Friday, December 13, 2019

BUMI DALAM WARISAN KEILMUAN MUSLIM SILAM 2





BUMI DALAM SEBAHAGIAN WARISAN KEILMUAN SILAM

Telah berkata sebahagian ulama ilmu Hai’ah (astronomi) bahawa bumi itu terhampar. Dan berkata sebahagian yang lain bahawa ianya seperti sebiji bola, dan ia tetap (tidak bergerak) dengan bertempat di falak - falak-falak itu melingkari di atas bumi itu daripada segala arahnya - sepertimana kuning telur pada sebiji telur. Bumi itu terletak pada tengah-tengah falak yang mana jarak setiap kelilingnya dengan falak itu adalah sama jaraknya.

Penyebab yang membuatkan ia terletak tetap di tengah-tengah itu adalah kerana lajunya putaran falak dari segenap keliling yang menolaknya ke tengah-tengah, sepertimana jikalau segumpal tanah diletakkan di dalam sebuah bejana, lalu diputarkan airnya dengan sekuat-kuatnya, maka sesungguhnya tanah itu akan berada di tengah-tengah pusaran itu.

Adapun mereka yang mengatakan bumi itu terhampar, maka katanya bahawa Al-Bahrul Muhit (Lautan yang Maha Luas yang mengelilingi bumi) yang berukuran 24 ribu farsakh mengelilingi bumi sepertimana sebentuk cincin yang melingkari jari (yang dipakaikan cincin itu).

Telah berkata Ibn Abbas radhiyallahu Taala ‘anhuma bahawa sekeliling dunia itu terdapat suatu kegelapan. Kemudian di belakang kegelapan itu pula terdapat Jabal Qaf (Bukit/Gunung Qaf ).
Wallahu a’lam.

Halaman 7,
Kitab Bada’I’ Az-Zuhur fi Waqai’ Ad-Duhur,
Muhammad bin Ahmad ibn Iyas Al-Hanafi rahimahullah.
Matba’ah Mustafa Al-Babil Halabi,
Cetakan Rabi’ul Awwal 1338 Hijrah.

~22 Feb 2017, 11.40 mlm.