Monday, January 31, 2011

KISAH MENGAJAR

Aku berfikir elok juga kalau aku tulis balik apa yang diajarkan di dalam kelas Tafaqquh hampir setiap malam. Sekurang-kurangnya dapat menyegarkan kembali ingatan akan apa yang diajar, serta menjadikan ingatan tersebut lebih bertahan lama. Kelas akan bermula setelah solat Isyak sekitar setengah jam bermula 9.30 malam sehingga 10.00 malam. Biasanya akan lebih sikit dalam 10 minit.

Kata Imam Asy-Syafi'e rahimahuLLAH seperti yang kulihat di dalam Diwannya; "al 'ilmu dhollatun, wal kitabatu qoidatun". "Ilmu itu (seumpama) binatang yang terlepas, menulis itu tali pengikatnya".

************

Malam ni mengajar kitab Sifrusa'adah, macam biasa sambungan bab Petunjuk Nabi berkenaan Jumaat. Dah sampai pada keistimewaan apa yang terdapat pada hari Jumaat yang membezakannya daripada hari-hari yang lain, sehingga digelarkan Sayyidul Ayyam (Penghulu segala hari).

Untuk kelas malam ini menyentuh sambungan keistimewaan yang ke 20. Iaitu tentang saat yang mustajab doa yang ada pada hari Jumaat. Kelas sebelum cuti baru ni dah bicara tentang itu, cuma belum habis lagi. Alhamdulillah malam ni habis.

Ringkas ceritanya tentang perbincangan waktu mustajab ni, ada perbezaan pendapat para ulama. Aku rangkumkan di sini berdasarkan ingatanku, apa yang dibincangkan minggu lepas dan malam ini apa yang dibawa oleh pengarang yang mulia rahimahuLLah di dalam kitabnya yang bermanfaat itu.

Pertamanya; perbezaan pendapat tentang adakah saat mustajab tersebut masih berterusan ada ataukah telah berakhir pada zaman Nabi SAW sahaja (maksudnya hanya khusus pada zaman Nabi masih hidup sahaja). Pendapat yang benar adalah waktu mustajab yang ada pada hari Jumaat itu masih berterusan ada.

Keduanya; mereka yang berpendapat berterusan adanya itu berbeza pendapat pula, adakah waktu tersebut tertentu ketikanya di dalam hari Jumaat atau bertukar-tukar (tidak tetap waktunya) di dalam hari Jumaat tersebut. Pendapat yang paling tepat adalah ianya tertentu ketikanya di dalam hari Jumaat.

Ketiganya; setelah pengarang memberitahu kepada kita bahawa pendapat yang tepat adalah menyatakan waktunya tertentu, maka beliau menyatakan pula bahawa mereka yang berpendapat dengan pendapat tersebut berbeza pula dalam menentukan bilakah secara tepatnya saat yang mustajab tersebut.

Lalu dibentangkanlah sebelas Qaul (pendapat) yang ditegakkan dari hujjah masing-masing bilakah saat mustajab itu. Aku tidak dapat membawanya satu persatu di sini kerana ketika ini aku hanya menaip berdasarkan ingatan saja.

Di antara kesebelas pendapat tersebut, dinyatakan pengarang bahawa yang paling tepat adalah dua daripadanya:-

Pertama: Saat bermula naiknya khatib ke atas mimbar sehingga selesainya solat Jumaat, berdasarkan hadis riwayat Muslim.

Kedua: -dan inilah pendapat yang paling tepat di antara dua pendapat ini pula- iaitu waktu terakhir setelah waktu Asar. Kalau boleh kita katakan hampir dengan waktu Maghrib. Lalu pengarang membawakan hadis-hadis yang banyak menyokong pendapat ini. Seumpamanya sebuah hadis yang mana sabdanya SAW: ...."maka carilah ia pada saat yang terakhir setelah Asar".

Kesimpulan untuk keistimewaan ke dua puluh ini adalah: Saat mustajab yang disediakan untuk umat Nabi SAW adalah sangat patut untuk kita mencarinya. Dan sangatlah disayangkan kerana hanya segelintir umat Islam yang tahu tentang perkara ini. Dikisahkan di dalam sebuah buku yang aku sudah lupa judulnya (bukunya nipis sahaja, karangan murid/khadam Maulana Zakariyya, beli di Sri Petaling lama dulu) bahawa Syaikhul Hadith Maulana Zakariyya Al-Kandhlewi apabila tiba waktu setelah Asar hari Jumaat, beliau akan menguncikan diri di dalam biliknya dan berzikir serta berdoa sehingga masuk waktu Maghrib. Demikianlah juga yang dilakukan oleh orang-orang pilihan yang mengetahui akan keutamaan waktu ini.

