Monday, November 8, 2010

BERILMULAH ! DAN ENGKAU AKAN TAHU NILAINYA ILMU..

Sebelum ini aku pernah menulis berkenaan salahtafsir perkataan fitnah di dalam Bahasa Arab kepada Bahasa Melayu oleh kebanyakan orang termasuk penceramah-penceramah di tv yang akhirnya membawa salahletak atau salahguna dalil dairpada Al-Quran di bawah entry fitnah vs ‘fitnah’. Sesiapa yang berminat boleh klik tajuk tadi.

Lalu seseorang bertanya setelah membenarkan apa yang aku utarakan;
“apa yang patut kita lakukan?”

Aku kemudian menoleh ke arah alfindani, mengharapkan sesuatu keluar dari bibirnya..
Lantas katanya:
“Seharusnya, yang wajar untuk kita semua lakukan adalah sepertimana yang dicatat oleh Al-Imam Al-Bukhari r.anh ketika beliau membuat satu bab di dalam Sahihnya;

“al-‘ilmu qablal qauli wal ‘amal”

Iaitu (kewajipan) berilmu sebelum bercakap dan berbuat. Sebelum perkataan dan perbuatan. Sebelum pengucapan, baik dengan lisan mahupun dengan qalam, dan sebelum amalan, baik dengan hati atau lidah atau anggota badan.

Kemudian, apabila menuntut ilmu, maka amalkan pesan Imam yang mulia, Abu Abdillah Muhammad bin Idris As-Syafi’e r.anh. 

Apa katanya?

“Man tolaba ‘ilman fal yudaqqiq, li alla yudhoyyi’a daqiqal ‘ilmi”

Iaitu, sesiapa yang menuntut ilmu hendaklah meneliti dan memperdalam atau memperhalusi, agar dia tidak mensia-siakan atau terlepas pandang ilmu yang halus-halus.

Nah! Kebanyakan para penuntut -ilmu agama khususnya- hari ini, mempelajari sesuatu sekadar di permukaan sahaja. Dan mereka pula malas untuk menyelam ke dasarnya bagi menemukan mutiara-mutiara.

Malas untuk mengkaji, malas untuk mengulangkaji, malas untuk meneliti, malas untuk melatih aqal berfikir berulangkali akan sesuatu ilmu yang telah dipelajari, malas bertanya, malas membaca, jika membaca maka yang dibacanya tidak cuba dibanding-bandingkan, malas mengulang baca, dan seterusnya..

(Aku katakan para penuntut, kerana jika mereka sendiri sudah sedemikian sifatnya, maka apakah yang diharapkan dari awamnya manusia).”

“Kesimpulannya?” Aku bertanya.

“ilmu adalah ketua, dan amal adalah pengikutnya!”

Ringkas sahaja jawapannya dengan senyuman terpamer di wajahnya.

Aku berpuas hati . 
Dan aku berharap anda; juga sepertiku..

No comments: