Saturday, January 8, 2011

KEKASIH YANG KU DAMBAKAN...

Aku pasti akan bertemunya suatu hari nanti,
Kasih; suatu hari engkau pasti kan bersamaku,
namun aku sendiri belum pasti bilakah saat itu,
hatiku kesepian; jiwaku kedahagaan,

oh Kasih! kemarilah!
kerana engkau sudah ditakdirkan untukku,
maka kemarilah Kasih!
Kemarilah duhai Kekasih..

sepanjang hidup ini, kecintaan kepadamu tak pernah terpadam,
kerinduan kepadamu sentiasa mencengkam,
bagaimanakah dapatku membayangkan,
sedangkan aku bukanlah seorang penyair handalan,
namun dahsyatnya cinta telah menjadikan
kata-kataku mengalir bagaikan syair sang sasterawan..

ujarmu; sabarlah! waktunya kan tiba jua,
kau dan aku kan bersama akhirnya;

namun mengapakah engkau menyepi sekian lama..
apakah di hatimu memancar luka?
oh! semoga itu bukanlah jawapannya.

seandainya benar, kemarilah kepadaku,
biar ku ubati kelukaan hatimu itu,
kedukaanmu, jangan ceritakan kepada sesiapa pun,
namun dariku jangan pula engkau sembunyikan,
jikapun luka itu tak berjaya ku ringankan,
biarlah doaku menyelimutimu dalam tenteram..

oh jiwa! tenanglah dan jangan hilang kewarasan,
kasihmu pasti kan datang,
sekalipun setelah penantian yang panjang,
kerana takdir itu sudah tertuliskan,
dan siapakah yang mampu menghalang,
kerana itu lenalah dalam tenteram,
moga dalam mimpimu nanti kan terjadinya pertemuan,
sebelum pertemuan sebenar yang didambakan..




Thursday, January 6, 2011

TANPA TAJUK - #6

Banyak makan, banyak minum, banyak tidur, banyak omong-omongan...
Semua itu hanya bakal melambatkanmu di dalam 'perjalanan'...

Friday, December 17, 2010

TANPA TAJUK - #5

si jahil itu,
masih dapat diharap kebaikan padanya,
seandainya ia sedar dan masih sedia terus belajar...

namun,
kejahilan;
andai disertakan kesombongan,
tiada menambahkan, selain kecelakaan...

Friday, November 26, 2010

JIKA ENGKAU PUNYA AKAL, MAKA FIKIRKANLAH.. (2)

Seorang fulan mendapati permaidani mahal di rumahnya telah berdebu. Lalu ia mengeluarkannya dari ruangan dan menyidainya lantas mengambil sebatang kayu serta mula memukulnya bertalu-talu.
Seseorang tanpa pengetahuan tentang makna di sebalik perbuatan si fulan melintasi tempat itu. Ia lantas berteriak:
“Oh! Mengapa engkau sampai memukul permaidani semahal itu?!! Engkau akan mencarik-carikkannya!!!”
Si fulan merasa hairan..
Oh kawan! Bukankah engkau dan aku, juga patut merasa hairan?

-alfindani-
9.44 mlm, 26 Nov 2010,
Jumaat, MTK

Sunday, November 14, 2010

Friday, November 12, 2010

TANPA TAJUK - #4


"Seutama-utama jihad adalah berkata benar di hadapan sultan (pemerintah) yang zalim"



Lalu berpesan alfindani kepadaku:

"Namun jangan pula engkau bertukar menzalimi mereka dengan kata-katamu semasa menasihati mereka itu.."


Tuesday, November 9, 2010

FANAA...

Suatu hari, bersama alfindani, berjalan-jalan di sebuah keramaian. Melewati kerumunan kanak-kanak yang bergelak ketawa memerhatikan persembahan boneka, dia tercegat seketika.
“Mengapa?”
Lancar lidahku bertanya.
Tiada jawapan. Dan dia ku lihat memandang penuh minat ke arah boneka yang sedang beraksi.
Sejurus kemudian, ku lihat dia tertawa kecil. Lalu kembali menapak. Aku mengekor untuk bersaing dengannya. Beremba.
Naluri ingin tahu menjemput aku bertanya;
“teringat zaman kanak-kanak ke?”
“Hah?” sambil menoleh kepadaku.
“Takde.. tadi nampak minat betul dengan persembahan boneka, teringat zaman kanak-kanak ke?”
“Ohh.. Bukan..”
“Habis?”
“Teringat... Di dunia ini.., betapa ramai yang mengaku dewasa, namun tauhid mereka setahap kanak-kanak cuma...”
****************************
Oh kawan!
Dapatkah kau selami maksud bicaranya?.....

Monday, November 8, 2010

BERILMULAH ! DAN ENGKAU AKAN TAHU NILAINYA ILMU..

Sebelum ini aku pernah menulis berkenaan salahtafsir perkataan fitnah di dalam Bahasa Arab kepada Bahasa Melayu oleh kebanyakan orang termasuk penceramah-penceramah di tv yang akhirnya membawa salahletak atau salahguna dalil dairpada Al-Quran di bawah entry fitnah vs ‘fitnah’. Sesiapa yang berminat boleh klik tajuk tadi.

Lalu seseorang bertanya setelah membenarkan apa yang aku utarakan;
“apa yang patut kita lakukan?”