Keutamaan apakah itu? Tidak ada seorang hamba mukmin muslim pun yang mendapat kesempatan waktu tersebut (dan ianya amat sekejap/singkat) lalu berdoa kepada Allah, pasti akan dikurniakan apa yang dimintanya itu selagimana yang dimintakan itu bukan sesuatu yang haram.

*****************

Kemudian aku melanjutkan lagi dengan membaca dua lagi keistimewaan yang dicatatkan ringkas di dalam kitab tersebut iaitu:-

Keistimewaan yang ke dua puluh satu; Sedekah pada hari Jumaat adalah berbeza (dari segi gandaan pahalanya) berbanding sedekah pada hari-hari biasa.

"Selamatkanlah dirimu daripada api neraka walau dengan separuh tamar. Mungkin engkau mempunyai sebiji tamar,-hanya sebiji!- untuk dimakan, dan hatimu sangat menginginkannya. Tiba-tiba ada seorang, mungkin kawanmu yang lapar, nak diberi kesemuanya, engkau pun teringin memakannya. Nah! Gigit separuh untukmu dan berikan separuh untuknya. Nanti engkau akan pergi di hari kiamat, mungkin dosa-dosamu hampir membinasakanmu, tiba-tiba datang pahala sedekah separuh tamarmu yang engkau berikan dengan ikhlas, lalu engkau menyesal; Aduhai.. alangkah bagusnya jika aku memberi kesemuanya dahulu!

Kalau ingin lebih pahala, katakan di tanganmu adalah kurma yang diisi badam, keluarkan badam dahulu setelah engkau gigit separuh kurma tersebut dan berikan kurma itu. Setelah itu berikan pula badam tadi; Maka engkau telah menyedekahkan dua; separuh badam dan separuh kurma; Dan Allah Maha Kaya untuk menganugerahkan kepadamu pahala yang berganda-ganda. Membuat kebaikan pun kena pandai la."

Lalu para pelajar ketawa. Aku turut tersenyum.

"Apakah kamu tidak melihat para sahabat yang sengaja melangkah pendek-pendek ketika menuju ke masjid hanya bertujuan untuk menambahkan bilangan langkah mereka setelah mereka mengetahui bahawa setiap langkah itu mengangkat darjat dan menggugurkan dosa?"

Lantas mereka kemudian tersenyum tanda faham.

Kekhususan / keistimewaan yang ke 22; Iaitulah solat Jumaat itu sendiri yang berbeza dengan solat-solat yang lain dengan syarat-syaratnya yang khusus seperti bermukim, bermastautin, wajib dilakukan secara berjemaah dan syarat lainnya. Juga dengan keunikan solat Jumaat itu yang didahului dengan dua khutbah, dibaca kuat dan sebaginya lagi yang membezakannya dari solat yang biasa.

Kelas ditangguhkan di situ dan disusuli pertanyaan oleh seorang pelajar yang menginginkan penjelasan tentang kiamat dan perkara-perkara yang mendahuluinya.. Aku menjawab seringkas yang dapat kerana jam pun sudah hampir ke 10.20 malam..

Jika ada kelapangan aku akan menulis lagi berkenaan hal mengajar ni. Bagus juga untuk refresh ingatan..

"Alhamdulillah alladzi bi ni'matihi tatimmu ash-sholihaat".

TERPERANGKAP

Aku hairan dengan orang yang suka benar menghabiskan masanya,
seolah umur itu panjang, dunia itu kekal dan maut tidak menjelang,

seandainya ia tahu harga sebuah kehidupan,
aku pasti ia akan terbangun bingkas menyiapkan diri,
memungut bekal untuk perjalanan yang melelahkan..

di belantara dunia ini,
kita semua, kau dan aku,
terperangkap di dalamnya.

sesiapa yang maju pergi dahulu,
yang mahu terus tidur ah! biarkan saja!,

jangan! kejutkan temanmu,

jangan pergi dulu,
seandainya ia tetap membatu dan menyanggahimu,
begitu engkau pergi dahulu..

jalan ini panjang sekali,
kafilah manusia pilihan telah lama pergi,
jejak mereka samar-samar,
dan kita masih lagi terus terperangkap..

langit kelam, malam tanpa cahaya bulan,
bintang-bintang seolah tenggelam,
oh! dimanakah penunjuk jalan?

Sunday, January 30, 2011

AKU DAN KENANGAN...

Musim Timur muncul lagi.. Memunculkan bersama kenangan yang manis untuk dikenangkan. Aku yang bermalas-malas di pangkin ini sambil menghirup udara segar yang belum tercemar seakan-akan melihat tayangan sebuah wayang gambar dari memori yang tersimpan kemas di ingatan...

