkap point yang saya ingin sampaikan di sini.

Kemudian nantinya akan dilanjutkan kepada sambutan ambang merdeka.
Apakah anda pernah mengetahui ada sesiapa daripada umat Islam yang bersujud syukur setiap kali 12 Rabiulawwal kerana mengenang nikmat diutusnya Rasulullah SAW?

Atau bersujud syukur setiap kali datangnya tarikh2 penting dalam Islam, contohnya Israk Mikraj, Nuzul Quran, Asyura (yang banyak peristiwa penting dikatakan berlaku), Tarikh2 berjayanya tentera-tentera Islam di dalam peperangan2 terkemuka contohnya medan Hittin, pembebasan Al-Quds, penerokaan Andalusia, pembebasan Konstantinopel dan lain2 lagi?

Tentunya tidak pernah bukan?
Kalu demikian, sudah pasti anda faham apa yang saya ingin sampaikan.

Semoga Allah mengurniakan kita semangat di dalam beragama dan menjadikan semangat kita di atas landasan ilmu yang sebenarnya. Ameen.