Aku kemudian menoleh ke arah alfindani, mengharapkan sesuatu keluar dari bibirnya..
Lantas katanya:
“Seharusnya, yang wajar untuk kita semua lakukan adalah sepertimana yang dicatat oleh Al-Imam Al-Bukhari r.anh ketika beliau membuat satu bab di dalam Sahihnya;

“al-‘ilmu qablal qauli wal ‘amal”

Iaitu (kewajipan) berilmu sebelum bercakap dan berbuat. Sebelum perkataan dan perbuatan. Sebelum pengucapan, baik dengan lisan mahupun dengan qalam, dan sebelum amalan, baik dengan hati atau lidah atau anggota badan.

Kemudian, apabila menuntut ilmu, maka amalkan pesan Imam yang mulia, Abu Abdillah Muhammad bin Idris As-Syafi’e r.anh. 

Apa katanya?

“Man tolaba ‘ilman fal yudaqqiq, li alla yudhoyyi’a daqiqal ‘ilmi”

Iaitu, sesiapa yang menuntut ilmu hendaklah meneliti dan memperdalam atau memperhalusi, agar dia tidak mensia-siakan atau terlepas pandang ilmu yang halus-halus.

Nah! Kebanyakan para penuntut -ilmu agama khususnya- hari ini, mempelajari sesuatu sekadar di permukaan sahaja. Dan mereka pula malas untuk menyelam ke dasarnya bagi menemukan mutiara-mutiara.

Malas untuk mengkaji, malas untuk mengulangkaji, malas untuk meneliti, malas untuk melatih aqal berfikir berulangkali akan sesuatu ilmu yang telah dipelajari, malas bertanya, malas membaca, jika membaca maka yang dibacanya tidak cuba dibanding-bandingkan, malas mengulang baca, dan seterusnya..

(Aku katakan para penuntut, kerana jika mereka sendiri sudah sedemikian sifatnya, maka apakah yang diharapkan dari awamnya manusia).”

“Kesimpulannya?” Aku bertanya.

“ilmu adalah ketua, dan amal adalah pengikutnya!”

Ringkas sahaja jawapannya dengan senyuman terpamer di wajahnya.

Aku berpuas hati . 
Dan aku berharap anda; juga sepertiku..

Sunday, November 7, 2010

KEPERLUAN MEMBEZAKAN DAN MEMAHAMI HUKUM..

"Sesiapa yang dikehendaki Allah kebaikan padanya, akan difahamkannya urusan agamanya" (Bukhari)

Seseorang bertanya: “apakah menjadi kesalahan mencelup kaki ke dalam air yang ukurannya 2 kolah? Kerana saya pernah dimarahi..”

Jawapannya: Salah dan boleh juga tidak salah!

Salah dari segi hukum Adabnya. 

Iyelah, air kat dalam kolah masjid contohnya, kita celup kaki untuk basuh, atau kita berkumur lalu kita luahkan kembali ke dalamnya, pastilah perbuatan tersebut akan menjijikkan orang lain dan tidak sesuai dari segi adabnya.

Tetapi, dari feqahnya tidaklah salah, kerana perbuatan tersebut tidak akan mengubah hokum air tersebut daripada air mutlak kepada musta’mal atau mutanajjis.

Ok. Fullstop!

****************************
Point yang saya ingin utarakan kali ini adalah menyentuh perkara kekeliruan yang berlaku kepada sesetengah kalangan.
“Apakah dia wahai tuan yang mulia?” Seseorang bertanya.

“Sabar..”.. Sambil menelan air liur.

“Ok!”

Iaitu kekeliruan untuk membezakan hukum, yang akhirnya membawa kepada kesalahan dalam menghukum dan menilai (orang lain atau kesalahan tersebut).

“Macam mana tu?”

Contohnya, hukum fiqh dan hukum wara’ tentunya tidak sama.

Hukum fiqh dan hukum adab juga pastinya berbeza. 

Sesuatu yang nampak salah dari segi hukum wara’ dan adabnya belum tentu dikira salah dari segi fiqhnya.

Mari kita lihat sedikit berdasarkan misal-misal.
1-  
Seorang imam misalnya mempunyai kebiasaan bergurau dan keluar rumah ber t-shirt sahaja. (sekadar contoh).
Tentulah ia adalah satu yang harus sahaja dari segi fiqhnya, namun salah dari segi adab dan adat serta wara’nya.
2-  
Sesorang di dalam masjid, berlunjur kaki mengadap kiblat. Ia adalah harus dari segi fiqhnya, namun tentulah salah dari segi adabnya.

Banyak lagi contoh-contoh, namun saya merasakan cukup sekadar itu, kerana orang yang berakal, sedikit perkataan cukup untuknya menyelami makna. Maka qiaskanlah ia wahai orang yang beraqal!

Kesimpulannya, saya mengutarakan ini kerana melihat satu fenomena yang kadangkala orang akan menghukum orang lain mengikut hukum wara’ atau adab, atau juga adat, atau juga kefahaman sempit yang diterap untuk dirinya sedangkan keluasan yang ada di dalam agama lebih luas dari itu.

Bukan semua orang mampu wara’ seperti kita yang di tahap ke dua, maka cukuplah jika ia tetap wara’ di tahap pertama. (tahapan wara’ akan saya sentuh nanti jika ada masa).

Dan bukan pula semua orang dibesarkan di dalam rumah adab seperti kita, maka berlemah lembutlah dan bertoleransilah dengan kekurangan adab mereka, selagi ia tidak melanggar batas-batas haram yang ditetapkan agama.

Dah nak maghrib...nanti sambung lagi insyaAllah..