Bayu timur berpuput menderu.. menerbangkan kekabu memutih yang bercerai dari buahnya yang terkopak nun di tinggi di dahan.. Pokok-pokok kapal terbang yang berbaris di sepanjang birai jalan mini tar kampung kami menayangkan bunga-bunganya yang turut memutih. Kadang-kadang kami mengutip bunga-bunganya dan memenuhkan poket-poket seluar kami untuk dijadikan peluru sumpit yang terbuat daripada straw. Boleh tahan sakitnya juga kalau terkena leher.

Di kebun-kebun getah ada sejenis pokok -melur hutan agaknya- berwarna putih juga, mekar dan menghiasi di dalam redupnya kebun. Daun-daun getah pula akan mula menguning dan berjatuhan menyentuh bumi. Di sepanjang jalan yang di kiri kanannya dibarisi pohon-pohon getah yang menjulang, daun-daun getah di dada jalan yang berterbangan apabila ada kenderaan melaju menyerlahkan panorama seolah-olah musim luruh di luar negara.

Buah-buah getah mula pecah dan menggugurkan biji-biji yang dikandungnya. Kanak-kanak seperti kami akan mencari wang tambahan dengan memungut biji-biji getah tersebut untuk dijual. Dapatlah lebih kurang 4 ringgit untuk setin biji getah di dalam tin yang biasanya diisi minyak tanah. Selain dijual, kami juga mengutip biji getah untuk di'pelaga'kan.

Di bendang lain pula ceritanya. Mesin padi, biasanya 2 buah, menjalankan tugasnya menuai padi. dari pagi sampai malam. Di belakang jentera tersebut kami akan berlarian mengejarnya. Ada yang lebih bertuah akan dapat turut sama bertenggek di atas jentera berwarna kuning tersebut.

Puas mengejar mesin menuai padi, kami akan beramai-ramai terjun sungai pula. Sebelum balik ke rumah kami akan lepak-lepak dulu menunggu rambut kering, takut kena marah nanti. Cover line la kononnya, macam la orang tua-tua tak tahu. Tengok mata merah, kulit ber'kelarah' semacam, rambut keras kejung pun dah tahu anak mereka mandi sungai.

Ada hari-harinya kami akan main tuju tin a.k.a tuju pot. Memang best! Lagi-lagi kalau kita selalu jadi penyelamat kumpulan kita untuk meneruskan penguasaan dalam game tu. Iaitu kita jadi orang terakhir yang di'aim' dan dikepung oleh pemain-pemain kumpulan lagi satu untuk dibaling bola mengenai badan, tetapi dengan cekapnya kita berjaya melepasi kesemua balingan dan terus meluru menyusun tin-tin untuk kembali membentuk susunan asal sehingga kumpulan kita berjaya memenangi game tersebut. Lebih mengujakan lagi kalau esok dan seterusnya kawan-kawan semua berharap untuk menjadi ahli pasukan kita. Kami biasanya bermain tuju tin di tanah lapang dekat kedai bihun sup (dah ditutup) berhadapan sekolah, setelah sebelum itu rumah aku menjadi 'port'nya.

Tapi itu semua cerita dulu. Sekarang aku lihat musim pun tidak tentu. Kadang musim Timur, tapi ada hujan yang turun juga. Daun getah kalau dulu akan rontok habis, tetapi sekarang belum habis luruhnya dah nampak hijau pucuk-pucuk yang baru. Nak lihat budak-budak bermain tuju tin, mengejar mesin padi (jentera menuai), mandi sungai dan lain-lain aktiviti yang cukup adventerous hampir tidak ada. Yang banyaknya aku lihat, menunggang motor ke sana ke sini. Minyak murah agaknya.. Oh! Ya tak ya! Getah sekarang kan naik harga..hehe

Banyak lagi kalau nak dikenangkan. Dan panjang lagi kalau nak diceritakan. Tapi aku rasa lain kali mungkin jika ada kesempatan akan menceritakan kembali dengan bahasa dan ayat-ayat yang lebih tersusun. Semoga kesempatan itu akan muncul, insyaAllah.. Dan aku akan bercerita lagi..

Thursday, January 27, 2011

MEM "FOLLOW" BLOG..

Tak pernah sebelum ni aku jadi follower mana-mana blog, walaupun blog yang memang tak pernah aku miss membacanya.

