Wednesday, March 17, 2010

Fitnah vs "fitnah"

Salaam.

Mungkin kebanyakan dari kita sering terdengar di dalam ceramah- ceramah agama hatta di televisyen sekalipun, terkadang apabila si penceramah mengulas tentang fitnah lalu ia pun membawakan ayat "wal fitnatu asyaddu minal qatli" atau "wal fitnatu akbaru minal qatli".

Kemudian ia pun berpanjang lebar mengulas ayat tersebut dengan mengatakan dosa fitnah itu lebih dahsyat daripada membunuh kerana pembunuhan mungkin hanya melibatkan satu orang tetapi api fitnah yang dinyalakan akan boleh membakar ribuan nyawa yang tidak berdosa dan bla bla bla...

Namun tahukah anda bahawa si penceramah itu telah mentafsirkan Al Quran dengan hawa nafsunya semata-mata?

Sesungguhnya kalimah fitnah di dalam bahasa Arab tidaklah sama sekali membawa maksud fitnah di dalam bahasa Melayu! Fitnah di dalam pengertian Bahasa Melayu itu di dalam Bahasa Arab adalah dikatakan Buhtaan atau Ifk atau lainnya.

Adapun kalimah fitnah di dalam bahasa Arab seperti di dalam ayat Al Quran itu adalah bermaksud ujian, cubaan, syirik, kekufuran. Lihatlah kitab-kitab tafsir, terjemahan atau kitab ma'aanil Quran yang lain, tidak satupun yang merujukkan perkataan fitnah itu kepada fitnah yang dimaksudkan sang penceramah.

Semoga entry yang ringkas ini memberi peringatan kepada sesiapa yang membacanya agar lebih berhati-hati di dalam memperkatakan sesuatu di dalam urusan agama ini. Dan kami juga berharap agar setiap kita yang mendengar satu ucapan membuka minda dan akal dan menapis setiap yang masuk ke dalam corong telinganya dengan tapisan Al Quran dan Sunnah serta tafsiran para ulama yang mu'tabar.

Semoga kita menjadi di kalangan mereka "yang mendengar perkatan-perkataan lalu mengikuti yang terbaik di antaranya". Ameen.

Monday, March 15, 2010

MEMBULAT TEKAD

Jika engkau lelaki;
Jadilah sebenar laki-laki!
Jangan ujian menjadikan engkau undur diri!

Jika engkau punya cita-cita ;
Gantungkan ia di kejora sana !

Seandainya engkau benar laki-laki ;
Bersedia, dan jangan lari !

Jalan kepada cita-cita penuh pancaroba,
Laluannya sempit ; beronak pula.

Sekali melangkah teruslah melangkah !
Badai menerpa tabahlah !

Rebah bangun sendiri !
Bangun untuk berlari lagi !

Friday, March 12, 2010

JIKA HARI INI AKU MENANGIS...


Jika aku menangis hari ini..
Biarlah aliran air mata ini menjadi kali,
Melembabkan tanah
Menyuburkan pamah
Menumbuhkan bungaan nan indah
Mewangikan taman nan megah.


Jika aku menangis hari ini..
Biarlah air mata ini menjadi
Guyuran hujan di siang hari
Membasahi bumi kering mati
Menggembirakan hati sang petani
Dan kanak-kanak yang riang berlari..


Dan jika aku menangis hari ini..
Ah ! Mungkinkah aku menangis hari ini ?
Kerana tiada sebab wajar ku tangisi,
Kerana diriku lelaki sejati!

Wednesday, March 10, 2010

JADILAH BERANI!

Jadilah berani!
Depanilah realiti!
Jadilah laki-laki!


Jangan asyik mencari alasan
Melarikan diri dari kenyataan
Menidakkan keupayaan sendiri.

Dirimu adalah laki-laki ;
Jangan sesekali berhati berhati lemah !
Sekali melangkah teruslah melangkah !

Aku telah melihat kejayaan
Namun tidak ku temui yang akan menempanya !

Ku lihat keagungan tergantung di kejora
Tetapi manakah mereka yang ingin menggapainya?

Ku dapati ketinggian di puncak tinggi;
Apa masih adakah yang tega mendaki?

Engkau tidak ingin dihina;
Namun kemalasanmu menjadikanmu hina!

Engkau marah pabila dikata;
Tetapi kesungguhan tekad; tidak kau milikinya!

Hanya yang dapat ku lihat;
Adalah para banci yang luntur semangat,
Mandul tekad dan tiada matlamat!

Sungguh perut bumi itu lebih baik bagimu dari permukaannya;
Wahai engkau yang lemah jiwa!

Tuesday, March 9, 2010

MEMAAFKAN vs MELUPAKAN


Memaafkan... 
itu mudah;
 
Melupakan... 
itu payah!