Tapi, buat kali pertamanya dalam sejarah, aku telah mem "follow" satu blog ni yang aku rasa sangat menarik dari segi pengisian kandungannya sejak aku mula membacanya lama dahulu. Dan yang lebih utama adalah cara tuan blog tersebut menyampaikan pengisiannya dengan bahasa yang sedap dibaca, tanpa carutan-carutan dan seumpamanya. (Err, yang bestnya dia satu negeri dengan aku hehe )

Ada cerita-cerita pengalaman belajar di oversea, kisah dolu-dolu beliau dsb.

Kalau sesiapa nak tahu benar tidak apa yang aku cerita tentang blog tu boleh check sendiri blog tu kat sini

Harapnya beliau terus dapat menulis di celah-celah kesibukannya itu.

SILANG PERSEPSI


Persepsi yang silap akan menghasilkan kesimpulan yang tersasar..

Mungkin kau membaca puisi-puisi yang terdapat di dalam blog ini yang bercerita tentang CINTA akan menafsirkannya berbeza. Sedangkan aku memaksudkannya berbeza..

Ya! Sudah semestinya.
Kerana akhirnya ia terpulang kepada siapa dirimu dan bagaimana persepsimu.

Jadi, tolong jangan salahkan aku..

OBSESI...

"sedang sakaratul maut.."
"alhamdulillah, nyawa selamat dicabut.."
"ramai pulak org dtg berziarah.."
"sekejap lagi nak dimandikan, haissyy! lama dah tak dimandikan oleh org lain ni!"

Dan seterusnya anda boleh sambung sendiri.. Anda tahu apa yang nak saya sampaikan di sini? Kegilaan orang ramai dengan Facebook!
Semua benda nak diceritakan.. A-Z.
Wall post kat atas tu saya exaggerate saja. Nak bagitahu contoh orang yang kalau dah obses sangat dengan FB tahap dewa, mungkin sampai camtu kot nantinya. Na'uzubillahi min zaalik.

Sunday, January 9, 2011

PUISI TANPA TAJUK - #7

menginginkan sesuatu yang tidak mungkin adalah petanda kejahilan diri,
seperti mengharapkan masa lalu berulang kembali,
atau mendambakan untuk tidak dilahirkan ke dunia ini,
kerana hari ini dirasakan tidak indah lagi,
tidak seperti hari-hari dahulu yang seumpama pelangi.

kenalan adalah yang bertemu tanpa hubungan hati,
kawan adalah yang berinteraksi denganmu saban hari,
sahabat pula, dia yang sanggup menanggung bebanmu,
sekalipun terpaksa menyusahkan diri sendiri,
kekasih itu, yang sentiasa engkau rindui,
dan bersemayam di takhta hati,
walaupun jarak dan waktu hadir membatasi...

Saturday, January 8, 2011

KEKASIH YANG KU DAMBAKAN...

Aku pasti akan bertemunya suatu hari nanti,
Kasih; suatu hari engkau pasti kan bersamaku,
namun aku sendiri belum pasti bilakah saat itu,
hatiku kesepian; jiwaku kedahagaan,

oh Kasih! kemarilah!
kerana engkau sudah ditakdirkan untukku,
maka kemarilah Kasih!
Kemarilah duhai Kekasih..

sepanjang hidup ini, kecintaan kepadamu tak pernah terpadam,
kerinduan kepadamu sentiasa mencengkam,
bagaimanakah dapatku membayangkan,
sedangkan aku bukanlah seorang penyair handalan,
namun dahsyatnya cinta telah menjadikan
kata-kataku mengalir bagaikan syair sang sasterawan..

ujarmu; sabarlah! waktunya kan tiba jua,
kau dan aku kan bersama akhirnya;

namun mengapakah engkau menyepi sekian lama..
apakah di hatimu memancar luka?
oh! semoga itu bukanlah jawapannya.

seandainya benar, kemarilah kepadaku,
biar ku ubati kelukaan hatimu itu,
kedukaanmu, jangan ceritakan kepada sesiapa pun,
namun dariku jangan pula engkau sembunyikan,
jikapun luka itu tak berjaya ku ringankan,
biarlah doaku menyelimutimu dalam tenteram..

oh jiwa! tenanglah dan jangan hilang kewarasan,
kasihmu pasti kan datang,
sekalipun setelah penantian yang panjang,
kerana takdir itu sudah tertuliskan,
dan siapakah yang mampu menghalang,
kerana itu lenalah dalam tenteram,
moga dalam mimpimu nanti kan terjadinya pertemuan,
sebelum pertemuan sebenar yang didambakan..




Thursday, January 6, 2011

TANPA TAJUK - #6

Banyak makan, banyak minum, banyak tidur, banyak omong-omongan...
Semua itu hanya bakal melambatkanmu di dalam 'perjalanan'...